Fiqh Maknyah: Tip Berdakwah Kepada Maknyah

22 Ogos 2017

Fiqh Maknyah: Tip Berdakwah Kepada Maknyah

Saya kongsikan beberapa tip bagaimana mendampingi maknyah dan menyampaikan dakwah kepada golongan ini. Perlu ada pengetahuan dan skil tertentu sebelum anda boleh berdakwah kepada mereka. Saya istilahkan sebagai "Fiqh Maknyah" yakni memahami realiti maknyah dengan betul.

Tip ini hanyalah pengalaman peribadi saya dalam penglibatan kajian dan dakwah maknyah dan bukan satu-satunya tip yang boleh diamalkan. Boleh jadi ia berbeza mengikut individu atau tempat. Tip ini bukanlah wahyu yang qatie. Berikut adalah antara tip-tip tersebut:
1. Jangan sekali-kali memanggil mereka dengan panggilan "abang" atau "tuan". Ini kerana mereka menganggap diri mereka adalah wanita. Panggilan abang atau tuan kepada mereka adalah satu penghinaan. Panggilan yang mereka selesa ialah nama "wanita" mereka atau panggilan "nyah".

2. Jangan zahirkan niat atau pertuturan anda untuk mengubah mereka kepada menjadi lelaki sejati. Ini pantang besar kepada golongan maknyah. Perlu memiliki kemahiran untuk mengajak mereka kembali kepada fitrah.

3. Perlu, bahkan wajib banyak bersabar dalam berhadapan dengan maknyah. Kebanyakkan mereka bermulut laser dan cakap lepas. Amat perlu menjaga hati mereka walaupun mereka jarang atau tidak akan menjaga hati kita.

4. Berhikmah dalam bercakap dengan maknyah. Jangan memaki hamun atau memanggil atau menggelarkan mereka seperti "kau ni ahli neraka", "kau tahu tak kau ni golongan yang dilaknat Nabi". Ini akan mejauhkan maknyah daripada anda.

5. Maknyah sebenarnya mudah didekati jika kena caranya. Maknyah juga peramah. Apabila mereka berasa selesa dengan anda, mereka sanggup berkongsi cerita A-Z.

6. Jangan memulakan perkenalan anda dan maknyah dengan "maknyah haram", "maknyah akan dapat HIV" atau ayat-ayat haram yang lain. Jika anda berbuat begini, maknyah akan lari daripada anda.

7. Ramai maknyah adalah pekerja seks untuk mendapat wang bagi menyara hidup. Jangan memandang jijik kepada mereka, Mereka adalah saudara kita yang perlu dibantu. Mereka perlukan pekerjaan yang boleh memberikan wang untuk mereka makan dan hidup.

8. Perlu juga berhati-hati ketika berhadapan dengan sebahagian maknyah. Ini kerana maknyah tertarik dengan lelaki termasuk "ustaz" yang berdakwah kepada mereka. Godaan senyuman, mata, malah tangan yang merayap ke badan anda juga boleh berlaku.

9. Bentuk badan maknyah yang diubah terutama buah dada yang menonjol (terkadang tanpa bra) dan punggung yang disuntik hormon yang kelihatan seperti punggung wanita antara fitnah (ujian) yang ada pada maknyah. Tundukkan pandangan anda.

10. Kuasai ibu ayam maknyah, insya Allah pengikutnya akan mudah mengikut.

11. Anda hanyalah pendakwah. Sama ada maknyah menerima dakwah anda atau tidak, itu bukan isunya, Kita sudah berusaha, serahkan perkara selanjutnya kepada Allah. Banyakkan berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada maknyah.

#fiqhmaknyah
 Irwan Mohd Subri

Tiada ulasan