Anak Tak Sah Taraf

31 Julai 2017

Anak Tak Sah Taraf


(Penulisan ini menjurus kepada realiti di Malaysia)

Istilah “Anak Tak Sah Taraf” (ATST) digunakan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 a. Anak Tak Sah Taraf ialah:
                                i.            Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
                              ii.            Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)

Begitu juga Akta atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan fatwa/keputusan fatwa Jawatankusa Fatwa negeri-negeri di Malaysia juga ada menyentuh definisi ATST. Sebagia contoh; Jabatan Mufti Melaka mendefinisikan anak tak sah taraf ialah:
          i.          Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
        ii.          Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan Syubhah; dan
      iii.          Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 38).

Fatwa ini telah diwartakan oleh kerajaan negeri Melaka melalui warta kerajaan bertarikh 27 Oktober 2005,  (PMM/0020 Jld. 6; PUN(M)223/6 Klt. 17).

Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) (Seksyen 2: Tafsiran) mentafsirkan anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut:
Tak sahtaraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”.

Definisi anak tak sah taraf juga disebut dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 (Fasal 2: Tafsiran), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (Seksyen 2: Tafsiran) dan lain-lain enakmen negeri.

Istilah ATST seperti yang didefinisikan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Akta atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan fatwa/keputusan fatwa Jawatankusa Fatwa negeri-negeri di Malaysia ke semuanya menjurus kepada makna yang sama dengan definisi “anak zina”. Penggunaan istilah “anak tak sah taraf” mungkin dilihat lebih “beradab” dan “manis” berbanding istilah “anak zina” yang dipandang hina dan keji oleh masyarakat.

Namun, istilah ATST khususnya di Malaysia tidak sahaja membawa maksud “anak zina”, walaupun ini yang difahami oleh masyarakat awam. Sebenarnya ATST turut merangkumi anak yang ketiadaan dokumen akibat perkahwinan ayah dan ibunya tidak didaftarkan di mahkamah Syariah (Noor Azliza Shaharudin. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 2012. Temubual). Perkara ini selalu terjadi bagi pasangan yang ber”kahwin lari” di luar negara atau menggunakan sindiket.   

Anak-anak yang ketiadaan dokumen ini dikategorikan sebagai “anak tak sah taraf” sehinggalah perkahwinan ibu ayahnya berjaya didaftarkan di Mahkamah Syariah. Terkadang proses ini boleh mengambil masa bertahun-tahun lamanya (Noor Azliza Shaharudin. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 2012. Temubual).

Bukan itu sahaja, ATST juga meliputi anak li’an, anak laqit (pungut atau terdampar), anak mangsa rogol dan anak sumbang mahram. Oleh itu sebagai kesimpulannya, penulis mendefinisikan “anak tak sah taraf” sebagai:
“Anak-anak yang dikategorikan dalam salah satu kategori-kategori berikut:
i.        Anak zina: anak yang lahir di luar pernikahan yang Syarie oleh ibu bapanya.
ii.      Anak li’an: anak yang dinafikan nasabnya oleh si ayah kerana menuduh isterinya (ibu si anak) berzina dengan orang lain.
iii.    Anak laqit (pungut atau terdampar): anak yang dijumpai, sama ada dia dibuang oleh ibu/bapanya atau terdampar akibat sesuau perkara seperti bencana alam.
iv.    Anak mangsa rogol: anak yang dilahirkan hasil daripada kejadian rogol.
v.      Anak tiada dokumen: anak yang ketiadaan dokumen akibat perkahwinan ayah dan ibunya tidak didaftarkan di mahkamah Syariah akibat masalah-masalah tertentu.
vi.    Anak sumbang mahram: anak yang dilahirkan hasil daripada kejadian sumbang mahram seperti ayah merogol anak perempuannya atau berzina dengannya”.

Sebagai kesimpulan, ATST khususnya di Malaysia mempunyai dua definisi, pertama dari sudut fiqh iaitu anak yang lahir di luar pernikahan yang Syarie (anak zina), anak laqit (pungut atau terdampar), anak mangsa rogol dan anak sumbang mahram. Kedua dari sudut pentadbiran JPN, iaitu anak yang ketiadaan dokumen akibat perkahwinan ayah dan ibunya tidak didaftarkan di mahkamah Syariah.

Oleh itu, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menganggap semua ATST adalah anak zina. Persepsi negatif dan penghinaan kepada ATST (termasuk anak zina) perlu dihindarkan kerana anak-anak tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tanggungjawab masyarakat ialah perlu membantu dan memberi sokongan moral kepada ATST agar mereka juga mendapat hak sebagai serang manusia atas dasar mereka adalah saudara seagama ataupun semanusia.

Disediakan oleh:

Prof . Madya Dr. Irwan Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan