DIMASHQU (2)

28 November 2008

DIMASHQU (2)

Aku mula mencari maklumat universiti-universiti yang terletak di Timur Tengah. Aku melayari laman web semua universiti-universiti negara Arab. Aku ingin mencari pengajian Ph.D secara penulisan tesis sahaja tanpa kerja kursus, tapi aku inginkan universiti yang tidak ramai pelajar Malaysia di situ. Akhirnya di hadapanku ada tiga negara yang menjadi pilihan.

Pertama Universiti Kaherah, Mesir, kedua Universiti Damascus, Syria dan yang terakhir ialah universiti-universiti di Maghribi. Namun Universiti Kaherah adalah pilihan terakhir kerana aku pernah belajar di Mesir selama empat tahun. Selepas tamat pengajian aku masih tinggal di Mesir dua tahun lagi. Jadi bererti sudah enam tahun aku hidup di Mesir, maka aku perlu mencari angin baru.

Yang tinggal ialah Syria atau Maghribi. Maklumat tentang Universiti Damascus, Syria tidak banyak di ketahui. Selain daripada maklumat dalam laman web universiti yang menyatakan bahawa Fakulti Syariah ditubuhkan pada tahun 1954 dan ia menawarkan ijazah hingga peringkat Ph.D, maklumat-maklumat lain tiada. Melalui kawan-kawan dan pelajar-pelajar Malaysia yang pernah ke Syria, tiada pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Universiti Damascus pada peringkat Master atau Ph.D. Yang ada hanyalah pelajar ijazah pertama, itupun bilangannya sekitar lima atau enam orang sahaja. Di Syria, hanya Universiti Damascus sahaja yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Di Maghribi pula terdapat lebih kurang tiga belas universitinya diiktiraf oleh JPA. Terdapat dua orang pelajar lepasan universiti di Maghribi yang aku kenal. Yang pertama Rosli bin Mokhtar yang aku kenal semasa aku membuat Master di UKM dan seorang lagi Azhar Ibrahim bin Resedi, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Melalui merekalah aku mendapat maklumat tentang universiti-universiti di Maghribi.


BERSAMBUNG...

Tiada ulasan