26 Mac 2012

Saya Setuju!!!

Tahun 2003 (kalau tak silap), pelajar FSU (ketika tu FSK - Fakulti Syariah dan Kehakiman) buat lawatan sambil belajar ke persatuan pengguna Pulau Pinang (CAP). UF jadi pengiring mereka bersama us. Manan dan en. Asri (PP FST sekarang). Para pelajar bermalam di banglo/pejabat CAP bersebelahan sekolah menengah agama al-Mashoor, berdekatan dengan masjid negeri Pulau Pinang. Kami, pengiring pula tidur di sebuah lagi pejabat milik CAP, jauh sedikit daripada banglo tersebut.

Dalam lawatan dan program bersama CAP, alhamdulillah banyak isu-isu kepenggunaan didedahkan. Kata CAP, mereka menjalankan uji kaji sendiri di makmal-makmal swasta sebelum menghebahkan keputusan kepada awam. Walaupun dengan dana dan tenaga sukarelawan yang terhad tapi CAP tetap memperjuangkan isu-isu kepenggunaan sesuai dengan nama mereka.

Untuk kerja lapangan kami di bawa oleh CAP ke satu lokasi pembinaan apartment di lereng bukit (tak ingat di mana tempat tu) bersebelahan sebuah taman perumahan. Turut serta bersama kami ialah aktivis-aktivis dari Jepun. Pihak CAP minta kepada pelajar-pelajar untuk menemuramah penduduk taman perumahan yang terlibat dengan projek tersebut.

Jadi, para pelajar pun berselerak di kawasan perumahan tu bersembang dan menemuramah penduduk-penduduk yang sempat ditemui. UF bersama us. Manan pun turut bersembang dengan penduduk di situ sambil melayan mat-mat Jepun yang turut serta. Setelah sejam-dua, kami pun berkumpul dan masing-masing pun ceritalah hasil penemuan.

Daripada semua feedback yang kami dapat, boleh dikatakan semua penduduk tidak bersetuju dengan pembinaan apartment tersebut. Ia atas beberapa faktor, antaranya terlalu hampir dengan rumah mereka, jalan rosak akibat lori-lori besar, habuk, tanah merah yang mengotori jalan dan sebagainya.

Namun dalam ramai-ramai penduduk yang ditemui, ada satu rumah yang pelik sikit sebab dia setuju sangat projek tu. Pelajar yang menemuramah tuan rumah tu tanya, kenapa encik setuju pulak? Sebab: saya kontraktor projek tu... hehehe... patutlaaaa....

Tiada ulasan: