31 Oktober 2010

Dimashqu (21)

Pagi Sabtu tu aku dah berjanji dengan Rosli untuk pergi ke Universiti Damascus. Aku minta tolong dia untuk tunjukkan jalan dan bagaimana hendak ke sana. Ye lah, aku baru sampai di Syria, jadi tak tahu langsung jalan-jalan di sana. Aku menunggu kedatangan Rosli dan bila dia sampai di rumahku, kami pun bergerak ke destinasi.

Daripada "Sina'ah" iaitu kawasan rumah yang aku tinggal kami menaiki "Service" (van yang menjadi pengangkutan awam utama di Syria). Agak lama juga kami menunggu sebab Service selalunya penuh dan bila ada Service kosong barulah dapat naik. Tambang hanya 5 Lira ke mana saja dan menaiki Service sebagai pengangkutan awam tidaklah pelik sangat bagiku. Masa aku di Mesir dulu pun van antara pengangkutan awam utama juga di sana.

Menyusuri jalan-jalan dari kawasan Sina'ah menuju ke Universiti Damascus, aku dapat melihat suasana sebenar ibu negara Syria itu. Bangunan-bangunan apartment (Shaqqah) lebih kurang macam di Mesir yang berwarna coklat. Sebenarnya jarak ke Unversiti Damascus tidaklah jauh sangat, aku rasa lebih kurang 20km saja. Tapi perjalanan menjadi lama sebab kesesakan lalu lintas yang teruk.

Setelah beberapa ketika dalam Service, kami pun sampai di Universiti Damascus. Ya, akhirnya aku sampai juga dan menjejakkan kaki di Universiti idamanku. Bangunannya pun sama saja macam Universiti al-Azhar di Mesir. Bangunan coklat yang usang menempatkan Fakulti Syariah dan Fakulti Undang-Undang. Sebenarnya fakulti-fakulti Universiti Damascus tidak terletak di satu tempat saja, tapi berselerak di serata bandar Damascus.

Fakulti Syariah tempat yang akan aku belajar terletak di sebelah hentian teksi dan bas utama. Hentian teksi dan bas ini menjadi penghubung dari dan ke bandar-bandar lain. Malah bas dan teksi untuk ke Amman, Jordan atau Beirut, Lubnan pun terletak di situ.

Rosli membawa aku masuk ke dalam bangunan Fakulti Syariah untuk menunjukkan di mana pejabat fakulti, bilik pensyarah dan juga bilik kuliah. Aku semakin teruja untuk mendaftarkan diri dan memulakan pengajianku di peringkat Ph.D di situ.

Tiada ulasan: