Rehlah Mencari Barakah Di Bumi Bakkah - Siri 1

06 Mac 2019

Rehlah Mencari Barakah Di Bumi Bakkah - Siri 1

Kisah rehlah ini bermula apabila sekitar awal Oktober 2018, isteri keduaku mengajakku untuk menunaikan umrah. Dia belum pernah menunaikan umrah lagi. Walaupun dia belajar di Jordan (Universiti Mu'tah), tetapi dia tidak sempat menunaikan umrah ketika belajar.

Aku sudah tiga kali menunaikan umrah. Kali pertama pada tahun 1995 ketika aku masih belajar di Unversiti al-Azhar. Aku menaiki kapal laut selama 3 hari 2 malam kerana itu kos paling murah bagi seorang pelajar macam aku. ketika itu kosnya hanya USD350 untuk tiket kapal laut, penginapan hotel, pengangkutan dan makan minum selama 2 minggu di bumi haram.

Kali kedua, pada tahun 2011 bila mak ayah aku mengajak aku dan dua orang adik lelaki (no.2 dan no.3) pergi bersama mereka. Untuk trip ini, aku ada cerita menarik bagaimana menguruskan pak saudaraku yang hilang hari pertama kami sampai di Madinah (aku akan ceritakan dalam slot khusus).

Manakala kali ketiga aku menunaikan umrah ialah pada 2015. Trip kali ini memang rezeki terpijak bagi aku. Sebabnya, aku tidak merancang untuk pergi umrah tapi kali ni aku ditaja oleh Universiti Qasim. Ceritanya, bila seorang sahabatku Pensyarah di fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM (Dr. Hamza Abdel Karim - Dari Jordan) mengajakku menulis satu paper untuk satu seminar yang dianjurkan oleh Universiti Qasim, Saudi.


Alhamdulillah paper kami diterima. Namun, penganjur beritahu sahabatku Dr. Hamza, kami terima paper kamu, tetapi kami tidak mahu kamu. Kami mahukan kawan kamu (iaitu aku) yang datang bentang. Sebabnya, daripada berpuluh-puluh orang yang memohon untuk membentang, semuanya orang arab dan India serta Pakistan kecuali aku. Aku satu-satunya orang Melayu dari Malaysia. Jadi Universiti Qasim mahukan aku yang datang bentang paper dalam seminar anjuran mereka. Jadi mereka menanggung perjalananku ke sana dan mereka awalkan sehari perjalanan ku ke sana untuk memberi kesempatan melakukan umrah.


Berbalik kepada hasrat isteri kedua untuk menunaikan umrah. Aku katakan kepadanya, aku sudah tiga kali pergi ke sana. Jadi adalah sedikit sebanyak pengalaman, apatah lagi aku boleh berbahasa arab. Aku cadangkan agar kami mengurus sendiri perjalanan kami ke sana. Bahasa orang sekarang ialah umrah DIY (Do It Yourself). 


DIY aku agak istimewa tidak seperti DIY kebiasaan dan kebanyakkan orang. Kalau nak tahu, teruskan mengikuti dan membaca rehlahlog aku ini. Insya Allah aku plan akan terbitkan dalam buku.

Bersambung...

Tiada ulasan