31 Disember 2012

Hajat Tidak Kesampaian


Sepatutnya UF bentang kertas Kerja di Seminar Antarabangsa di Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri, Padang, Indonesia pada 22 Disember 2012 lepas sempena lawatan pelajar USIM ke situ. Tajuk kertas kerja yang UF nak bentang ialah "Penasaban Anak Tidak Sah Taraf di Malaysia".

Ia adalah daripada penyelidikan yang UF sedang buat di bawah biaya JAKIM iaitu "Mem”bin/ti”kan Anak Tidak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak, Undang-Undang dan Sosial". Tapi last minute UF tidak dapat pergi sebab anak UF menjalani minor operation.

Jadi UF minta kerjasama Ustazah Nabilah Yusof, pegawai pengiring yang turut pergi untuk membentangkan kertas kerja tersebut bagi pihak UF. Hanya gambar seminar ja yang anak murid UF berikan sebagai tanda kenangan nama UF pernah "tergantung" dalam banner seminar di Padang, Indonesia.

11 Oktober 2012

Kalau UF Jadi Menteri Pengajian Tinggi


Dulu bila UF ada tulis entri bertajuk "Kalau UF Jadi NC USIM", ada pihak yang terasa hati. Walaupun "berjaya" (berjaya ka?)menyedarkan dan membuka mata sesetengah pihak, namun untuk tidak mengeruhkan lagi salah faham, UF mengambil keputusan untuk delete ja entri tu.

Kali ni UF telah memasang cita-cita yang lebih tinggi. Dah tak nak jadi NC USIM dah, tapi lagi tinggi iaitu nak jadi Menteri Pengajian Tinggi. Pasal pa ya?

Ahli akademik sejak beberapa tahun kebelakangan ini diminta untuk memenuhi KPI universiti masing-masing terutama dalam penulisan artikel jurnal. Sekarang ni penerbitan artikel dalam jurnal biasa-biasa dah tak dipandang. Yang dipandang dan diambil kira ialah penerbitan dalam jurnal Scopus dan ISI.

Kenaikan pangkat di universiti-universiti sekarang ni, kalau takda jurnal ISI / Scopus jangan harap la. Malah UF difahamkan oleh seorang sahabat di sebuah universiti RU, untuk dilantik sebagai pemeriksa tesis luar pun kena ada sekurang-kurangnya 10 jurnal ISI / Scopus.

Bagi sesetengah ahli akademik dalam bidang tertentu, peluang untuk menembusi jurnal ISI / Scopus agak terbuka dan banyak. Namun dalam bidang pengajian Islam, bukan kata takdak langsung. Ada tu ada, tapi setakat yang UF dok jumpa semuanya dalam bahasa inggeris. Maka satu cabaran yang amat besar bagi pensyarah macam UF yang "terer" bahasa inggeris ni.

UF teringat lagi dalam satu sesi ceramah semasa kursus kepimpinan bagi pensyarah-pensyarah muda anjuran AKEPT di Janda Baik awal tahun ini. Prof. Madya Dr. Rafiq, pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UM kata, kita ni dok melalak pi lah macam mana pun tentang ketidakpuasan hati tentang syarat ISI / Scopus ni, tapi itulah peraturan yang orang atas buat. Suka tak suka, kita "terpaksa" ikut.

Sebagai respon kepada kata-kata beliau, UF memberi komen: ok lah prof., kita layan je lah kehendak orang atas. Nak mengomel lebih-lebih pun sapa lah kita ni. Cuma saya minta semua yang ada dalam kursus ni berdoa agar saya tidak dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi. Sebab kalau saya dilantik, saya akan buat syarat baru bagi kenaikan pangkat.

Syaratnya ialah, bagi permohonan kenaikan pangkat ke Prof. Madya, UF akan syaratkan wajib hafal 3 juzuk al-Quran. Manakala permohonan ke jawatan Profesor, wajib hafal 5 juzuk al-Quran. Baru tau betapa "terciritnya" kami nak ligan KPI orang atas.

Ada berani???

Idea ni Uf pernah utarakan dalam satu taklimat kenaikan pangkat di USIM. Tapi jawapan TNCA yang dalam bidang sains (sorry Prof. nooo) ialah "tidak adil". Aikkk tahu pulak tak adil. Abih yang puak-puak atas dok buat syarat yang "tidak adil" bagi sesetengah golongan pensyarah "tak perasan" ka?

Ada lagi. UF nak syaratkan jugak kalau nak dilantik jadi NC sesebuah universiti, paling koman pun hafal juzuk "Amma" cukuplah. Tambah lagi hadis 40.

Kalaulah UF jadi Menteri Pengajian Tinggi..

06 Oktober 2012

Dimashqu (26)


Aku berbincang dengan isteriku tentang rumah sewa baru. Nasib baik aku belum punggah habis barang-barang dalam beg kargo.Kami hanya keluarkan sedikit pakaian dan barang makanan sahaja.
Selepas menunaikan solat Asar di masjid, aku menghubungi Rosli untuk meminta kepastian tentang rumah yang sedang aku duduk. Aku cuba menghubunginya dengan menggunakan telefon awam. Dalam keadaan termangu-mangu cara untuk menggunakan telefon awam yang ada di Syria, aku meminta bantuan kepada dua orang lelaki yang kebetulan lalu di situ. Mereka membantu aku membuat panggilan dan dapat menghubungi Rosli.

Menurut Rosli, memang rumah itu bukan rumah tetap sewaku. Ia hanya rumah yang diusahakan oleh seorang pelajar lama Malaysia untuk tujuan transit, jika ada mana-mana rombongan Malaysia datang melawat Syria. Jadi barulah aku faham keadaannya dan lantas aku memberitahu Rosli yang aku rasakan elok mencari rumah sewa baru sahaja. Beliau berkata yang beliau akan datang malam ini untuk membantu aku mencari rumah sewa baru.

Malam itu, Rosli datang mengajakku dan anak isteriku untuk pergi ke satu kawasan yang bernama "Ruknuddin".  Katanya dia mendapat maklumat terdapat rumah untuk di sewa di sana dan kami menaiki servis untuk ke sana. Sampai di sana, rupanya ia adalah penempatan di kawasan bukit. Kami menuju ke pejabat broker terlebih dahulu dan broker tersebut pun membawa kami ke rumah yang ingin dilihat.

Rumah tersebut walaupun terletak di kaki bukit, tapi kami terpaksa mendaki lebih kurang seratus meter di celah-celah rumah yang ada di situ. Dalam kesejukan malam yang begitu sejuk ditambah terpaksa mendaki bukit, terasa amat "seksa" untuk sampai ke rumah yang ingin kami lihat. Roslu bersama broker berjalan di hadapan, kemudian diikuti aku yang memmimpin anakku, manakala iseriku berada di belakang.

Sekali sekala aku menoleh ke arah isteriku dan aku dapati dia agak tercungap-cungap mendaki bukit. Kemudian dia memanggilku kerana dia berasa pening dan memang aku lihat dia agak terhoyong hayang berjalan. Sangkaku dia hanya penat sebab mendaki bukit, dan aku memaut tangannya dan turut memimpin dia berjalan di sebelahku.

Bersambung....

05 Oktober 2012

Takpa... Cuba Lagi...

Setelah menunggu setahun tiga bulan, inilah jawapannya. No komen...

30 September 2012

Catatan September

Entah kenapa, bulan ni tiada mood langsung untuk menulis entri blog. UF cuma nak berkongsi pengalaman pertama terlibat dalam majlis viva tesis Ph.D di USIM.

UF dilantik sebagai pemeriksa tesis dalaman kepada calon pelajar Ph.D dari Libya. Pelajar tersebut menulis tajuk "al-Qiyadah al-Siyasiyyah Min al-Manzur al-Islamiyy: Dr. Mahathir Anmuzajan". Sesi viva tersebut dijalankan pada 12 Sep 2012 yang lalu.

Kalu tengok gambar-gambar dalam entri ni, sesi viva di USIM agak unik sebab lajnah munaqish siap pakai jubah konvo lagi.


12 Ogos 2012

Usul Fiqh (Siri 5)

Walaupun Usul Fiqh tidak dibukukan lagi, begitu juga kaedah-kaedah ijtihad tidak dibincangkan pada zaman Rasulullah S.A.W, namun Rasulullah sendiri pernah berijtihad secara praktikal. Para sahabat juga pernah berijtihad sama ada di hadapan Nabi ataupun ketika berjauhan dengan Nabi.

Antara contoh ijtihad yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ، جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالوَفَاءِ
Maksudnya, “Seorang wanita daripada Juhaynah datang bertemu Nabi S.A.W lalu bertanya, “Ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi dia tidak sempat berbuat demikian sehingga mati. Bolehkah aku menunaikan haji bagi pihaknya? Nabi menjawab, “ya, tunaikan haj bagi pihaknya. Bukankah sama hukumnya jika ibumu mempunyai hutang lalu engkau menunaikan hutang itu bagi pihaknya? Tunaikanlah hak Allah kerana hak Allah lebih berhak ditunaikan” (Sahih al-Bukhari).

Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi S.A.W berijtihad tentang hukum menunaikan haji bagi pihak orang mati yang mana dalam kes ini ialah si ibu. Hukum ini tidak terdapat dalam al-Quran. Apabila Nabi berijtihad tentang sesuatu hukum, dan di”sah”kan oleh Allah S.W.T, akhirnya ijtihad Nabi itu akan menjadi dalil “hadis”.

Hal ini kerana segala perkataan dan perbuatan Nabi, adalah bersumberkan wahyu seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T:
وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحى
Maksudnya, “Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (Surah al-Najm: 3-4).

Terkadang ijtihad yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ditegur oleh Allah kerana “tidak tepat”. Dalam peperangan Badar, setelah umat Islam mencapai kemenangan, Rasulullah mengambil keputusan untuk menawan musuh-musuh daripada kaum musyrikin Quraish dan mengambil wang tebusan. Lalu tindakan ini ditegur oleh Allah melalui firmanNya:
مَا كانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ لَوْلا كِتابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيما أَخَذْتُمْ عَذابٌ عَظِيمٌ فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلالاً طَيِّباً وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya, “Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu. Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah al-Anfal: 67-69).

Daripada dua keadaan di atas, dapat difahami bahawa Allah S.W.T tidak membiarkan Rasullah S.A.W berijtihad tanpa panduan daripada Allah sendiri. Allah sentiasa membimbing nabiNya supaya ijtihad baginda adalah tepat dan akhirnya ia akan menjadi wahyu hadis yang wajib dipatuhi dan diikuti oleh umat Islam.

08 Ogos 2012

Program "Bicara Fiqh Kontemporari"

Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKAUSIM) akan menganjurkan program "Bicara Fiqh Kontemporari Siri 1" seperti berikut:


Tarikh: 14 Ogos 2012
Hari: Selasa
Masa: 10.00 pagi - 12.30 t/hari
Tempat: Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM, Aras 4
Tajuk: Garis Panduan Ibadat Atlit Sukan Olimpik London 2012: Satu Penjelasan (isu atlit tidak berpuasa)
Pembentang: Dr. Irwan Mohd Subri (Pengerusi Panel Garis Panduan Ibadat Atlit)

Penyertaan adalah percuma dan tempat terhad. Semua al-asatizah wa al-ulama' dijemput hadir! Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 013-3543594 (usulifaqih).

Nota: Kehadiran para alim ulama amat-amat dialukan untuk memantapkan lagi garis panduan ini untuk dibentangkan kepada Panel Kajian Syariah JAKIM lepas raya ini.

Sebarkan!!!

06 Ogos 2012

Fiqh Asas (13)

BAB SEMBAHYANG

Waktu-Waktu Sembahyang

Sembahyang fardu (wajib) ada 5:

1) Zuhur: Awal waktunya bermula apabila gelincir matahari. Ia berakhir apabila bayang setiap benda menjadi sama panjang dengan benda itu selepas bayang gelincir.

2) Asar: Awal waktunya bermula apabila bayang sesuatu benda menjadi lebih daripada benda itu. Berakhirnya waktu pilihan apabila bayang sesuatu benda menjadi 2 kali ganda. Berakhirnya waktu harus sehingga terbenam matahari.

3) Maghrib: Waktunya hanya satu  iaitu dengan terbenamnya matahari dan dengan sekadar seseorang azan. Kemudian dia berwuduk, menutupi aurat lalu dia bersembahyang fardu maghrib dan dia menambahkan lagi 5 rakaat.

4) Isyak: Awal waktunya bermula apabila warna kemerahan di langit telah hilang. Berakhirnya waktu pilihan ialah 1/3 dari malam dan berakhirnya waktu harus ialah sehingga terbit fajar kedua (fajar sadiq).

5) Subuh: Awal waktunya bermula apabila terbit fajar kedua (fajar sadiq). Berakhirnya waktu pilihan ketika waktu subuh kelihatan terang dan berakhir waktu harus apabila terbit matahari.

Syarat-Syarat Wajib Sembahyang

Syarat-syarat wajib sembahyang ada 3 perkara:

1) Islam.
2) Baligh.
3) Berakal.

Syarat-syarat ini ialah definisi orang mukallaf.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

03 Ogos 2012

Dimashqu (25)

Di samping berbual taaruf dengan Dr. Tawfiq, aku tidak membuang masa begitu sahaja. Aku terus berbincang dengan beliau tentang tajuk yang akan aku tulis untuk Ph.D aku. Tajuk yang aku cadang untuk menulis tentangnya ialah "Perubahan Hukum Syarak Disebabkan Perubahan Zaman dan Tempat".

Bagi aku, cita-cita dan impian aku untuk sambung belajar di Universiti Damascus sudah tercapai. Jadi aku tidak akan alpa dengan keghairahan belajar di sini. Fokus aku hanya satu iaitu mendapat Ph.D di sini dan menjadi orang Malaysia pertama yang bergraduan Doktor Falsafah daripada Universiti Damascus.

Selesai berbincang dengan Dr. Tawfiq, aku meminta izin untuk pulang ke rumah. Hati aku cukup puas walaupun perbincangan itu ringkas. Beliau bersetuju dengan tajuk cadangan yang aku berikan. Sebenarnya aku bertambah gembira bila Dr. Tawfiq memberitahu aku yang beliau sendiri telah dilantik sebagai penyelia tesisku. Beliau banyak membantu aku semasa di awal permohonan untuk masuk ke universiti ini.

Selepas itu aku pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, pintu rumah aku diketuk. Bila aku buka pintu, aku dapati seorang arab lelaki. Rupanya dia adalah tuan rumah yang aku duduki itu. Beliau bertanya, sampai bila aku nak duduk di rumah itu. Aku yang terpinga-pinga, menjawab nanti aku bagi jawapan.

Sangka aku, rumah itulah yang akan menjadi tempat tinggal aku selama aku belajar di Syria. Rupanya itu hanya rumah tumpangan sementara. Rumah itu dijadikan rumah transit untuk rombongan Malaysia yang datang ke Syria. Ia dikendalikan oleh seorang pelajar Malaysia yang lama tinggal di Syria dan menjalankan bisnes pelancongan.

Bersambung....

