Kementerian Pengajian Tinggi Perlu Adil

16 September 2008

Kementerian Pengajian Tinggi Perlu Adil

Tenaga akademik di semua IPTA berpeluang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana ataupun doktor falsafah di bawah biaya Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Ada yang menyambung pengajian dalam negara dan tidak kurang juga yang ke luar negara. Ramai yang memilih untuk menyambung pengajian ke luar negara kerana beberapa faktor seperti tempat pengajian tersohor, elaun luar negara yang tinggi dan lain-lain. Namun tidak semua yang mendapat peluang ke luar negara kerana kekangan kuota universiti masing-masing.

Walaupun begitu, sama ada menyambung pengajian dalam atau luar negara, yang penting ialah mendapat segenggam ijazah peringkat tinggi. Ini untuk memastikan semua IPTA mempunyai tenaga akademik yang memiliki kelulusan doktor Falsafah sekurang-kurangnya tujuh puluh peratus menjelang 2010 seperti saranan kerajaan.

Namun yang dipersoalkan ialah perbezaan keistimewaan antara pelajar dalam negara dan pelajar luar negara dari segi peluang mengutip data dan menghadiri seminar. Bagi pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, mereka mempunyai peluang untuk mengutip data atau menghadiri seminar berkaitan pengkhususan mereka di negara lain sekali sepanjang pengajian. Manakala pelajar dalam negara hanya mempunyai satu peluang iaitu menghadiri seminar sahaja dan tidak ada klausa "atau" mengutip data untuk mereka.

Pelajar di luar negara bukan sahaja dapat ke luar negara dengan pelbagai elaun yang banyak, kemudian ditambah lagi dengan dua peluang yang disebutkan tadi. Sedangkan pelajar dalam negara tidak mendapat peluang sedemikian.

Bagi pelajar dalam negara, sekiranya sepanjang pengajian tidak ada seminar berkaitan bidang pengkhususan mereka, maka mereka tidak berpeluang ke luar negara untuk mengutip data. Sedangkan pelajar di luar negara, sekiranya tiada seminar berkaitan, mereka masih berpeluang lagi sama ada ke negara lain atau pulang ke Malaysia (selalunya) untuk mengutip data.

Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menilai semula dasar yang sedia ada dan bersikap adil dalam memberi peluang yang sama rata kepada pelajar tajaannya yang berada di dalam dan luar negara. Apa yang dipohon ialah pelajar dalam negara juga diberikan peluang untuk mengutip data atau menghadiri seminar di luar negara, sama seperti yang diberikan kepada pelajar di luar negara untuk memantapkan kajian yang dijalankan.

Tiada ulasan