15 Februari 2011

Isla.my: Laman Sosial Islam Dilancarkan!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Di keheningan subuh 12 Rabiul Awal yang merupakan detik mawlid al-Rasul s.a.w. yang penuh keberkatan ini…… Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah s.w.t. laman www.Isla.my (lebih mudah ditulis dengan satu perkataan, iaitu ‘Islamy’ yang berbunyi ‘islami’) telah dapat disiapkan.

Sempena dengan detik kelahiran baginda Rasulullah s.a.w., maka saya dengan rendah hati ingin menjemput para pembaca sekelian untuk menjadi ahli Islamy dan seterusnya menjemput keluarga dan kenalan untuk sama-sama berinteraksi di Islamy.

Islamy merupakan sebuah laman sosial yang direncanakan untuk menjadi alternatif laman sosial konvensional seperti Facebook dan Myspace. Melalui laman sosial ini, para ahli boleh berinteraksi, berhubung, berbual, menulis blog, menulis di forum, menggunakan perkhidmatan gambar, audio & video dan lain-lain lagi.

Menggunakan nama domain yang berakhir dengan .my bagi menggambarkan identiti Malaysia, Islamy diharapkan dapat memenuhi kehendak umat Islam Malaysia (khususnya) yang mahukan alternatif Facebook.

Sambil memikul tugas berat ini, Islamy berusaha untuk menjadikan laman sosial sebagai satu medium dakwah santai masa kini yang lebih mudah diterima oleh golongan remaja dan belia.

Terdapat banyak cabaran yang telah dilalui sepanjang menubuhkan dan menyiapkan laman sosial ini. Cabaran yang telah diatasi biarkan sahaja berlalu. Cabaran seterusnya ialah menjadikan Islamy mudah diterima dan sentiasa dekat di hati umat Islam serantau terutama golongan berusia 13-30 tahun. Bukan mudah untuk membawa mesej dakwah Rasulullah s.a.w. untuk masyarakat awam.

Untuk itu, saya sangat mengharapkan agar para pembaca sekelian dapat memberikan sokongan kepada Islamy dan memberikan sumbangan idea, ilham, artikel, ceramah, tazkirah dll yang diharapkan dapat juga menjadi saham kita di akhirat kelak. Antara bentuk sumbangan yang tidak ternilai juga ialah sekiranya para pembaca dapat menjadi ahli Islamy dan menjemput keluarga dan rakan taulan yang kini masih berfacebook dsb.

Pada awalnya, saya hanya menjemput beberapa orang sahaja untuk menguji laman ini, tetapi entah macamana, walaupun belum diwar-warkan, dalam masa beberapa hari sahaja keahlian Islamy telah meningkat melebihi 200 orang.

Saya memerlukan ramai sukarelawan & dermawan untuk meneruskan perjuangan di Islamy. Sekiranya ada yang berminat untuk menjadi editor, moderator, designer, marketer, programer dll sila hubungi saya. Saya tidak mampu memberi imbuhan besar-besaran. Hanya doa yang dapat diberikan semoga sedikit sumbangan kepada agama Islam tercinta akan dihitung sebagai besar di sisi Allah s.w.t.

Klik banner di bawah:


Tiada ulasan: