Apa Itu Kajian Kes (Case Study)?

27 Jun 2011

Apa Itu Kajian Kes (Case Study)?




“Kajian Kes” adalah cerita yang digunakan sebagai bahan pengajaran yang menggarapkan pengaplikasian teori atau konsep terhadap situasi sebenar yang berlaku. Pelbagai displin ilmu telah menggunakan “Kajian Kes” termasuk bidang kemanusiaan, sains sosial, sains, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan dan perubatan (http://www. vanderbilt.edu/cft/resources/gleanings/ casestudies/).

Muhamad Muda (2003: 3) mendefinisikan “Kajian Kes” sebagai “satu deskripsi tentang sesuatu situasi, dan semestinya yang telah/sedang berlaku serta boleh menjadi pengajaran”. Ia adalah alat pembelajaran berkesan yang berupaya membentuk kemahiran membuat keputusan, berfikir, berinteraksi dan bekerja secara berpasukan. Surjit Singh dan Osman Md. Zain (t.th: 1) pula memberi takrifan, “Kajian Kes” ialah satu “metode latihan yang menggunakan kes-kes sebagai bahan pengajaran”.

Metode kajian ini digunakan secara meluas dalam bidang perundangan dan perubatan. The University of Chicago Department of Sociology, di Amerika Syarikat, telah mempelopori “Kajian Kes” diawal abad 1900 sehingga 1935. Malangnya, terdapat segelintir cendekiawan mempersoalkan aspek kebolehpercayaan (reliability) metod ini berdasarkan penggunaan satu sampel sahaja atau sampel bersaiz kecil dan ketidakmampuan dapatan kajian untuk digeneralisasikan kepada umum.

Selepas 1935, penggunaan “Kajian Kes” semakin berkurangan kerana peralihan dunia penyelidikan kepada kaedah kuantitatif. Walaubagaimanapun, kekangan yang terdapat pada metod kuantitatif, menukar lensa dunia penyelidikan kepada bentuk “Kajian Kes” pada tahun 1965 (Tellis, 1997: 3). Sehingga hari ini, Harvard University adalah universiti tersohor dalam menggunakan kajian kes sebagai wadah utama pembelajaran. Terkini, pelajaran Sains, Pendidikan, ICT, Ekonomi, Perniagaan dan Pemasaran mempunyai banyak laman web yang menawarkan sampel-sampel kajian kes untuk dimuat-turun secara percuma bagi tujuan pedagogi dan endragogi.

Terdapat lima kategori kes yang terdiri daripada kes berbentuk:
- Masalah/Keputusan (Problem/Decision).
- Penilaian (Appraisal).
- Sejarah (Case Histories).
- Catatan Industri (Industry Notes).
- Kes Bersiri/Berkelompok (Series Cases).

Setiap bentuk kajian kes mempunyai kelebihan tersendiri. Kes boleh ditulis berdasarkan kesesuaian bidang berkenaan dengan objektif pembelajaran.

“Kajian kes” tidak lari dari skop dan metodologi kajian-kajian lain. Ia berbentuk deskriptif dan tertakluk kepada unsur-unsur kesahan dan kebolehpercayaan (validity and reliability) sebagaimana kesemua metod kajian yang lain. “Kajian Kes” sebagai wadah pembelajaran menghuraikan suatu teori dalam jangkamasa yang pendek, tetapi diolah dengan cara yang menarik dan tersendiri untuk menepati suasana kuliah yang lazimnya mengambil masa tidak lebih dari dua jam.

Para pelajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencerakinkan kes yang diberi dan mencari pendekatan terbaik untuk mendapatkan penyelesaian win-win-win. Proses pembudayaan ilmu (Ad-Tadayyun) secara kajian kes akan memperkasakan pembentukan kognitif (pengetahuan), afektif (keperibadian) dan psikomotor (kemahiran) individu (Muhamad Muda, 2003: 3).

