Ogos 2018

04 Ogos 2018

SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 1)

SOALAN:
Solat Jumaat Di Pulau Cocos Dengan Berapa Jumlah Bilangan Makmum?
JAWAPAN:
Kewajipan menunaikan solat Jumaat adalah berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (al-Quran. Surah Al-Jumu'ah: 9).
Rasulullah SAW juga bersabda:
{الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ}
Maksudnya, "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit" (Riwayat Abu Dawud).
Mengikut mazhab Syafie, syarat wajib solat Jumaat adalah seperti berikut:
1. Islam.
2. Baligh.
3. Berakal.
4. Merdeka.
5. Lelaki.
6. Sihat.
7. Bermastautin atau bermukim (Rujukan: Kitab Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib).
Manakala syarat sah solat Jumaat mengikut mazhab Syafie adalah seperti berikut:
1. Didirikan dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Tidak dilakukan dua jumaat dalam satu kariah kecuali tempat itu besar dan sukar berkumpul di satu tempat.
4. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
5. Didahului dengan dua khutbah (Rujukan: Kitab Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh & Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj).
Solat Jumaat Di Cocos (Keeling) Island
Berdasarkan keadaan di Cocos (Keeling) Island, Australia, solat Jumaat diadakan di dua tempat iaitu di Home Island dan Main Island. Solat Jumaat di Home Island tidak menimbulkan masalah dari segi bilangan jemaah kerana jumlah yang ramai yang dapat hadir solat Jumaat tersebut.
Manakala solat Jumaat di Main Island dihadiri lebih kurang 40 orang yang bekerja di situ. Yang menimbulkan sedikit persoalan ialah jumlah ini boleh jadi mencukupi bilangan 40 orang yang disyaratkan mengikut mazhab Syafie dan boleh jadi tidak mencukupi sekiranya ada antara mereka yang bercuti atau sakit atau lain-lain faktor.
Oleh itu, sekiranya bilangan jemaah tidak mencukupi 40 orang di Main Island atas apa faktor sekalipun, solat Jumaat boleh didirikan dengan jemaah yang kurang daripada 40 orang dengan mengambil pendapat mazhab Maliki iaitu sekurang-kurangnya 12 orang termasuk imam (rujukan: Kitab al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil) atau berdasarkan pendapat mazhab Hanafi iaitu sekurang-kurangnya 4 orang termasuk imam (Rujukan: Kitab Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq & al-Inayah Sharh al-Hidayah).
Dalam hal ini, mendirikan solat Jumaat di Main Island, Cocos (Keeling) Island, Australia walaupun tidak cukup bilangan jemaah 40 orang (mengikut mazhab Syafie) adalah dibolehkan supaya lelaki muslim di situ dapat mendengar pesanan-pesanan agama melalui khutbah Jumaat.
Wallahu a'lam bi al-sawab.
RUJUKAN:
Abu Shuja', Shihab al-Din Ahmad bin al-Husayn bin Ahmad. Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib. T.tp: Alam al-Kutub.
Al-Babartiyy, Akmal al-Din Muhammad bin Muhammad bin Mahmud. T.th. al-Inayah Sharh al-Hidayah. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Mawwaq, Abu Abdillah Muhammad bin Yusuf bin Abi al-Qasim bin Yusuf. 1994. al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din Yahya bin Sharaf. 2005. Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994. Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Zayla'iyy, Fakhr al-Din Uthman bin Aliyy bin Mahjin al-Bari'iyy. 1313H. Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq. Al-Qahirah: al-Matba'at al-Kubra al-Amiriyyah
DISEDIAKAN OLEH:
Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nota Penting:
Tulisan ini adalah pandangan hukum awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penduduk Islam Cocos (Keeling) Island, Australia dan bukanlah fatwa rasmi. Pandangan hukum ini diberikan berdasarkan suasana dan keadaan serta pengalaman penulis di Cocos (Keeling) Island, Australia.

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 3)

Bacalah dengan hati yang tenang....

Saya tidak mahu panjangkan ulasan lagi isu ini, cuma saya minta anda baca artikel berikut yang bertajuk
مقصد حفظ الدين رؤية مقاصدية معاصرة yang ditulis oleh Husam al-Isawi Ibrahim seorang graduan dari Universiti al-Azhar. Artikel yang cukup panjang lebar menjelaskan tentang maqasid penjagaan agama.

Ada 1 point beliau yang hampir sama dengan pandangan Dr. M ketika beliau menjelaskan tentang wasilah (cara) penjagaan agama menurut pandangan maqasid kontemporari.

Point yang disebut oleh Husam sebagai wasilah menjaga agama ialah menghidupkan sesi dialog antara agama. Bagi beliau dialog sebegitu dapat menjaga "agama-agama samawi" dalam mewujudkan satu kesepakatan dalam khidmat insani dan menjauhkan peperangan, keganasan dan kemusnahan kerana jauh daripada panduan samawi.

Kedengaran pointnya sama sepeti Dr. M sebut, namun jika dibaca keseluruhan artikel ini (baca daripada awal hingga habis), Husam hanya meletakkan point tersebut dalam wasilah sahaja bukannya dalam maqasid.

Jangan ambil point yang saya sebut kesimpulannya itu sahaja, tapi wajib baca keseluruhan artikel beliau. Moga ada ilmu baharu yang kita dapat.

Boleh baca artikel beliau di link berikut: