15 Februari 2011

Isla.my: Laman Sosial Islam Dilancarkan!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Di keheningan subuh 12 Rabiul Awal yang merupakan detik mawlid al-Rasul s.a.w. yang penuh keberkatan ini…… Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah s.w.t. laman www.Isla.my (lebih mudah ditulis dengan satu perkataan, iaitu ‘Islamy’ yang berbunyi ‘islami’) telah dapat disiapkan.

Sempena dengan detik kelahiran baginda Rasulullah s.a.w., maka saya dengan rendah hati ingin menjemput para pembaca sekelian untuk menjadi ahli Islamy dan seterusnya menjemput keluarga dan kenalan untuk sama-sama berinteraksi di Islamy.

Islamy merupakan sebuah laman sosial yang direncanakan untuk menjadi alternatif laman sosial konvensional seperti Facebook dan Myspace. Melalui laman sosial ini, para ahli boleh berinteraksi, berhubung, berbual, menulis blog, menulis di forum, menggunakan perkhidmatan gambar, audio & video dan lain-lain lagi.

Menggunakan nama domain yang berakhir dengan .my bagi menggambarkan identiti Malaysia, Islamy diharapkan dapat memenuhi kehendak umat Islam Malaysia (khususnya) yang mahukan alternatif Facebook.

Sambil memikul tugas berat ini, Islamy berusaha untuk menjadikan laman sosial sebagai satu medium dakwah santai masa kini yang lebih mudah diterima oleh golongan remaja dan belia.

Terdapat banyak cabaran yang telah dilalui sepanjang menubuhkan dan menyiapkan laman sosial ini. Cabaran yang telah diatasi biarkan sahaja berlalu. Cabaran seterusnya ialah menjadikan Islamy mudah diterima dan sentiasa dekat di hati umat Islam serantau terutama golongan berusia 13-30 tahun. Bukan mudah untuk membawa mesej dakwah Rasulullah s.a.w. untuk masyarakat awam.

Untuk itu, saya sangat mengharapkan agar para pembaca sekelian dapat memberikan sokongan kepada Islamy dan memberikan sumbangan idea, ilham, artikel, ceramah, tazkirah dll yang diharapkan dapat juga menjadi saham kita di akhirat kelak. Antara bentuk sumbangan yang tidak ternilai juga ialah sekiranya para pembaca dapat menjadi ahli Islamy dan menjemput keluarga dan rakan taulan yang kini masih berfacebook dsb.

Pada awalnya, saya hanya menjemput beberapa orang sahaja untuk menguji laman ini, tetapi entah macamana, walaupun belum diwar-warkan, dalam masa beberapa hari sahaja keahlian Islamy telah meningkat melebihi 200 orang.

Saya memerlukan ramai sukarelawan & dermawan untuk meneruskan perjuangan di Islamy. Sekiranya ada yang berminat untuk menjadi editor, moderator, designer, marketer, programer dll sila hubungi saya. Saya tidak mampu memberi imbuhan besar-besaran. Hanya doa yang dapat diberikan semoga sedikit sumbangan kepada agama Islam tercinta akan dihitung sebagai besar di sisi Allah s.w.t.

Klik banner di bawah:


08 Februari 2011

Dah Masuk Statistik



Setelah melalui banyak rintangan dan ujian, akhirnya UF berjaya masuk dalam statistik mereka yang dapat doktor falsafah atau Ph.D. Tarikh keramat 28 Januari 2011 akan menjadi kenangan manis buat UF sendiri. Pada tarikh itulah senat UIAM mengesahkan UF dianugerahkan ijazah Ph.D.

Kalau difikir mengikut akal dan nafsu, kenapalah diri ini tidak seperti orang lain yang dimudahkan segala urusan. Namun segalanya atas takdir Allah dan UF akur dengan penuh keimanan (secubanya) bahawa di sebalik semuanya ada hikmah yang besar untuk UF.

Bermula daripada belajar MA lagi di universiti al-Azhar, dah rugi masa 2 tahun kerana digagalkan. Mungkin betullah kata-kata al-Marhum tuan guru UF Husayniyy Syeikh masa buat MA tu, orang yang belajar MA kat al-Azhar patutnya dah faqih bukannya mutaffaqih yang baru nak kenal pasal Usul Fiqh.

Walaupun tidak berjaya menggenggam ijazah MA daripada al-Azhar tapi tidak sedetik pun terasa menyesal. Ada hikmahnya.

