Disember 2009

31 Disember 2009

Kenapa NC Baru USIM Daripada Orang Dalam?

Hari Rabu lepas ada perjumpaan antara mantan NC USIM yang pertama, Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Pusat Pengajian Umum. Perjumpaan ini diadakan atas permintaan beliau sendiri untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu beliau dalam mengasas dan membangunkan USIM selama 10 tahun ini.

Beliau tidak berbicara tentang pencapaian beliau selama mengurus USIM tetapi menekankan cabaran-cabaran mendatang yang bakal dihadapi oleh warga USIM. Beliau menceritakan semasa penubuhan USIM pada peringkat awal, USIM terpaksa bersaing dengan universiti-universiti lain dalam pengambilan pelajar. Dulu selalunya USIM mendapat pelajar-pelajar yang ditolak oleh Universiti lain.

Tambahan pula, pelajar yang ingin masuk ke USIM adalah terdiri daripada aliran sekolah Agama yang diketahui kedaifannya dalam banyak perkara. Ia meliputi pengurusan sekolah, prasarana, silibus dan lain-lain. Jadi USIM terpaksa menerima mereka dan perlu memikirkan bagaimana hendak membimbing pelajar-pelajar ini kerana ada tanggapan bahawa mereka ini adalah kelas 2. Sudah tentu besar cabarannya demi meningkatkan martabat pengajian Islam di Malaysia.

Untuk mengubah keadaan itu di USIM memang sukar, maka perlu diubah keadaan itu sejak daripada sekolah menengah lagi. Sebab itulah beliau dan rakan-rakan lain mencadangkan agar sekolah-sekolah Agama Rakyat didaftarkan dengan kerajaan supaya bantuan kewangan dan guru berkelayakan dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah tersebut. Kerajaan bersetuju dengan cadangan ini, namun terdapat juga pihak-pihak yang membantah dan tidak bersetuju.

Sebenarnya pihak kerajaan sedia mendengar cadangan untuk memartabatkan bidang pengajian Islam di Malaysia. Antaranya ialah pengiktirafan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sama seperti STPM. Dato' Shukor juga menceritakan bahawa Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah mantan Perdana Menteri memberi ruang untuk memartabatkan pelajar-pelajar bidang Agama. Tun Dr. Mahathir ketika majlis pecah tanah kampus USIM pernah berkata, jangan ada pihak yang mengkhianati misi dan visi USIM.

Pak Lah ketika ditanya oleh Dato' Shukor apa yang beliau harap bila tibanya 2020. Pak Lah menjawab dia nak Malaysia jadi maju, tapi Dato' Shukor kata apa guna Malaysia maju jika anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah Agama ketinggalan dan mundur. Lalu Pak Lah kata, kalau macam tu buatlah apa pun untuk memartabatkan pengajian Islam dan kerajaan akan menyokong.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Dato' Shukor sebut kenapa penggantinya (NC baru USIM) daripada orang dalam juga dan bukan orang luar, sedangkan ura-ura kedengaran penggantinya orang luar. Beliau berkata, amat mengejutkan sebahagian besar ahli jawatankuasa pemilih Naib Canselor berpendapat apa perlunya bidang pengajian Islam dimartabatkan hingga ke peringkat IPT, cukuplah setakat sekolah menengah saja. (UF kata: otak sekular atau dalam bahasa lembutnya otak taghut macam ni la).

Maka beliau berbincang dengan pengerusi USIM iaitu Tan Sri Dr. Yusuf Nor untuk memastikan penggantinya mestilah orang USIM sendiri supaya falsafah penubuhan USIM dapat dihayati dengan baik. Sebab itulah Prof. Dato' D. Muhammad bin Muda (TNC Akademik) naik menggantikannya. Diharapkan beliau meneruskan legasi Dato' Shukor dalam memperjuangkan bidang pengajian Islam walaupun beliau adalah orang ekonomi. Begitulah al-kisahnya....

20 Disember 2009

Catatan 19 Disember & Ceramah Syeikh Yusuf al-Qaradawi

Kelmarin, awal-awal pagi lagi UF dah kena keluar rumah sebab ada perlumbaan Jogathon Hijrah sempena minggu Maal Hijrah yang dianjurkan oleh Surau al-Hijrah Kota Warisan dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang dipengerusikan oleh UF sendiri. Alhamdulillah hampir 100 peserta yang terdiri daripada penduduk Kota Warisan sendiri dan ada juga perserta luar yang menyertai jogathon ini. Jarak larian lebih kurang 3 km saja untuk semua kategori iaitu bawah 12, bawah 18, bawah 35 dan atas 35 tahun.

Larian bermula lebih kurang jam 7.45 pagi setelah worm up sikit. Tempat mula dan akhir ialah depan Surau al-Hijrah. Masa mula-mula tu pakat lari laju, tapi bila sampai 200-300 meter ramai yang dah pancit sebab tak biasa lari hehe... tapi semua semangat nak habiskan juga walaupun dengan berjalan kaki. Sepanjang jogathon ini berlangsung, ia dibantu oleh beberapa orang petugas yang memang orang-orang kuat Kota Warisan kalau ada apa-apa program. Pihak PDRM juga turut membantu mengawal lalu lintas dan keselamatan peserta.

Jam 9 am diadakan majlis Pelancaran dan Perasmian Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang disempurnakan oleh Tuan Hj Yunus Khasib, Pengarah Perancangan Pembangunan, Merangkap Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Sepang. Upacara penyampaian hadiah Jogathon Hijrah turut diadakan dalam majlis ini. Alhamduillah program pada pagi kelmarin mendapat sambutan yang baik daripada penduduk Kota Warisan, sama ada program jogathon mahupun majlis pelancaran dan perasmian PeBT zon Kota Warisan. Diucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan ke dua-dua program tersebut.

Selepas selesai 2 program itu, UF membantu pihak surau menyiapkan persiapan untuk majlis Forum Perdana Hijrah yang akan diadakan pada sebelah malamnya. Pihak surau dengan kerjasama Rukun Tetangga Megah Villa Apartment juga turut memasak bubur lambuk dan bubur Asyura secara bergotong royong. Forum dipengerusikan oleh Us. Fauzi Mustafa (Moderator al-Kulliah TV3) dan ahli panelnya terdiri daripada Us. Hasan Mahmud al-Hafiz dan Us. Ahmad Dasuki Abd Rani. Walaupun UF penat membantu tetapi sayangnya malam tu UF tak dapat menghadiri program forum tu sebab UF nak pergi Masjid Shah Alam untuk mendengar ceramah Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

UF nak pergi sangat dengar ceramah Syeikh al-Qaradawi sebab tak pernah jumpa dengan syeikh secara berdepan. Kalau dengan Syeikh al-Buti dan Syeikh Wahbah al-Zuhaili dah banyak kali dah jumpa. UF bertolak dari rumah lebih kurang jam 6.50 petang dengan seorang kawan. Semasa kami sampai di Masjid Shah Alam majlis ceramah baru bermula, kelihatan tempat parking penuh dengan kereta. Masuk saja ke dalam masjid, UF dapati orang ramai memenuhi ruang solat di atas untuk mendengar ceramah Syeikh al-Qaradawi.

UF merapati sebelah kanan tempat syeikh berceramah namun tempat itu pun sudah dipenuhi dengan orang ramai. UF hanya boleh melihat syeikh dari jauh saja dari sisi sebelah kanan. Takpelah, sekurang-kurangnya dapat lihat wajah seorang syeikh dan ulama yang tersohor di dunia Islam. Ceramah syeikh semalam menyentuh mengenai Hijrah dan pengajarannya untuk umat Islam dan diterjemahkan ke Bahasa Melayu, cuma UF tak pasti siapa yang menjadi penterjemahnya.

Terlintas dalam fikiran UF, Syeikh Yusuf al-Qaradawi ada tauliah ke bagi ceramah kat Masjid Shah Alam semalam tu? JAIS tidak ambil tindakan ke? Dr. Asri tentu tersenyum dengan soalan ni....

08 Disember 2009

DIMASHQU (16)

Melihat 2 orang pelajar itu, hati aku terdetik takkan 2 orang saja yang datang jemput aku namun cepat-cepat aku menepis tanggapan negatif itu. Mungkin seolah-olah memahami isi hati aku, Rosli memberitahu yang pelajar-pelajar lain kebetulan pada pagi itu ada mesyuarat agong Persatuan Pelajar Malaysia Syria, jadi hanya dia dan Aminuddin saja yang datang menjemputku dan keluarga. Aku dan keluarga minta izin untuk menunaikan hajat terlebih dahulu sebelum kami beredar dari lapangan terbang itu.

Setelah itu Rosli keluar mencari kenderaan untuk kami ke tempat penginapan kami nanti. Katanya lebih murah cari kenderaan di lapangan terbang berbanding menyewa kenderaan dari kawasan tempat penginapan. Rosli dapat menyewa sebuah Pajero dan cukup-cukup untuk kami berlima dan beg-beg aku yang sebanyak 8 buah itu.

Perjalanan dari lapangan terbang ke rumah penginapan itu mengambil masa lebih kurang 45 minit. Tidak banyak sangat perumahan sepanjang perjalanan dan kelihatan suasananya lebih kurang di Mesir. Aku kembali teringat ketika pertama kali sampai di Mesir juga pada bulan 12 ketika musim sejuk juga. Tidak ada juga bangunan-bangunan hebat macam di Malaysia sepanjang perjalanan kerana ia melalui kawasan seperti ladang atau kawasan lapang, tetapi bukanlah padang pasir yang kering kontang.

Terasa dingin musim sejuk itu ke seluruh tubuh, sudah lama (hampir 10 tahun) tidak merasai suasana sejuk macam itu sejak aku tinggalkan bumi Mesir dahulu. Bila sampai satu kawasan kenderaan yang aku naiki memasuki satu kawasan perumahan kampung kerana melalui jalan pintas ke rumah penginapan. Lagi sekali aku terbayang Mesir kerana gaya rumah-rumahnya memang serupa di Mesir.

Bersambung...

