31 Mei 2012

Atlit Sukan Olimpik Tak Puasa?

Dalam Berita Harian 29 April 2012 (Selasa) ada disebut komen Tan Sri Harussani Mufti Perak tentang atlit muslim Malaysia yang akan bertanding dalam sukan Olimpik London 2012 dalam bulan puasa. Ia adalah komen beliau tentang kenyataan Azizul Hasni Awang, pelumba basikal negara yang beliau terpaksa menangguhkan puasa (tidak berpuasa) ketika sukan Olimpik nanti.

Kebetulan pula UF telah dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyediakan satu garis panduan fiqh kepada atlit dan juga pegawai yang akan menyertai sukan Olimpik London 2012. Sukan Olimpik itu nanti akan berlangsung dalam bulan Ramadan. Garis panduan itu telah pun UF siapkan dan disemak oleh Us. Zaharudin bin Mohamad (Bank Negara), Us. Faisal bin Ashaari (Jabatan Dakwah, FPI, UKM), Us. Muhammad Najib bin Abdullah (Fakulti Syariah & Undang-Undang, USIM) dan Us. Azhar bin Yahya (Fakulti Syariah, KUIZM).

Garis panduan khusus kepada atlit sukan Olimpik London 2012 ini mengandungi lima bahagian iaitu:
1. Bersuci.
2. Solat Jamak dan Qasar.
3. Puasa.
4. Aurat.
5. Makanan Halal.

Ia disediakan sebagai rujukan asas kepada atlit dan pegawai tentang perkara di atas dan yang berkaitan dengannya. Penyediaan garis panduan ini lanjutan daripada ceramah atau taklimat UF tentang ibadat (solat dan puasa) dalam sukan untuk atlit sukan universiti dunia pada tahun lepas yang juga diadakan dalam bulan puasa.

Apabila pihak MSN mohon kerjasama UF untuk buat garis panduan bertulis dan lengkap, UF menyahut cabaran dan tugas besar ini. Ia lebih kepada tanggungjawab UF bersama rakan-rakan lain untuk menyediakan panduan fiqh kepada mereka yang terlibat dalam sukan terutama sukan berprestij tinggi.

Dalam perbincangan panel, kami bersetuju supaya garis panduan ini merujuk kepada qaul mazhab Syafie dahulu sebagai menghormati amalannya di Malaysia. Kami juga cuba "berijtihad" dengan memberi pentarjihan (cadangan) kami sendiri dalam perkara-perkara khilaf. Ini untuk memudahkan pemahaman atlit dan pegawai yang pastinya akan pening dengan permasalahan khilaf ulama. Garis panduan ini akan diserahkan (1 Jun 2012) kepada pihak JAKIM untuk penilaian dan pengesahan.  

Berbalik kepada isu puasa dan sukan Olimpik, antara dawabit (syarat) yang digariskan oleh panel ialah:

i. Secara asasnya, meneruskan puasa ketika bermusafir adalah lebih baik.

ii. Namun orang yang bermusafir (termasuk atlit dan pegawai sukan Olimpik London 2012) diberi keringanan untuk berbuka puasa walaupun tidak letih. Walau bagaimanapun, meneruskan puasa adalah lebih baik.

iii. Boleh berbuka puasa ialah kerana "sebab" perjalanan (musafir) bukan kerana "sebab" bersukan.

iv. Sesiapa yang berbuka puasa ketika bermusafir, wajib qada’ (ganti) puasa tersebut pada hari lain.

v. Sukan yang tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti memanah, menembak, snooker, catur dan lain-lain lebih baik meneruskan puasa dan tidak perlu berbuka.

vi. Sukan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti bola sepak, hoki, badminton dan lain-lain digalakkan juga untuk meneruskan puasa.

vii.    Jika perlu berbuka, maka ia dibolehkan dengan syarat:

a. Atas nama perjalanan (musafir).
b. Perjalanan (musafir) yang harus, bukan kerana maksiat.
c. Hanya pada hari latihan atau pertandingan yang berlangsung pada waktu siang.
d. Wajib qada’ (ganti) puasa pada hari lain.

