27 Jun 2011

Apa Itu Kajian Kes (Case Study)?




“Kajian Kes” adalah cerita yang digunakan sebagai bahan pengajaran yang menggarapkan pengaplikasian teori atau konsep terhadap situasi sebenar yang berlaku. Pelbagai displin ilmu telah menggunakan “Kajian Kes” termasuk bidang kemanusiaan, sains sosial, sains, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan dan perubatan (http://www. vanderbilt.edu/cft/resources/gleanings/ casestudies/).

Muhamad Muda (2003: 3) mendefinisikan “Kajian Kes” sebagai “satu deskripsi tentang sesuatu situasi, dan semestinya yang telah/sedang berlaku serta boleh menjadi pengajaran”. Ia adalah alat pembelajaran berkesan yang berupaya membentuk kemahiran membuat keputusan, berfikir, berinteraksi dan bekerja secara berpasukan. Surjit Singh dan Osman Md. Zain (t.th: 1) pula memberi takrifan, “Kajian Kes” ialah satu “metode latihan yang menggunakan kes-kes sebagai bahan pengajaran”.

Metode kajian ini digunakan secara meluas dalam bidang perundangan dan perubatan. The University of Chicago Department of Sociology, di Amerika Syarikat, telah mempelopori “Kajian Kes” diawal abad 1900 sehingga 1935. Malangnya, terdapat segelintir cendekiawan mempersoalkan aspek kebolehpercayaan (reliability) metod ini berdasarkan penggunaan satu sampel sahaja atau sampel bersaiz kecil dan ketidakmampuan dapatan kajian untuk digeneralisasikan kepada umum.

Selepas 1935, penggunaan “Kajian Kes” semakin berkurangan kerana peralihan dunia penyelidikan kepada kaedah kuantitatif. Walaubagaimanapun, kekangan yang terdapat pada metod kuantitatif, menukar lensa dunia penyelidikan kepada bentuk “Kajian Kes” pada tahun 1965 (Tellis, 1997: 3). Sehingga hari ini, Harvard University adalah universiti tersohor dalam menggunakan kajian kes sebagai wadah utama pembelajaran. Terkini, pelajaran Sains, Pendidikan, ICT, Ekonomi, Perniagaan dan Pemasaran mempunyai banyak laman web yang menawarkan sampel-sampel kajian kes untuk dimuat-turun secara percuma bagi tujuan pedagogi dan endragogi.

Terdapat lima kategori kes yang terdiri daripada kes berbentuk:
- Masalah/Keputusan (Problem/Decision).
- Penilaian (Appraisal).
- Sejarah (Case Histories).
- Catatan Industri (Industry Notes).
- Kes Bersiri/Berkelompok (Series Cases).

Setiap bentuk kajian kes mempunyai kelebihan tersendiri. Kes boleh ditulis berdasarkan kesesuaian bidang berkenaan dengan objektif pembelajaran.

“Kajian kes” tidak lari dari skop dan metodologi kajian-kajian lain. Ia berbentuk deskriptif dan tertakluk kepada unsur-unsur kesahan dan kebolehpercayaan (validity and reliability) sebagaimana kesemua metod kajian yang lain. “Kajian Kes” sebagai wadah pembelajaran menghuraikan suatu teori dalam jangkamasa yang pendek, tetapi diolah dengan cara yang menarik dan tersendiri untuk menepati suasana kuliah yang lazimnya mengambil masa tidak lebih dari dua jam.

Para pelajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencerakinkan kes yang diberi dan mencari pendekatan terbaik untuk mendapatkan penyelesaian win-win-win. Proses pembudayaan ilmu (Ad-Tadayyun) secara kajian kes akan memperkasakan pembentukan kognitif (pengetahuan), afektif (keperibadian) dan psikomotor (kemahiran) individu (Muhamad Muda, 2003: 3).

Tujuan asas penggunaan metode kes sebagai strategi pengajaran ialah bertujuan untuk “memindahkan tanggungjawab belajar daripada guru, kepada pelajar yang memainkan peranan dan hasilnya ia dapat menukar penyerapan pasif ke arah pembangunan aktif”. Melalui perbincangan kes secara teliti, pelajar dapat mengenal pasti punca masalah, mengenali pembuat keputusan dan agendanya dan menjadi peka terhadap keadaan persekitaran yang menyumbang kearah keputusan yang diambil dalam kes tersebut.

Pelajar juga didorong untuk membuat keputusan berdasarkan analisa mereka sendiri dan mengaplikasi pengetahuan mereka tentang teori-teori masalah tersebut. Di samping itu juga, pelajar mampu menyelesaikan masalah-masalah yang lebih rumit dengan cara mengenalpasti dan menganalisa faktor-faktor penting, mampu mencambahkan idea, menyelaraskan idea dengan fakta sebenar dan menggabungkan idea tersebut secara kreatif.

Perbincangan kes juga dapat membantu para pelajar untuk menghadapi masalah yang timbul dalam situasi dan krisis dunia yang sebenar dengan fakta kes yang digarap berdasarkan simulasi keadaan sebenar (contohnya situasi bilik kuliah, dewan, mahkamah atau hospital). Dengan demikian, melalui pendedahan terhadap kajian kes, para pelajar berpeluang untuk mengasah tahap profesionalisme mereka melalui cabaran, keperitan dan pengalaman sebenar dan liputan dari dapatan kajian orang lain.

Kelebihan metode kajian kes adalah para pelajar didedahkan kepada realiti hidup yang benar-benar berlaku, yang mungkin tidak pernah dan tidak akan mereka alami di luar kuliah. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang tertarik untuk mengkaji kesan kemiskinan kepada pencapaian akademik pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya, dapat mengakses dan menganalisa maklumat daripada sekolah-sekolah yang berbeza di Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak tanpa perlu meninggalkan bilik kuliah.

Metode kajian kes juga menggabungkan idea individu dan idea ahli-ahli kumpulan di mana para pelajar saling bergantung dan belajar daripada satu sama lain. Idea-idea yang dicerna akan dikupas bersama melalui perdebatan dan pertikaian ahli-ahli kumpulan dan dilontarkan semula untuk dimurnikan bersama. Kesimpulannya, para pelajar mampu berdikari dan mempunyai kemahiran untuk merumus soalan sekaligus meningkatkan pemahaman proses pembelajaran mereka (http://writing.colostate.edu/references/research /casestudy/com2a3.cfm).

Kes yang baik mempunyai unsur pengajaran yang boleh dipelajari daripada masalah yang timbul, adanya masalah atau keputusan yang perlu diselesaikan, terdapat pembuat keputusan, fakta kes lengkap dan jelas dan diolah berdasarkan konvensyen penulisan kes serta menarik perhatian pelajar untuk melibatkan diri dalam perbincangan kes itu (Muhamad Muda 2003: 7). Kes-kes yang baik juga mempunyai ciri-ciri berikut; cerita yang baik, terkini, ada dialog, mewujudkan empati terhadap watak utama, relevan kepada pembaca, memenuhi fungsi pengajaran dan bersifat umum (http://www.vanderbilt.edu/ cft/resources/gleanings/casestudies/).

Kajian Kes (Case Study) Dalam Bidang Pengajian Islam

UF telah menyiapkan satu “Kajian Kes” yang bertajuk “Pencegahan SARS” (Irwan(a) 2003: 1-9) beserta Panduan Mengajar (Teaching Guide) kes ini (Irwan(b) 2003: 1-6). Kajian kes ini boleh digunakan sebagai sampel atau bahan pengajaran di dalam bilik-bilik kuliah dan tutorial. Ia bukan sahaja sesuai digunakan dalam bidang pengajian Islam, bahkan ia juga sesuai untuk bidang ekonomi, pengurusan, perubatan dan yang berkaitan dengannya.

UF telah membahagikan Kajian Kes “Pencegahan SARS” ini kepada lima bahagian iaitu mukaddimah, fakta, kronologi, kesan dan tindakan lanjut yang sewajarnya diambil. Penulis telah menyediakan maklumat yang mencukupi sebagai asas kepada pelajar untuk memahami perkara yang perlu dibincangkan. Untuk bahan pengajaran subjek Usul Fiqh, penulis memfokuskan konsep Siyasah Syar’iyyah yang berpaksikan Maslahah Syar’iyyah dalam langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani masalah wabak SARS yang melanda negara awal tahun 2003.

Para pelajar perlu membincangkan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani wabak SARS, samada ia menepati Maslahah Syar’iyyah ataupun tidak dan seterusnya perlu menyokong dakwaannya itu dengan dalil-dalil nas ataupun kaedah-kaedah fiqh.

