Makruh Mandi Bulan Puasa?

14 Julai 2013

Makruh Mandi Bulan Puasa?


Seringkali kita dengar dakwaan yang menyatakan bahawa mandi dalam bulan Ramadan antara waktu Zohor hingga waktu berbuka puasa adalah makruh. Ini antara larangan ibu bapa kepada anak-anak supaya tidak mandi pada waktu tersebut. Ia menjadi pegangan kita hingga ke tua dan kita pula mengajar anak-anak kita perkara dan fahaman yang sama. Benarkah? 

UF tidak menyatakan ia salah seratus peratus kerana kebimbangannya ialah dikhuatiri boleh membatalkan puasa, cuma pemahaman itu perlu diperhalusi lagi. Sama seperti berkumur atau memberus gigi yang turut dikatakan makruh. Pada hakikatnya, sama ada berkumur, memberus gigi atau mandi, hukum asalnya ialah harus (hukumnya boleh menjadi sunat, wajib, haram serta makruh bergantung kepada keadaan). Dalam konteks bulan Ramadan, UF berpandangan bahawa perlu diperbetulkan pemahaman yang menyatakan mandi selepas waktu Zohor adalah makruh. 

Cuba lihat dari sudut ini; kita seharian bekerja dan anak-anak bersekolah pagi dan petang. Sudah tentu kita berpeluh dan baju kotor serta berbau busuk. Jika kita amalkan "fatwa" makruh mandi selepas Zohor, tidakkah ia akan menyebabkan keadaan tidak kondusif ketika berbuka puasa? Sudahlah badan penat bekerja atau bersekolah seharian, letih kerana berpuasa lagi, tiba-tiba mood untuk berbuka puasa "disentot" dek bau badan dan baju semua ahli keluarga yang tidak mandi akibat "fatwa" tadi.

Sebenarnya, mandi sebelum berbuka puasa lebih baik kerana di samping menyegarkan badan yang kelesuan seharian, kita juga lebih mudah dan bersedia untuk solat Mahgrib serta bersedia untuk solat Isyak dan Terawih di Masjid/Surau dengan lebih berdisplin. Jika tidak, tentulah akan kelam kabut dibuatnya bila semua ahli keluarga berebut untuk mandi selepas berbuka puasa. Bayangkan jika saiz ahli keluarga yang ramai dan hanya ada 1 atau 2 bilik air sahaja. 

Cuma jangan berlebih-lebihan ketika mandi atau berkumur atau memberus gigi. Kalau ada sifat berlebih-lebihan dalam perkara tersebut, jangan kata mandi selepas Zohor jadi makruh, mandi selepas Subuh pun boleh jadi makruh!!!

Tiada ulasan