25 Julai 2012

Tazkirah Syahriyyah Bil. 7/2012

Tazkirah Syahriyyah USIM Bil. 7/2012

"Fatwa Dan Masyarakat"

Disampaikan Oleh:
Dr. Irwan Bin Mohd Subri
Ketua Program
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang

Tarikh: 26 Julai 2012 (Khamis)
Masa: 8.15 - 9.15 Pagi
Tempat: Dewan Kuliah Pusat 3

Semua Staf USIM dan Muslimin Muslimat Dijemput Hadir

21 Julai 2012

“cerdiksolution.com” Dilancarkan!



Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tanggal 1 Ramadan 1433 hijriyyah bersamaan 21 Julai 2012, cerdiksolution.com kini dilancarkan dengan rasminya.

cerdiksolution.com menawarkan dua perkhidmatan utama iaitu:

1. Perundingan Syariah.

2. Penulisan lirik serta gubahan nasyid / lagu.

Perunding-perunding Syariah cerdiksolution.com  terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang Syariah dan terlibat dalam banyak projek / rundingan samada di peringkat universiti, negeri ataupun kebangsaan.

Penulis lirik dan penggubah lagu cerdiksolution.com juga berpengalaman dalam industri nasyid tanahair dan terlibat dalam penulisan lirik dan penciptaan lagu untuk peringkat sekolah kebangsaan, sekolah menengah, universiti dan agensi kerajaan.

cerdiksolution.com dimiliki oleh syarikat "Cerdik Solution" yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan no. pendaftaran: 002046655-X.

Sila lawati http://cerdiksolution.com/ untuk maklumat lanjut.

i-Bawl


19 Julai 2012 hari yang menggembirakan UF. Bukan gembira sekadar hari lahir ke tiga puluh enam tapi gembira Alhamdulillah kerana idea inovasi (i-bawl) cetusan UF memenangi pingat gangsa dalam pertandingan “Novel Research and Innovation Competition (NRIC), Universiti Sains Malaysia yang berlangsung pada 17-19 Julai 2012.

Walaupun sekadar gangsa, tapi ia amat bermakna bagi UF kerana daripada 137 penyertaan dari IPTA/S termasuk IPT luar negara, produk dan idea UF antara yang mendapat pingat gangsa. Tambahan pula ini adalah penyertaan pertama UF di peringkat Kebangsaan.

I-Bawl adalah produk kencing berdiri lelaki yang patuh Syariah. Ia adalah inovasi tempat kencing berdiri yang sedia ada dan direka khas dengan lengkungan serta aliran air untuk mengelakkan percikan air kencing ke badan atau pakaian. Bukan itu sahaja, ia juga ditutupi dinding di kanan dan kiri serta berpintu yang berfungsi melindungi aurat orang lelaki yang kencing berdiri.

Antara pencapaian i-bawl ialah:
1. Johan pertandingan inovasi peringkat Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM, 2012.
2. Johan pertandingan “Student Innovation Competition (SIC), kategori “Ummah’s Development” anjuran Fakulti Sains dan Teknologi, USIM 2012.
3. Johan Keseluruhan pertandingan “Student Innovation Competition (SIC), bagi peringkat prasiswazah, anjuran Fakulti Sains dan Teknologi, USIM 2012.

Namun, bila mencuba nasib masuk pertandingan NRIC di USM, UF tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi. Ini kerana persaingan yang amat tinggi dari IPT lain. Bila diumumkan menang pingat gangsa, UF amat bersyukur. Ia menjadi pemangkin untuk membudayakan inovasi di kalangan pelajar bidang Syariah. Ini tahun kedua FSU menghantar penyertaan ke NRIC, namun i-bawl adalah produk pertama FSU yang memenangi pingat di peringkat pertandingan inovasi kebangsaan.

UF ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pelajar di bawah seliaan UF iaitu:
1. Mohamad Rizuan bin Norden (1090199),
2. Mohamad Zulhilmi bin Mohd Nazar (1090203)
3. Mohd Shahizad bin Saleh (1090200)
Mereka inilah yang merealisasikan idea UF untuk i-bawl. Tahniah dan mabruk untuk anda. Anda memang best!

Kita bersedia untuk pertandingan innova 2012 pula, Insya Allah.

(Pingat gangsa bagi produk i-Bawl) 

(Jurucakap i-Bawl "Ijad" sedang menerangkan kepada juri) 

(Nampak macam boleh "makan" ja juri ni) 

 (Serius dan yakin)

(Inilah model i-Bawl, kata Ijad) 

(Barisan pakar "kencing berdiri" patuh Syariah) 

(Tak sia-sia bos belanja makan "Awet Muda")

(Bersama team FSU yang lain, i-Bawl, i-Waraqah dan 3CE Cage)


12 Julai 2012

"Sesuatu" Akan Dilancarkan... Tunggu!!!




Bersempena dengan kedatangan awal Ramadan 1433H al-Mubarak, Insya Allah akan dilancarkan "sesuatu".

Tunggu hari pelancarannya!!!

18 Jun 2012

Lirik Baru "Ayna al-Sakinah"

 
أَيْنَ السَّكِيْنَة
هَلْ هِيَ طَارَتْ مِنِّيْ
أَيْنَ الْحَسَنَة
هَلْ غَابَتْ مِنْ نَفْسِيْ
لَوْ مَلَكْتُهُمَا، مَا أَجْمَلَ الْحَيَاة
لَوْ فَقَدْتُهُمَا، مَأْسَة

إِلَيْكَ رَبِّيْ أَشْتَكِيْ
مِنْ شَقَاوَةِ وَقَسْوَةِ قَلْبِيْ
هَلْ مِنْ خَيْرٍ فِيْ نَفْسِيْ
بَعْدَ عِصْيَان خَالِقِيْ

لاَ شَيْء سِوَاكَ أُبَالِيْ
وَالآن إِلَيْكَ وَجَّهْتُ خُضُوْعِيْ
اغْفِرْ ذُنُوْبِيْ رَبِّيْ
فِيْ جَنَّتِكَ، أَسْكِنْنِيْ

(Terjemahan)

Di mana ketenangan
Adakah ia terbang daripada diriku
Di mana kebaikan
Adakah ia hilang daripada diriku
Jika ku miliki keduanya, alangkah indahnya hidup
Jika ku hilang keduanya, punah

KepadaMu Tuhan aku mengadu
Jahat dan kerasnya hatiku
Apakah masih ada kebaikan dalam diriku
Selepas ku ingkar Penciptaku

Tiada lagi selain Engkau yang aku peduli
Sekarang aku hadapkan kepadaMu ketundukan diri
Ampunilah dosaku tuhanku
Di syurgaMu, tempatkanlah aku

17 Jun 2012

Usul Fiqh (Siri 4)

Siri Usul Fiqh sebelum ini hanya ditulis 3 siri sahaja. Atas permintaan, UF menyambung kembali perbahasan tentang Usul Fiqh. Insya Allah akan menjadi siri penulisan yang tetap dalam blog ini memandangkan ia amat berkait rapat dengan nama "usulifaqih".

Berikut adalah sambungan siri Usul Fiqh...

SEJARAH ILMU USUL FIQH (ZAMAN RASULULLAH S.A.W)

Usul Fiqh telah wujud sejak wujudnya Fiqh kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Turun atau datangnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W, maka dua ilmu ini akan berperanan memberikan natijah tertentu. Walaupun begitu, Usul Fiqh bukanlah ilmu yang dipelajari dalam bentuk rasmi sebagai satu subjek pada zaman Rasulullah.