Sebagai contoh, antara langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan dalam menghadapi SARS ialah pembekuan visa perjalanan bagi pelawat dari negara-negara yang terjejas teruk akibat SARS. Dari satu sudut, sekatan ini dapat mengawal kemasukan pesakit SARS dari menyebarkan virus itu kepada masyarakat Malaysia. Namun dari sudut yang lain, sekatan itu menghalang para pelabur masuk ke Malaysia yang mungkin akan menjejaskan ekonomi negara dan akan menjejaskan sektor pelancongan akibat tiada pelancong yang dibenarkan masuk daripada negara-negara yang dijangkit SARS.

Contoh kedua ialah kuarantin ke atas individu yang disyaki dijangkiti SARS sekurang-kurangnya sepuluh hari. Pesakit yang dikuarantin akan diasingkan di tempat khas dan tidak dibenarkan bergaul dengan pesakit-pesakit biasa atau pelawat kerana virus SARS mudah berjangkit. Dalam isu kuarantin ini para pelajar dihadapkan dengan dua situasi iaitu, sekiranya individu itu dikuarantin, ia dianggap mengongkong hak individu, tetapi kalau dia dibiarkan tanpa kawalan, berkemungkinan virus SARS akan merebak kepada orang lain. Di sini para pelajar akan memberi pandangan masing-masing berkenaan isu ini berdasarkan dalil-dalil nas dan kaedah-kaedah fiqh untuk merealisasikan Maslahah Syar’iyyah dalam langkah pencegahan yang diambil.

Pendekatan “one way traffic” yang diamalkan selama ini oleh kebanyakan pengajar subjek Usul Fiqh bersifat “spoon feeding”. Kebanyakan pelajar sukar memahami dan cepat lupa apa yang dipelajarinya dalam kelas. Metode begini juga tidak membangunkan pemikiran kritis para pelajar. Berbanding metode “Kajian Kes” yang lebih bersifat kendiri pelajar dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Ia dapat menarik minat para pelajar untuk turut serta dalam perbincangan kes yang dibentangkan. Hasilnya pelajar dapat memahami pelajaran dengan lebih efektif kerana mampu menggabungkan teori dan praktikal sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar. Ini kerana Kajian Kes amat berguna dalam menggalakkan perbincangan mengenai cara terbaik dan strategi penyelesaian masalah-masalah (http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci54625 6,00.html).

Bentuk pengajaran “Kajian Kes” lebih sesuai jika jumlah pelajar adalah kecil dan kerusi-meja di susun atur bulat supaya setiap pelajar dapat berhujah dengan bernas mengikut simulasi keadaan kes tersebut. Pelajar diberi peluang untuk mengutarakan pandangan masing-masing dan pensyarah hanya perlu bertindak sebagai fasilitator. Di akhir sesi, tiada resolusi yang dianggap benar atau salah. Para pelajar dianggap telah memainkan peranan masing-masing dengan jayanya sekiranya mereka dapat mengaplikasikan teori yang sepatutnya digunapakai semasa perbincangan kes tersebut.

Kejayaan metod kajian kes ini bergantung kepada cara pembelajaran mahasiswa di institusi pembelajaran terbabit. Menurut kajian Victoria Salin pada tahun 2001, mahasiswa boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama, “Dependent learner”, “Collaborative learner” dan “Independent learner”. Kumpulan pertama akan bertindak pasif dan menanti arahan, kumpulan kedua akan melibatkan diri secara aktif didalam perbincangan dan kumpulan ketiga akan cuba untuk mengubahsuai kandungan dan struktur kes semasa perbincangan. Fasilitator perlu bijak mengenalpasti kategori pelajar dan menggunakan pendekatan yang bersesuaian.

Yin (1994: 75) pula mencadangkan agar mahasiswa digalakkan memahami pendekatan kaedah kajian kes itu sendiri dengan penekanan terhadap aspek-aspek berikut:
- Membincangkan sinopsis kes (mengenalpasti objektif dan isu utama kajian).
- Melakukan Kajian Lapangan.
- Soalan-soalan (soalan spesifik yang perlu dikenalpasti oleh penulis kajian kes).
- Cara menulis laporan akhir Kajian Kes (format kes, konvensyen penulisan kes).

