November 2010

26 November 2010

Hati Juga Perlu Diasah

Awal bulan November lalu, UF pergi ke Indonesia (Jakarta dan Bandung) mengikut rombongan USM bersama isteri. Pertama kali UF sampai di bumi Indonesia dan dapat lihat sendiri kota Jakarta yang “macet”. UF bukan nak cerita pasal lawatan ke sana sebab memang banyak cerita yang nak diceritakan, dari tempatnya, makan minumnya dan macam-macam lagi.

Yang UF nak cerita di sini ialah tentang satu iklan tv Indonesia yang sempat UF tengok. Itulah satu-satunya iklan yang UF tengok dari awal sampai habis. Masa ke sana tu daripada pagi sampailah ke malam asyik berjalan dan shoping ja. Tak sempat sangat nak tengok tv, ye lah bila sampai hotel dah letih dan terus tidur ja.

Berbalik kepada iklan tu, senario dia begini:

Di sebuah kampung, tiba-tiba kelihatan sekelompok lelaki menuju ke satu tempat. Dengan muka yang bengis-bengis belaka, di tangan mereka tergenggam erat parang dan pisau. Kemudian paparan berikutnya, di sudut lain di kampung itu juga kelihatan sekelompok lelaki lain juga dengan parang di tangan mereka.

Waduh.. ini sudah gawat pak!!! UF dah terbayang yang dua kumpulan ini akan bergaduh. Namun bila sampai di satu simpang, 2 kumpulan ini bergabung menjadi 1 kumpulan besar dan menuju ke satu tempat lain pulak. Bila sampai ke tempat yang dituju, mereka semua berhenti dan seorang lelaki (mungkin ketua kumpulan) tersenyum kepada seorang lelaki lain yang berada di tempat itu.

Lelaki wakil kumpulan tu sambil menunjukkan parang yang ada ditangannya, dia berkata: Kiyai! kami sudah bersedia!! Parangnya pun sudah diasah (lebih kurang gitulah dialognya).
Rupa-rupanya kumpulan lelaki muda tu menuju ke masjid untuk membantu melapah binatang korban. Suspen sungguh iklan tu…. Ala-ala Yasmin Ahmad punya iklan…..

Adegan seterusnya:

Kiyai tu tersenyum kembali kepada kumpulan lelaki tersebut dan berkata: Wah!! ini bagus… tapi hatinya juga mau diasah ya!!! Baru ada berkatnya (pun begitulah dialognya lebih kurang).

Hati!!!! Tempat bersarangnya noda dan dosa manusia…. sebab itulah dalam sebuh hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud, “Dalam diri manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad seluruhnya. Jika ia buruk, maka buruklah jasad (perangai dan akhlak) seluruhnya. Itulah hati”.

Hati juga perlu diasah, sama kita mengasah parang dan pisau untuk memotong sesuatu. Hati perlu diasah untuk memotong dan mengikis karat-karat dosa yang kita lakukan.

Moral of the iklan….. jangan asah parang je… hati pun kena asah selalu….. barulah hidayah selalu bertandang… insya Allah….

25 November 2010

Sembelihan Pertama


(Kambing dan lembu pertama yang disembelih UF)

Sudah seminggu hari raya korban berlalu, barulah UF sempat nak tulis posting ni. Pertama kali UF sembelih kambing dan lembu. Walaupun sebelum ni tak pernah pergi kursus sembelihan tapi hari raya korban lepas UF memberanikan diri.

Surau al-Hijrah buat korban 6 ekor lembu dan 3 ekor kambing. Lembu dan kambing disembelih secara serentak. Maksudnya Us. Radhi sembelih lembu dan Us. Zairul sembelih kambing. Us. Zairul ada tanya kalau-kalau UF nak cuba sembelih kambing juga. UF kata kena tengok dia sembelih dulu.

Jadi Us. Zairul sembelih 2 ekor yag mula dan yang terakhir dia suruh UF sembelih. UF dah tengok cara nak sembelih 2 ekor yang pertama tu. Jadi UF pun sembelihlah yang ketiga. Alhamdulillah walaupun tanpa pengalaman sebelum ni, sembelihan pertama UF akhirnya dapat dilaksanakan dengan sempurna. Yang paling penting sembelihan tu sah menurut Syarak.

