Teks Khutbah (USIM 6 Mei 2011)

06 Mei 2011

Teks Khutbah (USIM 6 Mei 2011)

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ، القائلِ في محكم تنـزيله (يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ)، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ … فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ




Sidang jamaah yang dirahmati Allah!
Pada hari sayyid al-Ayyam ini, khatib berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang jamaah sekelian agar kita terus serta memantapkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Baja ketaqwaan itu melalui perlaksanaan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Mudah-mudahan dengan itu, kita mendapat lindungan dan keredaan Allah di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk "kecemerlangan bermula di sini".

Muslimin yang disayangi Allah!
Universiti Sains Islam Malaysia merupakan universiti yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad ke-21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di negara ini. Antara tujuan penubuhan USIM ialah memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan Negara.

USIM menjulang falsafah "Paduan antara Ilmu Naqli dan Aqli serta budi pekerti yang mulia adalah teras utama membentuk generasi cemerlang dan masyarakat berilmu". Manakala misinya pula untuk menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat dan Islam.

Apa yang uniknya USIM ialah ia merupakan saluran bagi pelajar-pelajar aliran agama di sekolah-sekolah menengah agama untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat pendidikan tinggi di Malaysia. Dalam erti kata lain, untuk meneruskan pengajian di USIM, seseorang pelajar perlu mempunyai kelayakan tertentu dalam bahasa arab dan agama kerana pembelajaran dan pengajaran di sini dijalankan dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Justeru antara stake holders atau pemegang taruh terpenting di USIM ini ialah mahasiswa dan mahasiswinya. Dengan harapan yang menggunung, diharapkan mereka yang belajar di USIM dapat menjadi pelapis generasi mujtahidin ulung yang silam dalam pelbagai bidang pengajian.
Sekadar memberikan contoh, nama-nama seperti imam al-Syafie, imam al-Ghazali, Sibawaih, Ibnu Sina dan lain-lain lagi merupakan ulama hebat yang meninggalkan legasi ilmu kepada kita. Ilmu-ilmu yang mencakupi pelbagai bidang memperlihatkan kegigihan dan sumbangan tidak ternilai para ulama silam dalam meningkatkan thaqafah atau pengetahuan masyarakat.

Oleh sebab itu kehadiran USIM di persada pendidikan tinggi negara, menyahut seruan firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Alaq ayat 1-5:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Yang bermaskud, "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya".

Dengan semangat ayat di atas, USIM bertekad mencipta mutu pendidikan terutamanya yang berteraskan pendidikan Islam. Ini demi merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi baru imam al-Syafie dan yang sealim dengannya.

Tetamu Allah yang bertaqwa!
Pelajar yang menjadi komponen terpenting dalam proses pembentukan pendidikan ini perlu bersedia untuk diproses ke arah kecemerlangan. Justeru, dalam tempoh 4-5 tahun keberadaan anda di USIM, anda perlu memahami konsep fiqh al-Awlawiyyat atau fiqh keutamaan. Yang dimaksudkan dengan fiqh al-Awlawiyyat di sini ialah anda perlu tahu keutamaan pengetahuan dan tindakan anda di USIM.

Keutamaan pengetahuan anda ialah untuk menguasai ilmu dalam bidang pengajian anda. Sebagai contoh, jika anda pelajar program pengajian Quran dan Sunnah, maka keutamaannya ialah menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ulum al-Quran dan al-Sunnah. Jika anda pelajar program pengajian fiqh dan fatwa, maka keutamaannya ialah menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan Fiqh dan Usul yang melayakkan anda menjadi seorang mujtahid. Begitulah juga dalam bidang-bidang yang lain.

Keutamaan tindakan pula ialah anda bijak memilih aktiviti yang bermanfaat selama anda berada di USIM. Melibatkan diri dengan persatuan ataupun kelab serta menjayakan program-program anjuran fakulti mahupun universiti dapat meningkatkan kemahiran dan komunikasi anda. Ia pasti berguna setelah anda bergraduasi dan menempuh alam pekerjaan yang mencabar.

Antara ilmu dan aktiviti juga ada fiqh al-Awlawiyyat. Dalam hal ini yang lebih patut diutamakan ialah ilmu kerana ia perkara pokok. Jangan silap faham dengan kenyataan ini. Khatib tidak menyatakan bahawa ilmu sahaja yang penting. Khatib menyatakan ilmu penting dan aktiviti ko-kurikulum juga penting, tapi ilmu lebih penting dan aktiviti ko-kurikulum sebagai pelengkap.

Maksudnya, jika anda hanya mementingkan aktiviti ko-kurikulum dan mengabaikan pelajaran di kuliah yang menjadi teras keutamaan, maka amat rugilah anda.

