Usul Fiqh (Siri 5)

12 Ogos 2012

Usul Fiqh (Siri 5)

Walaupun Usul Fiqh tidak dibukukan lagi, begitu juga kaedah-kaedah ijtihad tidak dibincangkan pada zaman Rasulullah S.A.W, namun Rasulullah sendiri pernah berijtihad secara praktikal. Para sahabat juga pernah berijtihad sama ada di hadapan Nabi ataupun ketika berjauhan dengan Nabi.

Antara contoh ijtihad yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ، جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالوَفَاءِ
Maksudnya, “Seorang wanita daripada Juhaynah datang bertemu Nabi S.A.W lalu bertanya, “Ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi dia tidak sempat berbuat demikian sehingga mati. Bolehkah aku menunaikan haji bagi pihaknya? Nabi menjawab, “ya, tunaikan haj bagi pihaknya. Bukankah sama hukumnya jika ibumu mempunyai hutang lalu engkau menunaikan hutang itu bagi pihaknya? Tunaikanlah hak Allah kerana hak Allah lebih berhak ditunaikan” (Sahih al-Bukhari).

Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi S.A.W berijtihad tentang hukum menunaikan haji bagi pihak orang mati yang mana dalam kes ini ialah si ibu. Hukum ini tidak terdapat dalam al-Quran. Apabila Nabi berijtihad tentang sesuatu hukum, dan di”sah”kan oleh Allah S.W.T, akhirnya ijtihad Nabi itu akan menjadi dalil “hadis”.

Hal ini kerana segala perkataan dan perbuatan Nabi, adalah bersumberkan wahyu seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T:
وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحى
Maksudnya, “Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (Surah al-Najm: 3-4).

Terkadang ijtihad yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ditegur oleh Allah kerana “tidak tepat”. Dalam peperangan Badar, setelah umat Islam mencapai kemenangan, Rasulullah mengambil keputusan untuk menawan musuh-musuh daripada kaum musyrikin Quraish dan mengambil wang tebusan. Lalu tindakan ini ditegur oleh Allah melalui firmanNya:
مَا كانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ لَوْلا كِتابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيما أَخَذْتُمْ عَذابٌ عَظِيمٌ فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلالاً طَيِّباً وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya, “Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu. Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah al-Anfal: 67-69).

Daripada dua keadaan di atas, dapat difahami bahawa Allah S.W.T tidak membiarkan Rasullah S.A.W berijtihad tanpa panduan daripada Allah sendiri. Allah sentiasa membimbing nabiNya supaya ijtihad baginda adalah tepat dan akhirnya ia akan menjadi wahyu hadis yang wajib dipatuhi dan diikuti oleh umat Islam.

Tiada ulasan