Para penulis “Kajian Kes” perlu melengkapi “Kajian Kes”nya dengan satu set Panduan Mengajar (Teaching Guide) yang mengandungi sinopsis, objektif, kumpulan sasaran berserta panduan terperinci pengendalian kes tersebut, termasuk strategi memimpin kes, soalan dan penyelesaian. Panduan Mengajar ini hanya diberikan kepada pengajar atau fasilitator yang menngendalikan kelas dan tidak diberikan kepada para pelajar. Ini untuk memudahkan pengajar atau fasilitator yang menggunakan kes itu dalam pengajarannya.

Pengajaran yang menggunakan metode “Kajian Kes” dapat mengubah suasana bilik kuliah daripada keadaan muram kepada keadaan yang ceria dengan adanya “brain storming” di kalangan para pelajar. Di samping dapat melatih mereka berinteraksi, berkomunikasi, berdebat dan melahirkan pendapat, mereka juga akan berasa bangga kerana diberi peluang bertindak sebagai penyelesai masalah. Sewajarnya pengajar menghargai pendapat mereka dan tidak menghentam mereka jika pendapat mereka salah, kerana tujuan “Kajian Kes” bukanlah untuk mencari siapa benar dan siapa salah.

BIBLIOGRAFI

Irwan Mohd Subri. 2001. Metode Ahl al-Ra’y dan Ahl al-Hadith Dalam Mengistinbatkan Hukum Dan Pengaruhnya Terhadap Imam-mam Empat Mazhab. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Irwan Mohd Subri et al (a). 2003. Pencegahan SARS. Kajian Kes. Universiti Sains Islam Malaysia.

Irwan Mohd Subri et al (b). 2003. Pencegahan SARS. Panduan Mengajar. Universiti Sains Islam Malaysia.

Muhamad Muda. 2003. Apa Itu Kajian Kes? Kertas Kerja. Dibentangkan di Bengkel Penyelidikan dan Penulisan Kes Siri I. Universiti Sains Islam Malaysia. 5-6 Mac.

Muhammad Ismail Ibrahim. 1978. A’immah al-Madhahib al-Arbacah: Abu Hanifah, Malik, al-Shaficiyy, Ibnu Hanbal. t.tp: Dar al-Fikr al-cArabiyy.

Surjit Singh & Osman Md. Zain. t.th. The Case Method And Types Of Cases. Artikel.

Tellis, W. 1997. Introduction to case studies. The Qualitative Report [On-line serial], 3(2). Available: http://www.nova.edu/ssss/QR/QR3-2/tellis1.html

Yin, R. 1994. Case study research: Design and methods. ed.2. Beverly Hills, CA: Sage Publishing.

Fast Guide to Case Studies. 2003. http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci 546256,00. html.

Case Studies. 2003. http://www.vanderbilt.edu/cft/resources/gleanings/casestudies/. Vanderbilt University.

Case Studies. 2003. http://writing.colostate.edu/references/research/casestudy/com2a3. cfm.



Untuk mendapatkan e-book kajian kes (Case Study) berserta panduan mengajar (Teaching Guide), sila klik gambar berikut:

21 Jun 2011

Bengkel Perbincangan Pakar Mut Ijtihad

1 Julai 2011
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia


8.00am – 8.30am : Pendaftaran Peserta

8.30am – 9.15am : Pembentangan Kertas Kerja 1
Tajuk: "Mut Ijtihad: Teori dan Konsep"
Oleh: Dr. Irwan bin Mohd Subri

9.15am – 10.00am : Pembentangan Kertas Kerja 2
Tajuk: "Pengisian Mut Ijtihad"
Oleh: Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid

10.00am – 10.15am : Rehat/ Kudapan

10.15am – 11.30am : Sesi Sumbang Saran "Mut Ijtihad"

11.45am : Makan Tengahari

12.30pm : Bersurai


Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah bengkel
013-3543594
Emel: irwan@usim.edu.my

15 Jun 2011

International Conference on Humanities 2011


Hari ini UF bentang kertas kerja dalam International Conference on Humanities 2011 yang diadakan di Royalpark Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang. Seminar selama 3 hari bermula 14-16 Jun 2011 dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Pulau Pinang.

Kertas kerja UF bertajuk "Nilai Kemanusiaan Dalam Sistem Agihan Zakat: Kajian Ke Atas Pelaksanaan Agihan Zakat Untuk Ibn Al-Sabil" ditulis bersama oleh Dr. Hasanah Abd Khafidz, Pensyarah Kanan, Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian ilmu Kemanusiaan, USM.

