Euthanasia

25 Januari 2011

Euthanasia

Definisi Euthanasia

Euthanasia adalah perkataan Yunani. Ia mempunyai beberapa makna antaranya “Good Death”, “Easy Death” atau “With Dignity Death”. Dalam bahasa arab ia dipanggil “Qatlu al-Rahmah” atau “al-Qatlu al-Rahim”.

Bentuk Euthanasia

Euthanasia boleh berlaku melalui tiga cara:
i. Memberi ubat (contohnya paint killer) dengan dos yang berlebihan hingga menyebabkan kematian pesakit.
ii. Menghentikan mesin/alat pernafasan yang dipasang kepada pesakit-pesakit yang koma atau mati otak atau seumpamanya
iii. Tidak memberi apa-apa rawatan kepada pesakit kronik dan akhirnya pesakit itu mati.

Pendapat Ulama Islam Tentang Euthanasia

Antara ulama kontemporari yang ada membincangkan tentang Euthanasia antaranya ialah Syeikh Yusuf al-Qaradawiyy, Dr. Umar Sulayman al-Ashqar, Dr. Abd al-Haq Hamish dan lain-lain. Kesimpulannya adalah seperti berikut:

Jika pesakit itu masih sedar, cuma dia mengerang kesakitan dan dia meminta doktor untuk “membunuhnya”, maka hukumnya adalah haram. Haram meminta diri dibunuh walaupun akibat penyakit kronik. Begitu juga haram kepada doktor untuk memenuhi permintaan pesakit tersebut. Ini kerana dengan kemajuan bidang perubatan, seseorang pesakit boleh dibius atau diberi ubat penenang. Jadi pesakit yang dalam kesakitan yang amat sangat, boleh “ditenangkan” dengan kaedah-kaedah tertentu yang ada dalam ilmu perubatan.

Manakala bagi pesakit yang telah koma, mati otak, terhenti penafasan (jantung) dan seumpamanya perlu dilihat keadaannya. Jika mereka disahkan oleh doktor pakar ada kebarangkalian untuk hidup, Euthanasia tidak dibenarkan. Namun jika disahkan oleh doktor pakar bahawa mereka ini tiada harapan lagi untuk hidup (pada adatnya) dan menurut ilmu perubatan mereka ini hanya hidup atas “ihsan” mesin/alat penafasan, maka Euthanasia dibenarkan. Apatah lagi jika alat/mesin penafasan yang dipakaikan kepada mereka itu diperlukan oleh pesakit lain yang masih ada peluang untuk hidup.

Pendapat ini disokong oleh Majma’ al-Fiqh al-Islamiyy (satu badan penyelidikan yang dianggotai oleh ramai ulama sedunia) dalam ketetapan yang dibuat pada tahun 1986 di Amman, Jordan:

يعتبر شرعاً أن الشخص قد مات وتترتب جميع الأحكام المقررة شرعاً للوفاة عند ذلك إذا تبينت فيه إحدى العلامتين التاليتين
إذا توقف قلبه وتنفسه توقفاً تاماً وحكم الأطباء بأن هذا التوقف لا رجعة فيه
إذا تعطلت جميع وظائف دماغه تعطلاً نهائياً، وحكم الأطباء الاختصاصيون الخبراء بأن هذا التعطل لا رجعة فيه، وأخذ دماغه في التحلل
وفي هذه الحالة يسوغ رفع أجهزة الإنعاش المركبة على الشخص وإن كان بعض الأعضاء، كالقلب مثلا، لا يزال يعمل آلياً بفعل الأجهزة المركبة
Maksudnya, “Mengikut Syarak, seseorang itu dianggap mati dan terpakai ke atasnya hukum kematian pada Syarak apabila ada 2 tanda-tanda berikut:i. Apabila jantungnya dan penafasannya terhenti sama sekali dan para doktor mengesahkan jantung dan nafas yang terhenti ini tidak akan berfungsi kembali.ii. Apabila semua fungsi otaknya rosak atau terhenti secara total. Doktor pakar mengesahkan bahawa kerosakan ini tidak akan berfungsi kembali dan otaknya mula mereput atau mengurai.Dalam hal ini, dibolehkan mencabut mesin penafasan yang dipasang kepada pesakit walaupun sesetengah anggota seperti jantung kelihatan berdegup dengan bantuan mesin tersebut“.

Wallahu A’lam.

Rujukan

Fatawa Mu’asirah, Syeikh Yusuf al-Qaradawiyy.
Qadaya Fiqhiyyah Mu’asirah, Dr. Abd al-Haq Hamish.
Dirasat Fiqhiyyah Fi Qadaya Tibbiyyah Mu’asirah, Dr. Umar Sulayman al-Ashqar.
Majma’ al-Fiqh al-Islamiyy.

Nota: Artikel ini adalah jawapan yang disediakan kepada pelajar-pelajar Management and Science University, Shah Alam untuk Final Project mereka.

2 ulasan

nak letak nama sendiri tapi takut laa dgn kwn2 UF :P berkata...

salam UF. sy pelajar dh lama follow blog UF. bnyk post2 yg informatif termasuk la post2 'personal insight' tu. terhibur gak bc komen2 'membina' rakan2 sejawat UF. terfikir sejenak nk balik usim ke x klu ni la keadaannye nnt.

cume nk tmbh dlm hal euthanasia, definisi 'mati' amat penting. dgn kemajuan perubatan skrg, ketetapan jordan 1986 tu masih relevan. tp sape tahu kecuali Allah, lg 20-30 tahun akan dtg, klu ade lg perubahan. definisi 'mati' mgkn berubah.

buat ms skrg, 'mati' secara konfirm ialah mati otak. sbbnye, cell2 otak yg mati xleh nk tumbuh balik secara semulajadi mahupn dgn bantuan perubatan, dan klu dilepaskn dr alat bantuan pernafasan, mmg die xleh nafas sendiri. ni berbeza dgn koma. sbb dlm koma, walaupun ade cell2 otak yg mati, tp org tu masih ade peluang hidup n sembuh.

dlm isu euthanasia, org yg mati otak dikira mati. jadi x termasuk dlm perbuatan euthanasia. euthanasia hanya utk org hidup (sedar atau tidak) yg mahu mati.

papehal, good death utk org islam ialah husnul khatimah.

Prof Dr. Irwan bin Mohd Subri berkata...

terima kasih kerana berkongsi maklumat... apa-apa pun memang perlu kepada akuan pakar perubatan untuk mengesahkan sama ada orang tu benar-benar dah mati atau sebaliknya....

Para ulama memerlukan kerjasama pakar perubatan dalam hal ini untuk menentukan hukum yang sewajarnya.

Rabbana Atina Fi al-Dunya Hasanah Wa Fi al-Akhirah Hasanah Wa Qina 'Azab al-Nar... Amin