SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 2)

05 September 2018

SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 2)

SOALAN:

Bolehkah Non Muslim Masuk Ke Masjid?

JAWAPAN:

Mengikut mazhab Syafie, orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid selain daripada masjid Haram dengan izin orang Islam (pengurus masjid). Ini dapat dilihat melalui kenyataan imam al-Nawawiyy yang menyebut:
أَمَّا الْكَافِرُ فَلَا يُمَكَّنُ مِنْ دُخُولِ حَرَمِ مَكَّةَ بِحَالٍ، سَوَاءٌ مَسَاجِدُهُ وَغَيْرُهَا. وَلَهُ دُخُولُ مَسَاجِدِ غَيْرِ الْحَرَمِ بِإِذْنِ مُسْلِمٍ. وَلَيْسَ لَهُ دُخُولُهَا بِغَيْرِ إِذْنٍ عَلَى الصَّحِيحِ. فَإِنْ فَعَلَهُ عُزِّرَ.
Maksudnya, “Adapun orang bukan Islam, maka mereka tidak dibolehkan untuk memasuki tanah haram Mekah atas apa alasan sekalipun, sama ada masjid atau bukan. Sebaliknya mereka dibolehkan memasuki masjid-masjid yang bukan di tanah Haram dengan izin orang Islam, dan tidak boleh memasukinya tanpa izin, mengikut pendapat yang sahih (dalam mazhab Syafie). Sekiranya mereka berbuat demikian (memasuki masjid tanpa kebenaran orang Islam), maka mereka boleh ditakzir” (Rujukan: Kitab Rawdat al-Talibin wa cUmdat al-Muftin).
Imam Khatib al-Sharbiniyy pula menyebut:
وَلَيْسَ لِلْكَافِرِ، وَلَوْ غَيْرَ جُنُبٍ دُخُولُ الْمَسْجِدِ إلَّا أَنْ يَكُونَ لِحَاجَةٍ كَإِسْلَامٍ، وَسَمَاعِ قُرْآنٍ، لَا كَأَكْلٍ وَشُرْبٍ، وَأَنْ يَأْذَنَ لَهُ مُسْلِمٌ فِي الدُّخُولِ إلَّا أَنْ تَكُونَ لَهُ خُصُومَةٌ
Maksudnya: “Dan tidak dibolehkan bagi orang bukan Islam memasuki masjid sekalipun dalam keadaan tidak berjunub, melainkan kerana wujudnya keperluan seperti ingin masuk Islam dan mendengar bacaan al-Quran, dan bukanlah (keperluan yang tidak mendesak) seperti makan dan minum. Dan orang-orang Islam mengizinkan mereka memasuki masjid kecuali boleh menyebabkan perbalahan (maka non Muslim tidak boleh masuk masjid)” (Rujukan: Kitab Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj).
            Keharusan ini merujuk kepada hadis berikut:
بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ: ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، سَيِّدُ أَهْلِ اليَمَامَةِ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ»، فَانْطَلَقَ إِلَى نَخْلٍ قَرِيبٍ مِنَ المَسْجِدِ، فَاغْتَسَلَ، ثُمَّ دَخَلَ المَسْجِدَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Maksudnya, “Nabi SAW pernah mengutus beberapa penunggang kuda ke arah Najd. Lalu utusan itu kembali dengan membawa tawanan daripada Bani Hanifah yang bernama Thumamah bin Uthal, pemimpin suku al-Yamamah. Mereka pun mengikatnya di salah satu tembok Masjid Nabawi. Kemudian Nabi SAW  mendekatinya dan berkata, “Lepaskan Thumamah”. Kemudian Thumamah menuju ke pohon kurma yang berdekatan dengan masjid, beliau mandi lalu masuk ke masjid, dan mengucapkan, “aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah” (Hadis. Al-Bukhariyy. No. 462).
            Hadis ini menjelaskan bahawa para sahabat mengikat Thumamah di salah satu tembok dalam masjid Nabi SAW. Ini mununjukkan tentang keharusan bagi non Muslim untuk masuk ke masjid atas sesuatu keperluan.
            Inilah yang dinyatakan oleh imam Al-Sharbiniyy:
وثبت أنه صلى الله عليه وسلم أدخل الكفار مسجده، وكان ذلك بعد نزول ”براءة“، فإنها نزلت سنة تسع، وقدم الوفد عليه سنة عشر وفيهم وفد نصارى نجران، وهم أول من ضرب عليهم الجزية فأنزلهم مسجده وناظرهم في أمر المسيح وغيره
Maksudnya, “Terdapat riwayat bahwa Nabi SAW memasukkan orang kafir ke dalam masjid baginda. Ia terjadi setelah turunnya surah al-Tawbah yang turun pada tahun 9 hijriyah. Banyak delegasi berjumpa dengan Nabi SAW pada tahun 10 hijriyah, dan antara mereka ialah delegasi nasrani Najran. Mereka suku pertama yang dikenakan jizyah. Nabi SAW menyuruh mereka masuk ke dalam masjid baginda dan baginda juga berdebat dengan mereka tentang nabi Isa Al-Masih dan lain-kain” (Rujukan: Kitab Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj).

Kesimpulan
Daripada penjelasan hadis dan pandangan ulama Syafie di atas, dapat disimpulkan bahawa individu non Muslim dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram. Namun ia tertakluk kepada beberapa syarat antaranya dengan keizinan pihak pengurusan masjid, menjaga adab, menjaga kesucian dan kebersihan masjid, memakai pakaian yang sopan dan lain-lain peraturan yang munasabah.
            Membenarkan non Muslim juga boleh bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Ini menyerlahkan keindahan Islam yang menyeru kepada berbuat baik kepada sesama manusia. Pihak pengurusan masjid Cocos (Keeling) Island boleh memainkan peranan ini supaya institusi masjid dapat menjadi platform dakwah kepada non Muslim.
            Namun sekiranya didapati ada agenda tertentu atau boleh menyebabkan fitnah berlaku, maka pihak pengursan masjid boleh tidak membenarkan non Muslim masuk ke masjid. Ia tertakluk kepada kebijaksanaan atau budi bicara pihak pengurusan masjid.

Wallahu aclam bi al-sawab.

RUJUKAN:
Al-Bukhariyy, Muhammad bin Ismacil. 1422H. Sahih Al-Bukhariyy. T.tp: Dar Tawq al-Najah.
al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din bin Sharaf. 1991. Rawdat al-Talibin wa cUmdat al-Muftin . Jil. 5. Beirut: al-Maktab al-Islamiyy.
Al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib. 2000. Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj. Jil. 1. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Disediakan Oleh:

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Nota Penting:

Tulisan ini adalah pandangan hukum awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penduduk Islam Cocos (Keeling) Island, Australia dan bukanlah fatwa rasmi. Pandangan hukum ini diberikan berdasarkan suasana dan keadaan serta pengalaman penulis di Cocos (Keeling) Island, Australia.

Tiada ulasan