VAPE: ANTARA MAFSADAH (KEBURUKAN) ‘AMMAH DAN KHASSAH

10 Januari 2016

VAPE: ANTARA MAFSADAH (KEBURUKAN) ‘AMMAH DAN KHASSAH

(Sumber: Google Imej Vape)

MINDA FAQIH (SIRI 1)
Isu penggunaan rokok elektronik atau “vape” kerapkali dibincangkan mutakhir ini khususnya pada manfaat dan mudaratnya serta keperluan untuk mengharamkannya. Secara umumnya, vape atau rokok elektronik adalah nama panggilan kepada alat yang membekalkan dos nikotin dalam bentuk wap dengan memanaskan cecair campuran propylene glycol, glycerol, perasa makanan dan nikotin menjadikannya berbentuk wap dan disedut oleh pengguna. Alat ini dikatakan dapat memberikan perokok yang ingin berhenti merokok peluang untuk mendapatkan dos nikotin dan dan menikmati aktiviti merokok kerana wap yang dikeluarkan adalah kelihatan seumpama asap rokok. Terdapat beberapa nama panggilan untuk rokok elektronik ini termasuklah eRokok, vapor dan e-cig.

Penjualan vape di Malaysia telah muncul sebagai industri yang meraih keuntungan jutaan ringgit. Sebuah akhbar harian melaporkan industri vape Malaysia dianggarkan sebagai yang kedua terbesar di dunia (selepas USA) dan terbesar di Asia. Antara alasan paling popular penggemar vape dalam menjustifikasikan kewajaran penggunaan vape ialah menganggap vape sebagai alternatif kepada rokok sebenar justeru dapat melatih mereka untuk berhenti secara perlahan-lahan. Selain itu, dikatakan harga vape adalah lebih murah berbanding rokok biasa. Walaubagaimanapun, alasan sebegini tidak diterima oleh sebahagian badan-badan berpengaruh yang menganggap vape membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat dan justeru harus diharamkan.

Meskipun terdapat pihak yang menyokong pengharamannya, kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan yang berbeza. Pada 30 Oktober 2015, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan tidak akan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape. Pengesahan itu dibuat Ismail dalam satu status yang dimuat naik di laman Facebook. Dalam status beliau itu, Ismail memberitahu kabinet telah sebulat suara mengambil keputusan untuk tidak akan mengharamkan penggunaan vape selepas mengambil kira aspirasi anak muda. Beliau juga turut menyampaikan rasa terima kasihnya kepada Perdana Menteri atas keputusan tersebut.

Selain itu, pihak yang menentang pengharaman vape menganggap jika vape diharamkan, ia akan menjejaskan pendapatan peniaga vape yang dikatakan 90 peratusnya adalah daripada kalangan peniaga bumiputera. Terdapat peniaga yang mendakwa keuntungan bulanannya hasil penjualan vape mencecah RM 50,0000. Justeru, usaha mengharamkan penjualan vape akan menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga sepertinya.

Justeru, justifkasi apakah yang akan menjadi kayu ukur untuk memilih keputusan yang lebih utama sama ada mengharuskan atau mengharamkan vape? Dalam menjawab persoalan ini, artikel ini ingin merujuk kepada dalil dan kaedah fiqh berikut:

Allah Taala berfirman:
وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Yang bermaksud, “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Ibn Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-al-‘Azim menukilkan kata-kata Ibn Abi Hatim, bahawa maksud kebinasaan di sini ialah sesorang yang membanyakkan dosa lalu dia binasa akibat dosanya. Al-Baghawiyy dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil dan al-Shawkaniyy dalam tafsirnya Fath al-Qadir menjelaskan bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termaksuk dalam ayat ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr. Ashok Philips dilaporkan sebagai menyokong usaha untuk mengharamkan vape. Beliau juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudaratan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok kenvesional juga terdapat dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku.

Melalui kenyataan akhbar Datuk Dr Lokman Hakim Bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) pada 4 November 2015, terdapat pelbagai bukti kajian saintifik menunjukkan bahawa vaping (tanpa nikotin) juga boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh badan. Ia berdasarkan kajian Schweitzer K.S. et al. (2015), Rowell T. et al. (2015) dan Vardavas C.I. et al. (2012).

Berdasarkan kajian ini, ia menjelaskan adanya kesan sampingan yang boleh menjejaskan paru-paru dalam vape. Justeru, ia dianggap satu perkara yang boleh membawa kemudaratan. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh imam Malik dalam kitab al-Muwatta’:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Yang bermaksud, “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh melakukan kemudaratan”.

Meneliti isu ini juga, penulis mendapati terdapat dua bentuk mafsdah (keburukan atau kerosakanyang perlu dilihat dan diambilkira dalam isu vape ini. Mafsadah pertama ialah dari segi kesihatan, kesejahteraan dan ketamadunan masyarakat jika vape dibenarkan. Manakala mafsadah yang kedua ialah dari segi perniagaan dan sumber pendapatan pengusaha vape (yang majoritinya Bumiputera) yang akan terjejas jika vape diharamkan. Dalam kata lain, jika vape diharamkan, mafsadahnya atau kesan buruknya ialah peniaga vape akan mengalami kerugian dan kerajaan akan menjadi tidak popular di kalangan orang muda. Manakala jika vape diharuskan penjualan dan penggunaanya, mafsadah atau kesan buruknya ialah masyarakat akan terdedah kepada kesan-kesan negatif contohnya dari sudut kesihatan, moral (tiada malu sama ada lelaki atau perempuan) dan etika (pembaziran).

