Hakim Syarie Wanita

04 Julai 2010

Hakim Syarie Wanita

Akhbar hari melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah melantik dua orang wanita menjadi Hakim Syarie pertama. Mereka ialah Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Suraya Ramli 31 sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM. Manakala Rafidah Abdul Razak 39, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM. Lantikan mereka dibuat pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Isu perlantikan wanita sebagai qadi atau hakim adalah isu klasik fiqh. Ia telah dibincangkan sejak sekian lama dalam kitab-kitab fiqh turath. Secara ringkasnya mazhab Syafie tidak membenarkan wanita dilantik menjadi qadi atau hakim. Manakala mazhab Hanafi membenarkan perlantikan wanita ke jawatan itu. Kedua-dua mazhab tersebut mempunyai hujah dan dalil masing-masing.

Dengan perlantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie, menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia memilih pandangan mazhab Hanafi. Ini berdasarkan ijtihad Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengikut prinsip-prinsip tertentu di sebalik kewajaran melantik wanita ke jawatan tersebut.

Apa yang UF nak ulas di sini ialah, tidak kisah kita memilih pandangan mazhab Syafie atau mazhab Hanafi. Ini kerana ia adalah perkara ijtihadi, apatah lagi kedua-duanya mempunyai dalil dalam isu ini. Cuma jangan kita tersilap objektif dalam perlantikan wanita ke jawatan Hakim Syarie. Objektif utama perlantikan seseorang hakim ialah untuk menjulang panji keadilan berdasarkan hukum Allah S.W.T.

Jika sesetengah pihak berpendapat bahawa perlantikan dua hakim wanita itu akan memberi keadilan kepada wanita, maka ia ternyata salah. Perlantikan hakim wanita bukan untuk memberi keadilan kepada wanita tetapi memberi kaedilan kepada mereka yang berhak sama ada wanita mahupun lelaki.

Pandangan bahawa Hakim Syarie lelaki sebelum ini berat sebelah kepada kaum lelaki merupakan pandangan prejudis. Hakim mempunyai tugas yang berat untuk memutuskan sebarang keputusan. Jika ada hakim yang hanya memandang gender dalam penghakimannya maka ia hanya menempah api neraka.

Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang mafhumnya, dua golongan hakim akan masuk neraka iaitu hakim yang berhukum tanpa ilmu dan hakim yang tahu kebenaran tetapi tidak berhukum dengannya. Hanya satu golongan hakim yang dapat masuk syurga iaitu hakim yang tahu kebenaran dan berhukum dengannya.

Kita berdoa kepada Allah agar Hakim-Hakim Syarie kita baik yang lelaki mahupun dua hakim wanita (Puan Suraya dan Puan Rafidah) dipelihara oleh Allah dalam penghakiman mereka. Amin!!!

Tiada ulasan