27 Julai 2009

Once Upon A Time With Iqra' (Part 2)

Masa UF ditawarkan jadi tutor tahun 2001 di Kolej Universiti Islam Malaysia (sekarang dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia),UF masih mengajar Iqra' dan al-Quran rumah ke rumah lagi. Ye lah, gaji tutor masa tu baru RM 1752.90, tolak KWSP dan lain-lain tinggallah dalam RM 1500 lebih kurang. Masa tu baru kahwin pulak, jadi perbelanjaan tu lebihlah sikit, sewa rumahnya, makan minum, duit minyak kereta berulang dari Kajang ke Pandan Indah dan lain-lain lagi. Dengan mengajar Iqra' dan al-Quran dapatlah tambahan lagi RM 500 untuk menampung hidup sekeluarga.

UF berhenti mengajar Iqra' dan al-Quran rumah ke rumah bila naik jadi pensyarah tahun 2002. Faktor berhenti ialah kekangan masa, sebab balik kerja kadang-kadang dah pukul 6, ambil masa juga dari Pandan Indah sementara nak sampai ke Kajang. Kadang-kadang tu terus ke rumah mengaji di Country Heights, lepas Isyak habis mengajar baru balik rumah.

Kira dah 7 tahun berhenti ngajar Iqra' dan al-Quran pada budak-budak. UF hanya ngajar anak di rumah sebab UF mahu anak boleh baca al-Quran hasil usaha UF sendiri. Bila beli rumah di Kota Warisan dan orang mula kenal UF ni ustaz, ramai yang dok tanya boleh tak ngajar anak mereka baca al-Quran. Mula-mula UF tolak sebab takut tak sempat, tapi bila ramai sangat yang tanya dan minta mengajar anak mereka, UF terpaksa mengalah. Mula-mula ada 4 orang saja yang datang mengaji, tapi sekarang dah mencecah 19 orang. Ada 2 kumpulan, kumpulan pertama mengaji waktu malam (Isnin, Selasa dan Rabu) dan kumpulan ke dua mengaji pagi Sabtu dan Ahad.

Tapi UF kata pada mak ayah, siapa yang nak anaknya mengaji dengan UF mesti ikut style UF. Syaratnya UF akan test dulu bacaan anak mereka, kalau lancar bolehlah teruskan. Kalau tak lepas test tu, UF akan suruh budak-budak tu baca Iqra' dari mula balik. UF agak tegas sikit dengan kualiti bacaan, sebab ramai budak yang kata mereka dah baca al-Quran, juz 5, juz 11 dan macam-macam lagi. Namun bila test bacaan mereka sangat teruk seolah-olah robot yang membaca. Panjang pendeknya entah ke mana, dengungnya tidak di jaga dan pelbagai lagi kesalahan.

Hasilnya daripada 19 orang budak-budak yang datang belajar mengaji dengan UF sekarang, hanya seorang saja yang lulus test dan boleh sambung bacaannya sebelum ini iaitu juz 7. Testnya cukup mudah, kalau mereka kata dah baca juz 5, UF suruh mereka baca mana-mana muka surat. Selalunya bila mereka baca 3-4 perkataan, dah boleh tahu mereka lancar membaca atau tidak.

UF sedih sebab ramai pengajar al-Quran tidak ambil berat tentang kualiti bacaan, selalunya nak cepat habis dan khatam. Masalah besarnya budak-budak tu tidak menguasai asas bacaan dari segi panjang pendek dan dengung. Jika sejak dari kecil mereka baca tunggang langgang macam robot, maka sampai ke tualah mereka akan baca macam tu. UF bila mengajar, niat nak bagi budak tu boleh baca al-Quran dengan baik dan Alhamdulillah sebahagian mereka dah boleh baca dengan baik walaupun sebelum tu begitu longgar asas bacaan mereka.

Dulu masa UF belajar di Ma'had al-Azhar, Pokok Sena, Pulau Pinang, ada seorang ustaz yang bernama Zainol Abidin yang mendengar tasmik al-Quran. Dia kata dia boleh duduk berjam-jam mengajar dan mendengar orang membaca al-Quran kerana dia minat dan mencintai al-Quran. Nikmat yang sama dirasai oleh UF bila mengajar budak-budak membaca al-Quran, apatah lagi mereka boleh membaca hasil asuhan dan didikan UF. Tidak ada langsung perasaan jemu dan putus asa ketika mengajar mereka. Hanya orang yang mengajar al-Quran tahu akan kemanisan nikmat itu. Yang paling memberi motivasi pada UF dalam mengajar al-Quran ni ialah hadis Rasulullah S.A.W: خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan orang yang mengajarnya (kepada orang lain)". Riwayat Usman (Sahih al-Bukhari).

Ya Allah! masukkanlah UF dalam golongan ini, Amin...

2 ulasan:

~: Mrs Apek aka UmmiNor:~ berkata...

salam,

saya nak tanya masih ambil anak2 utk ajar mengaji ke?. saya gogle di internet, sampai kat blog ini. Saya terdesak mencari guru mengaji pada anak saya umur 8 tahun. Sya menetap di warisan indah. tkasih. mohon reply ke email saya sriledang at yahoo.com. Pn Noor

Dr. UsuliFaqih berkata...

Insya Allah puan, memang saya dan isteri dok ngajar ngaji. Cuma bulan puasa berhenti. Sambung lepas raya.. hari ngaji Isnin, Selasa dan Rabu mula jam 8 malam.