Menghitung Hari

10 Januari 2011

Menghitung Hari

Kita biasa mendengar hari-hari dalam seminggu. Kesemuanya berjumlah tujuh hari iaitu hari Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Namun tahukah kita ada lagi hari-hari yang perlu diketahui selain tujuh hari dalam seminggu itu. Hari-hari tersebut ialah:

1) Yaum Mafqud (Hari yang telah hilang)
Hari yang telah hilang ialah hari kelmarin yang kita tinggalkannya bersama amalan baik buruk, kenangan pahit manis dan sebagainya. Ia tidak akan kembali semula dengan apa cara sekalipun. Kita hanya mampu mengambil iktibar dan pengajaran dari hari kelmarin.

Sekiranya kelmarin berlalu dengan kebaikan dan amalan soleh, maka ia perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi tanpa henti, tetapi jika ia berlalu dengan kejahatan dan maksiat kepada Allah, maka ia perlu dihentikan dan dibajai dengan rasa menyesal agar perkara itu tidak berulang lagi.

Hari kelmarin juga mengajar kita agar sentiasa muhasabah diri kita dan mengenal pasti segala kekurangan dan kelemahan untuk diperbaiki. Orang yang membiarkan kelmarinnya berlalu tanpa penilaian adalah orang yang tidak memperdulikan nasib dirinya dan orang yang tidak mahu mengubah nasib hidupnya ke arah yang lebih baik dan diredai Allah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Surah al-Ra’d 11.

Nasib seseorang akan berada di takuk lama jika dia sendiri tidak mahu dan berusaha mengubah nasib hidupnya.

2) Yaum Masyhud (Hari yang sedang disaksikan)
Hari yang sedang disaksikan ialah hari ini yang kita berada padanya. Sudah pasti hari ini kita mempunyai banyak tugas untuk diselesaikan tidak kira samada kita ini doktor, pensyarah, jurutera, pekerja kilang, polis, petani, nelayan dan sebagainya. Yang penting ialah kepandaian kita mengurus dan mengatur tugas-tugas tersebut.

Orang yang bijak akan mendahulukan perkara utama yang perlu diselesaikan daripada perkara-perkara yang bukan utama. Sebab itulah kita perlu memahami “Awlawiyyat” (perkara-perkara keutamaan) dalam hidup kita. Dengan memahami “Awlawiyyat” ini, urusan hidup kita akan berjalan dengan lebih lancar dan selesa.

Selaku mukmin sejati, kita juga digesa untuk menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan pada hari ini dan tidak menangguhkannya sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, “sesungguhnya aku akan melakukannya keesokan hari”. Surah al-Kahfi 23.

Sifat suka menangguhkan kerja akan menyebabkan kerja itu bertimbun dan akhirnya ia tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia akan menjadi beban berpanjangan kepada kita.

3) Yaum Mawrud (Hari yang mendatang)
Hari yang mendatang ialah hari esok yang bakal kita tempuhi. Sebaiknya kita mempunyai perancangan untuk menghadapi hari esok agar urusan hidup kita tidak terbantut. Kita masih boleh memperbaiki kelemahan yang kita lakukan pada hari ini dengan memastikan ia tidak berlaku lagi keesokan harinya.

Pepatah “Sediakan payung sebelum hujan” amat tepat dalam menanti kedatangan hari esok. Kita perlu bersedia untuk apa keadaan sekalipun samada yang baik atau yang buruk.

Contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s dalam merancang untuk menghadapi keadaan kemarau setelah diketahui ianya akan berlaku, patut dicontohi oleh kita semua. Perancangan Nabi Yusuf ini berjaya menyelamatkan rakyat Mesir ketika itu dari bencana kemarau selama tujuh tahun.

4) Yaum Maw’ud (Hari yang dijanjikan)
Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t bahawa ianya akan berlaku. Hari kiamat ialah rukun iman kelima yang wajib diimani oleh setiap orang Islam. Banyak ayat al-Quran dan Hadis Nabi menceritakan perihal hari kiamat ini yang begitu dahsyat kerana ia adalah hari kemusnahan dunia.

Langit dan bumi akan hancur, begitu juga planet-planet dan cakerawala-cakerawala yang ada di dalam alam maya ini. Hari kiamat juga menyaksikan semua manusia akan mati termasuk makhluk-makhluk lain, malah para malaikat juga akan mati. Yang kekal ketika itu hanyalah Allah s.w.t kerana Allah itu Maha Kekal Abadi dan tidak fana.

Tiada siapa yang tahu bilakah hari kiamat akan berlaku. Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak diberitahu oleh Allah s.a.w kerana ianya adalah urusan Allah s.w.t dan hanya Allah sahaja yang tahu. Apa yang Allah tunjukkan hanyalah tanda-tanda yang dapat dilihat oleh manusia supaya insaf dan beriman kepada Allah s.w.t yang Maha Esa.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dalam sahih Muslim yang bermaksud: “Aku telah diutuskan dan hari kiamat seperti dua jari ini. (Anas) berkata, “baginda menghimpunkan (mengisyaratkan) antara jari penunjuk dan jari tengah”.

Nabi Muhammad menggambarkan harti kiamat itu amat hampir dengan mengisyaratkan jarak hari kiamat dengan zaman baginda sama seperti jarak antara jari telunjuk dan jari tengah. Jikalaulah di zaman Nabi Muhammad 1400 tahun yang lalu pun jaraknya sudah hampir, apatah lagi dengan zaman kita sekarang ini. Oleh itu kita mesti bersiap sedia dengan memperbanyakkan amalan soleh untuk menghadapi hari kiamat yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

5) Yaum Mamdud (Hari pembentangan)
Hari pembentangan ialah hari dibentangkan semua makhluk di hadapan Allah s.w.t di padang mahsyar. Pembentangan ini bertujuan untuk menjalani satu upacara yang dipanggil “Hisab” iaitu menghitung amalan baik untuk diberi ganjaran nikmat syurga dan menghitung amalan jahat untuk diberi “ganjaran” azab neraka.

Kehidupan di akhirat bersifat kekal abadi yang tiada kesudahannya sampai bila-bila. Ia memang tidak dapat difikirkan oleh akal fikiran tetapi ia wajib diimani oleh setiap umat Islam, kerana umat Islam melalui akidahnya mengimani bahawa selepas manusia mati, jasadnya tidak hanya hancur dimakan tanah begitu saja, tetapi ia akan dihidupkan kembali dan dibangkitkan untuk dihisab oleh Allah s.w.t.

Penyelamat utama bagi umat Islam pada hari Mahsyar nanti hanyalah rahmat Allah s.w.t dan syafaat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. Untuk mendapat tiket rahmat dan syafaat pada hari itu ialah dengan beriman kepada Allah dan memperbanyakkan amalan soleh di dunia ini. Allah berfirman yang bermaksud: Maksudnya, “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (amal soleh)”. Al-A’raf 56.

Berbahagialah orang-orang yang beriman dan beramal soleh kepada Allah dan amat rugilah orang-orang yang ingkar kepada Allah. Begitulah lima hari yang perlu direnung oleh kita agar hidup kita sentiasa diberkati dan diredai Allah s.w.t.

Tiada ulasan