International Conference on Humanities 2011

15 Jun 2011

International Conference on Humanities 2011


Hari ini UF bentang kertas kerja dalam International Conference on Humanities 2011 yang diadakan di Royalpark Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang. Seminar selama 3 hari bermula 14-16 Jun 2011 dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Pulau Pinang.

Kertas kerja UF bertajuk "Nilai Kemanusiaan Dalam Sistem Agihan Zakat: Kajian Ke Atas Pelaksanaan Agihan Zakat Untuk Ibn Al-Sabil" ditulis bersama oleh Dr. Hasanah Abd Khafidz, Pensyarah Kanan, Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian ilmu Kemanusiaan, USM.

Abstrak

Ayat qat'i al-thubut dan qat'i al-dilalah dalam Surah al-Tawbah menjelaskan bahawa dana zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan sahaja, iaitu fakir, miskin, para amil, mualaf, fi al-riqab, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn al-sabil. Ketentuan ini tidak dapat disangkal lagi mempunyai impak yang besar dalam masyarakat sama ada yang berbentuk ekonomi, pengurusan, pembangunan sosial, dakwah dan juga kemanusiaan. Kertas kerja ini akan membincangkan asnaf ibn al-sabil dengan memberikan fokus kepada nilai kemanusiaan yang wujud dalam sistem agihan zakat untuk asnaf tersebut. Kajian juga akan membincangkan tentang pelaksanaan agihan zakat untuk asnaf ibn al-sabil untuk mengetengahkan bentuk-bentuk agihan yang dahulu pernah dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W, begitu juga yang terdapat dalam sumber tekstual fiqh Islam. Seterusnya kertas kerja ini akan membincangkan bentuk-bentuk agihan untuk asnaf ibn al-sabil pada masa sekarang dengan menekankan nilai kemanusiaan dalam setiap agihan selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak nas dan maqasid al-syariah.

Kata kunci: zakat, ibn al-sabil, kemanusiaan, agihan, asnaf
Bidang: Pengajian Islam (Zakat)

Tiada ulasan