Fiqh Asas (10)

09 Februari 2012

Fiqh Asas (10)

Sapuan Ke Atas Balutan

Orang yang berbalut di anggota wuduk hanya perlu menyapu ke atasnya. Dia hanya perlu bertayammum dan sembahyang. Tidak perlu baginya mengulangi sembahyang sekiranya dia dalam keadaan bersuci (berwuduk) ketika meletakkan pembalut itu.

Namun disyaratkan dia mestilah bertayammum untuk setiap kali waktu fardu sembahyang masuk. Manakala sembahyang sunat, dia boleh melakukannya seberapa banyak yang dia mahu dengan satu tayammum sahaja.

Benda-Benda Najis

Setiap cecair yang keluar daripada kemaluan depan dan belakang adalah najis kecuali air mani. Membasuh semua air kencing dan tahi adalah wajib kecuali air kencing budak kecil yang tidak makan makanan kecuali susu ibunya (berumur sehingga 2 tahun). Air kencing budak kecil itu suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya.

Darah dan nanah adalah najis kecuali yang sedikit. Binatang yang tidak mengalir darahnya, apabila jatuh ke dalam bekas air lalu mati dalamnya, maka ia tidak menajiskan air itu.

Semua binatang adalah suci kecuali anjing, babi dan apa yang lahir daripada keduanya ataupun salah satu daripada keduanya. Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan, belalang dan manusia.

Mencuci Bekas Yang Terkena Jilatan Anjing Dan Babi

Bekas yang terkena jilatan anjing dan babi mesti dibasuh 7 kali. Salah satu daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah.

Najis-najis yang lain hanya dibasuh sekali sahaja, tetapi membasuhnya 3 kali adalah lebih baik.

Arak Yang Menjadi Cuka


Apabila arak menjadi cuka dengan sendirinya (tanpa diganggu) maka ia menjadi suci. Namun sekiranya ia menjadi cuka akibat dilemparkan sesuatu ke dalamnya maka ia tidak suci lagi.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

Tiada ulasan