Ogos 2009

27 Ogos 2009

Hotel Residence & "Bersamamu" TV3

Semalam kumpulan Instinct dijemput untuk membuat persembahan bagi meraikan keluarga "Bersamamu" TV3 di Hotel Residence, Uniten, Bangi. Ini adalah tahun ke dua Instinct dijemput oleh Hotel Residence dan Ramadan kali ini ada 4 keluarga yang diraikan sambil berbuka puasa.

Asalnya UF pergi ke program tu nak buka puasa ja dan bawa sekali anak dan isteri. Sepatutnya Instinct perform 2 lagu sebelum berbuka tapi bila dah dekat pukul 7 malam, ahli Instinct (GG dan Aqmal) masih terperangkap dalam traffic jam di Sg. Besi. Bila sampai jam 7.45 malam, dieorang masih belum sampai-sampai lagi, terpaksalah UF jadi bidan terjun dengan Zarif berdua je naik atas pentas.

Yang lawak tu, si Zarif tu pulak datang pakai T-Shirt je sebab kostum ada kat Aqmal. Nasib baiklah UF bawa jaket hitam, dan bagi dia pakai. Tapi still nampak pelik la, sebab UF pakai baju Raihan, yang dia pula pakai jaket hitam sampai orang hotel tanya, kumpulan Instinct ni memang style baju tak sama ke? hehe…

Satu pengalaman lucu, sebab si Zarif hanya ingat lirik lagu Resah dan UF pulak hanya ingat lirik Anta Rabbuna dan Itmi’nan, itupun ingat-ingat lupa. Itulah yang terjadi masa UF tengah nyanyi dengan suara yang tak sedap tu, tetiba terlupa lirik. Tapi buat-buat cool, control macho macam takde apa yang berlaku. Bila kami dah perform 2 lagu, barulah si GG dan Aqmal sampai dan dieorang terus naik atas pentas untuk bersama kami menyanyikan lagu seterusnya.

Kepada Hotel Residence, UF bagi pihak kumpulan Instinct minta maaf banyak-banyak atas kekurangan yang berlaku semalam. Tahun depan jemputlah kami lagi walaupun itu hanya show amal. Insya Allah kami akan datang lagi.

(maaf atas kualiti gambar yang rendah)

21 Ogos 2009

Makluman Terkini Persidangan Meja Bulat - Isu Lilin

Dimaklumkan bahawa persidangan meja bulat mengenai isu lilin akan diadakan pada:

Tarikh : 29 Ogos 2009
Hari : Sabtu
Masa : 2.30 petang
Tempat : Rumah Dr. Suhaini Kadiman IJN (No. 2, Jalan 4/5 J, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi = Belakang Surau al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi)

Yuran adalah RM 10 sahaja (termasuk kertas kerja dan berbuka puasa).

Tempat adalah terhad dan peserta hanya dihadkan kepada 60 orang sahaja, kepada anda yang berminat menghadiri persidangan tertutup ini, sila hubungi Us. Irwan bin Mohd Subri (013-3543594) dengan segera dan sila sahkan kehadiran anda!

Nota: Surau al-Kauthar terletak berhadapan stesen Petronas Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Sila parking kereta anda di perkarangan surau al-Kauthar dan berjalan kaki ke rumah banglo Dr. Suhaini yang terletak di belakang surau al-Kauthar. Untuk mengetahui lokasi persidangan tersebut sila hubungi Us. Irwan.

Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan ini, sila klik di sini!

20 Ogos 2009

Yang Penting Bertaubat

UF nak ulas sikit pasal seorang bekas model wanita yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan minum arak. Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009 telah menjatuhkan hukuman maksimun enam sebatan dan denda RM 5000 terhadapnya setelah disabitkan atas kesalahan meminum arak. Surat khabar melaporkan yang beliau insaf dan reda atas hukuman yang dijatuhkan kepadanya oleh mahkamah. Malah beliau mahukan hukuman sebatan itu dijalankan di khalayak ramai supaya pihak keluarga dan media menyaksikannya (walaupun niatnya mungkin tidak tercapai).

Alhamdulillah jika wanita tersebut sudah insaf atas kesalahan dosa besar (minum arak) yang dilakukannya. Kebetulan UF mengajar di surau al-Hijrah Kota Warisan mengenai Bab al-Jinayat (Hudud) yang salah satunya ialah hukum hudud bagi peminum arak. Walaupun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hanyalah berbentuk takzir dan bukannya hudud, namun sedikit (tak banyak pun) membuka mata ramai pihak yang Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah-pesalah jenayah Syariah berdasarkan enakmen-enakmen Syariah bagi negeri-negeri.