Ingatkan bila dapat sambung belajar selanjutnya di Universiti Damascus Syria, UF akan jadi pelajar Malaysia pertama yang dapat Ph.D di situ. Rupanya Allah uji lagi dengan masalah kesihatan zaujah dan masalah birokrasi di sana. Rugi lagi setahun setengah.

Bila tukar universiti ke UIAM mula tahun 2007 dan dengan baki tempoh cuti belajar setahun setengah lagi, UF bertekad sekurang-kurangnya dapat menghabiskan penulisan tesis sebelum masuk kerja balik. Alhamdulillah dapat laksanakan misi tu.

Sangkaan tidak akan timbul lagi masalah meleset bila Allah uji kesabaran UF lagi. Tamat menulis Jun 2009 dan notis untuk serah tesis Disember. Sepatutnya dalam tempoh notis 3 bulan tu pemeriksa dalam dan luar di cari, tapi bila serah tesis bulan Disember tu baru jabatan cari. Tak tahu di mana silapnya, sistem atau orangnya.

Akhirnya Mei 2010 baru dapat confirm pemeriksa dan ding dong ding dong bulan Oktober 2010 baru dapat viva. Dah buat pembetulan apa semua dalam sebulan dua Alhamdulillah selesai. Cuma tunggu senat UIAM meeting hujung bulan Januari 2011 dan akhirnya disahkan.

Apa-apapun semuanya itu menguji keimanan dan kesabaran hamba yang lemah ini. Semoga dengan nikmat ini tidak menjadikan UF bongkak dan takabbur. Tanggungjawab dan amanah perlu dilaksanakan dengan penuh ketaqwaan.

Ya Allah, Alhamdulillah atas segalanya. Tidakku kecewa...

05 Februari 2011

Tolong Lipat Sejadah Nooo

(sumber gambar: klik di sini)

Kelmarin UF kena ganti baca khutbah Jumaat di Surau al-Hijrah Kota Warisan. 2-2 imam iaitu Us. Zairul dan imam Shukran balik kampung. Dah 2-3 kali UF baca khutbah Jumaat kat surau tu (jangan bimbang ada tauliah JAIS maa). Teks khutbah kelmarin tajuknya "Kewajipan Menguruskan Jenazah".

Bukan itu yang UF nak sentuh, tapi respon jemaah surau yang datang solat Jumaat kelmarin tu. Dalam khutbah kedua UF mohon kerjasama daripada jemaah yang datang solat hari ni, tolong lipat sejadah dan gulung tikar selepas solat selesai.

Bantulah AJK surau sama kerana surau adalah milik dan tanggungjawab bersama. Bukan hanya tanggungjawab AJK surau saja. Alhamdulillah lepas solat selesai, UF dapati sejadah-sejadah hampir ke semuanya telah dilipat dan kebanyakan tikar-tikar pun dah digulung.

Ada beberapa point yang UF dapat simpulkan. Pertama, teks khutbah perlu kupas isu semasa dan Alhamdulillah teks yang disediakan oleh JAIS memang banyak menyentuh isu semasa. Lagipun itu yang menjadi piagam JAIS dalam penyediaan teks khutbah. Ia tertera dalam kulit sebelah dalam buku teks (boleh rujuk teks khutbah JAIS).

Bukan setakat isu semasa di Malaysia sahaja, tapi isu semasa tempatan juga perlu dikupas supaya jemaah lebih peka dan prihatin dengan keadaan setempat. Contohnya isu lipat sejadah yang UF war-warkan dan dapat respon positif jemaah. Kadang-kadang Us. Zairul atau imam Shukran menyebut dalam khutbah tentang kedudukan terkini kewangan pembangunan surau. Pernah juga respon daripada seorang dua jemaah yang bersedekah 100 ribu ringgit di samping tabung mingguan Jumaat yang purata kutipan untuk pembangunan antara RM500 hingga RM1000.

Kedua, jemaah yang datang solat kelmarin Alhamdulillah juga segar bugar mendengar khutbah yang disampaikan. Kebetulan pula kelmarin cuti umum. Bila cuti umum selalunya surau al-Hijrah Kota Warisan akan melimpah ruah pada hari Jumaat. Maksud UF para jemaah segar bugar tu ialah mereka respon kepada saranan UF untuk tolong lipat sejadah dan gulung tikar. Kalau pakat dok lena masa khutbah tu, rasanya takkan terlaksana saranan tu.

Alhamdulillah atas segala nikmat Allah Taala untuk kita...

