Penyampaian Fatwa

20 Mei 2017

Penyampaian Fatwa

Jabatan Mufti setiap negeri adalah badan pengurus kepada institusi fatwa di peringkat negeri. Fatwa-fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sama ada yang diwartakan atau tidak, telah disampaikan oleh Jabatan Mufti dalam pelbagai bentuk sumber penyampaian kepada masyarakat Islam di negeri tersebut. Antaranya ialah laman web Jabatan Mufti sendiri, Facebook, Youtube, poster, flyers, radio negeri dan lain-lain.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Irwan Mohd Subri et.al (2015) dan Irwan Mohd Subri et.al (2017), hanya tiga puluh peratus responden yang tahu tentang fatwa-fatwa akidah yang telah diwartakan di peringkat negeri. Ini menunjukkan bahawa tahap pengetahuan masyarakat Islam di negeri masih terlalu rendah walaupun pelbagai saluran penyampaian telah dlakukan.

Maka, disarankan kepada Jabatan Mufti Setiap Negeri untuk cuba menyampaikan fatwa-fatwa yang telah diputuskan melalui khutbah Jumaat. Ini kerana setiap kawasan sama ada bandar atau kampung yang terdapat masayarakat Islam akan bersolat Jumaat di tempat masing-masing. Ia adalah antara platform terbaik bagi penyampaian fatwa di samping platform-platform yang lain.

Dua kajian tersebut dilakukan di kawasan bandar atau pekan yang mudah terakses kepada maklumat terutama akses internet. Jika dapatan kajian daripada kawasan bandar atau pekan ini terlalu rendah, cuba bayangkan tahap pengetahuan masyarakat Islam di kawasan-kawasan kampung atau pedalaman yang tiada kepada akses internet.

Jabatan Mufti Negeri boleh berbincang dengan Jabatan Agama Negeri yang menyediakan teks khutbah Jumaat agar memasukkan fatwa yang telah diputuskan dalam setiap teks khutbah. Jika diandaikan terdapat 48 kali Jumaat setahun (12 bulan x 4 Jumaat), maka setiap tahun sekurang-kurangnya 48 fatwa telah disampaikan kepada masyarakat Islam di negeri tersebut.

Poster atau flyers berkenaan fatwa negeri juga boleh diwajibkan kepada setiap surau, masjid, agensi kerajaan serta swasta, kilang, sekolah, universiti dan lain-lain untuk mempamerkannya di lokasi yang dapat dilihat.

Di samping kemudahan-kemudahan teknologi zaman sekarang, saluran-saluran konservatif masih relevan malah terkadang lebih efektif dalam penyampaian fatwa kepada masyarakat Islam di negeri.

Prof. Madya Dr. Irwan Mohd Subri

Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikab Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tiada ulasan