24 September 2011

Memperkasa Pengurusan Fatwa Online Di Malaysia

Kelmarin 23 Sep 2011 artikel tulisan UF keluar dalam Berita Harian. Ia sempena Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam Di Malaysia anjuran Pejabat Penasihat Agama Perdan Menteri dengan kerjasama USIM, Berita Harian dan Tabung Haji. Ia akan diadakan pada 30 Sep hingga 2 Okt 2011 di PWTC.

Berikut adalah artikel (asal) yang diterbitkan itu:

Pengurusan Fatwa di Malaysia telah mengalami transformasi hari demi hari. Ia seiring dengan perkembangan teknologi dewasa ini. Di negara ini, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwa masing-masing. Manakala di peringkat persekutuan pula terdapat satu jawatankuasa fatwa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Ini menjadikan jumlah jawatankuasa fatwa di Malaysia sebanyak lima belas.

Melihat kepada pengurusan fatwa negeri-negeri, boleh dikatakan semuanya mempunyai laman web rasmi Jabatan Mufti. Kebanyakan laman web Jabatan Mufti negeri-negeri bermula tahun 2000 ke atas seiring dengan penubuhan Jabatan Mufti itu sendiri. Ia disebabkan oleh pemisahan Jabatan Mufti daripada Majlis atau Jabatan Agama Islam negeri-negeri mulai penghujung tahun 90an.

Secara umumnya, laman web Jabatan Mufti negeri-negeri ini memaparkan maklumat-maklumat tertentu. Ia termasuklah bahagian-bahagian di Jabatan Mufti serta fungsinya, maklumat tentang mufti serta pegawai-pegawainya, aktiviti-aktiviti, fatwa-fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa fatwa negeri dan lain-lain.

Perkara ini sangat baik kerana masyarakat Islam dapat mengakses maklumat atau mendapat penjelasan tentang isu-isu tertentu daripada Jabatan Mufti. Ia juga menunjukkan, sebagai badan rasmi kerajaan, Jabatan Mufti juga tidak ketinggalan dari sudut teknologi maklumat.

Terdapat Jabatan Mufti negeri-negeri yang amat baik dalam pengurusan laman web. Ia dapat dilihat dari segi kecantikan dan keceriaan paparan web, pilihan warna yang sesuai, kekerapan mengemaskini maklumat dalam web, susunan menu yang menarik, maklumat yang banyak dan sebagainya.

Namun terdapat juga Jabatan Mufti negeri-negeri yang lemah dalam pengurusan laman web. Kelemahan ini dilihat dari segi laman web yang gagal dicapai, dalam penyelenggaraan berpanjangan, maklumat tidak dikemaskini dengan kerap, tidak cantik atau ceria, kurang maklumat dan sebagainya.

Baik dan lemah pengurusan laman web sesuatu Jabatan Mufti negeri akan mempengaruhi jumlah pengunjung sedikit sebanyak. Contohnya jika laman web sentiasa dikemas kini, pengunjung akan kembali mengunjungi laman web tersebut. Ini kerana mereka mengetahui akan mendapat maklumat baharu jika mereka mengunjungi semula laman web tersebut.

Sebaliknya, jika pengunjung beberapa kali melawati sesuatu laman web Jabatan Mufti dan maklumat tidak dikemaskini, maka mereka tidak akan melawati semula laman web itu. Ia sedikit sebanyak menjejaskan imej Jabatan Mufti negeri tersebut.

Sebagai cadangan, untuk memantapkan kandungan laman web, Jabatan Mufti negeri-negeri perlu memastikan maklumat-maklumat berikut terdapat dalam laman web rasmi jabatan. Antaranya maklumat lengkap mufti sekarang dan mufti-mufti terdahulu, sejarah penubuhan Jabatan Mufti Negeri dan bahagian-bahagian di Jabatan Mufti serta fungsinya. Aktiviti atau program serta gambar juga perlu dimasukkan, begitu juga koleksi fatwa dan keputusan fatwa.

Memandangkan fatwa adalah keputusan Jawatankuasa Fatwa yang diwartakan dan keputusan fatwa adalah keputusan yang tidak diwartakan, adalah terlebih baik dua kategori ini diasingkan. Ini untuk memudahkan masyarakat mengetahui keputusan mana yang diwartakan dan yang tidak diwartakan. Sesuatu fatwa atau keputusan juga perlu disertakan dengan hujah atau dalil supaya masyarakat lebih yakin menerimanya.

Kekerapan mengemaskini maklumat laman web juga perlu diberi perhatian. Sebaik-baiknya ia dilakukan setiap minggu atau sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Jika ia tidak dikemaskini dalam tempoh berbulan-bulan, ia menyerlahkan kelemahan pengurusan Jabatan Mufti terbabit.

Laman web Jabatan Mufti negeri-negeri juga perlu mempunyai pautan kepada semua jabatan mufti negeri lain dan juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Ini bagi memudahkan masyarakat mengetahui fatwa atau keputusan yang diputuskan oleh Jabatan Mufti negeri lain.

Pengurusan fatwa online perlu dilakukan dengan baik dan cekap. Ini kerana ia mencerminkan imej dan professionalisme sesuatu Jabatan Mufti. Penyaluran dan penyampaian maklumat secara online lebih cepat, senang dan efektif berbanding medium-medium lain. Seharusnya Jabatan Mufti negeri-negeri mengambil berat hal ini, supaya tidak dikatakan ketinggalan zaman.

2 ulasan:

Miss Afni berkata...

owh patutlah ustaz "perintah" kami buat blog ye he he ^_^

Dr. UsuliFaqih berkata...

Andalah harapan negara untuk memperkasa pengurusan fatwa online. Bentang elok2 noooo