23 Ogos 2014

Baju Hitam

Isu baju atau pakaian hitam menjadi isu hangat sehari dua ini apabia kerajaan menggalakkan semua rakyat untuk berpakaian hitam atau gelap sempena berkabung kepada jenazah MH17.

Rasanya dah banyak "Ustaz-Ustaz" sama ada yang asli atau yang segera dah ulas tentang boleh atau tidak pakai baju hitam ketika kematian. UF tak berhajat nak ulas yang itu.

Isu baju hitam dah lama para ulama bincang, antaranya ketika membincangkan isu taghayyur al-ahkam (perubahan hukum). Syeikh Ahmad Muhammad al-Zarqa ketika mensyarahkan kaedah "La Yunkar Taghayyur al-Ahkam Bi Taghayyur al-Azman", berkata:
إذا كان العرف والعادة يستدعيان حكمًا ثم تغيّر إلى عرف وعادة أخرى، فإن الحكم يتغيّر إلى ما يوافق ما انتقل إليه العرف والعادة. ولذا لَمّا كان لون السواد في زمن الإمام رضي الله عنه، يعدّ عيبًا، قال بأنّ الغاصب إذا صبغ الثوب أسود يكون قد عيّبه، ثمّ بعد ذلك لَمَّا تغيّر عرف الناس وصاروا يعدّونه زيادة، قال صاحباه إنّه زيادة
Maksudnya, "Apabila uruf dan adat menyebabkan sesuatu hukum berlaku, kemudian ia berubah kepada uruf dan adat lain, maka hukum pun turut berubah mengikut uruf dan adat baharu. Kerana itulah, memandangkan warna hitam pada zaman al-Imam (Abu Hanifah) dianggap mengaibkan, dia (imam Abu Hanifah) berkata, "sekiranya seorang perampas mencelup pakaian yang dirampas dengan warna hitam, dia telah meng"aib"kan (merosakkan nilai) pakaian tersebut". Namun selepas itu, apabila uruf manusia berubah dan mereka menganggap warna hitam adalah warna lebihan, dua orang anak murid imam Abu Hanifah (Abu Yusuf & Muhammad bin al-Hasan) menganggap ia hanyalah warna lebihan (yang tidak sampai mengaibkan status pakaian itu)". 

- Ahmad bin Muhammad al-Zarqa. 1996. Sharh al-Qawa'id al-Fiqhiyyah. Cet. 4. Dimashq: Dar al-Qalam.


13 Julai 2014

Status Surau: Adakah Ia Musalla Atau Masjid?

Oleh: Dr. Irwan bin Mohd Subri 

Pendahuluan 

 Terdapat beberapa istilah yang digunapakai untuk tempat solat bagi orang Islam. Istilah-istilah arab yang mayshur ialah al-jamic, al-masjid dan al-musalla. Manakala istilah tempat solat orang Islam di Malaysia yang mayshur ialah masjid dan surau. Berikut dijelaskan definisi beberapa istilah yang diguna pakai untuk tempat solat orang Islam. Hal ini untuk menjelaskan perbezaan setiap tempat yang disebutkan itu walaupun kesemuanya digunakan sebagai tempat solat umat Islam. Jamik (al-Jamic) 

 Perkataan jamik dari segi bahasa bermaksud “tempat yang menghimpunkan orang ramai” (Ibnu Manzur 1999: 2/355 & Ibnu Sayyidah 2000: 1/347), yakni menghimpunkan orang untuk solat Jumaat. Dari segi istilah pula, jamik bererti “masjid yang didirikan solat Jumaat dalamnya” (Sacdiyy Abu Jayb 1998: 167). 

al-Baghdadiyy (t.th: 435) berkata, “Jamik ialah tempat yang didirikan solat Jumaat, manakala selainnya tidak didirikan solat Jumaat”. Pendapat yang sama juga dikatakan oleh al-Sharqawiyy (1997: 2/371), “Jamik ataupun masjid jamik ialah tempat yang kebiasaannya didirikan solat Jumaat. Jamik lebih khusus daripada masjid kerana setiap jamik adalah masjid dan tidak sebaliknya kerana masjid boleh dibina di bilik-bilik (seperti ruang binaan, sudut atau penjuru tertentu), kerana ia adalah tempat sujud dan bukan untuk didirikan solat Jumaat”. 

 Dapat difahami di sini, jamik ialah tempat masyarakat muslim mendirikan solat berjemaah lima waktu dan juga solat Jumaat. Pada kebiasaannya juga, jamik lebih besar daripada masjid kerana ia menghimpunkan lebih ramai umat Islam untuk solat Jumaat. Manakala masjid lebih kecil daripada jamik kerana ia hanya menghimpunkan umat Islam untuk solat berjemaah yang bilangannya lebih sedikit daripada bilangan orang yang bersolat Jumaat. 

 Terdapat beberapa jamik yang terkenal di seluruh dunia. Antaranya Jamik al-Azhar di Mesir yang terkenal dengan kelainan menaranya dan Jamik Umawiyy di Syria. Manakala di Malaysia istilah jamik yang dipakai untuk tempat solat sama ada untuk solat jamaah atau solat Jumaat agak jarang digunakan. Namun terdapat juga beberapa masjid digelar sebagai masjid jamik dan yang termasyhurnya ialah “Masjid Jamek”, Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun Perak, di belakang bangunan Sultan Abdul Samad (Dataran Merdeka). 

Masjid (al-Masjid) 

Masjid dari segi bahasa ialah “tempat sujud” (Ibnu Sayyidah 2000: 7/261 & al-Zarkashiyy 1989: 26). Manakala dari segi istilah, menurut al-Zarkashiyy (1989: 27), “Pada kebiasaannya masjid dikhususkan untuk tempat yang disediakan untuk solat lima waktu”. Begitu juga Syeikh cAliyy Muhy al-Din al-Qurrah (1975: 107) berkata: “Apabila disebut masjid, maka akan terlintas di fikiran bahawa ia adalah tempat yang disediakan untuk solat secara berjemaah”. 