Usul Fiqh pada permulaannya adalah dalam bentuk praktikal. Maksudnya apabila turun wahyu maka Rasulullah akan mengikut kehendak wahyu. Jika perkara itu wajib, maka Rasulullah akan melakukannya dan tidak akan meninggalkannya sama sekali. Jika ia haram, maka Rasulullah akan menjauhinya dan tidak melakukannya sama sekali. Begitulah seterusnya.

Dengan tindakan Rasulullah itu, para Sahabat dapat memahami bahawa perkara pertama adalah wajib dan perkara kedua adalah haram. Mereka memahami perkara ini bukan kerana kaedah-kaedah Usul Fiqh yang tertulis dalam mana-mana buku. Mereka memahaminya daripada praktikal dan tindakan Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, tidak ada keperluan untuk menulis dan membukukan kaedah-kaedah istinbat Usul Fiqh. Bukan sahaja Usul Fiqh, bahkan semua ilmu pengajian Islam tidak ditulis atau dibukukan pada zaman Rasulullah S.A.W. Ini kerana Rasulullah adalah rujukan secara langsung kepada para Sahabat untuk mengetahui hukum hakam.

Jika para Sahabat berada berdekatan dengan Rasulullah, mereka akan bertanya kepada baginda. Jika mereka berjauhan, contohnya dalam musafir, mereka akan bertanya kemudian kepada Rasulullah tentang apa yang telah lakukan atau isu-isu yang berbangkit. Jika tindakan mereka betul, Rasulullah akan mengiyakan. Manakala jika tindakan mereka salah, Rasulullah akan perbetulkan.

14 Jun 2012

Buku Baru UF


Buku ini merupakan sebahagian daripada kajian Ph.D UF.

Tajuk: al-Ahkam Wa al-Fatawa al-Shar'iyyah Bayna al-Thabat Wa al-Taghayyur

Penulis: Irwan Mohd Subri

Harga: RM 32.00

ISBN: 978-967-0393-23-0

Tahun: 2012

Penerbit: Penerbit USIM

Bil. Halaman: 223

Nota: Klik gambar buku di atas untuk beli.

09 Jun 2012

Fiqh Asas (12)

Perkara-Perkara Yang Diharamkan Ke Atas Orang Berjunub

Diharamkan ke atas orang yang berjunub 5 perkara:

1) Sembahyang.
2) Membaca al-Quran.
3) Menyentuh al-Quran dan membawanya.
4) Tawaf.
5) Duduk di dalam masjid.

Perkara-Perkara Yang Diharamkan Ke Atas Orang Berhadas

Diharamkan ke atas orang yang berhadas 3 perkara:

1) Sembahyang.
2) Tawaf.
3) Menyentuh al-Quran dan membawanya.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

06 Jun 2012

Abang Nak Yang Ketiga Pulak!!!

Suatu petang yang damai.....

Suami: Darling, abang ada hal nak cakap dengan darling ni.

Isteri: Ye bang, ada pa bang. Macam penting ja.

Suami: Memang penting pun.

Isteri: (berdebar) cakaplah bang.

Suami: Emmm, abang dah nekad. Dah buat keputusan dah. Abang nak yang ketiga pulak.

Isteri: Abanggggg!!! (sambil mengalirkan air mata).

Suami: Ni kenapa darling menangis lak.

Isteri: Abang tanya kenapa? Sampai hati abang buat camni.

Suami: Ini keputusan abang. Takda siapa yang boleh halang.

Isteri: Abang tak puas lagi ka dah ada dua. Tak cukup ka?

Suami: Bukan tak puas, bukan tak cukup. Tapi nafsu laki abang ni takleh tahan. Teringin ja, tak tahan dah abang.

Isteri: Tu lah orang laki, asyik ikut nafsu ja.

Suami: Normal la tu, lagipun abang mampu.

Isteri: Taula abang kerja hebat. Gaji tinggi.

Suami: Tahu takpe.

Isteri: Abang tak peduli hati darling pun.

Suami: Abang dah tengok gambaq. Lagi lawa. Putih lak tu.

Isteri: Cukupppp bang, cukup. Kalau itu keputusan abang, darling tak boleh halang. Darling harap abang bahagia dengan bakal isteri baru. Biarlah darling pendam rasa.

Suami: Apa yang darling melalut ni. Abang nak beli estri (S3) laaa bukan nak isthree. Ish darling ni. Estu (S2) abang cam tak best dah la. Dah dah, pergi mandi cepat. Kang lepas solat Maghrib ikut abang. Kita pi kedai beli.

Isteri: Kus semangat (tersengih sambil ambil tuala lalu masuk bilik air untuk mandi).

Gambar Sekitar Ceramah Belia Wanis & Makna Diri, 4 Jun 2012




04 Jun 2012

Wa La Taqrabu al-Zina

Hari ni UF dijemput oleh Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star untuk bagi ceramah kerohanian kepada remaja-remaja perempuan yang pernah berzina. Kursus sehari ni dikendalikan oleh dua anak murid UF yang sedang menjalani praktikal di Unit Hal Ehwal Islam hospital tu. Remaja-remaja ini terdiri daripada mereka yang ditempatkan di sebuah rumah perlindungan untuk remaja bermasalah dan sebahagian kecil individu-individu yang sukarela untuk datang. Kesemua mereka adalah kes yang dirujuk ke unit Hal Ehwal Islam hospital.

Seminggu dua sebelum ni, UF dok fikir macam mana nak hadapi dan berceramah kepada golongan remaja begini. Ini memandangkan kali pertama UF berinteraksi dengan mereka. Sebelum ni hanya membaca cerita mereka dalam akhbar atau melalui tv atau radio sahaja.

UF bertolak dari USM jam 7 pagi dan sampai di hospital Alor Star jam 8.30. Slot UF bermula jam 9 pagi.  Bila UF melangkah masuk ke bilik seminar dan melihat wajah para remaja tu, hati jadi sayu. UF dimaklumkan yang paling muda dalam group tu ialah umur 14 tahun.

Dalam interaksi UF dengan mereka, UF agak terkejut bila ada 3-4 orang yang pernah melakukan zina dengan pasangan mereka lebih daripada 10 kali. Hampir separuh (daripada 39 orang) pernah berzina lebih 5 kali dan hampir semua pernah melakukannya lebih daripada sekali. Hanya 2 orang daripada para peserta tu yang pasangannya mahu bertanggungjawab. Seorang sudah bertunang dan seorang lagi dah berkahwin kerana tidak mahu pasangannya dipenjarakan atas alasan kesiankan pasangannya (namun UF dimaklumkan selepas itu yang remaja ini dalam proses perceraian).

UF bukanlah pakar sangat nak bagi motivasi atau kaunseling kepada golongan ni, tapi sekurang-kurangnya ini pengalaman berharga buat UF. Semoga Allah merahmati para peserta pada hari ini dan mengampunkan dosa-dosa mereka, serta merahmati semua yang ingin membantu mereka.




31 Mei 2012

Atlit Sukan Olimpik Tak Puasa?

Dalam Berita Harian 29 April 2012 (Selasa) ada disebut komen Tan Sri Harussani Mufti Perak tentang atlit muslim Malaysia yang akan bertanding dalam sukan Olimpik London 2012 dalam bulan puasa. Ia adalah komen beliau tentang kenyataan Azizul Hasni Awang, pelumba basikal negara yang beliau terpaksa menangguhkan puasa (tidak berpuasa) ketika sukan Olimpik nanti.

Kebetulan pula UF telah dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyediakan satu garis panduan fiqh kepada atlit dan juga pegawai yang akan menyertai sukan Olimpik London 2012. Sukan Olimpik itu nanti akan berlangsung dalam bulan Ramadan. Garis panduan itu telah pun UF siapkan dan disemak oleh Us. Zaharudin bin Mohamad (Bank Negara), Us. Faisal bin Ashaari (Jabatan Dakwah, FPI, UKM), Us. Muhammad Najib bin Abdullah (Fakulti Syariah & Undang-Undang, USIM) dan Us. Azhar bin Yahya (Fakulti Syariah, KUIZM).

