25 Julai 2017

Dropshiper buku “Evolusi Mazhab Fiqh” dan “Ini Mazhabku”

Sila ikuti arahan berikut:

1. Lawati laman web “https://www.cutiehome.com/”.

2. Daftar akaun dengan klik "Register" di menu (bahagian atas).

3. Isi maklumat yang diperlukan.

4. YOUR ACCOUNT HAS BEEN CREATED!

5. Selepas berjaya membuka akaun di Cutie Home, sila taip Daftar Dropship “Nama Anda” (yang didaftarkan dalam sistem Cutie Home) dan whatsapp ke 019-6440815.

6. Setelah mendapat kelulusan admin dan telah didaftarkan sebagai dropshiper, anda akan mendapat emel tutorial bagaimana menguruskan pembelian dengan cara dropship. Semua urusan pembelian adalah 100% melalui sistem Cutie Home (https://www.cutiehome.com/).

Terima kasih kerana menjadi dropshiper Cutie Home!



21 Julai 2017

Revolusi Industri 4.0 dan Tanggungjawab Kita

(Nota: "Kita" dalam post ini merujuk kepada para ulama, asatizah dan agamawan)

Fourth Industry Revolution atau Revolusi Industri Keempat mungkin begitu asing kepada kita. Mungkin ada di kalangan kita yang tidak pernah mendengar istilah ini atau pernah mendengarnya tetapi tidak tahu apa maksudnya. Tidak dinafikan mungkin segelintir kecil yang tahu dan pernah membincangkannya. Tahu atau tidak, suka atau tidak, ia telah bermula dan jika ia tidak dicakna oleh kita, pasti kita akan diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung. Malah lebih teruk lagi kalau kita ibarat katak di bawah mangkuk gelas.

Apa kaitan Revolusi Industri Keempat dengan kita? Ahhh ia pasal industri, bukan ada kena mengena pun. Kita baca Quran, baca hadis, baca kitab cukuplah!!! 

Tahukah kita Revolusi Industri telah masuk ke fasa empat? Revolusi Industri pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran.

Revolusi Industri keempat pula akan menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian. Ia adalah trend semasa automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan yang mewujudkan "kilang pintar", di mana mesin disambungkan dengan web dan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan rantaian pengeluaran dan membuat keputusan dengan sendiri.

Revolusi Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak; robot automasi, simulasi, integrasi sistem, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, serta integrasi sistem menegak dan melintang.

Revolusi Industri keempat dilihat akan dapat meningkatkan pendapatan global dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di seluruh dunia. Impak Revolusi Industri 4.0 sama ada positif atau negatif tehadap bisnes, kerajaan mahupun masyarakat dan kemanusiaan telah dibincangkan dalam beberapa medium perbincangan. 

Sebenarnya Revolusi Industri keempat sedikit sebanyak memang ada kaitan dengan kita. Mengabaikannya bererti kita mengabaikan "kehidupan" ataupun "keperluan hidup". Jika dalam kerangka maqasid syariah, Revolusi Industri keempat boleh menjadi daruriyyat atau hajiyyat atau tahsiniyyat, bergantung kepada situasi sama ada untuk individu mahupun institusi agama.

Ledakan ataupun henjutan revolusi ini akan turut membawa isu-isu fiqh kontemporari. Apakah tindakan kita? Terkejut dan terus menjadi kaku, tidak tahu melakukan respon? Ataupun, bingkas bangun menanganinya dengan pantas dan komprehensif. Kita akan menjadi kaku jika kita masih dalam keranga mentraditionalkan fiqh. Tambahan pula tenaga kita hanya digunakan untuk berlawan secara negatif mengenai isu-isu khilafiyyah yang diulang-ulang. Bukan tidak bagus latihan minda fiqh dengan menjadikan furuk fiqh sebagai medan latihan. Tapi persoalannya, adakah kita hanya setakat itu sahaja? Kita perlu lebih daripada itu.

Kita akan responsif andai kita memodenkan dan membumikan fiqh. Cabaran fiqh pada zaman sekarang amat maha hebat apatah lagi dengan Revolusi Industri 4.0. Siapa di kalangan kita yang mengkaji "big data" atau data besar dan kesannya kepada pembinaan hukum fiqh. Adakah ia setaraf dengan dalil-dalil tambahan seperti maslahah mursalah, istihsan dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya adakah big data itu adalah jelmaan maslahah mursalah zaman sekarang?

Apa??? Big data??? Ini apa pula??? Tak pernah dengar bukan? Tak tahu bukan? Tak faham bukan? Ya, itulah kita. Jarang-jarang sangat di kalangan kita yang mentadabbur "al-ayat al-tiknologiyyah". Sedang ummah masa kini perlukan Syafie baharu, kita masih terlena. 

Oleh:

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
dan Profesor Madya
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Rujukan Awal

Malaysia akan ketinggalan jika abaikan industri 4.0. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-akan-ketinggalan-jika-abaikan-industri-4-0-128119.
The Fourth Industrial Revolution: what it means, how to respond. https://www.weforum.org/agenda/2016/01/the-fourth-industrial-revolution-what-it-means-and-how-to-respond/.

01 Julai 2017

Memahami Konteks Fi'il Amar dan Fi'il Nahi Dalam al-Quran dan Hadis Dari Kacamata Ilmu Usul Fiqh

Fi'il Amar (kata suruh/perintah) dan fi'il nahi (kata larang) antara perbahasan yang terdapat dalam bab dalalat al-alfaz ilmu Usul Fiqh. Daripada dua perkataan ini lahir dua kaedah usul (الأمر يفيد الوجوب) yang bermaksud "setiap perintah bermaksud wajib" dan kaedah (النهي يقتضي التحريم) yang bermaksud "setiap larangan bermaksud haram". Namun adakah setiap fi'il amar dan fi'il nahi dalam al-Quran atau hadis bermaksud wajib dan haram semata-mata?

Sama seperti kaedah fiqh yang bersifat aghlabiyyah (majoriti), begitu juga kaedah usul di atas yang bersifat pada prinsip asasnya adalah begitu. Apatah lagi tiada qarinah yang menunjukkan makna selain daripada wajib bagi fi'il amar atau haram bagi fi'il nahi. Jumhur usuliyyin berpendapat bahawa fi'il amar pada asasnya bermaksud wajib melainkan ada qarinah lain yang menunjukkan makna lain. Begitu juga fi'il nahi pada asasnya bermaksud haram melainkan ada qarinah lain yang menunjukkan makna lain.

Qarinah yang menentukan sesuatu makna fi'il amar sama ada wajib atau sunat atau sunat; makna fi'il nahi sama ada haram atau makruh, boleh jadi terdapat dalam ayat al-Quran/Hadis yang sama atau dalam ayat al-Quran/Hadis yang lain. Imam Taj al-Din Ibn al-Subki dalam kitabnya “Jam‘ al-Jawami‘ Fi Usul al-Fiqh” menyebut bahawa fi'il amar mempunyai dua puluh enam makna. Begitu juga fi'il nahi yang mempunyai berbelas atau berpuluh makna mengikut perincian usuliyyin.

Secara tidak langsung setiap fi'il amar dalam al-Quran/Hadis bukan bermaksud wajib semata-mata tetapi mujtahid perlu mengkaji dan meneliti qarinah yang akan menentukan makna apakah yang sebenarnya bagi fi'il amar tersebut. Begitulah halnya dengan fi'il nahi dalam al-Quran/Hadis. Oleh itu dengan memukul rata semua fi'il amar dalam al-Quran/Hadis adalah wajib semata-mata atau semua fi'il nahi dalam al-Quran/Hadis adalah haram semata-mata adalah tidak tepat.

Pada dasarnya, para ulama boleh menerima makna-makna yang banyak ini bagi fi'il amar atau fi'il nahi. Namun boleh berlaku khilaf dalam menentukan sesuatu ayat al-Quran atau Hadis untuk ditentukan sesuatu makna baginya. Ia tidak pelik sebenarnya, kerana antara sebab berlakunya khilaf fuqaha ialah perbezaan dalam pemahaman sesuatu nas.

Moral of the sory: Jangan terlalu mudah share sesuatu ayat al-Quran atau Hadis yang mengandungi sesuatu fi'il amar atau fi'il nahi dan kita terus ISTINBAT bahawa maksud ayat al-Quran/Hadis itu adalah wajib (fi'il amar) atau haram (fi'il nahi) kerana tidak semestinya maknanya begitu.