 Syeikh Taha al-Waliyy (1988: 145) menyebut kaitan jamik dan masjid, “Dua perkataan iaitu jamik dan masjid telah menjadi makna yang serupa. Kedua-duanya dalam pemikiran orang ramai memberi makna yang sama. Namun pada hakikatnya yang pertama (jamik) lebih umum maknanya dan yang ke dua (masjid) lebih khusus. Ini kerana setiap jamik pada masa yang sama ia adalah masjid dan bukan semua masjid itu adalah jamik”. 

 Daripada definisi terhadap masjid di atas, dapat difahami bahawa kebiasaannya masjid disediakan untuk solat berjemaah lima waktu. Ia tidak didirikan solat Jumaat dalamnya. Musalla (al-Musalla) Perkataan musalla memberi maksud “tempat bersembahyang atau berdoa” (al-Fayyumiyy: 208 & al-Mucjam al-cArabiyy al-Asasiyy: 746). 

 Syeikh Taha al-Waliyy (1988 : 79-80) berkata, “Musalla adalah perkataan khusus untuk tempat yang didirikan solat dalamnya untuk tujuan-tujun tertentu. Contohnya seperti solat dua hari raya (Aidilfitri dan Adha), solat jenazah, solat istisqa’ dan solat syukur. Ia selalunya di kawasan lapang yang tiada sekatan (seperti dinding), tiada bumbung yang menutupinya dan kebiasaannya di tempat yang tiada penempatan rumah atau pasar-pasar”. 

 Makna musalla ini difahami daripada beberapa hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, “Bahawa Rasulullah S.A.W keluar ke musalla untuk solat istisqa’. Apabila ingin berdoa, baginda akan mengadap kiblat dan membalik-balikkan selendangnya”. (Hadis. Muslim. Kitab Salat al-Istisqa’. #894. ms346). 

 Dalam hadis yang lain, Abu Hurayrah berkata: Maksudnya, “Daripada Abu Hurayrah, bahawa Rasulullah S.A.W mengumumkan kematian al-Najashiyy pada hari kematiannya, lalu baginda keluar ke musalla dan menyusun saf bersama mereka (sahabat) dan baginda bertakbir empat kali (solat jenazah)”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-Jana’iz: Bab al-Rajul Yanca Ila Ahl al-Mayyyit Binafsih. #1245. ms244). 

 Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain: Maksudnya, “Rasulullah S.A.W keluar ke musalla pada Hari Raya Aidilfitri dan Adha. Perkara pertama yang dimulakan baginda ialah solat (sunat Hari Raya), kemudian baginda selesai. Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dalam keadaan mereka duduk dalam saf masing-masing. Maka baginda pun (berkhutbah) memberi peringatan, memberi nasihat dan memerintahkan mereka. Sekiranya baginda ingin mengutus utusan, maka baginda akan mengutuskannya, atau baginda ingin menyuruh sesuatu, maka baginda akan menyuruhnya dan kemudian baginda bersurai ”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-cAydayn: Bab al-Khuruj Ila al-Musalla Bi Ghayr Minbar. #956. ms959). 

 Daripada hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa Rasulullah S.A.W tidak menunaikan semua jenis solat di masjid. Sebaliknya ada beberapa jenis solat terutamanya solat-solat sunat yang disebutkan di atas, baginda keluar ke musalla untuk menunaikannya. Musalla ini pula bukanlah tempat rasmi yang digunakan oleh Nabi S.A.W setiap hari untuk solat seperti masjid. Ia hanya untuk majlis atau acara tertentu atau sekali sekala sahaja. 

 Sunnah ini diteruskan oleh para sahabat seperti yang diriwayatkan dalam sebuah athar oleh cUthman bin cAbd al-Rahman al-Taymiyy: Maksudnya, “Hujan lebat telah menimpa kami ketika pemerintahan Aban bin cUthman di Madinah pada malam Hari Raya. Lalu beliau menghimpunkan orang ramai di masjid dan tidak keluar ke musalla tempat selalunya didirikan solat sunat Aidilfitri dan Adha. Kemudian beliau berkata kepada Abdullah bin cAmir bin Rabicah, “bangun! Dan beritahulah orang ramai apa yang kamu beritahu padaku”. Maka Abdullah bin cAmir berkata, “orang ramai telah ditimpa hujan pada zaman cUmar bin al-Khattab R.A menyebabkan mereka terhalang daripada (mendirikan solat sunat Hari Raya di) musalla. Lalu cUmar memghimpunkan orang ramai di masjid dan melakukan solat (Hari Raya) di situ. Kemudian beliau berdiri di atas minbar dan berkata, “Wahai orang ramai! Sesungguhnya Rasulullah S.A.W keluar ke musalla bersama orang ramai dan bersolat bersama mereka di situ kerana ia lebih sesuai dan luas untuk mereka dan masjid tidak muat untuk mereka”. Beliau berkata lagi, “Jika hujan, maka masjid lebih sesuai””. (Athar. al-Bayhaqiyy dalam al-Sunan al-Kubra. Bab Salat al-cAyd Fi al-Masjid Iza Kana cUzrun Min Matar Aw Ghayrih. #6258. jil. 3. ms433). 

 Ia menunjukkan bahawa solat sunat Hari Raya pada zaman sahabat dan zaman selepas itu juga dilakukan di musalla melainkan berlaku perkara-perkara yang menghalang seperti hujan lebat. Sebab dilakukan solat Hari Raya di musalla ialah kehadiran ramai orang yang tidak dapat ditampung oleh masjid yang kecil. Maka tempat yang sesuai untuk menampung orang yang ramai ialah di kawasan lapang seperti padang. Apabila dilakukan apa-apa solat di situ ia dipanggil “musalla” kerana ia bererti tempat orang menunaikan solat. 

STATUS MUSALLA: ADAKAH IA MASJID ATAU TIDAK? 

 Melalui definisi musalla sebelum ini, dapat difahami bahawa ia adalah tempat solat sempena acara tertentu. Kebiasaannya musalla yang menjadi tempat solat Rasulullah S.A.W untuk hari raya atau solat istisqa’ ialah di kawasan lapang atau padang. Ia bukanlah tempat solat lima waktu atau solat Jumaat yang tetap seperti masjid. Jika begitu, adakah musalla sama statusnya dengan masjid yang boleh dibuat iktikaf dalamnya. Terdapat beberapa pandangan para ulama mazhab mengenai status musalla: 

 Mazhab Shaficiyy 

 Para ulama Shaficiyy berpendapat bahawa musalla bukanlah masjid, yakni hukumnya tidak sama dengan masjid. Sebabnya ialah masjid ialah tempat solat lima waktu, manakala musalla pula ialah tempat solat untuk acara tertentu sahaja. Imam al-Ghazaliyy ketika ditanya tentang status musalla yang dilakukan solat hari raya di luar bandar berkata: Maksudnya, “Tidak ada baginya (musalla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum hakam yang lain. Ini kerana masjid ialah tempat yang disediakan untuk solat lima waktu. Masjid telah ditentukan khusus untuknya (solat lima waktu) sehinggakan masjid tidak boleh dimanfaat tanpanya. Tempat untuk solat hari raya pula disediakan untuk perjumpaan-perjumpaan, tempat berhentinya rombongan-rombongan, tempat untuk menaiki binatang ternakan dan tempat mainan kanak-kanak. 

Ulama terdahulu tidak pernah menghalang perkara-perkara tersebut pada tempat terebut (musalla). Jikalaulah mereka menganggap ia sebagai masjid, sudah pasti mereka akan menjaganya daripada perkara-perkara tersebut. Begitu juga -mereka akan menjaganya- atas sebab mendirikan solat-solat lain. Solat hari raya adalah sunat, ia tidak berulang banyak kali. Ia dilakukan di musalla untuk tujuan perhimpunan. Solat hari raya di situ (musalla) kerana mengikut perbuatan Nabi ” (al-Zarkashiyy 1989: 386). 

 Imam al-Nawawiyy (2001: 3/163) berkata dalam kitab al-Majmuc: Maksudnya, “Musalla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama”. Manakala dalam kitab al-Rawdah, imam al-Nawawiyy (2000: 1/403) berkata: Maksudnya, “Musalla tidak dianggap masjid sehingga menyebabkan diharamkan padanya apa yang diharamkan pada masjid -seperti haram orang berjunub, wanita haid dan lain-lain duduk dalamnya-. Tidak berlaku hukum bagi musalla seperti hukum bagi masjid”. 

 Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ummu cAtiyyah: Maksudnya, “Bahawa Nabi S.A.W memerintahkan agar wanita-wanita haid untuk hadir pada hari raya dan mestilah menjauhi musalla”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-cAydayn: Bab Zikr Ibahah Khuruj al-Nisa’ Fi al-cAydayn Ila al-Musalla Wa Shuhud al-Khutbah Mufariqatin Li al-Rijal. #890. ms342-343). 

 Apa yang difahami daripada hadis ini ialah jikalau musalla tidak mengambil hukum masjid, kenapa Nabi S.A.W mengarahkan agar wanita haid menjauhi musalla? Hadis ini dita’wil bahawa arahan Nabi itu ialah supaya memberi ruang kepada orang yang boleh bersolat untuk memenuhi saf-saf solat. Arahan ini juga supaya wanita haid berbeza dengan orang lain (al-Nawawiyy 2001: 3/163). 

 Mazhab Hanbaliyy 

 Ulama mazhab Hanbaliyy membezakan antara musalla hari raya dan musalla solat jenazah. Mereka menyatakan bahawa yang pertama (musalla hari raya) adalah masjid. Ia mempunyai hukum sama seperti hukum masjid. Manakala musalla jenazah tidak dianggap masjid. Ibnu Muflih al-Maqdisiyy (2002: 1/122) menyebut: Maksudnya, “Pendapat yang sahih ialah musalla hari raya adalah masjid kerana ia disediakan untuk solat pada hakikatnya. Adapun musalla jenazah, tidak. 

Begitulah disebutkan oleh Abu al-Macaliyy”. Al-Bahutiyy (1982: 1/174-175) pula menyebut: Maksudnya, “Diharamkan ke atas orang berjunub, wanita haid dan nifas yang telah berhenti darah mereka untuk duduk dalam masjid dan musalla hari raya. Ini kerana ia adalah masjid berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, “hendaklah wanita haid menjauhi musalla” (Hadis. al-Nasa’iyy. Kitab Salat al-cAydayn: Bab Khuruj al-cAwatiq Wa Dhawat al-Khudur Fi al-cAydayn. #1558. ms184). Adapun musalla jenazah, ia bukanlah masjid kerana zolat jenazah bukanlah solat yang mempunyai rukuk dan sujud. Ia tidak sama dengan solat hari raya”. 

 Mazhab Hanafiyy 

 Ulama mazhab Hanafiyy berpendapat bahawa musalla-musalla ini (hari raya dan jenazah) bukanlah masjid. Namun mereka memberi sesetengah hukum masjid kepada musalla. al-Kalibuliyy (1998: 1/191) berkata: Maksudnya, “Pendapat yang sahih ialah musalla jenazah bukanlah masjid kerana ia bukanlah disediakan untuk solat pada hakikatnya. Ulama berselisih pendapat tentang musalla hari raya. Pendapat yang sahih ialah ia dianggap masjid dari segi hukum mengikut imam sekalipun saf-safnya terputus kerana ia disediakan untuk solat pada hakikatnya”. 

 Ibnu cAbidin (1998: 2/430) pula berkata: Maksudnya, “Adapun tempat (musalla) untuk solat jenazah atau hari raya, ia dianggap masjid dari segi hukum mengikut imam sekalipun saf-safnya terputus sebagai keringanan kepada orang ramai. Ia tidak dianggap masjid pada selain daripada itu dan inilah pendapat yang difatwakan. Maka orang berjunub dan wanita haid boleh memasukinya seperti halaman masjid, ribat (tempat solat), sekolah, masjid-masjid (tempat solat) bersebelahan tandas dan pasar-pasar (iaitu bilik-bilik kecil tidak bertingkap). Namun tidak boleh memasuki masjid yang bersambung dengan kaki lima jalan”. 

 Ulasan 

 Dr. Mahmud al-Haririyy (1990: 24) telah memilih pendapat mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa musalla hari raya adalah masjid. Ia mempunyai hukum yang sama dengan masjid. Ini kerana ia diwakafkan untuk solat kerana Allah. Oleh itu tidak ada perbezaan sama ada ia untuk solat hari raya atau solat wajib. Sebab itulah ia perlu kepada penjagaan daripada perkara yang mengotorkannya kerana umat Islam bersolat di situ dengan solat yang ada rukuk dan sujud. Ia berbeza dengan solat jenazah yang boleh dilakukan di jalan kerana ia tidak mempunyai sujud dan rukuk. 

 Namun kajian ini lebih cenderung kepada pendapat mazhab Shaficiyy. Musalla atau tempat yang dijadikan tempat solat sempena acara tertentu seperti padang, stadium, dewan dan lain-lain tidak dianggap masjid. Ini kerana ia dijadikan tempat solat sementara dan bukannya tempat solat yang tetap. Terkadang tempat seperti padang atau stadium hanya dilakukan solat di situ sekali dua sahaja sempena program tertentu. 

Itulah keadaan dan penggunaan musalla di zaman Nabi S.A.W Keperluan menjaga kebersihan musalla hari raya, istisqa’ dan jenazah memang perlu dijaga. Ini kerana antara syarat sahnya solat ialah bersih tubuh badan dan tempat solat. Adapun arahan Nabi S.A.W kepada wanita haid agar menjauhi musalla kerana dibimbangi mereka akan mengotorkan musalla dengan darah mereka Ia juga bagi memberi laluan kepada orang lelaki dan wanita yang boleh bersolat yang turut hadir ke musalla. 

Adalah tidak logik jika wanita haid berada di tengah-tengah saf orang yang menunaikan solat. Sebab itulah mereka diarahkan agar menjauhi musalla, namun mereka boleh duduk di bahagian belakang untuk sama-sama mendengar khutbah selepas solat hari raya. Mereka datang ke musalla hari raya bukan untuk bersolat tetapi untuk mendengar nasihat-nasihat agama melalui khutbah yang disampaikan oleh khatib. Jadi walaupun mereka dalam haid, ia tidak menghalang mereka untuk turut serta di kawasan musalla hari raya. 

 Kesimpulan 

 Istilah surau di Malaysia, ia adalah tempat orang Islam mendirikan solat lima waktu secara berjemaah. Dapat difahami di sini, surau dari segi realitinya sama status dengan istilah masjid seperti yang didefinisikan oleh para ulama. Malah surau yang didirikan solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat sama statusnya dengan istilah jamik menurut takrifan kamus dan amalan orang Arab. 

 Menurut kaedah ilmu Usul Fiqh: Maksudnya, "Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah)" (Ibnu al-Qayyim 1993). Kajian ini berpendapat, memandangkan surau ialah tempat solat lima waktu secara jemaah, maka ia sama statusnya dengan masjid walaupun ia tidak dinamakan sebagai masjid. Begitu juga sesuatu tempat yang dinamakan atau dipanggil masjid tetapi tidak didirikan solat lima waktu di situ kecuali kerana perkara-perkara tertentu maka ia tidak boleh dianggap masjid. Ia bukanlah masjid sebenar yang boleh dilakukan iktikaf walaupun ia dinamakan "masjid". 