Para ulama telah menyatakan illah (sebab) bolehnya berbuka puasa ketika musafir ialah kerana sifat musafir itu sendiri, bukannya masyaqqah. Ini kerana masyaqqah (rasa letih/sukar dll) bukan illah yang mundabitah (tidak konsisten). Maka kenyataan Azizul untuk tidak berpuasa ketika sukan Olimpik nanti tidak salah kerana dia dalam keadaan bermusafir.

Diharapkan garis panduan yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada para atlit muslim. Ia untuk menunjukkan Islam juga ada penyelesaian dalam isu-isu sukan.

Apa yang baik itu datang daripada Allah. Jika "ijtihad" kami betul, Alhamdulillah. Jika ia salah, kami beristighfar kepada Allah.

17 Mei 2012

Dimashqu (24)

Hari ke tiga aku di Syria (Ahad), aku pergi sendirian ke Fakulti Syariah, Universiti Damascus. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengan dengan dr. Tawfiq dan bertanyakan urusan lanjut pendaftaranku sebagai pelajar Ph.D di situ. Rosli tidak dapat menemanku kerana dia ada hal. Berbekalkan pengalaman naik service kelmarin, aku memberanikan diri pergi sendiri.

Sampai aku di Universiti Damascus, aku terus mencari Dr. Tawfiq tapi dia belum sampai. Aku mundar mandir di depan lobi fakulti Syariah menunggu kedatangannya. Tidak lama kemudian aku terlihat seorang lelaki yang memakai songkok hitam masuk ke bangunan fakulti Syariah. Aku tidak pernah meilhat gambarnya dan tidak pernah bercakap dengannya. Hanya berhubung melalui emel, tapi aku yakin itulah Dr. Tawfiq Mohd Said Ramadan al-Buti.

Aku segera menerpa ke arahnya sambil memberi salam dan memperkenalkan diriku. Dia kelihatan terkejut dengan kehadiranku dan kami saling berpelukan seolah-olah sudah lama kenal. Dia mengajakku menemui pegawai yang bertanggungjawab di fakulti Syariah iaitu Madam (Puan) Qamar dan memperkenalkanku kepadanya.

Kemudian dia mengajakku ke biliknya untuk bersembang. Bilik pensyarah fakulti Syariah di situ tidaklah sehebat bilik-bilik pensyarah di IPTA Malaysia. Kalau di IPTA tempatan setiap seorang pensyarah akan mendapat satu bilik berserta perabot dan komputer. Di Universiti Damascus, pensyarahnya berkongsi bilik. Jadi, dalam bilik Dr. Tawfiq, terdapat 4-5 meja dan dia berkongsi bilik dengan pensyarah-pensyarah lain.

Bersambung...

06 Mei 2012

Fiqh Asas (11)

Haid, Nifas dan Istihadah

Darah yang keluar daripada faraj perempuan ada 3 jenis:

1) Darah haid.
2) Darah nifas.
3) Darah istihadah.

Haid ialah darah yang keluar daripada faraj perempuan ketika dalam keadaan sihat tanpa sebab beranak. Warnanya hitam, panas lagi memedihkan dan menyakitkan.

Nifas ialah darah yang keluar sejurus  kelahiran. Istihadah pula ialah darah yang keluar pada bukan hari-hari (waktu) haid dan nifas.

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam. Tempoh paling lama pula 15 hari dan kebiasaannya pula selama 6 atau 7 hari. Sekurang-kurang tempoh nifas ialah sekelip mata. Tempoh paling lama pula 60 hari dan kebiasaannya 40 hari.

Sekurang-kurang tempoh suci antara 2 haid ialah selama 15 hari dan tiada had bagi bagi banyaknya pula. Sekurang-kurang masa seorang perempuan itu berhaid ialah ketika berumur 9 tahun. Sekurang-kurang tempoh hamil ialah 6 bulan. Tempoh paling lama hamil ialah 4 tahun dan kebiasaannya pula selama 9 bulan.

Perkara-Perkara Yang Diharamkan Dengan Sebab Haid dan Nifas

Diharamkan dengan sebab haid dan nifas 8 perkara:

1) Sembahyang.
2) Puasa.
3) Membaca al-Quran.
4) Menyentuh al-Quran dan membawanya.
5) Memasuki masjid.
6) Tawaf.
7) Bersetubuh.
8) Beristimta’ antara pusat dan lutut.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).