Minda Undi (2)

05 Mei 2018

Minda Undi (2)

Bahang pilihanraya semakin menghangatkan suasana. Bahang ini dipanaskan lagi dengan ramalan, bacaan mahupun kajian soal selidik tentang peluang parti-parti bertanding untuk meang. Kita dapat membaca hasil kajian/survey yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada individu atau pusat penyelidikan dan sebagainya.

Dapatan survey tersebut jika meramalkan kemenangan parti yang disokong pasti akan menggembirakan mereka. Sebaliknya jika ia meramalkan kekalahan parti yang disokong, ia sedikit sebanyak menggusarkan mereka.

Survey melalui Facebook juga banyak kali dibuat sama ada oleh individu ataupun page tertentu. Namun sejauh mana hasil dapatan kajian melalui media sosial ini benar-benar akan diterjemahkan dalam dunia realiti pada 9 Mei 2018 nanti?

Pendokong mana-mana parti mahupun parti itu sendiri jika berpuas hati dengan hasil survey media sosial, maka ia amat malang. Parti anda boleh menang survey yang anda jalankan dalam media sosial tetapi ia tidak mencerminkan hakikat sebenar.

Hakikatnya masih ramai yang tidak "mengundi" dalam surrvey tersebut. Bahkan yang "mengundi" survey tersebut adalah bukan pengundi sebenar sesuatu kawasan pilihanraya. Yang kelihatan galak membuat survey terdiri daripada penyokong Gagasan Sejahtera (PAS) dan Pakatan Harapan (PKR, AMANAH & DAP). Penyokong Barisan Nasional juga ada membuat survey tersebut tetapi agak kurang berbanding lawannya.

Seringkali survey yang dilakukan oleh 2 kelompok di atas memihak kepada 2 golongan tersebut. Seringkali juga dapatan survey menunjukkan BN (UMNO) asyik "kalah". Benarkah UMNO semakin lemah dan penyokong realiti dan mayanya tidak ramai?

Jika anda kata ya, perhatikan sebagai contoh keputusan dalam PRU 13 yang lepas di Parlimen Bachok dan Parlimen Ketereh di Kelantan. Keputusannya adalah seperti berikut:

P025 Bachok
Awang Adek Hussin (BN): 35,218
Ahmad Marzuk Shaary (Pas): 35, 419
Pas menang, majoriti: 201

P026 Ketereh
Annuar Musa (BN): 26,912
Ab. Aziz Ab. Kadir (PKR): 25,938
BN Menang, Majoriti: 974

Hakikatnya, PAS menang di Bachok dan BN menang di Ketereh dengan majoriti di bawah 1000. Lihat jumlah pengundi kedua-dua parti di kedua-dua parlimen tersebut. Ia hampir sama banyak. Ini sebagai contoh dan tidak dinafikan dalam PRU ke 13 yang lepas, terkadang BN atau Pakatan Rakyat menang majoriti hingga berpuluh ribu.

Tapi adakah pihak lawan yang kalah itu langsung tidak mendapat undi atau hilang wang pertaruhan? Tidak! Mereka tetap mendapat undi (malah calon bebas pun tetap mendapat undi tetapi hilang wang pertaruhan).

Penyokong Gagasan Sejahtera (PAS) dan Pakatan Harapan (PKR, AMANAH & DAP) yang ingin menang dalam pilihanraya umum ke 14 ini jangan asyik dibuai dengan survey media sosial.

Tiada ulasan