 Bibliografi 

 Abu Dawud, Sulayman bin al-Ashcath al-Sajistaniyy. 2004. Sunan Abi Dawud. cAmman: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
 cAliyy Muhy al-Din al-Qurrah. 1975. Mafhum al-Masjid Fi al-Islam Wa Madha Yutatallabu Minna Fi al-Waqt al-Hadir. Buhuth Mu’tamar Risalat al-Masjid. t.tp: t.pt. 
al-Baghdadiyy, Shihab al-Din cAbd al-Rahman bin Muhammad bin cAskar. t.th. Irshad al-Salik Fi Fiqh Imam al-A’immah Malik. Bayrut: Dar al-Fikr. 
 al-Bahutiyy, Mansur bin Yunus bin Idris al-Hanbaliyy. 1982. Kashshaf al-Qinac cAn Matn al-Iqnac. jil. 1. Bayrut: Dar al-Fikr. 
 al-Bahutiyy, Mansur bin Yunus bin Idris al-Hanbaliyy. 1999. al-Rawd al-Murbic Bi Sharh Dhad al-Mustaqnic. Bayrut: al-Maktabat al-cAsriyyah. 
 al-Bayhaqiyy, Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn bin cAliyy. 1999. al-Sunan al-Kubra. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Bukhariyy, Abu cAbdillah Muhammad bin Ismacil. 2001. Sahih al-Bukhariyy. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 al-Fayyumiyy, Ahmad bin Muhammad bin cAliyy al-Muqri’. 1987. Al-Misbah al-Munir Mucjam cArabiyy cArabiyy. Bayrut: Maktabah Lubnan. 
al-Haririyy, Mahmud bin Husayn. 1990. Ahkam al-Masajid Fi al-Islam. Riyad: Dar al-Rifaciyy. 
 Ibnu cAbidin, Muhammad Amin bin cUmar bin cAbd al-cAziz al-Dimashqiyy. 1998. Radd al-Muhtar cAla al-Durr al-Mukhtar. jil. 2. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 Ibnu Manzur. 1999. Lisan al-cArab. jil. 2. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath. 
 Ibnu Mawdud al-Musiliyy, cAbdullah bin Mahmud al-Hanafiyy. t.th. al-Ikhtiyar Li Taclil al-Mukhtar. Bayrut: Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam. 
 Ibnu Muflih al-Maqdisiyy, Shams al-Din Abu cAbdillah Muhammad al-Hanbaliyy. 2002. Kitab al-Furuc Fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal. jil. 1 & 3. Bayrut: Dar al-Kitab al-cArabiyy. 
Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah, Shams al-Din Abu cAbdillah Muhammad bin Abi Bakr. 1993. Iclam al-Muwaqqicin cAn Rabb al-cAlamin. Al-Qahirah: Dar al-Hadith. 
 Ibnu Sayyidah, Abu al-Hasan cAliyy bin Ismacil al-Mursiyy. 2000. Al-Muhkam Wa al-Muhit a-Aczam. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Kalibuliyy, cAbd al-Rahman bin Muhammad bin Sulayman. 1998. Majmac al-Anhur Fi Sharh Multaqa al-Abhur. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Kertas Cadangan Menimbang Semula Keputusan Fatwa Berhubung Dengan Solat Tahiyatul Masjid di Surau Jumaat.
al-Mucjam al-cArabiyy al-Asasiyy. t.tp: al-Munazzamat al-cArabiyyah Li al-Tarbiyyah Wa al-Thaqafah Wa al-cUlum. 
 Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim, Abu al-Husayn al-Qushayriyy al-Naysaburiyy. 2000. Sahih Muslim. Riyad: Dar al-Salam. 
 al-Nafrawiyy, Ahmad bin Ghunaym bin Salim bin Muhanna al-Azhariyy al-Malikiyy. 1997. Al-Fawakih al-Dawaniyy cAla Risalat Ibn Abi Zayd al-Qayrawaniyy. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Nasa’iyy, Abu cAbd al-Rahman Ahmad bin Shucayb bin cAliyy. 2004. Sunan al-Nasa’iyy. cAmman: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
 al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2000. Rawdat al-Talibin. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2001. Kitab al-Majmuc Sharh al-Muhazzab Li al-Shiraziyy. jil. 3. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2003. Minhaj al-Talibin. jil. 2. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Sacdiyy Abu Jayb. 1998. Al-Qamus al-Fiqhiyy Lugahtan Wa Istilahan. Dimashq: Dar al-Fikr. 
al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib. 1998. Mughni al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj. jil. 1. Bayrut: Dar al-Fikr. 
al-Sharqawiyy, cAbdullah bin Hijaziyy bin Ibrahim al-Shaficiyy al-Azhariyy. 1997. Hashiyat al-Sharqawiyy cAla Tuhfat al-Tullab Bi Sharh Tanqih al-Lubab. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Taha al-Waliyy. 1988. al-Masajid Fi al-Islam. Bayrut: Dar al-cIlm Li al-Malayin. al-Tirmidhiyy, 
Abu cIsa Muhammad bin cIsa bin Sawrah. 2004. Jamic al-Tirmidhiyy. Lubnan: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993. 
 Zakariyya al-Ansariyy, Abu Yahya. 1997. Tuhfat al-Tullab Bi Sharh Tahrir Tanqih al-Lubab. jil. 2. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Zarkashiyy, Badr al-Din Muhammad bin Bahadur bin cAbdillah al-Shaficiyy. 1989. Iclam al-Sajid Bi Ahkam al-Masajid. Al-Qahirah: t.pt.

24 April 2014

Samak Kulit Dan Aplikasinya Pada Zaman Moden

Pembentang:

Dr. Irwan Bin Mohd Subri
Pengarah
Institut Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

20 April 2014

Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, INFAD

Dapatkan Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, INFAD Vol. 3 2014 yang terkini.

10 April 2014

Fatwa & Kedudukannya Di Malaysia

Fatwa & Kedudukannya Di Malaysia

Penceramah:

Dr. Irwan Bin Mohd Subri
Pengarah Institut Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

15 Mac 2014

Hebahan Seminar Waqaf

MUKTAMAR WAQF IQLIMI 2014
Venue: UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM), Malaysia
Date: 29 April 2014
Website: http://submit.confbay.com/conf/iqlimi2014


CALL FOR PAPERS

The MUKTAMAR WAQF IQLIMI 2014 provides a platform for open dialogues and discussions among academics, researchers, postgraduate students, and practitioners to address current and pertinent issues, prospects, challenges and opportunities in the field of Waqf and Baitulmal in ASEAN and the World. The is parallel with Zakat and Baitulmal, in its importance, especially in enhancing the economy of the ummah. Waqf is outlined by Islam as a fiscal measure bridging the economic gap amongst society with the objective of achieving the spirit of justice and the ultimate goal of al-Falah. Therefore it is hoped that every citizen in ASEAN and the World should be empowered by the Islamic economy system and benefit from the strengthening and development of the economy of the ummah.

