Dimashqu (26)

06 Oktober 2012

Dimashqu (26)


Aku berbincang dengan isteriku tentang rumah sewa baru. Nasib baik aku belum punggah habis barang-barang dalam beg kargo.Kami hanya keluarkan sedikit pakaian dan barang makanan sahaja.
Selepas menunaikan solat Asar di masjid, aku menghubungi Rosli untuk meminta kepastian tentang rumah yang sedang aku duduk. Aku cuba menghubunginya dengan menggunakan telefon awam. Dalam keadaan termangu-mangu cara untuk menggunakan telefon awam yang ada di Syria, aku meminta bantuan kepada dua orang lelaki yang kebetulan lalu di situ. Mereka membantu aku membuat panggilan dan dapat menghubungi Rosli.

Menurut Rosli, memang rumah itu bukan rumah tetap sewaku. Ia hanya rumah yang diusahakan oleh seorang pelajar lama Malaysia untuk tujuan transit, jika ada mana-mana rombongan Malaysia datang melawat Syria. Jadi barulah aku faham keadaannya dan lantas aku memberitahu Rosli yang aku rasakan elok mencari rumah sewa baru sahaja. Beliau berkata yang beliau akan datang malam ini untuk membantu aku mencari rumah sewa baru.

Malam itu, Rosli datang mengajakku dan anak isteriku untuk pergi ke satu kawasan yang bernama "Ruknuddin".  Katanya dia mendapat maklumat terdapat rumah untuk di sewa di sana dan kami menaiki servis untuk ke sana. Sampai di sana, rupanya ia adalah penempatan di kawasan bukit. Kami menuju ke pejabat broker terlebih dahulu dan broker tersebut pun membawa kami ke rumah yang ingin dilihat.

Rumah tersebut walaupun terletak di kaki bukit, tapi kami terpaksa mendaki lebih kurang seratus meter di celah-celah rumah yang ada di situ. Dalam kesejukan malam yang begitu sejuk ditambah terpaksa mendaki bukit, terasa amat "seksa" untuk sampai ke rumah yang ingin kami lihat. Roslu bersama broker berjalan di hadapan, kemudian diikuti aku yang memmimpin anakku, manakala iseriku berada di belakang.

Sekali sekala aku menoleh ke arah isteriku dan aku dapati dia agak tercungap-cungap mendaki bukit. Kemudian dia memanggilku kerana dia berasa pening dan memang aku lihat dia agak terhoyong hayang berjalan. Sangkaku dia hanya penat sebab mendaki bukit, dan aku memaut tangannya dan turut memimpin dia berjalan di sebelahku.

Bersambung....

Tiada ulasan