Yang Penting Bertaubat

20 Ogos 2009

Yang Penting Bertaubat

UF nak ulas sikit pasal seorang bekas model wanita yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan minum arak. Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009 telah menjatuhkan hukuman maksimun enam sebatan dan denda RM 5000 terhadapnya setelah disabitkan atas kesalahan meminum arak. Surat khabar melaporkan yang beliau insaf dan reda atas hukuman yang dijatuhkan kepadanya oleh mahkamah. Malah beliau mahukan hukuman sebatan itu dijalankan di khalayak ramai supaya pihak keluarga dan media menyaksikannya (walaupun niatnya mungkin tidak tercapai).

Alhamdulillah jika wanita tersebut sudah insaf atas kesalahan dosa besar (minum arak) yang dilakukannya. Kebetulan UF mengajar di surau al-Hijrah Kota Warisan mengenai Bab al-Jinayat (Hudud) yang salah satunya ialah hukum hudud bagi peminum arak. Walaupun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hanyalah berbentuk takzir dan bukannya hudud, namun sedikit (tak banyak pun) membuka mata ramai pihak yang Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah-pesalah jenayah Syariah berdasarkan enakmen-enakmen Syariah bagi negeri-negeri.

UF hanya nak nasihatkan kepada wanita tersebut dan mana-mana pesalah jenayah yang lain, yang penting ialah taubat nasuha kepada Allah Taala. Walaupun hukuman di dunia (sebatan, penjara dan lain-lain) telah dilaksanakan, belum tentu hukuman di akhirat akan terlepas. Berusahalah untuk melepaskan diri juga dari hukuman akhirat iaitu dengan bertaubat setaubat taubatnya di dunia ini kerana masih ada kesempatan selagi nyawa masih ada.

Pesalah jenayah yang dilaksanakan hukumannya di dunia dan dia telah bertaubat sebenar-benarnya serta menyesalatas perbuatannya, Insya Allah akan terlepas daripada hukuman (azab) Allah di akhirat nanti. Manakala pesalah jenayah yang tidak insaf ataupun bertaubat kepada Allah walaupun setelah dilaksanakan hukuman dunia ke atasnya, akan berhadapan pula azab Allah di sana nanti. Maka amat malanglah baginya, dua kali menerima hukuman.

Renung-renungkanlah!

1 ulasan

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya UF hantarkan tulisan ini ke mana2 akhbar harian untuk bacaan org ramai. Bagi saya pandangan UF tu tepat.