To arrive at the general aim of the seminar, these objectives are proposed;
•       As a platform in the dissemination of knowledge and exchange information / experiences to be applied in the development of Institutions of Higher Learning using waqf instruments.
•       To bring together the expertise of various institutions with the view to improve the quality and quantity of research and innovation in the field of waqf and Baitulmal.
•       To promote and improve waqf and Baitulmal practices to increase the number of philanthropic activities among ASEAN countries.
•       To enhance good governance practices through the formulation of informed policy for waqf projects in ASEAN countries.

SUB-THEMES

1    Waqf and Economic Development
•       Administration and Management of Waqf Institution
•       Waqf Fund Management
•       Waqf Fund for Islamic Higher Institution
•       Waqf Financing for Development Project
•       The roles of Waqf in Islamic Institution
•       The Best practices of Waqf instrument in ASEAN Region

2    Baitulmal and Economic Development
•       The roles of Baitulmal in Globalisation Era
•       Baitulmal Management
•       Baitulmal Administration
•       The roles of Zakat, Sadaqah, Hibah and Infaq in Baitulmal
•       The Best practices of Baitulmal in ASEAN Region
•       The execution of Baitulmal in theory and practice

3    Management and Roles of Philanthropic Instrument in Islam
•       Waqf
•       Zakat
•       Sadaqah
•       Hibah
•       Infaq

4    And any other relevent areas of interest on Waqf and Baitulmal.


SUBMISSION GUIDELINES

Those intending to present papers at IQLIMI 2014 must submit an abstract and full paper electronically through online submission system latest by
21 March 2014. The abstract should be not be more than 300 words, typed in font size 10, Times New Roman, single spaced and justified. Language can either be in English, Malay or Arabic. Abstract should contain: purpose of the study, method and findings. Please include not more than 5 keywords with the abstract.

References to other publications must be in American Psychology Association (APA) referencing style and references should be carefully checked for completeness, accuracy and consistency. Papers should follow the provided Format of Paper Writing.


IMPORTANT DEADLINES

1. Full Paper/Abstract Deadline:
21 March 2014 2. Acceptance Notification: 28 March 2014 3. Camera-ready Paper Deadline: 8 April 2014 4. Early Bird Deadline: 5 April 2014

REGISTRATION AND ONLINE SUBMISSION

Registration and submission of full paper must be done electronically through the online submission system.
Link:
http://submit.confbay.com/conf/iqlimi2014

We look forward to receiving your submissions and seeing you on 29 April 2014 in Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysia


IQLIMI 2014 secretariat
Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai
71800 Nilai
Negeri Sembilan
MALAYSIA

Dr Fuadah Johari (Person in Charge)
off : +606 798 86646 / 86412
Hp : 013 364 83

14 Mac 2014

Program Bicara Faqih

Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia akan menganjurkan Siri Pembentangan Ilmiah (Bicara Faqih) seperti butiran berikut:

Tarikh:
2 April 2014 (Rabu)

Masa:
2.30 petang

Tempat:
Bilik Mesyuarat INFAD

Tajuk:
“Samak Kulit dan Aplikasinya Pada Masa Kini”

Pembentang:
YBhg. Dr. Irwan Mohd Subri
Pengarah INFAD

Semua warga USIM dijemput hadir.
Mohon sahkan kehadiran sebelum atau pada 17 Mac 2014 (Isnin) kepada urusetia INFAD berikut: Pn. Rosni Abu Hassan ( pej.infad3@usim.edu.my) / 067988590

Sekian, terima kasih
 

22 Februari 2014

Bughah

Dapatkan kupasan mengenai bughah dalam majalah I Mac 2014.




21 Februari 2014

Bicara Bahasa

Bila orang bicara tentang Syariat Islam tanpa ilmu, banyak yang akan menyimpang. Anda kelihatan seakan "hebat" bila mampu berbicara pasal maslahah, hadis dan istilah-istilah lain yang menjadi tunjang perbincangan Usul Fiqh. Maaflah dan terima hakikat, anda bukan ustaz ataupun ulama. Dalam ilmu Usul Fiqh terlalu banyak perbincangan dan pecahannya yang hanya boleh difahami oleh mereka yang mempelajari ilmu ini.

Jadi kalau anda berbicara tentang ilmu ini dan anda tidak menngunakan kaedah yang betul, maka anda ibarat burung kakak tua yang pandai berbicara tetapi tak faham apa yang anda katakan. Kalau nak berbicara, belajar dahulu daripada sumbernya yang asli. Jangan hanya membaca terjemahan...

Anda adalah doktor, engineer, peguam, akauntan, bukannya ustaz Syariah... Kami berbicara bahasa dalil, kaedah dan dawabit. Anda berbicara bahasa apa? Bahasa akal?

16 Februari 2014

Aku Tak Tahu Pun...

Aku tak tahu pun benda ni kena buat…
Aku tak tahu pun ada peraturan macam ni…
Aku tak tahu pun ia salah…

Itu adalah kita selama ini, sering memberi alasan bila sesuatu tindakan dikenakan ke atas kita. Alasan ini baik dari segi agama mahupun undang-undang tidak terpakai. Dalam erti kata lain, jika kita berhujah sebegini dengan harapan untuk terlepas daripada hukuman, sia-sialah harapan. UF nak kaitkan perkara ni dalam dunia pelajar dan ahli akademik khususnya di USIM dengan tujuan untuk kita sama-sama muhasabah. Saling nasihat menasihati antara satu sama lain untuk kebaikan bersama.