UF hanya nak nasihatkan kepada wanita tersebut dan mana-mana pesalah jenayah yang lain, yang penting ialah taubat nasuha kepada Allah Taala. Walaupun hukuman di dunia (sebatan, penjara dan lain-lain) telah dilaksanakan, belum tentu hukuman di akhirat akan terlepas. Berusahalah untuk melepaskan diri juga dari hukuman akhirat iaitu dengan bertaubat setaubat taubatnya di dunia ini kerana masih ada kesempatan selagi nyawa masih ada.

Pesalah jenayah yang dilaksanakan hukumannya di dunia dan dia telah bertaubat sebenar-benarnya serta menyesalatas perbuatannya, Insya Allah akan terlepas daripada hukuman (azab) Allah di akhirat nanti. Manakala pesalah jenayah yang tidak insaf ataupun bertaubat kepada Allah walaupun setelah dilaksanakan hukuman dunia ke atasnya, akan berhadapan pula azab Allah di sana nanti. Maka amat malanglah baginya, dua kali menerima hukuman.

Renung-renungkanlah!

17 Ogos 2009

Majlis Pelancaran Dana Pembesaran Surau al-Hijrah

(Tim. Mufti Selangor sedang berucap)

Semalam 16 Ogos 2009 berlangsung satu majlis Pelancaran Dana Pembesaran Surau al-Hijrah, Kota Warisan, Sepang yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato' Hj. Abd Majid bin Omar, Timbalan Mufti Negeri Selangor.

(Sebahagian hadirin dan hadirat)

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid kumpulan Instinct.

(kumpulan Instinct)

16 Ogos 2009

Video Klip "Resah" - INSTINCT

Buat semua peminat kumpulan Instinct, terimalah video klip lagu "Resah" yang tak seberapa ni:

http://www.youtube.com/watch?v=5nULR65hZkQ

12 Ogos 2009

Makluman Terkini!

Dimaklumkan kepada semua, persidangan meja bulat yang dijadualkan pada 16 Ogos 2009 (Hari Ahad ni), terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Ini kerana panelis yang sepatutnya membentangkan kertas kerja pada persidangan tersebut tidak dapat menghadirkan diri kerana ada komitmen lain yang lebih penting.

Segala kesulitan amat dikesali dan maklumat terkini mengenai persidangan meja bulat itu akan diberitahu dari semasa ke semasa.

Harap maklum.

07 Ogos 2009

Perubatan Islam: Ujian Segera

Petang kelmarin selepas Asar, UF dah janji dengan Us. Zairol (imam surau al-Hijrah, Kota Warisan) nak ambil ijazah perubatan Islam dengan dia. Dia dah dapat ijazah daripada Dato' Dr. Haron Din di Darussyifa'. UF berhajat juga nak belajar di Darussyifa' tapi kekangan masa yang menghalang sebab kelas pengajiannya setiap Isnin malam selama 9 bulan.

UF nak ambil ijazah perubatan Islam tu bukannya apa, sekurang-kurangnya untuk pelindung diri dan keluarga. Kalau orang minta tolong bolehlah ikhtiarkan sikit-sikit. UF ambil dari Us. Zairol amalan yang penting-penting saja sebab kalau nak ambil ijazah semua tu ambil masa sebab banyak ayat dan doanya. Ijazah ni penting sebab Dato' Dr. Haron Din pun dah pesan dalam buku dia, kalau nak berubat orang seeloknya mesti berguru.

Lebih kurang jam 5.45 petang Us. Zairol datang rumah dan UF pun terimalah ijazah beberapa amalan ayat al-Quran dan doa daripada dia. Lepas tu kami bersembang pasal perubatan Islam dan Us. Zairol menyampaikan pesan Dato' Dr. Haron Din kepada semua orang yang ingin mengamalkan perubatan Islam ni. Antaranya ialah jangan promosikan diri, biar orang yang cari, biar orang yang minta tolong.

Elok Us. Zairol sebut je gitu, tetiba kami dengar jeritan dari jiran sebelah rumah UF. Jeritan pertama kami tak hirau lagi sebab ingat takde apa-apa. Tapi bila jeritan kali ke dua, kami pun menerpa ke rumah jiran tersebut. Kami dapati pintu terbuka dan masih terdengar lagi raungan si jiran tu. UF pun memanggil-manggil nama jiran dan bila dia datang ke muka pintu, dia sedang mendukung anaknya yang berumur setahun lebih sambil dia menangis dan beritahu yang anak dia tarik (sebab demam) dan pengsan.

Terus kami suruh dia buka pintu gril dan ajak dia ke klinik. Masa UF ambil si anak dari si ibu, anak tu masih pengsan dan UF beri pula pada Us. Zairol dan dia baca surah Fatihah dan
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيئ في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم
barulah si anak tu sedar sikit. Masa UF mula-mula dukung anak jiran tu, UF sendiri yang panik dan terketar-ketar melihat keadaan anak tu.

