26 Januari 2011

Kenangan Terindah


10 tahun lepas pada tanggal 26 Januari 2001 selepas solat Jumaat, selamatlah UF menjadi seorang suami kepada seorang wanita pujaan hati. Ya! Hari ini genaplah sepuluh tahun perkahwinan UF dengan isteri tercinta.

Jika dikenang kembali, perkahwinan UF agak unik sikit. Ia unik sebab dua perkara. Pertamanya pengantin wanita nun jauh di perantauan di Mesir. Majlis akad nikah pula diadakan di rumah pengantin wanita di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Huhu kahwin sorang-sorang..... (dah nak kahwin sangat). Masa kahwin tu isteri belum habis belajar lagi.

UF dapat berjumpa dengan isteri hanya selepas 6 bulan berkahwin. Ingatkan belajar ja yang ada PJJ, rupanya UF kahwin pun secara PJJ.... hehe... Bulan Julai isteri pulang ke Malaysia dan Ogos baru buat kenduri.

Yang keduanya ia unik sebab akad nikah UF dalam bahasa Arab. Maklumlah al-Marhum bapa mertua seorang ustaz dan pengetua sekolah agama Fa'iqiyyah Da'imiyyah Permatang Pauh. Saksi 2 orang pula biras UF dan kedua-duanya juga ustaz. Seorang belajar di al-Azhar dan seorang lagi di Acheh.

Jadi masa akad nikah tu, kami empat orang je lah yang faham... hehe... Yang lain tu melopong je lah dan dok pakat "renyeh"... hang tengok aku... aku tengok hang....

Masa kahwin tu UF mengajar di sebuah sekolah swasta (Sri Ayesha Islamic Primary School) di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah tak lama lepas tu, UF dapat tawaran kerja sebagai tutor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Bak kata orang rezeki orang baru berkahwin.

Emmm... sepanjang 10 tahun ni pelbagai ragam dilalui oleh UF bersama isteri tersayang. Anak UF pun dah darjah 3 dah. Semoga perjalanan hidup UF sekeluarga terus dirahmati dan diredai Allah Taala.

Bahibbik min kulli fu'adi ya habibati....

25 Januari 2011

Euthanasia

Definisi Euthanasia

Euthanasia adalah perkataan Yunani. Ia mempunyai beberapa makna antaranya “Good Death”, “Easy Death” atau “With Dignity Death”. Dalam bahasa arab ia dipanggil “Qatlu al-Rahmah” atau “al-Qatlu al-Rahim”.

Bentuk Euthanasia

Euthanasia boleh berlaku melalui tiga cara:
i. Memberi ubat (contohnya paint killer) dengan dos yang berlebihan hingga menyebabkan kematian pesakit.
ii. Menghentikan mesin/alat pernafasan yang dipasang kepada pesakit-pesakit yang koma atau mati otak atau seumpamanya
iii. Tidak memberi apa-apa rawatan kepada pesakit kronik dan akhirnya pesakit itu mati.

Pendapat Ulama Islam Tentang Euthanasia

Antara ulama kontemporari yang ada membincangkan tentang Euthanasia antaranya ialah Syeikh Yusuf al-Qaradawiyy, Dr. Umar Sulayman al-Ashqar, Dr. Abd al-Haq Hamish dan lain-lain. Kesimpulannya adalah seperti berikut:

Jika pesakit itu masih sedar, cuma dia mengerang kesakitan dan dia meminta doktor untuk “membunuhnya”, maka hukumnya adalah haram. Haram meminta diri dibunuh walaupun akibat penyakit kronik. Begitu juga haram kepada doktor untuk memenuhi permintaan pesakit tersebut. Ini kerana dengan kemajuan bidang perubatan, seseorang pesakit boleh dibius atau diberi ubat penenang. Jadi pesakit yang dalam kesakitan yang amat sangat, boleh “ditenangkan” dengan kaedah-kaedah tertentu yang ada dalam ilmu perubatan.