Sepanjang 13 tahun lebih UF mengajar di USIM, berapa ramai pelajar yang memberi alasan seperti di atas. Yang paling ketara bila UF pegang Ketua Program FIFA sebab banyak terlibat dengan pelajar secara langsung. Sebagai contoh peraturan pengajian Sarjana Muda yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendaftaran kursus, peperiksaan, pengijzahan dan lain-lain. Ia telah diberikan pada hari pertama pelajar mendaftar di USIM lagi. Namun bila berlaku apa-apa masalah, pelajar ambil jalan mudah dengan menyatakan “aku tak tahu pun” kena buat macam tu… “takda siapa pun bagitau aku” dan macam-macam lagi.

Sedarkah anda wahai pelajar sekelian, bila anda berkata begitu, ia sebenarnya mencerminkan karektor dan peribadi anda. Ia mencerminkan bahawa anda tidak prihatin dan tidak cakna langsung dengan peraturan sedia ada. Pada peringkat permulaan kita harapkan yang pentadbiran akan “kena” dengan kita tetapi akhirnya kita yang akan malu sendiri kerana peraturan telah sedia ada sejak dahulu lagi. UF akui dan kita semua harus akui, kelemahan pelaksanaan dan penyampaian akan berlaku dan akan terus berlaku, namun sikap “aku tak tahu pun” sewajibnya kita elakkan. Sebelum mahu mengambil apa-apa tindakan, baca dan rujuk dahulu peraturan sedia ada. Jika kita mahu “bertempur” bersedialah dengan segala “senjata” bukannya dengan tangan kosong.

Sikap ini lebih bahaya jika diamalkan oleh ahli akademik USIM. UF pegang Presiden Persatuan Kakitangan Akademik USIM berapa kali malu sendiri bila bermesyuarat dengan NC atau TNCAA atau pengurusan USIM. Malu kerana apa? Malu bila ada ahli akademik berkata “aku tak tahu pun” peraturan ni ada, “bila ia berkuatkuasa?” dan macam-macam lagi yang seumpamanya. Lebih teruk lagi bila kita bermatian-matian kata pengurusan USIM tak sampaikan maklumat, tapi rupanya kita seorang ja yang tertinggal keretapi. UF tak nafikan terkadang berlaku juga “terlepas pandang” dalam kaedah penyampaian, tetapi kebanyakkannya semua peraturan atau polisi akan dihebahkan melalui Info Pro. Setiap emel Info Pro tu jangan cepat sangat delete, selalulah datang mesyuarat pentadbiran dan mesyuarat fakulti. Jangan hidup dalam dunia anda sendiri. Sama seperti kes pelajar, ia sebenarnya mencerminkan karektor anda.

Post ini memang nak bagi kita semua terasa hati termasuk UF sendiri…

01 Februari 2014

PELAJAR BIDANG SYARIAH DI IPT PERLUKAN KEMAHIRAN

Pengajian Syariah merupakan salah satu cabang bidang pengajian Islam yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Negara. Di negara kita terdapat beberapa universiti yang mempunyai fakulti atau jabatan Syariah/Fiqh dan Usul seperti UKM, UM, UIAM, USIM dan UDM. Ini bererti pihak kerajaan memberi ruang kepada pengajian Islam umumnya dan pengajian Syariah khususnya untuk dipelajari oleh mereka yang berminat memilih bidang ini. 

Memandangkan pengajian Syariah ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hukum hakam Islam, maka ia perlu diambil berat oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini. Ini untuk memastikan legasi ulung para mujtahid mazhab-mazhab fiqh tidak hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi dilestarikan secara berterusan. Ini bererti perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan nilai tambah para pelajar dalam bidang pengajian ini. 

Kebiasaannya pembelajaran dan pengajaran subjek Syariah di semua institusi pengajian Islam berbentuk sehala iaitu guru mengajar dan pelajar mendengar. Cara ini dilihat kurang efektif untuk menghasilkan generasi pelapis mujtahid kerana tiada komunikasi aktif sama ada antara guru dan pelajar ataupun antara pelajar sesama mereka. Kekurangan sistem pembelajaran dan pengajaran seperti ini seolah-olah melahirkan pelajar yang pasif dalam dan luar kelas. 

Malah terkadang pelajar yang mengambil jurusan Syariah tidak tahu untuk apa mereka memilih bidang ini dan tidak berminat dengannya. Lebih teruk lagi mereka tidak tahu apakah fungsi subjek-subjek yang mereka belajar dalam pengajian Syariah seperti subjek Usul Fiqh, Fiqh, Kaedah Fiqh, Siyasah Syariyyah dan lain-lain. Sedangkan untuk menjadi mujtahid yang diiktiraf, mereka hendaklah mengetahui, memahami dan mampu mengaplikasi teori-teori yang dipelajari menerusi subjek-subjek tersebut. 

Maka perlu ada satu mekanisme untuk meningkatkan minat dan kemahiran para pelajar pengajian Syariah di Malaysia. Rentetan daripada itu, untuk meningkatkan keupayaan dan profesionalisme para pelajar pengajian bidang ini, adalah dicadangkan satu subjek "Mut Ijtihad" diperkenalkan kepada semua pelajar yang mengambil jurusan ini. 

Subjek "Mut Ijtihad" adalah adaptasi daripada subjek "Mahkamah Mut" dalam pengajian undang-undang. Dalam pengajian bidang undang-undang, terdapat satu subjek yang perlu diikuti oleh para pelajar iaitu "Mahkamah Mut" ( Moot Court ). Dalam subjek ini para pelajar akan melakonkan sesuatu perbicaraan olok-olok seolah-olah mereka berada dalam perbicaraan mahkamah sebenar. Pembelajaran subjek ini juga diadakan dalam bilik yang diubahsuai seperti keadaan dalam kamar mahkamah sebenar. 

