Minda Fikir (1): Apa seterusnya?

10 Disember 2017

Minda Fikir (1): Apa seterusnya?

Ramai di kalangan kita dapat menguasai ilmu dalam bidang masing-masing. Sama ada kita daripada aliran pondok/talaqqi atau aliran akademik Universiti, kita mempunyai ramai jaguhnya. Saya antara orang yang bertuah kerana pernah mendapat asuhan kedua-dua aliran ini. Bermula dengan pengajian gaya pondok (tapi tidak belajar di pondok) dan sekarang berada dalam dunia akademik hampir 17 tahun.

Bila mendengar atau membaca cerita tokoh sedia ada atau tunas baharu dalam pengajian Islam, saya gembira kerana ini membuktikan bidang ini tidak ketandusan tokoh atau pelapis. Dengan kepakaran yang pelbagai dan ramai tokoh, soalan yang perlu kita fikirkan, apa seterusnya? Adakah sekadar kita hanya hendak berbangga dengan ilmu yang kita miliki? Adakah sekadar kita hendak menunjuk jaguh dengan bergaduh sesama sendiri (perkara yang saya tidak berminat terlibat dalamnya).

Sekarang ini di USIM, saya sudah beberapa kali menjadi panel temuduga jawatan akademik atas kapasiti wakil senat. Ada seorang calon dalam bidang hadis yang datang untuk temuduga. Pelbagai soalan daripada barisan panel termasuk saya, dapat dijawab olehnya dengan baik. Ia menggambarkan calon ini memang mantap ilmunya.

Sehinggalah ke satu soalan yang ditanya oleh Timbalan Naib Canselor Akademik; kamu kuasai ilmu hadis, dari segi sahihnya, daifnya dan lain-lain. Tapi semua itu telah dijelaskan oleh para ulama. Soalannya what's next? Bagaimana kamu nak aplikasi ilmu kamu zaman sekarang? Atau apa guna ilmu hadis dalam zaman sekarang?

Calon terdiam. Sebenarnya ia boleh berlaku dalam semua cabang pengajian Islam. Kita (termasuk saya) mungkin hebat menguasai ilmu tetapi kita agak "kaku" atau "mandul" dalam mengguna ilmu kita untuk aplikasi moden selain mengajarnya semula kepada pelajar.

Jika kita dapat menterjemahkan ilmu kita sehingga boleh menjadi polisi yang menjadi rujukan kerajaan atau ummah (contohnya), maka kita insya Allah akan menjadi hebat. Untuk menjadi hebat, kita perlu bekerjasama antara satu sama lain. Modus operasinya, boleh difikirkan bersama-sama.

Tapi bolehkah kita menjadi hebat, andainya kita hanya jaguh bergaduh dan asyik hendak "memangkah" orang lain.

Tiada ulasan