Tujuan asas penggunaan metode kes sebagai strategi pengajaran ialah bertujuan untuk “memindahkan tanggungjawab belajar daripada guru, kepada pelajar yang memainkan peranan dan hasilnya ia dapat menukar penyerapan pasif ke arah pembangunan aktif”. Melalui perbincangan kes secara teliti, pelajar dapat mengenal pasti punca masalah, mengenali pembuat keputusan dan agendanya dan menjadi peka terhadap keadaan persekitaran yang menyumbang kearah keputusan yang diambil dalam kes tersebut.

Pelajar juga didorong untuk membuat keputusan berdasarkan analisa mereka sendiri dan mengaplikasi pengetahuan mereka tentang teori-teori masalah tersebut. Di samping itu juga, pelajar mampu menyelesaikan masalah-masalah yang lebih rumit dengan cara mengenalpasti dan menganalisa faktor-faktor penting, mampu mencambahkan idea, menyelaraskan idea dengan fakta sebenar dan menggabungkan idea tersebut secara kreatif.

Perbincangan kes juga dapat membantu para pelajar untuk menghadapi masalah yang timbul dalam situasi dan krisis dunia yang sebenar dengan fakta kes yang digarap berdasarkan simulasi keadaan sebenar (contohnya situasi bilik kuliah, dewan, mahkamah atau hospital). Dengan demikian, melalui pendedahan terhadap kajian kes, para pelajar berpeluang untuk mengasah tahap profesionalisme mereka melalui cabaran, keperitan dan pengalaman sebenar dan liputan dari dapatan kajian orang lain.

Kelebihan metode kajian kes adalah para pelajar didedahkan kepada realiti hidup yang benar-benar berlaku, yang mungkin tidak pernah dan tidak akan mereka alami di luar kuliah. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang tertarik untuk mengkaji kesan kemiskinan kepada pencapaian akademik pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya, dapat mengakses dan menganalisa maklumat daripada sekolah-sekolah yang berbeza di Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak tanpa perlu meninggalkan bilik kuliah.

Metode kajian kes juga menggabungkan idea individu dan idea ahli-ahli kumpulan di mana para pelajar saling bergantung dan belajar daripada satu sama lain. Idea-idea yang dicerna akan dikupas bersama melalui perdebatan dan pertikaian ahli-ahli kumpulan dan dilontarkan semula untuk dimurnikan bersama. Kesimpulannya, para pelajar mampu berdikari dan mempunyai kemahiran untuk merumus soalan sekaligus meningkatkan pemahaman proses pembelajaran mereka (http://writing.colostate.edu/references/research /casestudy/com2a3.cfm).

Kes yang baik mempunyai unsur pengajaran yang boleh dipelajari daripada masalah yang timbul, adanya masalah atau keputusan yang perlu diselesaikan, terdapat pembuat keputusan, fakta kes lengkap dan jelas dan diolah berdasarkan konvensyen penulisan kes serta menarik perhatian pelajar untuk melibatkan diri dalam perbincangan kes itu (Muhamad Muda 2003: 7). Kes-kes yang baik juga mempunyai ciri-ciri berikut; cerita yang baik, terkini, ada dialog, mewujudkan empati terhadap watak utama, relevan kepada pembaca, memenuhi fungsi pengajaran dan bersifat umum (http://www.vanderbilt.edu/ cft/resources/gleanings/casestudies/).

Kajian Kes (Case Study) Dalam Bidang Pengajian Islam

UF telah menyiapkan satu “Kajian Kes” yang bertajuk “Pencegahan SARS” (Irwan(a) 2003: 1-9) beserta Panduan Mengajar (Teaching Guide) kes ini (Irwan(b) 2003: 1-6). Kajian kes ini boleh digunakan sebagai sampel atau bahan pengajaran di dalam bilik-bilik kuliah dan tutorial. Ia bukan sahaja sesuai digunakan dalam bidang pengajian Islam, bahkan ia juga sesuai untuk bidang ekonomi, pengurusan, perubatan dan yang berkaitan dengannya.

UF telah membahagikan Kajian Kes “Pencegahan SARS” ini kepada lima bahagian iaitu mukaddimah, fakta, kronologi, kesan dan tindakan lanjut yang sewajarnya diambil. Penulis telah menyediakan maklumat yang mencukupi sebagai asas kepada pelajar untuk memahami perkara yang perlu dibincangkan. Untuk bahan pengajaran subjek Usul Fiqh, penulis memfokuskan konsep Siyasah Syar’iyyah yang berpaksikan Maslahah Syar’iyyah dalam langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani masalah wabak SARS yang melanda negara awal tahun 2003.

Para pelajar perlu membincangkan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani wabak SARS, samada ia menepati Maslahah Syar’iyyah ataupun tidak dan seterusnya perlu menyokong dakwaannya itu dengan dalil-dalil nas ataupun kaedah-kaedah fiqh.

Sebagai contoh, antara langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan dalam menghadapi SARS ialah pembekuan visa perjalanan bagi pelawat dari negara-negara yang terjejas teruk akibat SARS. Dari satu sudut, sekatan ini dapat mengawal kemasukan pesakit SARS dari menyebarkan virus itu kepada masyarakat Malaysia. Namun dari sudut yang lain, sekatan itu menghalang para pelabur masuk ke Malaysia yang mungkin akan menjejaskan ekonomi negara dan akan menjejaskan sektor pelancongan akibat tiada pelancong yang dibenarkan masuk daripada negara-negara yang dijangkit SARS.

Contoh kedua ialah kuarantin ke atas individu yang disyaki dijangkiti SARS sekurang-kurangnya sepuluh hari. Pesakit yang dikuarantin akan diasingkan di tempat khas dan tidak dibenarkan bergaul dengan pesakit-pesakit biasa atau pelawat kerana virus SARS mudah berjangkit. Dalam isu kuarantin ini para pelajar dihadapkan dengan dua situasi iaitu, sekiranya individu itu dikuarantin, ia dianggap mengongkong hak individu, tetapi kalau dia dibiarkan tanpa kawalan, berkemungkinan virus SARS akan merebak kepada orang lain. Di sini para pelajar akan memberi pandangan masing-masing berkenaan isu ini berdasarkan dalil-dalil nas dan kaedah-kaedah fiqh untuk merealisasikan Maslahah Syar’iyyah dalam langkah pencegahan yang diambil.

Pendekatan “one way traffic” yang diamalkan selama ini oleh kebanyakan pengajar subjek Usul Fiqh bersifat “spoon feeding”. Kebanyakan pelajar sukar memahami dan cepat lupa apa yang dipelajarinya dalam kelas. Metode begini juga tidak membangunkan pemikiran kritis para pelajar. Berbanding metode “Kajian Kes” yang lebih bersifat kendiri pelajar dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Ia dapat menarik minat para pelajar untuk turut serta dalam perbincangan kes yang dibentangkan. Hasilnya pelajar dapat memahami pelajaran dengan lebih efektif kerana mampu menggabungkan teori dan praktikal sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar. Ini kerana Kajian Kes amat berguna dalam menggalakkan perbincangan mengenai cara terbaik dan strategi penyelesaian masalah-masalah (http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci54625 6,00.html).

Bentuk pengajaran “Kajian Kes” lebih sesuai jika jumlah pelajar adalah kecil dan kerusi-meja di susun atur bulat supaya setiap pelajar dapat berhujah dengan bernas mengikut simulasi keadaan kes tersebut. Pelajar diberi peluang untuk mengutarakan pandangan masing-masing dan pensyarah hanya perlu bertindak sebagai fasilitator. Di akhir sesi, tiada resolusi yang dianggap benar atau salah. Para pelajar dianggap telah memainkan peranan masing-masing dengan jayanya sekiranya mereka dapat mengaplikasikan teori yang sepatutnya digunapakai semasa perbincangan kes tersebut.