Namun yang zahir kelihatan pada realiti, impian murni sejernih air di kali rupanya debu dihujung kaki. Fiqh al-Awlawiyyat yang perlu ditatang, tarku al-Awlawiyyat pula yang digalang. Masakan tidak, ramai pelajar yang tidak endah dengan tanggungjawab yang sepatutnya digalas. Ramai juga yang mengutamakan perkara ranting daripada perkara pokok.

Jika anda mahir menggelecek bola dan menjadi striker pasukan bolasepak USIM di sukan MASUM, anda sepatutnya mahir "menggelecek" ikrab-ikrab nahu dan saraf. Jika badan dan jari jemari anda lemah gemalai mahir menari makyung dan zapin, anda sepatutnya mahir menggemalaikan akhlak dan tasauf. Jika anda mahir suara harmoni, second voice, third voice ataupun bass, anda sepatutnya mahir melunakkan suara untuk bertarannum. Jika anda mahir menangkis tumbukan lawan dalam silat, tae kwon do mahupun karate do, anda sepatutnya mahir menangkis tuduhan dan syubuhat orientalis terhadap Islam.

Bukan bererti anda tidak boleh bermain bola, tidak boleh bernasyid, tidak boleh bersilat, tapi keutamaan mana yang perlu didahulukan. Bukan menangis kerana tidak dapat mewakili USIM dalam mana-mana pertandingan bola atau nyanyian, tapi anda patut menangis teresak-esak kerana tidak mengenal nama-nama kitab turath, tunggang langgang dalam bacaan teks arab, tidak tahu facil mafcul, tajwid lintang pukang dan sebagainya.

USIM tidak mahu pelajarnya bila bergraduan hanya pandai menyanyi semata-mata. Kumpulan Instinct, Interaksee, One Soul, Azra memang sering mengharumkan nama USIM di persada seni tanahair. Kita mahu mereka ini dapat juga mengajar seni vokal kepada orang lain, bukan untuk masuk ke Akademi Fantasia tapi menghargai kurniaan dan nikmat suara dalam mengajak manusia mengingati Allah melalui lagu.

Kita juga mahu graduan USIM bukan sahaja tahu makan maggi, tapi graduan FST contohnya mampu menghasilkan maggi yang halal dan berkhasiat menurut syarak. Kita bukan sahaja mahu mengeluarkan graduan perubatan tapi bakal-bakal doktor ini dapat merujuk kitab-kitab turath apabila berlaku permasalahan berkaitan hukum hakam dalam isu perubatan.

Sidang jamaah yang berbahagia!
Khatib mengomel bukan bererti benci, jauh sekali menghina dan mengeji, tapi ingin memasak motivasi, mencari damai abadi, legasi al-Syafie dan al-Ghazali. Renungilah firman Rabb al-Izzati:


(وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ)
Yang bermaksud, "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman". Surah al-Dhariyat ayat 55.

Ini kerana khatib menyedari potensi yang bersemi dalam diri anda. Anda boleh menjejak langkah tinggalan ilmuan terdahulu. Anda juga mampu menjadi graduan holistik dengan sifat unggul al-Abrar seperti yang ditarget oleh USIM.

Anda masih ada masa untuk berubah. Gunakan kesempatan yang tersisa untuk bergerak ke arah kecemerlangan diri. Namun awas, jika anda masih leka dibuai mimpi lama, tajuk khutbah pada hari ini yang bertajuk "kecemerlangan bermula di sini" akan berubah menjadi "kehancuran bermula di sini".






أيها الطلبة الأعزاء رحمكم الله
بأيديكم أمانة عظيمة، وبأيديكم مسؤولية كبيرة، فلا تخونوا هذه الأمانة والمسؤولية. نحن المحاضرون، نتمنى أن تكونوا في وعي عال عن سبب وجودكم في هذه الجامعة، ونحن أيضا مستعدون في مساعدتكم دائما في كل أحوال وأوقات.
عملنا هو أن نرشدَ وننيرَ لكم الطريق، فأنتم عابروه وسالكوه. فالاختيار لكم، إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم، وإن أسأتم فلأنفسكم أيضا وليس للآخرين.

قال الله تعالى في محكم كتابه (إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ) سورة الرعد الأية 11.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
.

2 ulasan

Razif berkata...

Assalamualaikum ustaz,

Alhamdulillah, syukran. Khutbah yang betul2 terkesan. Dah disebarkan di Facebook.

Mohamad Razif Mohamad Fuad
Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama
FKP, USIM

Tanpa Nama berkata...

Salam ustaz. Bagus benar isi khutbah ustaz. saya amat malu USIM dijadikan bahan ejekan ekoran Boria dan Tarian Zapin Campuran. Anak2 ini ilmu agamanya lebih tinggi dari remaja seusia dengan mereka di IPTA lain. Macamana boleh jadi fenomena ini di USIM.

p/s-Adakah 'Lelaki M' yang anti kopiah, suka isi khutbah ustaz?