Jangan Sampai Menyesatkan Pandangan Mazhab Fiqh Yang Lain

10 Jun 2017

Jangan Sampai Menyesatkan Pandangan Mazhab Fiqh Yang Lain

Pendapat-pendapat daripada pelbagai mazhab fiqh adalah khazanah hukum yang amat bernilai. Ia menjadi rujukan para ulama sehingga ke hari ini dalam membantu mereka untuk mencari penyelesaian hukum.

Satu pesanan kepada diri saya dan tuan/puan di luar sana, dalam keterujaan kita mempertahankan pandangan kita sendiri, jangan sampai menyesatkan pandangan fiqh daripada mazhab fiqh yang lain.
Hamba tidak pelik kalau orang awam yang bersikap begini, tapi kalau asatizah sendiri yang mengatakan pandangan mazhab fiqh selain mazhab Shafi'i adalah pelik atau sesat, ini dakwaan yang "pelik".

Ya, kita di Malaysia berorientasikan mazhab Shafi'i dalam keputusan hukum seperti tuntutan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri, tapi enakmen yang sama juga membenarkan jawatankuasa fatwa negeri untuk menerima pandangan 3 mazhab lain sekiranya pandangan mazhab Shafi'i tidak sesuai dilaksanakan. Malah enakmen yang sama juga membenarkan JK fatwa untuk berijtihad dengan pandangan sendiri sekiranya pandangan 4 mazhab tiada atau tidak sesuai dilaksanakan.

Seksyen 39 AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 memperuntukkan:
1. Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.
2. Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah
mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.
3. Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

Dalam isu yang dibangkitkan oleh Zainah Anwar pengasas Sister in Islam (SIS) berkenaan perlu atau tidak wali dalam perkahwinan, jangan sampai kita terlajak mengatakan pandangan yang mengatakan tidak perlu wali adalah sesat. Hal ini kerana ia adalah pandangan fiqh dalam mazhab Hanafi. Boleh rujuk perbahasannya dalam kitab al-Ikhtiyar fi Ta'lil al-Mukhtar oleh imam Ibn Mawdud al-Musiliyy, kitab Sharh Ma'ani al-Athar oleh imam al-Tahawiyy, kitab al-Inayah Sharh al-Hidayah oleh imam al-Babartiyy dan lain-lain.

Hamba sekadar nak memperingatkan, jangan sampai kita menyesatkan pandangan yang kita anggap sesat atau pelik, sedangkan sebenarnya ia salah satu pandangan hukum dalam mazhab fiqh yang muktabar.

Penentuan hukum akhir di Malaysia ialah apa yang ditarjihkan oleh JK Fatwa. Sekiranya ia memilih pandangan mazhab Shafi'i (yang mana pada kebiasaannya adalah begitu), maka kita hormati dan patuh. Sekiranya JK Fatwa memilih pandangan mazhab lain, maka kita juga perlu hormati dan patuh.
Untuk menyalahkan JK Fatwa atas pemilihannya mana-mana pandangan fiqh daripada 4 mazhab adalah tidak patut kerana JK adalah sebahagian fungsi waliyyul amri yang menguruskan hal ehwal hukum.

Untuk menyalahkan apatahlah lagi menyesatkan pandangan mazhab fiqh selain Shafi'i juga tidak patut kerana ia juga adalah sebahagian daripada khazanah fiqh Islam.

Hormati dan patuh kepada keputusan JK Fatwa.

الله المستعان

Tiada ulasan