Lepas tu UF pergi tengok Us Radhi sembelih lembu pula. Sudah 3 ekor disembelihnya dan yang ke 4 dia minta UF sembelih. UF minta dia tunjukkan dulu caranya sebab tak pernah sembelih lembu. Bila dah selesai yang ke 4, dia minta UF teruskan dengan lembu yang ke 5. Dengan perasaan berdebar-debar UF laksanakan sembelihan tu.

Alhamdulillah rupanya tidaklah susah sangat sembelih ni sama ada kambing atau lembu. Kena ada perasaan berani dan sanggup mencuba. UF berdoa mudah-mudahan Allah menerima sembelihan pertama UF ini. Darah lembu yang terpancut ke tangan UF masa sembelih tu juga diharapkan menjadi saksi di hadapan Allah bahawa itu antara amalan saleh UF di dunia, Amin!!

12 November 2010

Fiqh Asas (3)

Penyucian Kulit Binatang

Kulit-kulit binatang menjadi suci dengan disamak kecuali kulit anjing dan babi dan apa yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satu daripada keduanya. Manakala tulang dan bulu binatang adalah najis kecuali tulang dan bulu manusia.

Penggunaan Bekas

Penggunaan bekas-bekas emas dan perak adalah haram. Manakala bekas-bekas yang selain daripada keduanya boleh digunakan.

Bersugi

Bersugi itu amat dituntut pada setiap keadaan kecuali selepas tergelincir matahari (masuknya waktu zohor) bagi orang yang berpuasa. Ia amat dituntut pada 3 keadaan:

1) Ketika berubah bau mulut akibat diam atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama. Begitu juga ketika memakan makanan yang berbau.
2) Ketika bangun daripada tidur.
3) Ketika hendak mendirikan sembahyang.

(Sumber: Kitab "Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib" - Abu Shuja').

01 November 2010

Buku Terbaru!!!

Ini adalah buku terbaru yang UF dan kawan-kawan sepensyarah hasilkan. Baru siap dan sampai ke USIM 1 November 2010. UF target agar buku ni dapat siap sebelum Seminar Syariah dan Undang-Undang (SYUK) 2010 yang akan berlangsung 2-3 November 2010. Bolehlah promosi dan jual masa seminar berlangsung.

Buku ini mengandungi enam bab yang terdiri daripada tajuk-tajuk berikut:
- Konsep Pelaburan Wang Zakat Dan Kepentingannya.
- Pandangan Al-Quran Terhadap Pelaburan Dan Kaitannya Dengan Wang Zakat.
- Pandangan Hadis Terhadap Pelaburan Dan Kaitannya Dengan Wang Zakat.
- Hukum Pelaburan Wang Zakat.
- Garis Panduan Pelaburan Wang Zakat.
- Keuntungan Dan Kerugian Dalam Pelaburan Wang Zakat.

Sinopsis Buku:

Buku ini memfokuskan perbincangan tentang pelaburan wang zakat menurut perspektif fiqh dari segi konsep, bentuk dan hukumnya. Ia turut membincangkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW secara langsung atau tidak yang berkaitan isu pelaburan serta kepentingannya daripada perspektif Islam. Tafsiran-tafsiran para ulama terhadap ayat dan hadis tersebut dikaitkan pula dengan pelaburan yang melibatkan wang zakat. Buku ini juga membincangkan garis panduan dan syarat secara terperinci yang perlu diikuti oleh pusat-pusat zakat sekiranya ingin melaburkan wang zakat. Turut disentuh ialah perbincangan mengenai isu keuntungan dan kerugian sekiranya wang zakat dilaburkan. Buku ini boleh menjadi panduan kepada pusat-pusat zakat terutamanya di Malaysia dalam pelaburan wang zakat, seterusnya mempertingkatkan sistem pengurusan zakat di negara ini. Ia juga diharapkan dapat memberi gambaran kepada masyarakat awam tentang konsep pelaburan wang zakat. Kefahaman ini penting agar tidak berlaku salah faham terhadap baitulmal ataupun pusat zakat dalam merancang dan mengagihkan zakat secara telus, amanah dan adil“.