Abstrak

Ayat qat'i al-thubut dan qat'i al-dilalah dalam Surah al-Tawbah menjelaskan bahawa dana zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan sahaja, iaitu fakir, miskin, para amil, mualaf, fi al-riqab, orang yang berhutang, fi sabilillah dan ibn al-sabil. Ketentuan ini tidak dapat disangkal lagi mempunyai impak yang besar dalam masyarakat sama ada yang berbentuk ekonomi, pengurusan, pembangunan sosial, dakwah dan juga kemanusiaan. Kertas kerja ini akan membincangkan asnaf ibn al-sabil dengan memberikan fokus kepada nilai kemanusiaan yang wujud dalam sistem agihan zakat untuk asnaf tersebut. Kajian juga akan membincangkan tentang pelaksanaan agihan zakat untuk asnaf ibn al-sabil untuk mengetengahkan bentuk-bentuk agihan yang dahulu pernah dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W, begitu juga yang terdapat dalam sumber tekstual fiqh Islam. Seterusnya kertas kerja ini akan membincangkan bentuk-bentuk agihan untuk asnaf ibn al-sabil pada masa sekarang dengan menekankan nilai kemanusiaan dalam setiap agihan selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak nas dan maqasid al-syariah.

Kata kunci: zakat, ibn al-sabil, kemanusiaan, agihan, asnaf
Bidang: Pengajian Islam (Zakat)

03 Jun 2011

Khutbah 3 Jun 2011- Kecemerlangan siri 2

إن الحَمْدَ للهِ نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فهو المهتد، ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا، ونشهد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأن محمدا عبده ورسوله، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ طب القلوب ودوائها، وعافية الأبدان وشفائها، ونور الأبصار وضيائها، وعلى آله وصبحه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين. أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تموتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Pencinta-Pencinta Allah Yang Berbahagia!

Pada hari yang mulia ini, khatib memulakan pesanan kepada diri sendiri dan kepada sidang jamaah sekelian agar kita terus serta memantapkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T.

Jika selama ini taqwa kita hanya di peringkat sarjana muda, maka perlulah kita menyambung lagi hingga ke peringkat sarjana bahkan ditingkatkan lagi hingga ke peringkat doktor falsafah. Barulah dikatakan ada peningkatan dalam taqwa kita sebagai hamba Allah S.W.T. Mimbar pada hari ini akan menyambung lagi perbincangan tentang “kecemerlangan” dalam siri yang kedua.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah!

Khatib mengucapkan “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum” kepada para pelajar program tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia yang baru mendaftarkan diri pada 1 Jun 2011 yang lalu. Tahniah kerana memilih diri anda untuk bersama-sama USIM yang tersohor seantero utara, selatan, timur mahupun barat.

Sekadar sepintas lalu, program Tamhidi (Matrikulasi, Asasi atau Pra-Universiti) bertujuan untuk menyediakan para pelajar bagi kemasukan ke tahun pertama pelbagai program Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Islam Malaysia.

Program ini adalah untuk menepati misi, visi, wawasan dan objektif penubuhan USIM yang ada, iaitu menerusi penekanan kepada aspek pemartabatan Pendidikan Islam, membina kesepaduan antara teori dan amali, melahirkan ilmuan Islam dan juga mengembalikan tradisi keilmuan Islam bersesuaian dengan persekitran teknologi terkini.

Tetamu-Tetamu al-Rahman Yang Mulia!

Setelah berada di USIM selama tiga hari, khatib ingin bertanya, adakah anda masih ingatkan ibu dan ayah? Adakah anda rindu kepada mereka? Jika jawapannya ya, maka anda pelajar yang bijak. Ini kerana dengan kasih sayang, susah payah merekalah anda berada di sini. Sudah tentulah anda perlu menjamin penat lelah mereka dengan langkah dan azam yang padu demi kecemerlangan diri yang sudahpun bermula.

Namun sebaliknya, jika baru tiga hari anda sudah tidak ingatkan ibu dan ayah, maka anda pelajar yang bermasalah. Anda adalah anak derhaka kerana mana mungkin seorang anak melupakan ibu dan ayahnya. Menjadi amanah kepada khatib untuk menyedarkan anda tentang tanggungjawab sebenar anda berada di USIM yang bernilai di bandar Nilai.

Firman Allah Taala:


{يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ}


Yang bermaksud, “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”. Surah al-Mujadalah 11.