Garis panduan khusus kepada atlit sukan Olimpik London 2012 ini mengandungi lima bahagian iaitu:
1. Bersuci.
2. Solat Jamak dan Qasar.
3. Puasa.
4. Aurat.
5. Makanan Halal.

Ia disediakan sebagai rujukan asas kepada atlit dan pegawai tentang perkara di atas dan yang berkaitan dengannya. Penyediaan garis panduan ini lanjutan daripada ceramah atau taklimat UF tentang ibadat (solat dan puasa) dalam sukan untuk atlit sukan universiti dunia pada tahun lepas yang juga diadakan dalam bulan puasa.

Apabila pihak MSN mohon kerjasama UF untuk buat garis panduan bertulis dan lengkap, UF menyahut cabaran dan tugas besar ini. Ia lebih kepada tanggungjawab UF bersama rakan-rakan lain untuk menyediakan panduan fiqh kepada mereka yang terlibat dalam sukan terutama sukan berprestij tinggi.

Dalam perbincangan panel, kami bersetuju supaya garis panduan ini merujuk kepada qaul mazhab Syafie dahulu sebagai menghormati amalannya di Malaysia. Kami juga cuba "berijtihad" dengan memberi pentarjihan (cadangan) kami sendiri dalam perkara-perkara khilaf. Ini untuk memudahkan pemahaman atlit dan pegawai yang pastinya akan pening dengan permasalahan khilaf ulama. Garis panduan ini akan diserahkan (1 Jun 2012) kepada pihak JAKIM untuk penilaian dan pengesahan.  

Berbalik kepada isu puasa dan sukan Olimpik, antara dawabit (syarat) yang digariskan oleh panel ialah:

i. Secara asasnya, meneruskan puasa ketika bermusafir adalah lebih baik.

ii. Namun orang yang bermusafir (termasuk atlit dan pegawai sukan Olimpik London 2012) diberi keringanan untuk berbuka puasa walaupun tidak letih. Walau bagaimanapun, meneruskan puasa adalah lebih baik.

iii. Boleh berbuka puasa ialah kerana "sebab" perjalanan (musafir) bukan kerana "sebab" bersukan.

iv. Sesiapa yang berbuka puasa ketika bermusafir, wajib qada’ (ganti) puasa tersebut pada hari lain.

v. Sukan yang tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti memanah, menembak, snooker, catur dan lain-lain lebih baik meneruskan puasa dan tidak perlu berbuka.

vi. Sukan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti bola sepak, hoki, badminton dan lain-lain digalakkan juga untuk meneruskan puasa.

vii.    Jika perlu berbuka, maka ia dibolehkan dengan syarat:

a. Atas nama perjalanan (musafir).
b. Perjalanan (musafir) yang harus, bukan kerana maksiat.
c. Hanya pada hari latihan atau pertandingan yang berlangsung pada waktu siang.
d. Wajib qada’ (ganti) puasa pada hari lain.

Para ulama telah menyatakan illah (sebab) bolehnya berbuka puasa ketika musafir ialah kerana sifat musafir itu sendiri, bukannya masyaqqah. Ini kerana masyaqqah (rasa letih/sukar dll) bukan illah yang mundabitah (tidak konsisten). Maka kenyataan Azizul untuk tidak berpuasa ketika sukan Olimpik nanti tidak salah kerana dia dalam keadaan bermusafir.

Diharapkan garis panduan yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada para atlit muslim. Ia untuk menunjukkan Islam juga ada penyelesaian dalam isu-isu sukan.

Apa yang baik itu datang daripada Allah. Jika "ijtihad" kami betul, Alhamdulillah. Jika ia salah, kami beristighfar kepada Allah.

17 Mei 2012

Dimashqu (24)

Hari ke tiga aku di Syria (Ahad), aku pergi sendirian ke Fakulti Syariah, Universiti Damascus. Aku tidak sabar untuk berjumpa dengan dengan dr. Tawfiq dan bertanyakan urusan lanjut pendaftaranku sebagai pelajar Ph.D di situ. Rosli tidak dapat menemanku kerana dia ada hal. Berbekalkan pengalaman naik service kelmarin, aku memberanikan diri pergi sendiri.

Sampai aku di Universiti Damascus, aku terus mencari Dr. Tawfiq tapi dia belum sampai. Aku mundar mandir di depan lobi fakulti Syariah menunggu kedatangannya. Tidak lama kemudian aku terlihat seorang lelaki yang memakai songkok hitam masuk ke bangunan fakulti Syariah. Aku tidak pernah meilhat gambarnya dan tidak pernah bercakap dengannya. Hanya berhubung melalui emel, tapi aku yakin itulah Dr. Tawfiq Mohd Said Ramadan al-Buti.

Aku segera menerpa ke arahnya sambil memberi salam dan memperkenalkan diriku. Dia kelihatan terkejut dengan kehadiranku dan kami saling berpelukan seolah-olah sudah lama kenal. Dia mengajakku menemui pegawai yang bertanggungjawab di fakulti Syariah iaitu Madam (Puan) Qamar dan memperkenalkanku kepadanya.

Kemudian dia mengajakku ke biliknya untuk bersembang. Bilik pensyarah fakulti Syariah di situ tidaklah sehebat bilik-bilik pensyarah di IPTA Malaysia. Kalau di IPTA tempatan setiap seorang pensyarah akan mendapat satu bilik berserta perabot dan komputer. Di Universiti Damascus, pensyarahnya berkongsi bilik. Jadi, dalam bilik Dr. Tawfiq, terdapat 4-5 meja dan dia berkongsi bilik dengan pensyarah-pensyarah lain.

Bersambung...

06 Mei 2012

Fiqh Asas (11)

Haid, Nifas dan Istihadah

Darah yang keluar daripada faraj perempuan ada 3 jenis:

1) Darah haid.
2) Darah nifas.
3) Darah istihadah.

Haid ialah darah yang keluar daripada faraj perempuan ketika dalam keadaan sihat tanpa sebab beranak. Warnanya hitam, panas lagi memedihkan dan menyakitkan.

Nifas ialah darah yang keluar sejurus  kelahiran. Istihadah pula ialah darah yang keluar pada bukan hari-hari (waktu) haid dan nifas.

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam. Tempoh paling lama pula 15 hari dan kebiasaannya pula selama 6 atau 7 hari. Sekurang-kurang tempoh nifas ialah sekelip mata. Tempoh paling lama pula 60 hari dan kebiasaannya 40 hari.

Sekurang-kurang tempoh suci antara 2 haid ialah selama 15 hari dan tiada had bagi bagi banyaknya pula. Sekurang-kurang masa seorang perempuan itu berhaid ialah ketika berumur 9 tahun. Sekurang-kurang tempoh hamil ialah 6 bulan. Tempoh paling lama hamil ialah 4 tahun dan kebiasaannya pula selama 9 bulan.

Perkara-Perkara Yang Diharamkan Dengan Sebab Haid dan Nifas

Diharamkan dengan sebab haid dan nifas 8 perkara:

1) Sembahyang.
2) Puasa.
3) Membaca al-Quran.
4) Menyentuh al-Quran dan membawanya.
5) Memasuki masjid.
6) Tawaf.
7) Bersetubuh.
8) Beristimta’ antara pusat dan lutut.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

27 April 2012

Forum Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa 2012

Forum sempena Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa 2012 pada 12 April 2012.


