Dimashqu (22)

28 Disember 2010

Dimashqu (22)

Tapi Dr. Tawfiq tidak ada di pejabatnya ketika itu. Kami tidak menunggu lama di situ dan Rosli membawa aku ke medan Mazah pula dengan teksi. Sampai di sana Rosli bertanya jika aku ingin makan apa-apa. Aku mengiyakan dan kami menuju ke sebuah kedai makan di situ. Aku bertanya pula kepada Rosli kalau di Syria ada "Tokmiyyah". Rosli menjawab ada dan di Syria mereka menamakannya "Falafil".

Aku yang sudah lama tidak merasai "Tokmiyyah" semakin terliur bila mengetahui ia ada dijual di kedai itu. Kami memesan dua "Tokmiyyah" dan membayar 10 Lira untuk harganya. Ketika kami hendak mengambil pesanan yang sudah siap, berlaku sedikit insiden pertengkaran.

Puncanya bila taukeh kedai mengatakan kami belum membayar harga makanan. Aku yang sedikit faham hanya diam sebab terkejut dan Rosli yang banyak bertekak dengannya. Dalam hati aku terdetik, rupa-rupanya orang Syria sama saja macam orang Mesir suka bertengkar. Akhirnya taukeh kedai itu pula yang terdiam bila Rosli kata macam mana kami boleh ambil pesanan yang sudah siap kalau tidak bayar dahulu. Sebab sistem di sana bayar dulu baru makan.

Sambil kami makan, Rosli menceritakan yang dia sungguh terkejut dengan insiden tadi. Mengikut beliau amat-amat jarang orang Syria berkelakuan macam tu. Katanya lagi itu kes yang amat terpencil. Aku mengangguk saja sebab baru 2 hari berada di Syria. Jadi aku belum tahu perangai orang Syria yang sebenarnya.

Berbalik kepada "Tokmiyyah" atau "Falafil" yang aku makan, rasanya tidaklah sesedap di Mesir. Semasa aku di Mesir dahulu, boleh dikatakan aku hantu "Tokmiyyah" sebab selalu sangat makan "Tokmiyyah". Hinggakan aku pernah mendapat demam kuning di Mesir akibat makan makanan tu di kedai yang tidak bersih. Cara penyediaan "Falafil" di Syria pun sedikit berbeza dengan di Mesir. Kalau di Mesir mereka menggunakan roti "ish" yang dipotong dua seperti roti pita dan diletakkan "Tokmiyyah" (sejenis kacang semacam kacang soya) yang digoreng dalammya. Pelajar Malaysia di Mesir menggelarkannya "Masalodeh". Di Syria pula mereka menggulung "Tokmiyyah" atau "Falafil" ke dalam roti "ish" seperti Syawarma kemudian setelah siap digulung mereka akan mengapitnya dalam oven kecil hingga kelihatan kempis.

Tiada ulasan