31 Oktober 2011

Fiqh Asas (9)

Syarat-Syarat Tayammum

Syarat-syarat tayammum ada 5 perkara:
1)    Ada keuzuran disebabkan musafir atau sakit.
2)    Masuk waktu sembahyang.
3)    Mesti mencari air terlebih dahulu.
4)    Tidak mendapati air selepas mencarinya atau tidak boleh menggunakan air untuk berwuduk kerana sakit.
5)    Mesti menggunakan tanah yang suci lagi berdebu. Sekiranya tanah itu bercampur dengan kapur putih atau pasir maka tidak boleh menggunakannya untuk bertayammum.

Rukun-Rukun Tayammum

Rukun-rukun tayammum ada 4 perkara:
1)    Niat.
2)    Menyapu muka.
3)    Menyapu 2 tangan termasuk siku.
4)    Mengikut tertib.

Sunat-Sunat Tayammum

Sunat-sunat tayammum ada 3 perkara:
1)    Membaca Bismillah.
2)    Mendahulukan anggota kanan atas anggota kiri.
3)    Berturut-turut.

Perkara Yang Membatalkan Tayammum

Perkara yang membatalkan tayammum ada 3 perkara:
1)    Perkara yang membatalkan wuduk.
2)    Ternampak atau mendapati air sebelum sembahyang.
3)    Murtad.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

04 Oktober 2011

Biar Betul???

UF toleh kanan, nampak wajah budak muda... toleh kiri lihat lelaki yang berumur dan pakcik tua. Dalam hati UF kata, biar betul? Betulkah apa yang dilihat ni.... mimpikah UF? Tapi itulah hakikatnya...

Ya, itulah realitinya penghuni PUSPEN atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik atau senang cerita pusat serenti untuk penagih dadah. UF dipanggil untuk membantu dan melatih pelatih PUSPEN Dengkil untuk pertandingan nasyid peringkat Zon Tengah.

Tidak lama dulu pun UF pernah dijemput berceramah di situ. Pertama kali masuk ke PUSPEN memang berdebar. Namun bila masuk ke situ, hati memang sayu melihat begitu ramai anak bangsa "berjaya" menjejakkan kaki ke "universerenti". Tua muda semuanya ada.

Tapi sambutan pelatih masa ceramah hari tu dan juga masa training nasyid amat baik. Mereka begitu hormat kepada UF. Terasa macam mengajar budak-budak pondok dan sebab tu terkadang rasa macam tak percaya yang UF berada dalam PUSPEN. Staf agama PUSPEN pun terharu bila UF dan pembantu UF (Azizi vokalis kumpulan INSTINCT dan Syamil Drummer USIM) bergaul dan melayan pelatih macam rakan baik.

Takda la pula dalam hati UF ni nak pandang hina dan jijik pada pelatih PUSPEN. Sebabnya rasa tanggungjawab dan amanah untuk bantu mereka pulang ke pangkal jalan. Berjaya atau tidak mereka selepas keluar dari PUSPEN bergantung kepada kekuatan dalaman dan pernerimaan keluarga serta masyarakat terhadap mereka.

Pesan UF kepada mereka, kuatkan iman dan azam untuk menjadi hamba Allah yang baik. Walaupun anda telah melakukan kesilapan dalam hidup anda bila terlibat dengan najis dadah, tapi belum terlambat untuk memperbaiki diri bila keluar nanti.

------

PUSPEN Dengkil adalah johan menanti dalam pertandingan nasyid zon tengah dua tahun lepas dan mendapat tempat keempat peringkat kebangsaan. Pertandingan tu akan diadakan pada 19 Oktober 2011 di Tampin, Negeri Sembilan.

Nak dengar lagu yang UF latih mereka, sila lawati www.isla.my

1 Malaysia 1 Ummah

Telah tersohor seantero dunia
Nusantara hinggalah ke Andalusia
Bukan khayalan mahupun fantasia
Gagasan kita 1 Malaysia

Perpaduan rakyat dijulang gagah
Nilai yang buruk harus disanggah
Memantapkan syakhsiah jati diri yang indah
Menuju 1 ummah

Bukannya mudah untuk berjaya
Pasti ada banyak halangannya
Yang penting kita bekerjasama
Berkorban jiwa dan raga

Ingat ingat amanah yang amat berharga
Masa hadapan negara di tangan kita
Jangan jangan khiyanati perjuangan
Kelak kita hilang kebebasan

Lirik & Lagu:
Irwan Mohd Subri