Tajuk forum: "Pematuhan Terhadap Keputusan Fatwa" dibahaskan oleh tiga panel iaitu:

1) Tuan Musa Awang (Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia).

2) Dato' Dr. Musa Mohamad Nordin (Pakar Runding Pediatrik Hospital Pakar Damansara).

3) Dr. Irwan Mohd Subri (Ketua Program Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah Undang-Undang USIM).

Dipengerusikan oleh Ustaz Zakaria Othman (Pegawai Khas Ketua Pengarah JAKIM).

Lihat link berikut:

http://www.mobtv.my/islamic-1186.html

Sumber: http://www.mobtv.my

12 April 2012

Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

Adalah dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi telah bersetuju untuk melantik:

Y.Bhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor Hj. Husin

sebagai
"Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)"
   
Berkuatkuasa Mulai 1 April 2012

Pihak Pengurusan Tertinggi serta seluruh warga USIM
mengucapkan tahniah kepada Y.Bhg Tan Sri di atas pelantikan tersebut
dan sekalung penghargaan  kepada:

Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Hj. Md Noor
di atas segala sumbangan dan jasa  selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Usim yang pertama.

Sekian.

09 April 2012

Irfan 1 Tahun Dah....


8 April, Irfan sambut hari lahir yang pertama. Kullu sanah wa anta ilallah aqrabu, wa ala al-ibadat adwamu.

Moga jadi anak yang salih, amin!

06 April 2012

Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Di Malaysia (SKPPF 2012)


Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Di Malaysia (SKPPF 2012)

Tarikh : 12 April 2012 (Khamis)
Tempat : Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia
Anjuran: JAKIM & USIM

Atur Cara Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Di Malaysia

8.00 am : Pendaftaran Peserta
              : Sarapan Pagi

8.50 am : Ketibaan Tetamu Jemputan & Dif Kehormat

9.00 am : Ucaptama Seminar

Oleh : Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd. Shukor bin Hj. Husin
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Tajuk: “Ke Arah Penyelarasan Fatwa Di Malaysia”

9.30 pagi Sesi Pembentangan Kertas Kerja Sidang I

Kertas Kerja 1
Tajuk:Penjelasan Terhadap Kekeliruan Mengenai Fatwa Yang Diwartakan
Oleh:YB S.S Tan Seri Dato’ Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria
Mufti Negeri Perak

Kertas Kerja 2
Tajuk: Penyelarasan Fatwa: Isu, Masalah Dan Harapan
Oleh: YBhg. Prof Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Kertas Kerja 3
Tajuk: Analisa terhadap Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Pelanggaran Fatwa
Oleh :YBhg.Tuan Hj. Mahamad Naser bin Disa
Timbalan Ketua Bhg. Penasihat Syariah
Jabatan Peguam Negara

Pengerusi Sidang: Dr. Azman bin Ab Rahman
Timbalan Dekan
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

10.30 pagi Sesi Pembentangan Kertas Kerja Sidang II

Kertas Kerja 1
Tajuk: Realiti Dan Cabaran Tindakan Penguatkuasaan Fatwa Yang Telah Diwartakan
Oleh: Tuan Hj. Jaafar bin Hj. Ismail
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama
Negeri Pulau Pinang

Kertas Kerja 2
Tajuk: Kesan Kelemahan Sighah Fatwa Terhadap Pendakwaan Di Mahkamah Syariah
Oleh: Tuan Ibrahim bin Deris
Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan

Kertas Kerja 3
Tajuk: Pengalaman Pengendalian Kes Pelanggaran Fatwa Di Mahkamah Syariah
Oleh: Tuan Wan Mahyuddin bin Wan Muhammad
Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor

Pengerusi Sidang: Pn. Hajah Norliah binti Sajuri
Ketua Penolong Pengarah
Bhg. Penyelarasan Undang-Undang, Jakim

12.00 pm: Majlis Perasmian Seminar
Dirasmikan Oleh: YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B)
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

1.00 pm: Makan Tengahari dan Solat Zohor

2.30 pm: Forum "Pematuhan Terhadap Keputusan Fatwa"

Ahli Panel:
1) YBhg. Tuan Musa bin Awang
Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

2) YBhg. Dato’ Dr. Musa bin Mohamad Nordin
Pakar Runding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara

3) YBhg. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Ketua Program Fiqh Dan Fatwa
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, USIM

Moderator: Us. Zakaria bin Othman
Pegawai Khas Ketua Pengarah Jakim

4.00 pm: Pembentangan Resolusi & Penutup Seminar
Oleh: YBhg. Dato’ Hj. Othman bin Mustapha
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

4.30 pm: Minum Petang & Bersurai

Untuk pendaftaran sila hubungi 013-3543594

31 Mac 2012

Show Malam Apresiasi FSU USIM

Hajat untuk buat show solo akhirnya tercapai di Malam Apresiasi FSU pada 28 Mac 2012 lepas. UF nyanyikan lagu ciptaan sendiri yang bertajuk "Kuserahkan Jiwaku". Liriknya UF dah postkan sebelum ni. Selamat berhibur dan jangan komen banyak nooo...

29 Mac 2012

www.isla.my Sebagai Laman Komuniti Muslim Malaysia: Pengenalan Dan Sambutan Masyarakat


Dipetik daripada drhasanah.com:

Sudah setahun Islamy dibangunkan. Minggu lepas jumlah ahli berdaftar & sah telah melepasi aras ujian iaitu 2000 keahlian. Alhamdulillah feedback yang diterima sentiasa positif.

Berikut ialah abstrak satu kertas kerja yang pernah dibentangkan tentang Islamy. Kertas kerja ini telah dibentangkan pada tahun 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam satu seminar berkaitan dakwah media baru. Dalam kertas kerja ini, analisis sambutan yang dicerap dari google analytics telah dibentangkan.

Abstrak: Laman sosial kini menjadi satu trend perhubungan secara maya di seluruh dunia. Antara laman sosial yang terkenal di dunia ialah seperti Facebook, Friendster, Myspace dan lain-lain. Facebook contohnya mempunyai bilangan pengguna sehingga 600 juta ahli dari seluruh dunia dan nilai  syarikat mencecah USD41 billion. Satu persoalan yang harus difikirkan bersama, adakah laman sosial hanya berorientasikan perhubungan kosong antara ahli berdaftar? Atau ia boleh dijadikan sebagai satu platform yang lebih berguna khususnya kepada pengguna Islam. Artikel ini membincangkan satu laman sosial alternatif kepada pengguna khususnya di Malaysia iaitu isla.my atau sebutannya Islamy. Ia dibangunkan oleh seorang pensyarah dalam bidang pengajian Islam iaitu Dr. Hasanah binti Abd Khafidz. Apa yang lebih unik lagi isla.my merupakan laman sosial Islamik yang boleh menjadi satu platform dakwah kepada para penggunanya. Walaupun ia baru mula bertapak di Malaysia, isla.my boleh memainkan peranan yang penting terhadap penyebaran dakwah Islam di Malaysia”.

Banyak juga cabaran sepanjang membangunkan laman sosial Muslim ni. Paling berat sekali bila masuk bab nak kena ambil server. Kosnya… uhuk… uhuk…

Ya Allah, bukakanlah jalan…

Sebenarnya pada sambutan mawlid al-rasul tahun ini, laman Islamy telah dinaiktaraf dari beta kepada versi penuh. Banyak ciri baru telah diberikan nilai tambah berbanding versi beta. Semua ahli Islamy gembira dengan perubahan yang dibuat. Bagi saya, paling melegakan ialah versi baru ini loading lebih cepat. Itu sangat penting bagi laman sosial yang mempunyai ahli yang ramai.