Dalam kereta nak pergi klinik, UF yang dukung anak tu dan jiran si ibu drive kereta. Badan si anak tu memang panas sangat dan UF baca Fatihah sekali lagi sebab tengok walaupun dia dah sedar tapi macam terpinga-pinga. Habis baca Fatihah, si anak tu muntah banyak juga atas UF dan baru dia merengek sikit. Masa kejadian tu berlaku, suami jiran ni baru sangat keluar pergi kerja, rasanya tak sampai 5 minit dia keluar.

Kat klinik doktor hanya masukkan ubat demam ke punggung si anak dan kata tak perlu pergi hospital. Dia suruh tunggu kesan ubat yang dia bagi, kalau melarat teruk sangat barulah pergi ke hospital. Menurut si ibu, anak tu dah kali ke dua jadi tarik, pertama kali masa umur 10 bulan. Mudah-mudah Allah sembuhkan anak tu dari demam panas dan menyelamatkannya dari kesan buruk demam tu.

04 Ogos 2009

Persidangan Meja Bulat

Tajuk: Penglibatan orang Islam dalam urusan kematian masyarakat Cina

Tempat : Darul Fuqaha', Bangi (Berhadapan dengan MPI, Bangi)Masa : 9.00 am hingga 1.00 pmTarikh : 16 Ogos 2009 (Ahad)Penganjur : ILMUAN, PAPISMA, ILMAM, NAIM dan lain-lainYuran : hanya RM 10 (kertas kerja dan makan)
Semua dijemput hadir!

Pengenalan
Hubungan antara Islam dan bukan Islam sedang dalam proses mencapai tahap kematangan di mana selepas 50 tahun merdeka, banyak isu-isu yang melibatkan hubungan ini daripada aspek perundangan Islam telah timbul sekarang. Mungkin sepanjang 50 tahun yang lalu, hubungan dan interaksi berlaku tetapi tidak mengambil kira pandangan hukum daripada perundangan Islam.

Isu lilin yang timbul berkaitan dengan Y.B. Mohd Nizar Jamaludin yang memegang lilin sempena sidang akhbar memprotes kematian orang Cina telah menimbulkan polemik antara beberapa ilmuan di Malaysia antara yang membolehkan dan yang mengharamkan, serta tidak kurang pula yang mengsyubhahkan.

Persidangan meja bulat ini yang lebih bersifat perbincangan bersama golongan pakar dalam bidang pengajian Islam yang diadakan untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam agar isu ini dapat dihadami dengan baik. Hasil daripada perbincangan dalam persidangan ini akan dibawa kepada pihak yang berkenaan dan pihak yang berwajib untuk dihalusi dengan lebih teliti. Justeru, pihak penganjur ingin menjemput semua pihak agar dapat menyumbang kehadiran bagi menyerikan lagi persidangan ini. Selain itu, sekiranya tuan/puan mempunyai bahan kajian berkenaan dengan isu ini harap dapat dikongsi bersama agar perbincangan dapat dibuat dengan mengambil kira semua pandangan.

Ahli Panel Perbincangan
Panel 1: Ann Wan Seng (Penganalisis Sosial)
Tajuk: Pengurusan kematian masyarakat Cina antara adat dan Ibadat.

Panel 2: Ustaz Zaharuddin Mohamad (Pegawai Shariah, International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)
Tajuk: Pengurusan kematian masyarakat Cina: Perspektif Fiqh.

Panel 3: Akan ditentukan kemudian (Ahli politik yang berpendidikan Islam)
Tajuk: Pengurusan kematian masyarakat Cina: Perspektif politik Malaysia.

Jika berminat sila hubungi (SMS) Us. Irwan 013-3543594 untuk pendaftaran (tempat adalah terhad).

02 Ogos 2009

Monolog Buat Nafsu

Jika kau menyangka aku akan tewas dengan pujukanmu,
Ketahuilah sangkaan itu bak buih di lautan,
Berbekalkan iman yang tersemat,
Di lubuk hati paling dalam,
Relaku berkorban demi Islam,
Patah kaki, sayapku ada,
Patah sayap, paruhku ada,
Patah paruh, jiwaku ada,
Namun menyerah tidak sekali,
Manakan tahan bila ku lihat,
Islam diinjak manusia laknat,
Bacullah aku, dayuslah aku,
Jika kubiar Islam dihina,
Biar mereka menuduhku,
Pengganas gila yang tiada akal,
Relaku rela hina di mata mereka,
Sedangkan Allah lagi Mengetahui,
Aku berjuang, takkan ku jemu,
Sama ada terjulang panji yang suci,
Atau ku gugur syahid,
Biar anak dan isteriku menangisi,
Jasadku yang kaku menyembah bumi,
Moga ditempatkan aku bersama,
Para Anbiya' dan para syuhada.

Tribute and Salute buat pejuang 1 Ogos 2009...