Persoalannya, mafsadah mana yang perlu ditolak? Mafsadah masyarakat atau mafsadah pengusaha vape? Imam al-Suyutiyy dalam kitabnya al-Ashbah Wa al-Naza’ir mendatangkan satu kaedah fiqh iaitu:
إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما
Yang bermaksud, “Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan), maka diraikan mafsadah yang lebih besar dengan melakukan mafsadah yang lebih ringan”.

Kaedah ini menetapkan jika terdapat dua bentuk mafsadah atau kemudaratan, maka perlu dipilih mafsadah atau kemudaratan yang lebih kecil. Dalam isu vape, mafsadah yang lebih kecil ialah kerugian yang bakal ditanggung oleh pengusaha vape berbanding mafsadah atau kemudaratan pada skala yang lebih besar kesan negatifnya ke atas masyarakat. Justeru, kerajaan perlu meraikan neraca ini dengan mengutamakan masyarakat yang jumlah berpuluh juta orang berbanding jumlah pengusaha vape yang sedikit.   

Kaedah ini jga menetapkan maslahah ‘ammah atau kepentingan awam harus diutamakan berbanding kepentingan peribadi / kelompok tertentu apabila berlaku pertembungan kepentingan antara keduanya. Maka dalam isu vape ini, kepentingan awam yakni kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terbanyak harus diutamakan berbanding kentungan yang bakal diraih oleh pengusaha vape.

Mufti Wilayah Persekutuan, dalam Irsyad Fatwa ke-63 berpendapat penggunaan rokok elektronik adalah haram berdasarkan beberapa justifikasi, antaranya; qiyas kepada rokok sebenar, kenyataan pakar yang berautoriti yang menunjukkan vape membawa mudarat / mafsadah, pembaziran yang akan berlaku, meniru budaya yang bukan Islam, dilihat tidak bermaruah serta sebagai “sadd al-dhari’ah” yakni menutup jalan-jalan menuju kerosakan.

Pendapat ini senada dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang juga telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik melalui fatwanya. Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telah diputuskan sebelum ini. Tambah beliau lagi, apabila telah cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ia membazir dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka hukumnya adalah sama iaitu haram.

Berdasarkan penelitian kepada dalil dan kaedah fiqh serta pandangan-pandangan pihak berautoriti di atas, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) berpendapat vape tidak wajar menjadi budaya baru dalam masyarakat Malaysia dengan mengambilkira mudaratnya yang lebih besar. INFAD menyokong usaha untuk mengharamkan penggunaan dan penjualan vape di negara ini.  

DISEDIAKAN OLEH:
Prof. Madya Dr. Irwan Mohd Subri & Dr. Nisar Mohamad Ahmad
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Nota Penting:
Tulisan ini bukanlah fatwa rasmi tetapi ia sekadar pandangan awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Untuk keputusan atau fatwa rasmi, sila rujuk Jabatan Mufti negeri-negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

RUJUKAN:
Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir.
Fath al-Qadir oleh al-Shawkaniyy.
Ma’alim al-Tanzil oleh Al-Baghawiyy.
al-Muwatta’ oleh Malik bin Anas.
Al-Ashbah Wa al-Naz’ir oleh al-Suyutiyy.
Kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan Vape oleh Datuk Dr. Lokman Hakim bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) pada 4 November 2015.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Irsyad Fatwa Ke-63: Hukum Penggunaan Rokok Elektronik / Vapor. http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=465:irsyad-fatwa-ke-63-hukum-penggunaan-rokok-elektronik-vapor&catid=48&Itemid=333
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penggunaan-i-vape-i-haram-majlis-fatwa-kebangsaan-1.125681
http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=129680
http://www.bharian.com.my/node/92937
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/persatuan-peniaga-vape-gesa-sprm-siasat-kementerian-kesihatan
http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/vape-alternatif-terbaik-atasi-ketagihan-rokok-1.456012
http://www.majalahsains.com/rokok-elektronik-vape-bahaya-atau-membantu-perokok/
http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=41251
http://www.alifta.net/Fatawa/fatawaDetails.aspx?BookID=2&View=Page&PageNo=4&PageID=12792
http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=36&ID=90

2 ulasan

cik Jaja berkata...

Semoga kedua-dua yang merokok guna vape mahupun rokok biasa akan berusaha untuk berhenti merokok memandangkan kedua-duanya adalah berbahaya untuk kesihatan.

Saya pernah sembang dengan seorang bekas perokok, beliau kata beliau akan kunyah sesuatu macam chewing gum bila rasa nak merokok sebab nak hilangkan ketagihan tu. Mungkin ini boleh jadi tips buat mereka yang sedang berusaha untuk berhenti merokok. Semoga berjaya!

Jie Janet berkata...

vapesourcing is the highest quality electronic cigarettes provider out there. good product like https://vapesourcing.com/eleaf-tessera-kit-with-ello-ts-atomizer.html