Pengajian di universiti tidaklah sama dengan gaya pengajian di sekolah-sekolah menengah. Walaupun tujuannya sama iaitu untuk mendapatkan ilmu, namun bentuk dan kaedah mendapatkan ilmu berbeza sama sekali. Jika anda masih menerapkan “style” pembelajaran seperti di sekolah menengah, sudah pasti anda akan menghadapi kesukaran.

Khatib hanya ingin menyentuh perkara ini secara umum dan tidak berhajat untuk memperincikannya. Anda pasti akan melalui pengalaman berlainan apabila belajar di universiti. Berbahagia dan beruntunglah mereka yang belajar daripada pengalaman itu. Rugi dan malanglah mereka yang langsung tidak sedar mereka ini berada di menara gading.

Ashab al-Fadilah Hafizakumullah!

Apa yang khatib ingin lontarkan bicara pada tika dan saat ini ialah perkara-perkara asas yang sering diabaikan oleh kebanyakan pelajar. Perkara-perkara asas inilah sebenarnya ramuan mujarab kepada seseorang pelajar untuk menggapai bukan hanya 1 kejayaan, bahkan ribuan kecemerlangan.

Renungilah kata-kata hikmah Imam al-Shafie Rahimahullah yang tidak goyah dek genpa bumi, yang tidak hanyut dek tsunami:


أخي لن تنال العلمَ إلا بستةٍ، سأُنْبِيْكَ عن تفصيلِها ببيانٍ: ذكاءٍ وحِرصٍ واجتهادٍ وبُلْغَةٍ وصُحْبَةِ أستاذٍ وطولِ زمانٍ


Yang bermaksud, “Saudaraku! Engkau tidak akan mencapai ilmu kecuali dengan 6 perkara. Aku akan beritahu kepadamu tentangnya dengan terperinci. Cerdik, haloba, kesungguhan, kecukupan belanja, mendampingi guru dan masa yang panjang”.

Cerdik, bukan bererti orang yang bagus keputusan peperiksaan sahaja yang layak belajar. Bahkan semua orang dikurniakan kepandaian oleh Allah S.W.T. Tahap kepandaian sahaja yang berbeza. Sebagai analogi, jika anda tahu enjin anda tidak boleh diisi dengan minyak RON95, maka anda perlu menggunakan RON97 walaupun ia mahal sedikit. Maksudnya perlu ada usaha dan tenaga lebih untuk mendapatkan ilmu. Pandai dan cerdik boleh diusaha, yang penting ada kemahuan.

Haloba, bererti jangan hanya berpada dengan ilmu yang sedikit. Sentiasalah tamak dalam menambah ilmu kerana ia tamak yang memenuhi piawaian halal. Anda kenal Mokhtar Dahari? Beliau penyerang bola sepak terbaik pernah dilahirkan oleh Malaysia. Dikatakan beliau sentiasa haloba dalam menajamkan skil permainan. Datang awal ke tempat latihan dan selepas latihan tamatpun beliau masih berlatih sendirian. Layaklah beliau digelar "supermokh" dan kalau anda tidak haloba sebegitu dalam pelajaran, anda hanya layak digelar "supper student".

Kesungguhan, menuntut anda serius dalam pengajian. Jika tiada kesungguhan, anda hanya akan bertepuk tangan kepada kejayaan orang lain. Sedangkan diri anda tiada siapa yang perasan kewujudannya. Kesungguhan menuntut pengorbanan yang jitu dan jangan hanya bijak mencipta alasan tapi bijak mencipta peluang dan penyelesaian.

Kecukupan belanja, dalam konteks pengajian di IPT Malaysia, anda tidak perlu bimbang kerana ada institusi yang boleh membiayai pengajian sama ada secara biasiswa atau pinjaman. Yang penting gunakan biasiswa atau pinjaman itu untuk kegiatan ilmu seperti membeli buku-buku nota atau rujukan. Jangan pula setiap bulan bertukar handphone atau habiskan kredit ber"sms" dengan makwe atau pakwe kerana jelas ia tiada faedahnya.

Mendampingi guru, perkara yang jarang-jarang berlaku di IPT tempatan. Di USIM, kita mempunyai ramai pensyarah yang berkemahiran pada skala tinggi dalam pelbagai bidang. Ambillah kesempatan bertalaqqi dengan mereka sama ada secara individu atau berkelompok. Tanamkan azam selama 4-5 tahun berada di USIM, anda dapat khatam satu dua kitab kerana selepas bergraduan nanti, peluang ini tidak akan ada lagi.