01 Disember 2009

Bulan Tengah Naik (BTN)

Seminggu dua ni dalam paper dok main isu BTN (Biro Tata Negara). Selangor dan Pulau Pinang dah melarang kakitangan awamnya dan pelajar dari mengikuti BTN kerana ia lebih kepada brainwash otak supaya ikut kerajaan BN. UF pun dah 3 kali ikut kursus BTN ni, pertama kali di Mesir tahun 1996 selepas tamat belajar di Universiti al-Azhar. Kali ke 2 kalau tak silap dalam tahun 2001, BTN untuk pensyarah dan guru. Kali ke 3 pula tahun 2005 iaitu kursus BTN khas untuk pelajar tajaan kerajaan yang akan ke luar negara.

Yang pertama tu UF tak berapa nak ingat sangat sebab dah lama, cuma masa tu Anwar Ibrahim belum dipecat daripada kerajaan. Antara penceramah BTN di Mesir masa tu ialah Dr. Muhd Nor Manuty dan Syeikh Azmi (bekas mufti Penang) dan mereka ni terkenal dengan ABIM.

Apa yang UF nak sebut ni terpulang pada pembaca sekelian, betulkah BTN ni alat untuk peras otak peserta supaya ikut kerajaan BN atau tidak. Dalam BTN kedua yang UF ingat salah seorang penceramahnya ialah Musa Hasan (masa ni dia belum jadi KPN lagi). Dengan bersungguhnya dia cerita yang memang Anwar Ibrahim terlibat dengan kes liwat pemandunya dulu sebab dialah (Musa) yang jadi pegawai penyiasat. Ditunjukkan juga video kes Sauk tentang kekejaman yang dilakukan oleh golongan al-Ma'unah yang merampas senjata dari sebuah kem tentera dulu dan membunuh polis.

Ceramah tentang suasana politik Malaysia daripada dahulu sampai sekarang memang menu wajib dalam BTN. Natijah dan moral of the story ialah sokonglah kerajaan BN kerana hanya BN yang mampu pimpin negara. PAS nak pimpin negara? hahaha.... kalau PAS menang semua kawasan yang dipertandingkan (Pilihanraya 1998) pun, belum boleh bentuk kerajaan.

Yang UF ingat sangat ialah BTN yang ke 3. Sebab menu memburuk-burukkan Anwar Ibrahim juga adalah wajib dalam BTN (tanyala sapa yang pi BTN), ejen Amerika, tak reti urus kewangan negara, kaki seks liwat dan sebagainya. Pendek kata kalau sapa yang atas pagar tak ada pendirian memang akan percaya.

Lagi satu, PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) memang dicop sebagai persatuan pelajar di luar negara yang anti kerajaan. UF bangun lepas tu pertikai penceramah kenapa PMRAM dicop sebagai anti kerajaan. UF terangkan macam mana pelajar Malaysia di Mesir lebih cenderung dengan pemimpin pembangkang daripada pemimpin kerajaan.

Lihat saja Tuan Guru Nik Abdul Aziz (MB Kelantan), walaupun dia MB tapi bila pergi Mesir dia hanya duduk di rumah anak dia. Senang berjumpa dengan semua pelajar dan ceramah dia terbuka kepada semua pelajar Malaysia di Mesir. Berbanding pemimpin kerajaan (contohnya PM masa tu Tun Mahathir), dahlah duduk di hotel, nak jumpa pun payah. Pastu bila ada perjumpaan hanya jemput sekelompok kecil pelajar saja. Tapi rasanya kalau open untuk semua pun, sapa nak pergi? fikirlah sendiri...

Sapa yang kena masuk BTN untuk ke luar negara, ada soalan bocor ni untuk satu LDK. Anda diminta oleh syarikat anda untuk anjur program motivasi dan ada 3 pilihan:
1. Syarikat milik bumiputra yang baru dan tidak ada pengalaman, tetapi syarikat ni sokong kerajaan UMNO/BN.
2. Syarikat milik bumiputra juga dan berpengalaman dalam program-program motivasi, tetapi syarikat ni sokong pembangkang (PAS dan sewaktu dengannya).
3. Syarikat milik orang asing (luar negara) dan juga berpengalaman.

Jadi anda nak pilih syarikat mana?

hahahaha... UF dah dapat soalan bocor ni dari seorang kawan yang pergi BTN awal dari UF. Dia kata pilih jawapan no. 1, baru fasilitator tak bantai. Kalau pilih no. 2 atau 3 memang teruk la kena perli. Makna kata biar pilih syarikat yang tak berpengalaman pun takpa janji dia sokong kerajaan. Biar biol pekerja di syarikat kita pun takpa (yang ni UF kata).

Kalau pilih motivator yang sokong pembangkang, duit yang dia dapat dari kita akan digunakan untuk biaya pula parti dia untuk hentam kerajaan. Kalau pilih syarikat asing pula, lagi la tak patriotik. Masa dalam LDK tu UF pilih jawapan no. 1 dan ada kawan-kawan sekumpulan yang pilih no. 2 dan 3. Memang sungguh macam kawan UF bagitau, sapa pilih selain no. 1 memang teruk la kena brainwash.

Abih, BTN ni alat brainwash kerajaan ke tak?