Jun 2018

29 Jun 2018

Denda RM25 Berbaloi dan Memadai?

Isu denda Dua Puluh Lima Ringgit terhadap 2 pelancong China kerana berkelakuan tidak sopan di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menjadi hangat seketika. Walaupun isu ini tidak sehangat komentar-komentar politik harapan atau tiada harapan, namun ia tetap menarik minat sebahagian netizen untuk mengulas mengenainya. Ramai yang mempertikai kewajaran "jumlah" denda tersebut kerana ia dilihat terlalu sedikit dan terlalu "lawak" untuk dikenakan sebagai hukuman kepada sesuatu "kesalahan". Mari kita belajar sedikit mengenai undang-undang di Malaysia. Memandangkan kejadian tersebut berlaku di Sabah, maka kita akan merujuk kepada undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah. Dua guru tari warga China tersebut telah ditahan oleh pihak polis kerana memperagakan tarian di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Majistret Cindy Balitus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua wanita berumur 25 dan 37 berkenaan mengaku bersalah berkelakuan tidak sopan di atas tembok masjid Sabtu lalu ()23 Julai 2018, kira-kira jam 4 petang. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana berkelakuan tidak sopan di kawasan awam. Seksyen 15, Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah atau Minor Offences Ordinance, State of Sabah memperuntukkan:
"Any person who is found drunk and incapable of taking care of himself, or is guilty of any riotous, disorderly or indecent behaviour, or of persistently soliciting or importuning for immoral purposes in any public road or in any public place or place of public resort, or in the immediate vicinity of any court or of any public office or police station or place of worship, or in any coffee shop, eating house or other place to which the public has or may have access shall be liable to a fine of twenty-five ringgit, and to imprisonment for fourteen days, and on a second or subsequent conviction to a fine of fifty ringgit and to imprisonment for three months". Memandangkan kedua-duanya ditahan oleh pihak polis, tambahan pula kedua-duanya bukan Islam, maka hukuman yang sesuai dijatuhkan ialah mengikut undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah iaitu Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah. Hakim majistret telah mengikut undang-undang dan beliau tidak mempunyai pilihan lain kerana jumlah denda berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang termaktub dalam undang-undang tersebut aadalah RM25.00. Ya, dari segi logiknya, jumlah itu pada zaman sekarang amat tidak logik atau tidak wajar, namun itulah undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah. Jumlah itu (RM25.00) sebenarnya adalah jumlah sama yang dikenakan dalam Akta Kesalahan Kecil atau Minor Offences Act 1955 (Seksyen 21) yang berkuatkuasa di Semananjung Tanah Melayu seperti berikut:
"Any person who is found drunk and incapable of taking care of himself, or is guilty of any riotous, disorderly or indecent behaviour, or of persistently soliciting or importuning for immoral purposes in any public road or in any public place or place of public amusement or resort, or in the immediate vicinity of any Court or of any public office or police station or place of worship, shall be liable to a fine not exceeding twenty-five ringgit or to imprisonment for a term not exceeding fourteen days, and on a second or subsequent conviction to a fine not exceeding one hundred ringgit or to imprisonment for a term not exceeding three months or to both". Sekarang mari kita lihat undang-undang Islam yang berkuatkuasa di negeri Sabah berkaitan kelakuan tidak senonoh. Seksyen 83. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah (Perbuatan tidak sopan dikhalayak ramai) memperuntukkan:
"(1) Seseorang yang dengan sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali". Jumlah denda yang sama (seribu ringgit) juga disebut dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dalam seksyen 31. Jumlah denda dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah berkaitan Perbuatan tidak sopan dikhalayak ramai jauh lebih tinggi berbanding jumlah denda dalam Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah bagi kesalahan yang sama. Namun kedua-dua pelancong China tersebut tidak boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah kerana mereka bukan Islam. Jika pesalah muslim yang berkelakuan tidak senonoh, untuk mendendanya bergantung kepada undang-undang mana mereka akan didakwa. Sekiranya di bawah Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah, maka denda maksimumnya ialah RM25.00 dan sudah pasti pesalah tidak berasa gusar kerana jumlahnya amat rendah. Namun sekiranya beliau didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah, maka beliau akan didenda maksimum seribu ringgit dan pasti jumlah itu agak memeritkan.