Manakala bagi pesakit yang telah koma, mati otak, terhenti penafasan (jantung) dan seumpamanya perlu dilihat keadaannya. Jika mereka disahkan oleh doktor pakar ada kebarangkalian untuk hidup, Euthanasia tidak dibenarkan. Namun jika disahkan oleh doktor pakar bahawa mereka ini tiada harapan lagi untuk hidup (pada adatnya) dan menurut ilmu perubatan mereka ini hanya hidup atas “ihsan” mesin/alat penafasan, maka Euthanasia dibenarkan. Apatah lagi jika alat/mesin penafasan yang dipakaikan kepada mereka itu diperlukan oleh pesakit lain yang masih ada peluang untuk hidup.

Pendapat ini disokong oleh Majma’ al-Fiqh al-Islamiyy (satu badan penyelidikan yang dianggotai oleh ramai ulama sedunia) dalam ketetapan yang dibuat pada tahun 1986 di Amman, Jordan:

يعتبر شرعاً أن الشخص قد مات وتترتب جميع الأحكام المقررة شرعاً للوفاة عند ذلك إذا تبينت فيه إحدى العلامتين التاليتين
إذا توقف قلبه وتنفسه توقفاً تاماً وحكم الأطباء بأن هذا التوقف لا رجعة فيه
إذا تعطلت جميع وظائف دماغه تعطلاً نهائياً، وحكم الأطباء الاختصاصيون الخبراء بأن هذا التعطل لا رجعة فيه، وأخذ دماغه في التحلل
وفي هذه الحالة يسوغ رفع أجهزة الإنعاش المركبة على الشخص وإن كان بعض الأعضاء، كالقلب مثلا، لا يزال يعمل آلياً بفعل الأجهزة المركبة
Maksudnya, “Mengikut Syarak, seseorang itu dianggap mati dan terpakai ke atasnya hukum kematian pada Syarak apabila ada 2 tanda-tanda berikut:i. Apabila jantungnya dan penafasannya terhenti sama sekali dan para doktor mengesahkan jantung dan nafas yang terhenti ini tidak akan berfungsi kembali.ii. Apabila semua fungsi otaknya rosak atau terhenti secara total. Doktor pakar mengesahkan bahawa kerosakan ini tidak akan berfungsi kembali dan otaknya mula mereput atau mengurai.Dalam hal ini, dibolehkan mencabut mesin penafasan yang dipasang kepada pesakit walaupun sesetengah anggota seperti jantung kelihatan berdegup dengan bantuan mesin tersebut“.

Wallahu A’lam.

Rujukan

Fatawa Mu’asirah, Syeikh Yusuf al-Qaradawiyy.
Qadaya Fiqhiyyah Mu’asirah, Dr. Abd al-Haq Hamish.
Dirasat Fiqhiyyah Fi Qadaya Tibbiyyah Mu’asirah, Dr. Umar Sulayman al-Ashqar.
Majma’ al-Fiqh al-Islamiyy.

Nota: Artikel ini adalah jawapan yang disediakan kepada pelajar-pelajar Management and Science University, Shah Alam untuk Final Project mereka.

21 Januari 2011

Teka Teki Fiqh

Kita biasa di ajar bahawa sunat untuk kita mendahulukan anggota kanan daripada yang kiri. Contohnya berwuduk, sunat dahulukan membasuh anggota kanan kemudian baru kiri. Begitu juga memakai baju, sunat juga untuk menyarung sebelah kanan baru sarungkan sebelah kiri pula. Contoh lain ialah masuk ke masjid, memakai kasut dan lain-lain.

Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W
كان يحب التيامن ما استطاع في شأنه كله
Maksudnya, "Bahawa Rasulullah S.A.W amat suka mendahulukan yang kanan selagi termampu dalam semua urusan baginda". Riwayat Abu Daud.

Yang kita tahu satu perkara yang disunatkan mendahulukan aggota kiri daripada yang kanan, ialah ketika masuk ke tandas. Sunat melangkah kaki kiri dulu bila masuk ke tandas dan sunat pula melangkah kaki kanan dulu bila keluar daripada tandas.

Namun ada lagi satu perkara yang "perlu" dan "mesti" mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar? Bahkan boleh dikatakan wajib..... Ketika manakah ia??? Anda ada jawapannya???

Sila berikan jawapan anda dalam ruangan komen. Kepada mereka yang dapat menjawab dengan tepat akan dihadiahkan album ke 2 kumpulan Instinct. First correct answer will win.... Cepat-cepat.... buka dan rujuk kitab-kitab fiqh...

Clue: Siapa biasa belajar di ***** insya Allah tahu... hehe

18 Januari 2011

Tong Gas


Surat khabar hari ni ada menyiarkan berita tentang kematian seorang pelajar perempuan jurusan perubatan di Universiti Iskandariah Mesir. Punca kematian dipercayai berpunca gas bocor dalam bilik air. Takziah UF ucapkan kepada keluarga si mati.

UF pernah belajar di Mesir dan tinggal lama di sana. UF dapat bayangkan bagaimana kematian itu boleh berlaku. Hal yang sama pernah terjadi kepada salah seorang kawan UF. Namun nasibnya baik sebab kawan serumah sempat menyelamatkannya bila dengar macam ada orang jatuh dalam bilik air. Itupun mulutnya dah berbuih akibat kebocoran tong gas.

Bagi mereka yang tak tahu mungkin pelik apa hal tong gas ada dalam bilik air. Mesir ada musim sejuk dan bila musim tu tiba memang sejuk sungguh. Pelajar biasanya mandi seminggu sekali, malah ada yang 2-3 minggu sekali. Biasanya rumah-rumah di Mesir ada "sakhanah" atau pemanas air. Kebiasannya dan kebanyakkannya menggunakan tong gas untuk memanaskan air yang ada dalam tong sakhanah tu. Ada juga rumah yang pakai sakhanah dengan kuasa elektrik tapi tong gas lebih jadi pilihan sebab murah.

Tong-tong gas tu pulak bukan macam kat Malaysia nampak lawa. Selalunya tong dah pudar warna dan kemik sana sini. Bila mandi pulak memang la kita tutup pintu dan tingkap. Jadi bila berlau kebocoran gas dalam bilik air, udara akan berkisar dalam bilik air ja. Itu yang menyebabkan mangsa tidak sedar mereka terhidu gas dan akhirnya boleh menyebabkan kematian jika tidak diselamatkan cepat.

Nak tahu macam mana pekerja atau penjual gas cek sama ada tong gas tu bocor atau tidak ? Caranya ialah selepas mereka memasang paip dapur atau paip sakhanah dengan tong gas, mereka akan cucuh api di kepala tong gas. Ngeri bukan? Maksudnya kalau tak bocor api takkan menyambar la. Kalau bocor?? Kabommmmmm

14 Januari 2011

Maafkan Daku!!!

Maaf ye!!!! Post ini tak dak kena mengena dengan post sebelum ini. Maaf lah anda tersilap sangka. Kali ni UF nak biar anda berteka teki dan tertanya-tanya apa maksud post ini. Biarkan hidup anda diselubungi misteri.

Ia juga takdak kena mengena dengan orang lain... maksudnya bukan mengata orang daaa..... Hanya tentang UF ja.... Hanya Allah saja yang Maha Memahami apa yang tersirat di sebalik coretan ini...

Baru terfikir akhir-akhir ini kenapa setelah UF bagi "habuan", UF tak pernah pun buat tindakan susulan. Takkan nak biarkan macam tu ja... bukan satu dua tapi ramai walaupun taklah sampai sepuluh... tak boleh nak adjust dah...

Emmm.. apa yang patut UF buat ye.... dah la server down, kalau UF pi switch off lagi la lingkup.... Uiii takleh jadi ni... takpa-takpa masih belum terlambat... Rasa macam tak patut ja biaq tanggung sorang-sorang.... Kalau ada sokongan tu, kurang-kurang semangat tu datang balik dan lepas ni tak jadi dah macam dulu... harap-harapnya laaa...

Ye lah... UF kena cuba dulu... kalau tak cuba mana la nak tahu menjadi ke tak.... maafkan dakuuuu.... Ya Allah berikan kesempatan kepada ku untuk melangsaikan hajat ini...

post dah abis daaa....