04 Februari 2011

Demonstrasi Mesir

(Sumber gambar: Berita Harian)
Demonstrasi di Mesir yang menuntut Presiden Husni Mubarak meletak jawatan sudah masuk minggu ke 2. Demonstrasi yang mengambil motivasi dari Tunisia dijangka tidak akan berhenti dalam masa terdekat ini. Yang menjadi mangsa ialah rakyat asing yang belajar, bekerja atau melancong di negara Firaun itu. Antara mereka ialah sekumpulan rombongan staf USIM yang pergi ke "Ma'rad Kitab" di Mesir. Sehingga kini tak dapat maklumat lagi tentang keadaan mereka.

Dikhabarkan melalui berita atau surat khabar, keadaan tidak menentu dan kekalutan di sana menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia di sana berada dalam ketakutan. Disebabkan perintah bekurung, menyebabkan aktiviti orang ramai dan masyarakat Mesir sendiri agak terbatas. Ramai yang terkandas di lapangan terbang walaupun mereka dah beli tiket kapal terbang.

UF dapat memahami keperitan dan kesusahan yang dialami oleh para pelajar kita di sana. Sebabnya UF pernah menghadapi situasi kekalutan di lapangan terbang Damascus, Syria akibat peperangan Israel Lubnan tahun 2006 yang lalu. UF tak kata keadaan UF sama dengan keadaan di Mesir kerana perang tu berlaku di Lubnan. Namun disebabkan landasan lapangan terbang Beirut telah di bom oleh tentera Israel, menyebabkan rakyat Lubnan lari ke Syria dan menaiki kapal terbang di sana.

Asalnya UF tak mau balik Malaysia, apatah lagi keadaan di Syria amat tenang. Tidak terkesan langsung dengan perang di Lubnan. Hajat di hati nak jadi sukarelawan untuk membantu pelarian perang di sempadan Syria-Lubnan. Namun bila dapat sms zaujah dia kena masuk hospital, UF buat keputusan untuk balik Malaysia.

Bila hari nak balik UF sampai di Airport Damascus dan dapati ia penuh dengan orang ramai, tak macam biasa. UF memang tahu melalui berita dan akhbar yang ramai rakyat Lubnan lari melalui Airport Damascus untuk ke luar negara. UF pun beratur dalam Q yang panjang dan lama. Tunggu punya tunggu tapi masih tak boleh nak check in lagi. Rupa-rupanya siapa sampai dulu dialah yang boleh check in dulu walaupun bukan flight tu yang dibooking. Bukannya siapa yang dah beli tiket dulu.

Ini menimbulkan ketidakpuasan hati ramai orang. Akibatnya UF terlepas flight yang sepatutnya UF naik. Bila sampai giliran UF nak check in, pegawai kaunter tu marah dan kata kenapa kamu tak naik flight tadi. UF kata balik, tadi kamu juga yang tak bagi naik flight pertama tu. Nasib baiklah UF dapat juga naik flight ke dua. Itupun dah final call. Kalau tak dapat naik flight ke 2 tu, confirm UF akan terlepas flight dari Dubai ke KLIA.

Begitulah keadaannya di Airport Kaherah, Mesir bahkan lagi teruk daripada apa yang UF pernah alami. Walaupun bukan perang yang berlaku di Mesir, tapi demonstrasi tersebut tetap menyebabkan kelam kabut yang dahsyat kepada semua orang, sama ada rakyat Mesir sendiri ataupun orang luar.

Ye lah, ibu bapa mana yang tak risau memikirkan nasib anak di sana. Duit tak boleh nak ambil, makanan pun tak cukup, keselamatan tak terjamin dan lain-lain lagi. Marilah kita sama-sama berdoa dan solat hajat agara usah memindahkan para pelajar di Mesir dapat berjalan dengan lancar. Amin!!!

02 Februari 2011

Fiqh Asas (5)

Istinja’ (Membersihkan Kemaluan Depan dan Belakang)

Wajib beristinja’ selepas membuang air kecil dan air besar. Cara yang terbaik ialah beristinja’ dengan 3 batu kemudian diikuti pula dengan air. Memadai juga beristinja’ dengan air sahaja ataupun 3 biji batu untuk membersihkan tempat najis itu.

Jikalau dia hanya ingin memadai dengan salah satu dari kedua-duanya (air atau batu), maka air terlebih baik.

Disunatkan bagi orang yang membuang air kecil dan air besar:

1) Tidak mengadap atau membelakangi kiblat sekiranya di padang yang terbuka.
2) Tidak melakukannya dalam air yang tidak mengalir.
3) Tidak melakukannya di bawah pokok yang berbuah, di jalanan, di tempat teduh dan dalam lubang.
4) Tidak bercakap-cakap. Tidak mengadap atau membelakangi matahari dan bulan.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).