Mahkamah Mut adalah perbicaraan olok-olok yang berkaitan dengan pemakaian akta dan enakmen sama ada Mahkamah Mut sivil atau Syariah terhadap isu-isu tertentu. Manakala Mut Ijtihad pula adalah “perbicaraan” dan perbincangan isu yang berkaitan dengan pemakaian dalil-dalil, ijmak, qiyas, pendapat ulama dan sebagainya sama ada dalam satu mazhab fiqh atau pun dalam beberapa mazhab berasaskan Fiqh al-Muqaran (fiqh perbandingan). Begitu juga ia meliputi isu-isu yang bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan sunnah ataupun isu-isu baru serta semasa yang ketiadaan dalil. 

Jika subjek “Mahkamah Mut” membantu para pelajar undang-undang berlatih dan mengalami pengalaman “perbicaraan”, maka begitulah juga “Mut Ijtihad” juga bertujuan melatih pelajar pengajian Syariah di IPT supaya mahir berijtihad dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah. Seterusnya ia dapat membantu keupayaan dan kebolehan para pelajar Syariah dalam membina hukum terutamanya terhadap isu-isu baru yang ketiadaan dalil yang timbul pada setiap zaman. 

Dengan adanya subjek “Mut Ijtihad” ia dapat membantu pelajar dalam bidang Syariah secara teori dan praktikalnya supaya mahir dalam pengajian Syariah. Subjek Mut Ijtihad tidak hanya meliputi satu subjek seperti Usul Fiqh sahaja, bahkan ia boleh meliputi semua subjek-subjek lain yang terdapat dalam pengajian Syariah. Ia mungkin sesuai dilaksanakan di tahun akhir pengajian setelah pelajar mempelajari dan mengetahui asas-asas subjek yang disebutkan sebelum ini. 

Ia bukanlah adaptasi sepenuhnya daripada subjek Mahkamah Mut tetapi hanya mengambil konsep subjek tersebut. Subjek Mut Ijtihad bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk berijtihad seolah-olah mereka adalah mujtahid yang mewakili mazhab-mazhab fiqh. Ia juga melatih mereka supaya mampu mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kehidupan sebenar atau dalam alam pekerjaan sama seperti pelajar bidang undang-undang mengaplikasikan pengalaman perbicaran “Mahkamah Mut” dalam perbicaraan sebenar dalam mahkamah bila mereka berkerja nanti. 

Ini adalah lontaran idea awal dan UF membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang komentar dan perbincangan untuk memantapkan kemahiran pelajar pengajian Syariah di IPT Malaysia. Cadangan ini tidak bererti bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar pengajian Syariah, bahkan ia adalah salah satu cadangan ke arah itu.

22 Januari 2014

Khutbah Interaftif

Jumaat lepas 17hb UF berkhutbah Jumaat di USIM. Peringkat mula dulu 2-3 kali bila khutbah jumaat, UF akan buat teks dan baca. Ia ambil masa unutk mengarang teks khutbah sendiri. Lepas tu, UF cuba unutk berkhutbah tanpa teks. Ia cabaran yang besar, sebab khutbah Jumaat tak sama macam mengajar kuliah Maghrib.

Intisari khutbah yang disampaikan oleh UF minggu lepas ialah “seni berkhutbah” oleh khatib. Mungkin kita biasa tengok di Malaysia khususnya, para khatib hanya “membaca” teks yang disediakan oleh jabatan agama. Hanya segelintir yang “berkhutbah” tanpa teks, maksudnya spontanlah.

UF membawa kisah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Seorang lelaki badwi masuk ke masjid ketika Nabi SAW sedang berkhutbah. Lelaki tersebut berinteraksi dengan Nabi dan memberitahu kampungnya binasa akibat kemarau panjang. Lalu Nabi berdoa ketika itu supaya Allah turunkan hujan ke atas kampung tersebut.

Minggu berikutnya, lelaki tersebut datang lagi juga ketika Nabi SAW sedang berkhutbah dan sekali lagi berinteraksi dengan baginda. Beliau memberitahu kampungnya musnah akibat banjir besar. Lalu Rasulullah SAW berdoa supaya Allah alihkan hujan lebat daripada kampung tersebut.

Point yang UF cuba bawa di sini ialah Rasulullah berinteraksi dengan lelaki tersebut ketika baginda sedang berkhutbah. Rasulullah membenarkan lelaki tersebut mengutarakan masalah yang dihadapinya. Nah, persoalan yang UF lontarkan kepada sidang Jumaat yang hadir hari itu, bolehkah kita zaman sekarang buat benda yang sama?

Untuk mengelakkan kebosanan jemaah atau kemengantukkan mereka, kita cadangkan supaya khutbah jumaat diadakan dalam bentuk sesi soal jawab antara jemaah dan khatib, kira ala-ala gaya Us. Azhar Idrus. Yang lain kita ikut syarat dan rukun, cuma isi khutbah dalam bentuk Q & A.

Apa-apa pun UIF kata, kena mohon kelulusan pihak berkuasa agama dahulu lah. Kalau tidak mungkin akan menimbulkan sedikit masalah di kalangan masyarakat. Cadangan ini sudah pasti ada pro dan kontra.

Fikir-fikirkan….

15 Januari 2014

Bila Lama Menyepi

Entahlah kenapa begitu lama tidak bernafsu langsung untuk update blog ni. Cuba semula untuk menulis.

Sebagai permulaan semula, UF nak berkongsi slide Power Point yang bertajuk “Bagaimana Menjadi Perunding Syariah?” Modul ini dibentangkan dalam program Transformasi Kerjaya Syariah dan Undang-Undang, Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

UF sekadar berkongsi pengalaman yang tak seberapa dengan para pelajar terutama pelajar Syariah. Boleh di “share” atau dikomen.

Bagaimana Menjadi Perunding Syariah?