Kekuatan Solat Hajat

11 Disember 2008

Kekuatan Solat Hajat

Tadi imam surau Kota Warisan mohon para jemaah sekelian selepas solat Isyak, untuk solat hajat kepada seorang bayi yang baru lahir sebulan tetapi koma di IJN akibat masalah jantung. UF terus teringat peristiwa bagaimana dulu isteri UF juga pernah terlantar selama 3 minggu tidak sedarkan diri di ICU Hospital Besar Pulau Pinang akibat masalah buah pinggang.

Hampir tiap hari bila UF melawat isteri, UF baca surah Yasin dan berdoa agar Allah sembuhkan isteri dan dapat sedar kembali. Sehinggalah pada minggu ketiga (kalau tak silap 20 Januari 2006), hari Jumaat UF pergi solat Jumaat di Masjid Daerah Butterworth dekat rumah UF. Sebelum khutbah Jumaat, UF berjumpa dengan imam masjid dan mohon supaya selepas solat Jumaat diadakan solat hajat untuk isteri UF.

Selepas solat Jumaat dan solat hajat tu, UF pergi ke hospital dan bila sampai saja di ICU, UF dapati isteri UF dah sedar tetapi dalam kebingungan. Ketika itu juga, UF panjatkan syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana memakbulkan doa dalam solat hajat tadi. Mungkin di kalangan jemaah yang solat hajat tadi ada yang makbul doanya. Terasa yang keyakinan kepada Allah bertambah ketika tu kerana UF yakin bahawa Allah sentiasa mendengar doa hambanya. Sekejap atau lama Allah memakbulkan doa terpulanglah kepada Allah, tapi yang paling penting kita sebagai hambanya tidak boleh jemu berdoa.

UF cadangkan sesiapa yang mempunyai masalah yang besar, tundukkan diri kepada Allah dalam keadaan penuh tawaduk dan buatlah solat hajat, mohon kepada Allah agar dilepaskan daripada masalah tersebut. Menunaikannya bersama-sama muslimin yang lain lebih afdal. Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi buatlah dulu insya Allah akan termakbul segala permintaan yang baik. Paling penting jangan ada dalam hati sekelumit perasaan waswas terhadap Allah. Lama atau tidak, itu urusan Allah, urusan kita hanyalah berdoa! Didoakan agar bayi tadi disembuhkan oleh Allah agar dapat hidup menjadi seorang muslim yang mu'min lagi soleh.... Amin!

Tiada ulasan