23 April 2010

Album Terbaru Instinct Kini Di Pasaran!!!

Kepada semua peminat kumpulan Instinct, album terbaru (kedua) daripada kumpulan Instinct kini dilancarkan dengan lagu-lagu yang lebih mendebarkan jiwa. Menampilkan 5 lagu yang pasti menambat jiwa anda!!!
Sempena promosi dan pelancaran album ini, dapatkannya dengan harga istimewa: RM 12.00 (harga asal RM 14.90). Bukan itu sahaja, anda akan mendapat 2 lagu bonus. Anda perlu cepat kerana tiada jaminan 2 lagu bonus itu akan dikekalkan.
Album ini hanya dijual secara online. Untuk maklumat lanjut mengenai album ini dan untuk membelinya KLIK DI SINI!!!

04 April 2010

Boleh Tukar ke?

Kartika Sari Dewi (Sumber gambar: themalaysianinsider.com)

Hari Jumaat lepas, UF mengajar kuliah Maghrib di surau al-Hijrah, Kota Warisan tentang "Bab Jenayah". Ada seorang hadirin bertanya apa pandangan ustaz tentang pertukaran hukuman sebat ke atas kartika (gambar) kepada khidmat masyarakat. Tidakkah ini menukar hukum Allah Taala?
UF jawab, sebenarnya hukuman 6 sebatan yang dikenakan ke atas Kartika bukanlah hukuman hudud. Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak mengamalkan hukuman hudud dalam sistem undang-undang (enakmen) Islamnya. 6 sebatan yang diamalkan di Mahkamah Syariah Malaysia ialah hukuman takzir.
Jadi tindakan Sultan Pahang menukar bentuk hukuman daripada sebat kepada khidmat masyarakat tidak salah. Apatah lagi hal ehwal Islam di bawah kuasa sultan negeri-negeri. Maka pihak berkuasa boleh meminda, menukar, mengurangkan dan menambah hukuman takzir.
Kalau hukuman hudud seperti hukuman hudud bagi peminum arak sebatan 40 rotan, memang tiada siapa yang boleh meminda atau menukarnya kepada hukuman lain. Ini kerana hukuman hudud ialah hukuman yang telah diputuskan secara tetap oleh Allah dalam al-Quran atau Sunnah. Tidak boleh bagi sesiapa pun, hatta Nabi Muhammad S.A.W pun tidak boleh mengubahnya.
Adapun hukuman takzir ialah hukuman yang di serahkan kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukannya. Allah Taala tidak menentukan bentuk hukumannya sama ada sebat, penjara atau sebagainya. Jadi terpulang kepada pihak pemerintah untuk menentukannya. Mahkamah Syariah di Malaysia hanya ada 3 jenis bentuk hukuman takzir sahaja seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah, iaitu:
1. Sebatan.
2. Denda.
3. Penjara.
Namun ini semua tertakluk kepada budi bicara Sultan negeri. Sebab itulah dalam kes Kartika Sultan Pahang mengampunkan hukuman sebatan dan menukarnya kepada khidmat masyarakat selama 3 bulan.
Dalam isu yang berkaitan, UF nak komen sikit pasal 1 laporan Berita Harian bertarikh 3 April 2010. Akhbar itu menyiarkan komen Mufti Perak Tan Sri Harussani mengenai pertukaran hukuman Kartika itu. Tan Sri Harussani dilaporkan berkata, hukuman itu boleh ditukar kerana ia hanyalah hukuman takzir bukannya "qisas".
UF tak tahulah, sama ada kesilapan itu adalah kesilapan wartawan atau Tan Sri Harussani. Kalau kesilapan wartawan melaporkan, bolehlah dimaafkan kerana mungkin mereka jahil. Namun kalau kesilapan Mufti Perak dalam menyebut takzir dan qisas, maka pelik la sikit. Sebabnya perkara ini macam yang disebutkan oleh UF di awal tadi, ia berkaitan dengan hukuman takzir dan hudud bukannya qisas.
Qisas ni bab lain pula, iaitu bab bunuh. Bila masa pula Kartika bunuh orang pula?