Gambar di atas merupakan layout frontpage yang sedikit berbeza berbanding versi lama.

Kalau anda belum berkenalan dengan Islamy, sila lah intai-intai. Mana tahu, dari klik2 terus jatuh ke hati..

Jangan lupa add saya: http://www.isla.my/usulifaqih

26 Mac 2012

Saya Setuju!!!

Tahun 2003 (kalau tak silap), pelajar FSU (ketika tu FSK - Fakulti Syariah dan Kehakiman) buat lawatan sambil belajar ke persatuan pengguna Pulau Pinang (CAP). UF jadi pengiring mereka bersama us. Manan dan en. Asri (PP FST sekarang). Para pelajar bermalam di banglo/pejabat CAP bersebelahan sekolah menengah agama al-Mashoor, berdekatan dengan masjid negeri Pulau Pinang. Kami, pengiring pula tidur di sebuah lagi pejabat milik CAP, jauh sedikit daripada banglo tersebut.

Dalam lawatan dan program bersama CAP, alhamdulillah banyak isu-isu kepenggunaan didedahkan. Kata CAP, mereka menjalankan uji kaji sendiri di makmal-makmal swasta sebelum menghebahkan keputusan kepada awam. Walaupun dengan dana dan tenaga sukarelawan yang terhad tapi CAP tetap memperjuangkan isu-isu kepenggunaan sesuai dengan nama mereka.

Untuk kerja lapangan kami di bawa oleh CAP ke satu lokasi pembinaan apartment di lereng bukit (tak ingat di mana tempat tu) bersebelahan sebuah taman perumahan. Turut serta bersama kami ialah aktivis-aktivis dari Jepun. Pihak CAP minta kepada pelajar-pelajar untuk menemuramah penduduk taman perumahan yang terlibat dengan projek tersebut.

Jadi, para pelajar pun berselerak di kawasan perumahan tu bersembang dan menemuramah penduduk-penduduk yang sempat ditemui. UF bersama us. Manan pun turut bersembang dengan penduduk di situ sambil melayan mat-mat Jepun yang turut serta. Setelah sejam-dua, kami pun berkumpul dan masing-masing pun ceritalah hasil penemuan.

Daripada semua feedback yang kami dapat, boleh dikatakan semua penduduk tidak bersetuju dengan pembinaan apartment tersebut. Ia atas beberapa faktor, antaranya terlalu hampir dengan rumah mereka, jalan rosak akibat lori-lori besar, habuk, tanah merah yang mengotori jalan dan sebagainya.

Namun dalam ramai-ramai penduduk yang ditemui, ada satu rumah yang pelik sikit sebab dia setuju sangat projek tu. Pelajar yang menemuramah tuan rumah tu tanya, kenapa encik setuju pulak? Sebab: saya kontraktor projek tu... hehehe... patutlaaaa....

17 Mac 2012

2 Lagu Baru



SK Haji Mahmud Chemor Perak minta tolong UF untuk buatkan lagu nasyid untuk pertandingan nasyid. Berikut 2 lirik bagi lagu tersebut:

Al-Quran Sumber Kekuatan Ummah

Jika engkau bertanya, di manakah letaknya,
Kekuatan Hang Tuah, Laksamana Melaka,
Adakah pada nama, atau Taming Sarinya.

Jika engkau bertanya, di manakah letaknya,
Kekuatan ummah, adakah pada bangsa,
Atau pada agama, dengan iman dan taqwa.

Tidakkan berjaya ummah,
Jika tanpa panduan kalamullah,
Ibarat buih-buih di lautan,
Kan hancur berderai dilanggar sampan.

Indah taman kerna bunga,
Menarik pandangan melihatnya,
Indah ummah kerna Quran di dada,
Kan mampu menjulang nama Islam di dunia.

Ku Serahkan Jiwaku

Telah ku serahkan jiwaku ini,
Menjadi milik agama suci,
Menegak nama Islam tercinta,
Atau terkorban syahid di medan juang.

Patah kakiku sayapku ada,
Patah sayapku paruhku ada,
Patah paruhku semangatku ada,
Takkan berundur pantang menyerah,
Kan terus ku julang,
Panji-panji jihad,
Walau ku tinggal seorang diri.

Biar musuh beribu takkan ku gentar,
Dengan nusrah-Mu akan ku gegar,
Darahku mengalir semangat Badar,
Dengan laungan Allahu Akbar,
Ku percaya janji-Mu,
Untuk para pejuang,
Kemuliaan syurga menanti.

23 Februari 2012

Hari Yang Sedih

Pagi tadi UF ada kursus juruaudit di USIM. Sedang khusyuk mendengar ceramah fasilitator, tiba-tiba dapat panggilan daripada zaujah. Mula-mula angkat bagitau kat dia tengah kursus, tapi bila dia cakap sambil menangis, UF rasa lain macam dah.

Dalam tangisan sendu, zaujah bagitau yang degupan jantung anak dalam kandungan dah terhenti. Hari ni dia pi cek kat klinik ibu dan anak. Terus doktor refer zaujah ke Hospital Besar Penang. Ikut doktor kemungkinan besar anak dalam kandungan tu dah lama meninggal, cuma zaujah tak perasan. Bila UF dengar, jadi terkedu tak tahu nak kata apa. Jadi sebak sangat.

Tengahari tu terus balik rumah dan cuba booking tiket AirAsia online tapi tak boleh nak beli sebab kurang 4 jam. Terus bergegas ke LCCT dan dapat beli tiket pukul 3.35. Atas kapal terbang, bergenang juga air mata. Sampai Penang dalam 4.15.

Zaujah call dan bagitau yang doktor pakar di hospital confirmkan memang anak tu dah lama meninggal dan akan keluarkan anak tu pagi esok. Sampai rumah di USM, terus UF pi hospital. Sampai sana tambah sayu bila tengok zaujah merah mata kesan menangis.

Kasihan zaujah, Allah uji dia dengan dua ujian besar. Dulu pernah kehilangan suami, sekarang kehilangan anak. UF pun sedih sangat. Tak sempat Irfan nak tengok adik.

Ya Allah, syafaatkanlah diriku dan zaujah dengan anakku ini. Amin!

09 Februari 2012

Fiqh Asas (10)

Sapuan Ke Atas Balutan

Orang yang berbalut di anggota wuduk hanya perlu menyapu ke atasnya. Dia hanya perlu bertayammum dan sembahyang. Tidak perlu baginya mengulangi sembahyang sekiranya dia dalam keadaan bersuci (berwuduk) ketika meletakkan pembalut itu.

Namun disyaratkan dia mestilah bertayammum untuk setiap kali waktu fardu sembahyang masuk. Manakala sembahyang sunat, dia boleh melakukannya seberapa banyak yang dia mahu dengan satu tayammum sahaja.

Benda-Benda Najis

Setiap cecair yang keluar daripada kemaluan depan dan belakang adalah najis kecuali air mani. Membasuh semua air kencing dan tahi adalah wajib kecuali air kencing budak kecil yang tidak makan makanan kecuali susu ibunya (berumur sehingga 2 tahun). Air kencing budak kecil itu suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya.

Darah dan nanah adalah najis kecuali yang sedikit. Binatang yang tidak mengalir darahnya, apabila jatuh ke dalam bekas air lalu mati dalamnya, maka ia tidak menajiskan air itu.

Semua binatang adalah suci kecuali anjing, babi dan apa yang lahir daripada keduanya ataupun salah satu daripada keduanya. Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan, belalang dan manusia.

Mencuci Bekas Yang Terkena Jilatan Anjing Dan Babi

Bekas yang terkena jilatan anjing dan babi mesti dibasuh 7 kali. Salah satu daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah.

