Julai 2010

22 Julai 2010

Seminar Pengurusan Harta Menurut Perspektif Islam

Hari ini UF dijemput oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang untuk membentang kertas kerja dalam Seminar Pengurusan Harta Menurut Perspektif Islam. Tajuk yang UF bentang ialah “Harta: Perbincangan Menurut Perspektif Islam”. Seminar ini diadakan di UiTM Pulau Pinang dan dihadiri oleh kakitangan awam jabatan kerajaan Pulau Pinang.

UF dijemput untuk dua slot. Pada sebelah pagi dalam slot pertama UF bentang kertas kerja di atas. Manakala slot kedua pada sebelah petang, UF menjadi panelis munaqasyah ilmiah (ala-ala forum). Seorang lagi panelis ialah YA Us. Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Jawi Pulau Pinang.

Munaqasyah ilmiah ini ialah para peserta seminar bertanyakan soalan-soalan kepada panelis. Selama dua jam daripada pukul 2.30pm banyak soalan-soalan yang ditanyakan oleh peserta. Agak mencabar juga untuk menjawab soalan-soalan secara spontan. Namun Alhamdulillah ia menambah pengalaman UF untuk belajar menjawab soalan dengan lebih yakin.

19 Julai 2010

Bahagianya, namun...

Hari ini hari lahir UF ke 34. Alhamdulillah Allah masih beri kesempatan pada UF untuk hidup sehari lagi.

Hari lahir tahun ini ada satu kelainan dalam hidup UF. Memang syukur sangat atas nikmat yang Allah kurniakan kepada UF. Apa yang Allah telah takdirkan untuk UF hanyalah menambahkan keimanan dan kepercayaan UF kepadaNya. Bak kata Nabi Ibrahim “Liyatmainna Qalbi”.

Benarlah janji Allah, jika kita tidak putus asa, insya Allah kita takkan dipersiakan. Dalam perjalanan untuk mendapat apa yang dihajati, tidak sekelumitpun rasa putus asa, mahupun kecewa. Doa terus dipanjatkan agar Allah memberi apa yang terbaik dalam hidup ini.

Alhamdulillah, berkat doa itu, lebih kurang seminggu yang lepas UF dianugerahkan nikmat yang mungkin jarang-jarang orang lain perolehi. Sebab itulah UF kata hari lahir tahun ini amat bermakna dan unik. Syukur Alhamdulillah tidak henti-henti. Namun kegembiraan itu sebenarnya tanggungjawab yang semakin bertambah. Sekali lagi kepadaMu ya Allah, kupohon kekuatan untuk mengharungi segalanya.

************

Hari ini juga isteri UF memulakan dialisis di USIM. USIM telah mendapat sumbangan mesin dialisis daripada Majlis Agama Islam Pahang. Kalau sebelum ini USIM terpaksa membayar lebih kurang RM3500 sebulan kepada pusat dialisis swasta, jadi bila dah ada mesin sendiri dapatlah kurangkan kos.

Kira isteri UF orang pertama yang rasmi mesin dialisis tu di USIM. Dia juga orang pertama yang USIM tanggung untuk kos rawatan dialisis sebelum ini. Ada dua orang lagi yang terdiri daripada staf dan isteri staf USIM yang menerima rawatan dialisis. Memang kasihan lihat keadaan isteri yang menanggung ujian Allah ini. Ya Allah, Engkau telah berikan ujian kepada isteriku di dunia, maka ampunkan dosanya dan
tempatkannya disyurga. Berikan juga aku syafaat dengan sebab ujian kepada isteriku. Moga aku dan semua keluargaku berada disyurgaMu. Amin!!!

18 Julai 2010

Kenapa Tak Update?

Ada 2-3 orang pengunjung blog yang bertanyakan kepada UF, kenapa UF tak update blog ni dalam tempoh yang lama. Yeahhh bukan UF taknak update tapi USIM buat polisi blog peribadi kena block sepanjang waktu bekerja. Ia hanya dibenarkan dilayari selepas ja 6 petang.

Bukan sahaja blog peribadi (tapi tak semua blog disekat), facebook, youtube dan laman-laman sosial yang lain turut diblock. Tujuannya untuk menyekat staf USIM dari melayari laman-laman web tersebut ketika waktu bekerja dan meninggalkan tugasan hakiki.

