Boleh Tukar ke?

04 April 2010

Boleh Tukar ke?

Kartika Sari Dewi (Sumber gambar: themalaysianinsider.com)

Hari Jumaat lepas, UF mengajar kuliah Maghrib di surau al-Hijrah, Kota Warisan tentang "Bab Jenayah". Ada seorang hadirin bertanya apa pandangan ustaz tentang pertukaran hukuman sebat ke atas kartika (gambar) kepada khidmat masyarakat. Tidakkah ini menukar hukum Allah Taala?
UF jawab, sebenarnya hukuman 6 sebatan yang dikenakan ke atas Kartika bukanlah hukuman hudud. Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak mengamalkan hukuman hudud dalam sistem undang-undang (enakmen) Islamnya. 6 sebatan yang diamalkan di Mahkamah Syariah Malaysia ialah hukuman takzir.
Jadi tindakan Sultan Pahang menukar bentuk hukuman daripada sebat kepada khidmat masyarakat tidak salah. Apatah lagi hal ehwal Islam di bawah kuasa sultan negeri-negeri. Maka pihak berkuasa boleh meminda, menukar, mengurangkan dan menambah hukuman takzir.
Kalau hukuman hudud seperti hukuman hudud bagi peminum arak sebatan 40 rotan, memang tiada siapa yang boleh meminda atau menukarnya kepada hukuman lain. Ini kerana hukuman hudud ialah hukuman yang telah diputuskan secara tetap oleh Allah dalam al-Quran atau Sunnah. Tidak boleh bagi sesiapa pun, hatta Nabi Muhammad S.A.W pun tidak boleh mengubahnya.
Adapun hukuman takzir ialah hukuman yang di serahkan kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukannya. Allah Taala tidak menentukan bentuk hukumannya sama ada sebat, penjara atau sebagainya. Jadi terpulang kepada pihak pemerintah untuk menentukannya. Mahkamah Syariah di Malaysia hanya ada 3 jenis bentuk hukuman takzir sahaja seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah, iaitu:
1. Sebatan.
2. Denda.
3. Penjara.
Namun ini semua tertakluk kepada budi bicara Sultan negeri. Sebab itulah dalam kes Kartika Sultan Pahang mengampunkan hukuman sebatan dan menukarnya kepada khidmat masyarakat selama 3 bulan.
Dalam isu yang berkaitan, UF nak komen sikit pasal 1 laporan Berita Harian bertarikh 3 April 2010. Akhbar itu menyiarkan komen Mufti Perak Tan Sri Harussani mengenai pertukaran hukuman Kartika itu. Tan Sri Harussani dilaporkan berkata, hukuman itu boleh ditukar kerana ia hanyalah hukuman takzir bukannya "qisas".
UF tak tahulah, sama ada kesilapan itu adalah kesilapan wartawan atau Tan Sri Harussani. Kalau kesilapan wartawan melaporkan, bolehlah dimaafkan kerana mungkin mereka jahil. Namun kalau kesilapan Mufti Perak dalam menyebut takzir dan qisas, maka pelik la sikit. Sebabnya perkara ini macam yang disebutkan oleh UF di awal tadi, ia berkaitan dengan hukuman takzir dan hudud bukannya qisas.
Qisas ni bab lain pula, iaitu bab bunuh. Bila masa pula Kartika bunuh orang pula?

Tiada ulasan