02 April 2010

Beban Cikgu Je Ke?

Kuala Lumpur 31 Mac - Tim. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara. Beliau yang juga Menteri Pelajaran juga berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejas tumpuan kepada tugas mengajar...... Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa. ----> Sumber Utusan Malaysia.

UF nak ulas sikit tentang perkara ini. Sebenarnya para pensyarah seperti UF di IPT juga menanggung beban kerja yang berat. Kerja hakiki pensyarah ialah mengajar, menyelia, menerbitkan penulisan, membuat penyelidikan dan memberi khidmat masyarakat. Namun realiti yang berlaku di universiti seperti USIM, beban pensyarah bukan sahaja yang disebutkan tadi. Malah mereka turut dibeban dengan tugas-tugas sampingan yang lain yang boleh membantutkan kerja hakiki mereka.
Bagaimana negara hendak melahirkan universiti bertaraf penyelidikan jika pensyarah tidak sempat hendak melakukannya. Begitu juga dengan penulisan, bagaimana negara hendak menghasilkan penulisan-penulisan ilmiah yang bermutu jika pensyarah dibeban dengan tugas lain.
Sebagai contoh, jika fakulti hendak menganjurkan seminar, persediaan untuk itu selalunya mengambil masa pensyarah yang banyak. Pensyarah-pensyarah yang terlibat sudah pasti akan menumpukan perhatian kepada urusan dan tugas seminar tersebut. Sebulan sebelum seminar bermula. Itu adalah waktu kritikal yang memerlukan tumpuan penuh daripada AJK (pensyarah) yang terlibat. Ketika itu aktiviti penulisan dan penyelidikan pensyarah akan terhenti.
Terkadang dalam setahun bukan 1 seminar sahaja. Sebagai contoh di FSU, USIM ada seminar kebangsaan/antarabangsa, program diskusi ilmiah dalaman, public lecture dan sebagainya. Kalau purata penyediaan 1 program besar mengambil masa 4 bulan, bila masa pensyarah nak menulis penulisan ilmiah atau menjalakan penyelidikan? Orang yang tidak pernah terlibat dengan penganjuran program besar tidak tahu, betapa masa dan keringat yang dicurahkan oleh AJK yang terlibat. Untuk makluman, yang terlibat semuanya para pensyarah.
UF nak bagi contoh lagi, Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh USIM akhir tahun 2009. Urusetianya ialah FSU dan UF lihat betapa teruknya rakan-rakan pensyarah UF "didera" untuk menjayakannya. Terkadang balik rumah jam 10 malam. Begitu teruk pensyarah mencurahkankan keringat, berapa peratus sahaja yang dapat untuk markah penilaian prestasi?
Sedangkan yang dinilai sebetulnya dan yang tinggi markahnya ialah pengajaran, penulisan dan penyelidikan. Terlibat dengan aktiviti atau universiti hanya dinilai lebih kurang 5% sahaja. Itu baru terlibat dengan aktiviti fakulti, belum dikira aktiviti peringkat universiti. Sebab itulah Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membuat kajian mengenai beban pensyarah IPT negara.
UF percaya pensyarah-pensyarah yang ada di IPT sememangnya komited untuk menghasilkan penulisan dan penyelidikan ilniah yang bermutu. Namun kekangan dan bebanan tugas yang bukan hakiki telah membantutkan usaha itu. Yang UF sebut tu, hanya 1 contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh beban tugas bukan hakiki yang terpaksa ditanggung oleh pensyarah. Ini semua membantutkan tugas hakiki para pensyarah.
UF dan rakan-rakan pensyarah lain bukan hanya pandai mengomel sahaja. Kami dah jayakan banyak program-program fakulti dan universiti. Pihak pengurusan tertinggi fakulti dan universiti jangan hanya menuding jari kepada pensyarah mengatakan kami kurang penulisan dan penyelidikan.
Kalau cikgu-cikgu sekolah bakal mendapat perhatian yang sewajarnya, kenapa tidak kami golongan pensyarah??? Kami juga terbeban....