Kejayaan metod kajian kes ini bergantung kepada cara pembelajaran mahasiswa di institusi pembelajaran terbabit. Menurut kajian Victoria Salin pada tahun 2001, mahasiswa boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama, “Dependent learner”, “Collaborative learner” dan “Independent learner”. Kumpulan pertama akan bertindak pasif dan menanti arahan, kumpulan kedua akan melibatkan diri secara aktif didalam perbincangan dan kumpulan ketiga akan cuba untuk mengubahsuai kandungan dan struktur kes semasa perbincangan. Fasilitator perlu bijak mengenalpasti kategori pelajar dan menggunakan pendekatan yang bersesuaian.

Yin (1994: 75) pula mencadangkan agar mahasiswa digalakkan memahami pendekatan kaedah kajian kes itu sendiri dengan penekanan terhadap aspek-aspek berikut:
- Membincangkan sinopsis kes (mengenalpasti objektif dan isu utama kajian).
- Melakukan Kajian Lapangan.
- Soalan-soalan (soalan spesifik yang perlu dikenalpasti oleh penulis kajian kes).
- Cara menulis laporan akhir Kajian Kes (format kes, konvensyen penulisan kes).

Para penulis “Kajian Kes” perlu melengkapi “Kajian Kes”nya dengan satu set Panduan Mengajar (Teaching Guide) yang mengandungi sinopsis, objektif, kumpulan sasaran berserta panduan terperinci pengendalian kes tersebut, termasuk strategi memimpin kes, soalan dan penyelesaian. Panduan Mengajar ini hanya diberikan kepada pengajar atau fasilitator yang menngendalikan kelas dan tidak diberikan kepada para pelajar. Ini untuk memudahkan pengajar atau fasilitator yang menggunakan kes itu dalam pengajarannya.

Pengajaran yang menggunakan metode “Kajian Kes” dapat mengubah suasana bilik kuliah daripada keadaan muram kepada keadaan yang ceria dengan adanya “brain storming” di kalangan para pelajar. Di samping dapat melatih mereka berinteraksi, berkomunikasi, berdebat dan melahirkan pendapat, mereka juga akan berasa bangga kerana diberi peluang bertindak sebagai penyelesai masalah. Sewajarnya pengajar menghargai pendapat mereka dan tidak menghentam mereka jika pendapat mereka salah, kerana tujuan “Kajian Kes” bukanlah untuk mencari siapa benar dan siapa salah.

BIBLIOGRAFI

Irwan Mohd Subri. 2001. Metode Ahl al-Ra’y dan Ahl al-Hadith Dalam Mengistinbatkan Hukum Dan Pengaruhnya Terhadap Imam-mam Empat Mazhab. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Irwan Mohd Subri et al (a). 2003. Pencegahan SARS. Kajian Kes. Universiti Sains Islam Malaysia.

Irwan Mohd Subri et al (b). 2003. Pencegahan SARS. Panduan Mengajar. Universiti Sains Islam Malaysia.

Muhamad Muda. 2003. Apa Itu Kajian Kes? Kertas Kerja. Dibentangkan di Bengkel Penyelidikan dan Penulisan Kes Siri I. Universiti Sains Islam Malaysia. 5-6 Mac.

Muhammad Ismail Ibrahim. 1978. A’immah al-Madhahib al-Arbacah: Abu Hanifah, Malik, al-Shaficiyy, Ibnu Hanbal. t.tp: Dar al-Fikr al-cArabiyy.

Surjit Singh & Osman Md. Zain. t.th. The Case Method And Types Of Cases. Artikel.

Tellis, W. 1997. Introduction to case studies. The Qualitative Report [On-line serial], 3(2). Available: http://www.nova.edu/ssss/QR/QR3-2/tellis1.html

Yin, R. 1994. Case study research: Design and methods. ed.2. Beverly Hills, CA: Sage Publishing.

Fast Guide to Case Studies. 2003. http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci 546256,00. html.

Case Studies. 2003. http://www.vanderbilt.edu/cft/resources/gleanings/casestudies/. Vanderbilt University.

Case Studies. 2003. http://writing.colostate.edu/references/research/casestudy/com2a3. cfm.



Untuk mendapatkan e-book kajian kes (Case Study) berserta panduan mengajar (Teaching Guide), sila klik gambar berikut:

Tiada ulasan