Nota penting: kalau anda mengaji kitab nahu "Matan al-Ajrumiyyah"... yang dikatakan "al-kalam" ialah: huwa al-lafzu al-murakkab al-mufidu bi al-wad'i...

Jadi post ini adalah lafaz yang murakkab tapiiiii la yufidu syai'an pada pandangan anda... namun yufidu syai'an pada UF.... jadi ia tidak boleh dianggap "kalam" pada pandangan anda, namun ia adalah "kalam" pada UF... tak paham??? kena mengaji kitab tu dulu lah jawabnya.... hehe

11 Januari 2011

Kalau UF Jadi NC USIM

UF mula kerja di USIM tahun 2001, jadi dah masuk tahun ke sepuluh kerja di sini. UF antara staf akademik USIM terawal (walaupun bukan paling awal) bermula di Institut Baitul Mal Kg. Pandan lagi. Banyak kenangan pahit manis masam kelat yang dilalui sepanjang tempoh tu.

Baki post ini di delete kerana dikatakan sensitif. UF dengan rasminya memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit, atas penyiaran post ini sebelum ini.

Terpulang apa saja interpretasi tuan2/puan2 atas tulisan UF ini atau sebelum2 ini.

Ya Laytani Kuntu Nasyan Mansiyya...

10 Januari 2011

Menghitung Hari

Kita biasa mendengar hari-hari dalam seminggu. Kesemuanya berjumlah tujuh hari iaitu hari Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Namun tahukah kita ada lagi hari-hari yang perlu diketahui selain tujuh hari dalam seminggu itu. Hari-hari tersebut ialah:

1) Yaum Mafqud (Hari yang telah hilang)
Hari yang telah hilang ialah hari kelmarin yang kita tinggalkannya bersama amalan baik buruk, kenangan pahit manis dan sebagainya. Ia tidak akan kembali semula dengan apa cara sekalipun. Kita hanya mampu mengambil iktibar dan pengajaran dari hari kelmarin.

Sekiranya kelmarin berlalu dengan kebaikan dan amalan soleh, maka ia perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi tanpa henti, tetapi jika ia berlalu dengan kejahatan dan maksiat kepada Allah, maka ia perlu dihentikan dan dibajai dengan rasa menyesal agar perkara itu tidak berulang lagi.

Hari kelmarin juga mengajar kita agar sentiasa muhasabah diri kita dan mengenal pasti segala kekurangan dan kelemahan untuk diperbaiki. Orang yang membiarkan kelmarinnya berlalu tanpa penilaian adalah orang yang tidak memperdulikan nasib dirinya dan orang yang tidak mahu mengubah nasib hidupnya ke arah yang lebih baik dan diredai Allah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Surah al-Ra’d 11.

Nasib seseorang akan berada di takuk lama jika dia sendiri tidak mahu dan berusaha mengubah nasib hidupnya.

2) Yaum Masyhud (Hari yang sedang disaksikan)
Hari yang sedang disaksikan ialah hari ini yang kita berada padanya. Sudah pasti hari ini kita mempunyai banyak tugas untuk diselesaikan tidak kira samada kita ini doktor, pensyarah, jurutera, pekerja kilang, polis, petani, nelayan dan sebagainya. Yang penting ialah kepandaian kita mengurus dan mengatur tugas-tugas tersebut.

Orang yang bijak akan mendahulukan perkara utama yang perlu diselesaikan daripada perkara-perkara yang bukan utama. Sebab itulah kita perlu memahami “Awlawiyyat” (perkara-perkara keutamaan) dalam hidup kita. Dengan memahami “Awlawiyyat” ini, urusan hidup kita akan berjalan dengan lebih lancar dan selesa.

Selaku mukmin sejati, kita juga digesa untuk menyelesaikan perkara yang boleh diselesaikan pada hari ini dan tidak menangguhkannya sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, “sesungguhnya aku akan melakukannya keesokan hari”. Surah al-Kahfi 23.

