September 2010

26 September 2010

Konvokesyen USIM Kelapan

Terasa penat dan letih sebab baru habis konvo USIM 24-25 Sep 2010 lepas. Letihnya sebab sejak khamis lagi dah terlibat dengan rehearsal dan konvonya pulak ada tiga sesi sampailah hari Sabtu. Sesi pertama pagi Jumaat ialah konvo khas yang menganugerahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Doktor Falsafah Kehormat dalam ekonomi dan pentadbiran muamalat.

Hari Sabtu ada dua sesi pagi dan petang yang melibatkan lebih kurang 900 orang graduan termasuk peringkat siswazah. Sesi pagi menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Tan Sri Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Husin, Mantan NC pertama USIM. Sesi petang pula menganugerahkan Doktor Falsafah Kehormat dalam Quran dan Sunnah kepada Prof. Dr. Raghib Zaghlol al-Najjar, pakar Geologi daripada Mesir yang menulis tafsir tentang "al-Ayat al-Kawniyyah".

Konvo USIM kelapan ini, UF telah diamanahkan sebagai penyelaras juruacara majlis (MC) merangkap MC sekali. Sejak konvo USIM pertama lagi UF dah jadi MC konvo. Ingatkan bila habis sambung belajar dah pencen jadi MC. Rupanya masih kena lagi jadi MC, mungkin atas dasar pengalaman (cewahhh).

MC konvo di USIM mungkin unik sikit berbanding universiti lain. Pengumuman konvo USIM ada 3 bahasa, iaitu bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Untuk tiga sesi tahun ini, seramai 15 orang MC terlibat. Sesi khas 3 MC, sesi pagi 6 MC dan sesi petang 6 MC. Kesemua MC majlis konvo terdiri daripada kakitangan akademik USIM.

Kenapa ramai sangat? Masa konvo pertama tahun 2003, asalnya 3 orang MC yang utama dan 2 lagi back up. Bila bincang-bincang sesama MC dan pengurusan USIM, apa salahnya bagi peluang juga kepada MC back up untuk buat pengumuman. Sejak daripada itulah setiap sesi akan ada dua set MC yang terdiri daripada 6 orang. Senang cerita kalau ada lebih kurang 40 pengumuman masa majlis konvo tu, maka akan dibahagi kepada 2. MC set pertama ambil separuh dan MC set kedua ambil separuh yang berikutnya.

Untuk konvo kali ini ada beberapa orang MC yang baru pertama kali menjadi MC konvo. Bagi mereka, perasaan bimbang dan ketar memang ada. Tapi UF dan rakan-rakan pensyarah lain yang dah biasa jadi MC ni memang bagi semangat kepada mereka. Alhamdulillah sepanjang majlis USIM kelapan berlangsung, semuanya berjalan lancar termasuklah MC.

UF ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua rakan-rakan MC yang telah berjaya memberikan komitmen dan kerjasama yang baik. UF memang pujilah MC konvo USIM yang mempunyai suara komersial. Nampak gayanya kita akan jadi MC konvo kat USIM ni sampai pencen laaaa... heheh

"Perarakan Canselor masuk ke dewan. Majlis mohon berdiri"..... begitulah salah satu skrip MC.

07 September 2010

Fiqh Asas (1)

Jenis-Jenis Air

Air yang boleh bersuci dengannya ada 7 jenis:

1) Air hujan.
2) Air laut.
3) Air sungai.
4) Air perigi.
5) Air mata air.
6) Air salji.
7) Air embun.

Pembahagian Air

Air terbahagi kepada 4 bahagian:

1) Air mutlak: iaitu air yang suci lagi menyucikan serta tidak makruh digunakan. Air ini boleh digunakan untuk wuduk atau mandi wajib.

2) Air panas (musyammas) disebabkan cuaca: iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan. Air ini boleh digunakan untuk wuduk atau mandi wajib tetapi hukumnya makruh kerana boleh memudaratkan.

3) Air yang telah digunakan untuk wuduk atau mandi wajib (musta’mal): iaitu air suci tetapi tidak menyucikan. Begitu juga air yang berubah: iaitu air yang berubah bila bercampur dengan benda-benda yang suci. Kedua-dua air ini tidak boleh digunakan untuk berwuduk atau mandi wajib.

4) Air yang bernajis: iaitu air yang jatuh dalamnya najis dan ia tidak sampai (cukup) 2 kolah. Begitu juga air yang cukup 2 kolah tetapi ia berubah bila terjatuh najis dalamnya dianggap najis. 2 kolah itu bersamaan dengan lebih kurang 190 liter isi padu air. Air najis ini tidak boleh digunakan untuk berwuduk atau mandi wajib.

(Sumber: Kitab "Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib" - Abu Shuja').

01 September 2010

Dah Seribu...

Blog www.usulifaqih.com bulan lepas (Ogos) mencipta rekod tersendiri bila bilangan pengunjungnya melebihi 1000 orang atau dengan lebih tepat 1089 pengunjung. Sekarang purata pengunjung sehari lebih kurang 40 orang dan yang banyak datangnya daripada blog www.drhasanah.com. Jika sebelum ini purata pengunjung hanya 15-20 orang sahaja sehari.

Mungkin ada yang tergelak bila UF bangga dengan pengunjung yang “baru” 1000 orang lebih. Kalau nak dibandingkan dengan sesetengah blog yang glamour dan hebat, bilangan 1000 tu tak ada apa sangat. Namun UF tetap bersyukur dengan ilmu yang tak seberapa, blog usulifaqih.com ini tetap dilawati oleh pengunjung. Alhamdulillah….

Kepada pengunjung setia blog tersebut, suka dimaklumkan yang UF akan terbitkan sebuah lagi e-book ilmiah terbaru selepas raya nanti. Jadi tunggu akan kemunculannya…

UF juga Insya Allah akan menulis secara berkala mengenai “Hukum Fiqh Asas Dalam Mazhab Syafi’i”. Ia sebenarnya terjemahan daripada kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” karangan Imam Abu Shuja’. Namun perlu diingatkan bahawa ia hanya tentang hukum hakam yang asas dan sebarang kemusykilan perlulah berguru dan bertanyakan dengan lebih lanjut kepada mana-mana ustaz atau ustazah.