Bila kondem polisi universiti, staf boleh dikenakan tindakan tapi polisi USIM yang dok block blog-blog tertentu memang menyukarkan. Bayang tengoklah, laman Us. Zaharudin.net yang selalu dok tulis pasal muamalat pun boleh kena block. Apa hal? Kot la laman sex takpelah kalau nak disekatpun.

Kadang-kadang lecturer macam UF ni cari bahan atau maklumat nak tulis artikel atau buat paper work melalui internet. Bila dah kena sekat macam ni memang susah sebab terhad. Sapa la nak tunggu sampai pukul 6 lebih kat pejabat semata-mata nak surf internet. Kalau buat polisi pun biarlah tidak menyekat perkembangan ilmu.

Bukan UF takde komputer kat rumah, tapi notebook kat rumah dah pening. Terkadang balik rumah dah penat otak, memang tak larat dah nak on komputer. Tolonglah orang atas, fahamilah keadaan dan raikanlah teknologi yang ada. Kalau didapati ada staf yang asyik melayari laman web dan tak buat kerja, hukumlah dia. Kenapa seorang saja yang berak tengah jalan, habis semua kena cuci?

06 Julai 2010

Diskaun Hebat- Promosi 10 Hari!!!

Dapatkan album kedua Kumpulan Nasyid Instinct dalam Kempen 10 Hari pada harga murah gila RM10 sahaja. Kumpulan Nasyid Instinct telah beberapa kali menjadi Juara Carta Nasyid IKIM.fm.

Pembelian dengan online payment (credit card/debit card, FPX – CIMB, Maybank, Bank Islam) membolehkan anda download nasyid ini automatik selepas pembayaran. Takde akaun bank online? Ok, tak mengapa. Guna mesin ATM pun boleh untuk pembayaran secara manual. Terima kasih daun keladi. Klik gambar berikut:

04 Julai 2010

Hakim Syarie Wanita

Akhbar hari melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah melantik dua orang wanita menjadi Hakim Syarie pertama. Mereka ialah Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Suraya Ramli 31 sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM. Manakala Rafidah Abdul Razak 39, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM. Lantikan mereka dibuat pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Isu perlantikan wanita sebagai qadi atau hakim adalah isu klasik fiqh. Ia telah dibincangkan sejak sekian lama dalam kitab-kitab fiqh turath. Secara ringkasnya mazhab Syafie tidak membenarkan wanita dilantik menjadi qadi atau hakim. Manakala mazhab Hanafi membenarkan perlantikan wanita ke jawatan itu. Kedua-dua mazhab tersebut mempunyai hujah dan dalil masing-masing.

Dengan perlantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie, menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia memilih pandangan mazhab Hanafi. Ini berdasarkan ijtihad Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengikut prinsip-prinsip tertentu di sebalik kewajaran melantik wanita ke jawatan tersebut.

Apa yang UF nak ulas di sini ialah, tidak kisah kita memilih pandangan mazhab Syafie atau mazhab Hanafi. Ini kerana ia adalah perkara ijtihadi, apatah lagi kedua-duanya mempunyai dalil dalam isu ini. Cuma jangan kita tersilap objektif dalam perlantikan wanita ke jawatan Hakim Syarie. Objektif utama perlantikan seseorang hakim ialah untuk menjulang panji keadilan berdasarkan hukum Allah S.W.T.

Jika sesetengah pihak berpendapat bahawa perlantikan dua hakim wanita itu akan memberi keadilan kepada wanita, maka ia ternyata salah. Perlantikan hakim wanita bukan untuk memberi keadilan kepada wanita tetapi memberi kaedilan kepada mereka yang berhak sama ada wanita mahupun lelaki.

Pandangan bahawa Hakim Syarie lelaki sebelum ini berat sebelah kepada kaum lelaki merupakan pandangan prejudis. Hakim mempunyai tugas yang berat untuk memutuskan sebarang keputusan. Jika ada hakim yang hanya memandang gender dalam penghakimannya maka ia hanya menempah api neraka.

Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang mafhumnya, dua golongan hakim akan masuk neraka iaitu hakim yang berhukum tanpa ilmu dan hakim yang tahu kebenaran tetapi tidak berhukum dengannya. Hanya satu golongan hakim yang dapat masuk syurga iaitu hakim yang tahu kebenaran dan berhukum dengannya.

Kita berdoa kepada Allah agar Hakim-Hakim Syarie kita baik yang lelaki mahupun dua hakim wanita (Puan Suraya dan Puan Rafidah) dipelihara oleh Allah dalam penghakiman mereka. Amin!!!