Sifat suka menangguhkan kerja akan menyebabkan kerja itu bertimbun dan akhirnya ia tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia akan menjadi beban berpanjangan kepada kita.

3) Yaum Mawrud (Hari yang mendatang)
Hari yang mendatang ialah hari esok yang bakal kita tempuhi. Sebaiknya kita mempunyai perancangan untuk menghadapi hari esok agar urusan hidup kita tidak terbantut. Kita masih boleh memperbaiki kelemahan yang kita lakukan pada hari ini dengan memastikan ia tidak berlaku lagi keesokan harinya.

Pepatah “Sediakan payung sebelum hujan” amat tepat dalam menanti kedatangan hari esok. Kita perlu bersedia untuk apa keadaan sekalipun samada yang baik atau yang buruk.

Contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s dalam merancang untuk menghadapi keadaan kemarau setelah diketahui ianya akan berlaku, patut dicontohi oleh kita semua. Perancangan Nabi Yusuf ini berjaya menyelamatkan rakyat Mesir ketika itu dari bencana kemarau selama tujuh tahun.

4) Yaum Maw’ud (Hari yang dijanjikan)
Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t bahawa ianya akan berlaku. Hari kiamat ialah rukun iman kelima yang wajib diimani oleh setiap orang Islam. Banyak ayat al-Quran dan Hadis Nabi menceritakan perihal hari kiamat ini yang begitu dahsyat kerana ia adalah hari kemusnahan dunia.

Langit dan bumi akan hancur, begitu juga planet-planet dan cakerawala-cakerawala yang ada di dalam alam maya ini. Hari kiamat juga menyaksikan semua manusia akan mati termasuk makhluk-makhluk lain, malah para malaikat juga akan mati. Yang kekal ketika itu hanyalah Allah s.w.t kerana Allah itu Maha Kekal Abadi dan tidak fana.

Tiada siapa yang tahu bilakah hari kiamat akan berlaku. Nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak diberitahu oleh Allah s.a.w kerana ianya adalah urusan Allah s.w.t dan hanya Allah sahaja yang tahu. Apa yang Allah tunjukkan hanyalah tanda-tanda yang dapat dilihat oleh manusia supaya insaf dan beriman kepada Allah s.w.t yang Maha Esa.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dalam sahih Muslim yang bermaksud: “Aku telah diutuskan dan hari kiamat seperti dua jari ini. (Anas) berkata, “baginda menghimpunkan (mengisyaratkan) antara jari penunjuk dan jari tengah”.

Nabi Muhammad menggambarkan harti kiamat itu amat hampir dengan mengisyaratkan jarak hari kiamat dengan zaman baginda sama seperti jarak antara jari telunjuk dan jari tengah. Jikalaulah di zaman Nabi Muhammad 1400 tahun yang lalu pun jaraknya sudah hampir, apatah lagi dengan zaman kita sekarang ini. Oleh itu kita mesti bersiap sedia dengan memperbanyakkan amalan soleh untuk menghadapi hari kiamat yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

5) Yaum Mamdud (Hari pembentangan)
Hari pembentangan ialah hari dibentangkan semua makhluk di hadapan Allah s.w.t di padang mahsyar. Pembentangan ini bertujuan untuk menjalani satu upacara yang dipanggil “Hisab” iaitu menghitung amalan baik untuk diberi ganjaran nikmat syurga dan menghitung amalan jahat untuk diberi “ganjaran” azab neraka.

Kehidupan di akhirat bersifat kekal abadi yang tiada kesudahannya sampai bila-bila. Ia memang tidak dapat difikirkan oleh akal fikiran tetapi ia wajib diimani oleh setiap umat Islam, kerana umat Islam melalui akidahnya mengimani bahawa selepas manusia mati, jasadnya tidak hanya hancur dimakan tanah begitu saja, tetapi ia akan dihidupkan kembali dan dibangkitkan untuk dihisab oleh Allah s.w.t.