Najis-najis yang lain hanya dibasuh sekali sahaja, tetapi membasuhnya 3 kali adalah lebih baik.

Arak Yang Menjadi Cuka


Apabila arak menjadi cuka dengan sendirinya (tanpa diganggu) maka ia menjadi suci. Namun sekiranya ia menjadi cuka akibat dilemparkan sesuatu ke dalamnya maka ia tidak suci lagi.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

07 Februari 2012

Warkah Untuk Kekasih

Kekasih, maafkan diriku kerana sekian lama aku tidak pernah menyatakan cintaku padamu. Walaupun ku tahu kau amat mengasihiku, tapi entah kenapa aku seakan tidak mengendahkanmu.

Ku tahu kehadiranmu membawa cinta tulus suci, tapi aku tidak menghargainya seperti yang sepatutnya. Cintaku pada artis wanita lain dan dunia membutakan mataku. Aku alpa dan leka diulit maya percintaan fatamorgana.

Ku mengejar Siti Nurhaliza, namun apakan daya kini dia milik Khalid Jiwa. Bertahun ku tersiksa menanggung punah cinta asmara.  Ku beralih arah pula pada Wardina Safiyyah. Belum sempat ku menongkah, harapan ku musnah. Perjuangan ku kalah, mungkin tak cukup jampi serapah.

Sangkaku kali ini pasti berjaya, masakan tidak, segala mentera ku bertapa. Ku pertaruhkan harapan pada Waheeda. Mulanya seakan dapat ku gapai, tapi akhirnya berserabai, ku tewas pada Akil Hayy. Bak lagu Ezlyn, Ku cuba meng "hai hai" tapi yang ku dapat hanyalah "Bye Bye".

Kecewa...
Merana...
Tersiksa...
Sandiwara...

Kekasih...

Masih adakah ruang dihatimu buatku. Aku malu seribu malu, cinta di depan mata tak ku rebut, cinta rapuh yang ku kalut. Namamu tak ku sebut, nama yang lain ku serabut. Diriku diliputi noda dan sendu selut. Pada syurga di wajahmu, selayaknya di sana kau menunggu ku. Keagungan cintamu bertalu-talu cuba menyapa keras hatiku. Kasihmu tak pernah berhenti, cuma aku yang tak mahu mengerti.

Maafkan aku, apakah aku manusia jahat, berkulitkan manusia berhatikan syaitan bangsat. Hari lahirmu pun ku tak ingat.
Kekasih...

Dalam kesempatan nafas yang berbaki, maafkan diriku. Aku malu tapi mahu sentuhan dan belaian daripadamu.

Apakah masih ada belas buatku, walau dirimu lama ku tak peduli. Di sana nanti, ku pohon agar kau pandanglah wajahku, kasihanilah jiwaku, sapalah nuraniku, syafaatlah diriku wahai kekasihku Ya Rasulallah!!!!

02 Februari 2012

Aina al-Saadah?

Dengarkan lagu "Baik-Baik Sayang" Wali Band dalam versi arab:

AINA AL-SAADAH
أين السعادة
لو كانت نفسي حزينة
عن ظلال الرحمن بعيدة
وأين الرحمة
لو كانت نفسي مذنبة
وإلى اللهو نفسي قريبة
هب لي يا الله
حلو نور السكينة
اجعل لي حياة حسنة
واحد إثنان ثلاثة
أرجو منك المغفرة
على جميع ذنوبي في الحياة
أربعة خمسة ستة
إليك مني الندامة
تسيل دموعي خوفا منك يا الله

06 Januari 2012

SBPA Menganaktirikan Pensyarah?

(RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam)

PUTRAJAYA: Majlis Persatuan Kakitangan Akademik (MPKA) Malaysia yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah gred 54 ke bawah di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pelarasan gaji mengikut Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilihat meminggirkan mereka. Pengerusi MPKA Malaysia, Prof Madya Dr Razli Che Razak, berkata kajian semula itu perlu kerana peralihan tangga gaji dari Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke SBPA untuk kakitangan akademik bergred DS54, DM54, DU54 dan DUG54 ke bawah didapati meminggirkan prinsip kesarjanaan dan kekananan seseorang kakitangan akademik di IPTA. Beliau berkata, MPKA melihat pelarasan gaji berkenaan sepatutnya mengambil kira aspek kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah dalam pelaksanaan SBPA supaya ia adil kepada semua pihak.


“Jika kita lihat kembali pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam mesti antara tujuh hingga 13 peratus daripada gaji mereka mengikut SSM, tetapi ia tidak berlaku kerana hasil analisis mendapati peningkatannya (mengikut SBPA) hanya kira-kira tiga peratus.

“Malah, jika dilihat dari segi gaji permulaan pensyarah gred DS45 mengikut SSM dan SBPA, kenaikan hanya RM3.90 iaitu daripada RM2,546 kepada RM2,550. Bagi kenaikan gaji gred 52 dan 54 pula tidak mengambil kira aspek kekananan dan tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil MPKA dari seluruh negara di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, MPKA mendesak JPA melantik sekurang-kurangnya tiga wakilnya menganggotai Majlis Bersama Kebangsaan tanpa kekangan gred dan tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan profesional atau bukan.

Selain itu, Razali berkata, JPA perlu mempertimbangkan pemberian insentif baru kepada kakitangan akademik berdasarkan status universiti atau kepakaran seperti Universiti Penyelidikan atau Universiti APEX menerusi pelaksanaan pemberian insentif di bawah SBPA pada 2013.

“Kita juga berharap JPA akan mengkaji semula dan mengubah frasa opsyen dalam surat tawaran SBPA yang bertulis ‘muktamad’ kerana ia dilihat sebagai paksaan dan tidak membenarkan rundingan,” katanya.

Berikutan itu, MPKA bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, yang turut hadir berkata, beliau menyokong tindakan MPKA itu dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia mampu menjamin kebajikan kakitangan akademik di negara ini.

“Kebajikan kakitangan akademik amat penting kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti di Malaysia.

“Justeru, CUEPACS berharap JPA turut mengambil kira desakan dan pandangan kakitangan akademik di IPTA dalam perbincangan mereka tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online.

03 Januari 2012

Bengkel Kajian Kes

Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKAUSIM) akan menganjurkan bengkel "Kajian Kes" (Case Study) khusus kepada pensyarah-pensyarah Pengajian Islam USIM. (Pensyarah bidang lain pun dialu-alukan).

Bengkel tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 10 Januari 2012
Hari: Selasa
Masa: 8.30 am - 12.30 pm
Tempat: Bilik Mesyuarat Utama FSU

Penceramah/Fasilitator: Dr. Irwan Mohd Subri (Presiden PKAUSIM)

Dalam bengkel ini juga akan dilancarkan "Kumpulan Penulis Kajian Kes Pengajian Islam" (KALAM) Insya Allah.

Yuran dikenakan sebanyak RM 20.00 sebagai komitmen (termasuk makan dan bahan bengkel).

Aturcara Bengkel

8.30 am: Pendaftaran
9.00 am: Sesi 1: Apa itu Kajian Kes (Case Study)?
10.00 am: Rehat / Kudapan
10.20 am: Sesi 2: Penyediaan Kajian Kes (Case Study) Dalam Bidang Pengajian Islam.
11.20 am: Sesi 3: Bagaimana Mengendalikan Kajian Kes (Case Study) Dalam Kelas?
12.20 pm: Pelancaran  "Kumpulan Penulis Kajian Kes Pengajian Islam" (KALAM)
12.30 pm: Makan Tengahari / Bersurai

Kepada yang berminat sila daftar segera kerana tempat adalah terhad.