Masa yang panjang, bererti kegiatan mencari ilmu tidak ada istilah "sudah tamat belajar". Long life learning menjadi budaya semua universiti sekarang ini. Di tahap individu seperti anda, jangan mengharap dalam tempoh 4 tahun, anda sudah layak digelar pakar dalam bidang. Ia memerlukan tempoh yang lama seperti yang dihikmah oleh kata-kata berikut:


اطلبوا العلم من المهد إلى اللحد


Yang bermaksud, "Tuntutlah ilmu daripada buaian hinggalah ke liang lahad".

Hamba Allah Yang Budiman!

Ingat! Ada lagi perkara yang paling penting daripada yang disebutkan. Resipi berikut tidak pernah didedahkan oleh Chef Wan ataupun Chef Ismail. Tidak pula kedengaran ia diakademikkan di Oxford mahupun Harvard. Tidak pula dibuat filem oleh pengarah Ahmad Nisfu atau penerbit David Teoh.

Ia dipetuakan oleh seorang guru yang bukan seorang professor, tidak bergelar Dato’ atau Tan Sri. Namanya tidaklah glamour seperti artis, tapi itulah Wakic guru kepada Imam al-Shafie. Imam al-Shafie Rahimahullah menceritakan:


شَكَوْتُ إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ المعَاصي وَأخْبَرَنِي بأَنَّ العِلْمَ نُورٌ ونورُ الله لا يُهْدَى لِلْعَاصِيْ


Yang bermaksud, “Aku mengadu kepada guruku Wakic tentang hafalanku yang lemah. Lalu beliau menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau juga memberitahu bahawa ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat”.

Subhanallah! Jika bukan cahaya Allah Azza Wa Jalla yang kita dapat, cahaya siapakah yang menerangi kita? Apakah cahaya ngangkung, ceplos dan Pontianak Harum Sundal Malam yang menemani kita?

Ya! Cahaya gelap itulah yang melingkari kita, lantaran banyaknya maksiat yang kita lakukan tidak kira siang, tidak kira malam. Merabailah kita ke hulu ke hilir kehairanan kenapa kita sukar memahami apa yang dipelajari dalam bilik-bilik kuliah. Ku ingatkan silap makan pizza hut, rupanya banyaknya aku punya maksiat!



أيها الطلبة الأعزاء رحمكم الله

كم من طالب يفوق سعيُه ويُجيد دراستَه وتمتاز نتيجتُه في الامتحان، ولكن أخلاقه خاليةٌ، وآدابه فارغةٌ. لو أنتم طلاب في الجامعة الإسلامية، وتدرسون العلوم الدينية، ولكم أخلاقكم أخلاق شيطانية، فيا خسارة مُؤلِمة



وتدبروا قول الحكمة الآتي: ليس الجمالُ بِثِيَابٍ تُزَيّنُكَ، إن الجمالَ جمالُ العلمِ والأدبِ. هذا يعني أنت جميل ليس بسبب الثوب الذي تلبَسُه، فإنه جمال ظاهريٌّ، ولكن أهم الجمال الذي ينظره الله سبحانه وتعالى وكذلك الناس هو أخلاقك وآدابك


وهذا أيضا ما أكّد به رسولُنا المصطفى في حديثه {عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ}، رواه البيهقي


وعَنْ سَعْدِ بْنِ هِشَامِ بْنِ عَامِرٍ قَالَ: أَتَيْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَخْبِرِينِي بِخُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَتْ كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ، أَمَا تَقْرَأُ الْقُرْآنَ قَوْلَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ {وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ}، قُلْتُ فَإِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَتَبَتَّلَ، قَالَتْ لا تَفْعَلْ أَمَا تَقْرَأُ {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ} فَقَدْ تَزَوَّجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ وُلِدَ لَهُ}، رواه أحمد


نعم، صدقتِ يا أمَّ المؤمنين عائشة، لقد وجدنا رسولَنا وحبيبَنا على خلق عظيم وأنه صلى الله عليه وسلم لأَحْسَنُ أُسْوَةٍ لنا. اللهم ارزقنا متابعة نبيك في أخلاقه حتى نزداد هدانا كما قلت في محكم كتابك ﴿إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
.