Penyelamat utama bagi umat Islam pada hari Mahsyar nanti hanyalah rahmat Allah s.w.t dan syafaat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. Untuk mendapat tiket rahmat dan syafaat pada hari itu ialah dengan beriman kepada Allah dan memperbanyakkan amalan soleh di dunia ini. Allah berfirman yang bermaksud: Maksudnya, “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (amal soleh)”. Al-A’raf 56.

Berbahagialah orang-orang yang beriman dan beramal soleh kepada Allah dan amat rugilah orang-orang yang ingkar kepada Allah. Begitulah lima hari yang perlu direnung oleh kita agar hidup kita sentiasa diberkati dan diredai Allah s.w.t.

08 Januari 2011

Merakyatkan Zakat


Pernah sekali dulu ketika belajar di Mesir, seorang kawan UF mengidap sakit sendi di lutut hinggakan lututnya membengkak. Bila lututnya semakin membengkak teruk UF bawa dia ke hospital untuk menerima rawatan. Hospital itu terletak di kawasan yang bernama Rabiah al-Adawiah atau dipanggil "Rab'ah" dan bersebelahan dengan masjid Rab'ah.

Di hospital doktor menyedut keluar cecair daripada lututnya dengan picagari. Seingat UF, cecair yang disedut keluar tu cukup banyak hingga hampir memenuhi satu cawan. Selepas selesai menyedut cecair, doktor menyimen di kawasan lutut (nampak macam orang patah kaki).

Bila dah habis rawatan doktor berkata kepada UF, kamu ada duit tak nak bayar kos rawatan? Mungkin doktor tu ingat kami ni pelajar dan tak ada duit nak bayar. Doktor tu kata lagi, kalau kamu tak ada duit, kamu boleh pergi ke masjid sebelah hospital ni dan minta zakat bagi membayar kos rawatan kawan UF. Namun UF kata, takpa kami ada duit nak bayar.

Apa yang UF nak sentuh di sini ialah peranan institusi zakat seperti dalam cerita UF tadi. Sebab tu lah UF nak cadangkan agar surau dan masjid di Malaysia menjadi mata dan telinga kepada pusat zakat negeri. Sesetengah pusat zakat negeri membuka pejabat zakat di setiap daerah, malah ada yang 7 hari seminggu. Namun UF lihat peranannya masih tidak cukup.

Memandangkan masjid dan surau lebih hampir kepada masyarakat Islam, maka bolehlah masjid dan surau membantu peranan pusat zakat. Maksudnya pusat zakat negeri memperuntukkan sejumlah wang kepada pengurusan masjid dan surau untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan dengan kadar segera.

Maklum sajalah kalau mohon bantuan daripada pusat zakat terkadang memakan masa untuk kelulusan. Jadi apa yang kita nak buat kalau datang seorang ibu tunggal atau isteri yang dizalimi suami dah 2-3 hari tak makan termasuk anak-anaknya? Kita nak suruh dia pi pejabat zakat untuk mohon bantuan?

Sebab itulah UF berpandangan masjid dan surau lebih relevan dan lebih pantas dalam membantu golongan yang memerlukan. Apatah lagi AJK masjid dan surau lebih mengenali ahli kariahnya dan ini dapat mempercepatkan penyaluran bantuan zakat. Apa yang UF katakan ini berdasarkan realiti dan permasalahan yang berlaku di Kota Warisan, Sepang.

Ramai yang mengadu dengan imam surau al-Hijrah, Kota Warisan tentang pelbagai masalah mereka yang memerlukan bantuan segera. Alhamdulillah surau al-Hijrah ada lajnah kebajikan dan memang selalu membantu mereka yang memerlukan seperti bantuan wang, makanan, yuran sekolah dan lain-lain. Walaupun tak banyak jumlah bantuannya tapi sekurang-kurangnya dapatlah dibantu sedikit sebanyak dengan dan yang terhad.

Sebab itulah kalau pusat zakat boleh salurkan dana zakat khas kepada masjid dan surau, UF rasa lebih sempurna bantuan yang diberikan kepada mereka. Ini adalah idea awal dan sudah tentulah perlu kepada penelitian terhadap kaedah perlaksanaannya. Namun kalau kita tidak mulakan, bila lagi dan siapa lagi?