Usul Fiqh (Siri 4)

17 Jun 2012

Usul Fiqh (Siri 4)

Siri Usul Fiqh sebelum ini hanya ditulis 3 siri sahaja. Atas permintaan, UF menyambung kembali perbahasan tentang Usul Fiqh. Insya Allah akan menjadi siri penulisan yang tetap dalam blog ini memandangkan ia amat berkait rapat dengan nama "usulifaqih".

Berikut adalah sambungan siri Usul Fiqh...

SEJARAH ILMU USUL FIQH (ZAMAN RASULULLAH S.A.W)

Usul Fiqh telah wujud sejak wujudnya Fiqh kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Turun atau datangnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W, maka dua ilmu ini akan berperanan memberikan natijah tertentu. Walaupun begitu, Usul Fiqh bukanlah ilmu yang dipelajari dalam bentuk rasmi sebagai satu subjek pada zaman Rasulullah.

Usul Fiqh pada permulaannya adalah dalam bentuk praktikal. Maksudnya apabila turun wahyu maka Rasulullah akan mengikut kehendak wahyu. Jika perkara itu wajib, maka Rasulullah akan melakukannya dan tidak akan meninggalkannya sama sekali. Jika ia haram, maka Rasulullah akan menjauhinya dan tidak melakukannya sama sekali. Begitulah seterusnya.

Dengan tindakan Rasulullah itu, para Sahabat dapat memahami bahawa perkara pertama adalah wajib dan perkara kedua adalah haram. Mereka memahami perkara ini bukan kerana kaedah-kaedah Usul Fiqh yang tertulis dalam mana-mana buku. Mereka memahaminya daripada praktikal dan tindakan Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, tidak ada keperluan untuk menulis dan membukukan kaedah-kaedah istinbat Usul Fiqh. Bukan sahaja Usul Fiqh, bahkan semua ilmu pengajian Islam tidak ditulis atau dibukukan pada zaman Rasulullah S.A.W. Ini kerana Rasulullah adalah rujukan secara langsung kepada para Sahabat untuk mengetahui hukum hakam.

Jika para Sahabat berada berdekatan dengan Rasulullah, mereka akan bertanya kepada baginda. Jika mereka berjauhan, contohnya dalam musafir, mereka akan bertanya kemudian kepada Rasulullah tentang apa yang telah lakukan atau isu-isu yang berbangkit. Jika tindakan mereka betul, Rasulullah akan mengiyakan. Manakala jika tindakan mereka salah, Rasulullah akan perbetulkan.

Tiada ulasan