24 September 2019

Siapa Pendokong Gagasan Rahmatan Lil Alamin Sebenarnya?

Sejak Pakatan Harapan menang PRU 14 lepas, konsep atau idea yang ingin diketengahkan (terutamanya parti Amanah) ialah "Rahmatan Lil Alamin". Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata Kertas Kabinet berhubung Rahmatan lil Alamin sebagai dasar pentadbiran Islam baharu negara akan dibentangkan kepada Kabinet hujung bulan ini atau selewat-lewatnya awal bulan depan.
Mujahid berkata lagi, gagasan Rahmatan lil Alamin sudah pun diterima selepas dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada Mac tahun lalu dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2 Julai lalu.

Dalam slide pembentangan mengenai "Malaysia Negara Rahmah", Mujahid menjelaskan maksud perkataan huruf-huruf yang terdapat dalam perkataan RAHMAH seperti berikut:
R: Ramah
A: Aman
H: Harmoni
M: Mesra
A: Alami
H: Hormat

RAHMAH tersebut hendak diaplikasi dalam 7 kluster berikut:
1. Kehakiman dan Perundangan.
2. Dakwah dan Media.
3. Pendidikan dan Modal Insan.
4. Halal dan Tabung Haji.
5. Masjid.
6. Maqasid dan Penyelidikan.
7. Sosio-Ekonomi.

Untuk mengetahui lebih lanjut tuan/puan boleh merujuk slide pembentangan tersebut.

Saya tidak berhajat untuk komen kandungan gagasan Rahmatan Lil Alamin kerana teorinya cukup baik sesuai dengan kehendak Syariat Islam. Persoalan saya siapakah pendokong dan penggerak kepada gagasan ini?

Duta Rahmah yang terdiri daripada 215 orang agamawan (daripada pelabagi bidang dan agensi) telah dilantik untuk menjadi jurucakap memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin. Setakat ini agensi yang banyak mempromosikan gagasan ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana ia adalah agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. JAKIM 'digunakan" untuk tujuan tersebut.

Saya melihat laman web parti Amanah (https://amanah.org.my/) tidak kelihatan pula sebarang promosi kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah daripada parti itu.

Melihat pula laman web Yayasan Dakwah Malaysia - YADIM (http://www.yadim.com.my/v2/) di mana Yang Di Pertua dan timbalannya juga daripada parti Amanah, hanya terdapat poster atau berita mengenai Rahmatan Lil Alamin. Tiada penerangan dan penjelasan detail mengenai konsep tersebut.

Dalam media sosial (facebook), senarai rakan saya yang Amanah atau pro kepada Amanah juga tidak banyak (atau sebenarnya tidak langsung) mempromosikan konsep dan gagasan Rahmatan Lil Alamin. Mereka lebih suka mengkritik PAS daripada berusaha menjelaskan bagaimana Rahmatan Lil Alamin hendak atau boleh diterapkan.

Ini yang sepatutnya. Boleh saja gunakan slide RAHMAH atau apa-apa bahan promosi yang disediakan oleh think tank atau team Media RAHMAH JAKIM. Yang penting idea mengenai Rahmatan Lil Alamin sampai kepada masyarakat.

Saya sudah beberapa kali menulis dan "mengkritik" gaya politik semua parti politik Malaysia yang lebih gemar menyerang pihak lawan daripada berusaha menjelaskan ideologi parti masing-masing.

Sebab itu saya ingin bertanya, pendokong konsep Rahmatan Lil Alamin ni siapa sebenarnya? Ahli parti Amanah? Duta Rahmah? Atau JAKIM? Amat sayang kalau ahli-ahli parti Amanah tidak mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan lagi parti mereka. Dan janganlah mengharapkan belas ihsan Duta Rahmah, apatah lagi JAKIM untuk mempromosikan Rahmatan Lil Alamin.

Rujukan

Tiada ulasan: