28 Februari 2010

Irwan Subri vs Irfan Khairi

(UF bersama Irfan Khairi)

(Irfan Khairi sedang memberikan tip dan strategi)

Kelmarin 27 Feb 2010, UF menghadiri satu sesi taklimat bersama jutawan internet terkenal Dr. Irfan Khairi atau IK. Majlis tersebut diadakan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur jam 2.30 petang dan ditaja oleh StormReaders2U. Ia berkenaan teknik dan strategi bagaimana menjalankan perniagaan dari rumah dan mendapat pendapatan secara automatik sepanjang tahun.
Beliau hanya menghadkan 200 orang peserta, namun kelmarin yang memenuhi ruang dewan lebih daripada itu. UF rasa dalam 400 orang lebih yang datang hingga ada yang terpaksa berdiri kerana kerusi tidak cukup. Semua teruja untuk mendapatkan tip-tip hebat dari jutawan muda ini. Beliau pernah mendapat 1 juta ketika berumur 25 tahun hanya dari perniagaan internet.
Tip-tip yang diberikan cukup mudah tetapi sering diabaikan oleh kebanyakkan peniaga baru secara online. Memandangkan sesi ini adalah percuma, beliau hanya memberikan 2 perkara asas dalam perniagaan internet. Yang pertama Autoresponder dan kedua ialah Opt-in serta kelebihan kedua-dua perkara tersebut. Menurut beliau semua usahawan dan jutawan internet menggunakan kaedah ini untuk promosi dan perniagaan.
Baru UF perasan dalam web-web usahawan internet yang sudah berjaya memang ada dua perkara ini. UF menghadiri sesi ini pun ada sebabnya iaitu nak belajar benda baru. Apatah lagi sekarang ni tengah setup 1 web bisnes (MuslimDigital) dengan seorang kawan. Dengan tip-tip yang dapat daripada IK, bolehlah UF aplikasi dalam web tersebut.
Sesi 2 jam itu cukup bermanfaat terutama kepada newbie dan beginners macam UF ni. Nak tahu apa lagi tip-tip yang IK berikan, kenala jemput UF bagi ceramah pula.... hehe

21 Februari 2010

Subhanallah! Pokok Rukuk Mengadap Kiblat

Selama UF menjadi ajk PIBG Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang, UF tak perasan langsung ada satu pokok Palm yang unik. Tapi kemarin 20 Feb 2010, ada sukan tahunan sekolah. UF menggantikan YDP PIBG menyampaikan ucapan aluan. Selesai majlis perasmian dan minum, UF mengiringi perasmi Tuan Mohd Alias Awang (wakil pengarah PPD Sepang) ke keretanya.

Setelah beliau beredar, UF, Pn. Rohaida (Guru Besar) dan 2 ajk PIBG bersembang di tempat parking kereta GB. Bersembang punya bersembang, barulah UF terpandang ke arah satu pokok Palm. Apa yang uniknya ialah pokok Palm ini seperti sedang rukuk. Menurut GB, pokok itu memang sedia ada sejak sekolah beroperasi dan kelihatan sedang rukuk. Yang paling ajaibnya ia rukuk mengadap kiblat.

Untuk menambah kepastian, UF ambil jam kiblat kepunyaan UF dan menguji sama ada betul pokok itu rukuk mengadap kiblat atau pun tidak. Subhanallah! Maha suci Allah, bila di uji dengan jam UF, memang sah pokok itu mengadap kiblat. Anda boleh lihat gambar-gambar pokok tersebut dibawah:




Untuk mengetahui kisah lanjut tentang pokok Palm ni, sila klik di sini!

18 Februari 2010

E-book Pertama UF

Alhamdulillah terhasil sudah ebook pertama UF sejak UF mengenali dunia ebook. Sebenarnya daripada bulan 5 tahun lepas lagi UF mula mengetahui tentang ebook. Namun masa tu UF tengah sibuk nak habiskan tesis Ph.D sebab yang tu paling penting. Bila dok fokus tesis je, terlupa pula pasal ebook ni.

Cuma sebulan dua lepas UF dok baca balik pasal ebook dalam dunia online. Jadi semangat nak tulis ebook datang balik. Kebanyakan orang yang menulis ebook ni nak buat untung. Maksudnya nak bisnes dan memang dah ramai yang berjaya dengan jualan ebook.

UF dok cadang nak tulis ebook yang pelbagai, sama ada yang berbentuk ilmiah atau pun popular. Dah ada beberapa tajuk yang UF tengah rangka dan nak menulis. Insya Allah dengan semangat yang jitu, UF akan mula menulis bukan sahaja ebook tapi juga buku fizikal. Semoga Allah membantu usaha murni UF. Amin!

Untuk anda yang ingin membeli ebook pertama UF, SILA KLIK DI SINI!

16 Februari 2010

Bengkel Penulisan

Hari Ahad lepas 14 Feb hari raya tahun baru Cina dan Valentine's Day. Saat ramai orang bergumbira bercuti bersama keluarga, UF menghadiri satu bengkel penulisan. Bengkel ini dianjurkan oleh PTS Islamika. Editornya ialah kawan satu Ma'had dengan UF dulu. Bengkel ini dikendalikan oleh puan Ainon Mohd iaitu pengerusi syarikat PTS sendiri.

Peserta bengkel ini tak ramai, lebih kurang 12 orang dan kebanyakkannya kawan-kawan UF dari Ma'hadul Azhar. Ma'hadul Azhar ialah tempat UF belajar agama sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar. Alhamdulillah dapat banyak tip dan panduan menulis daripada puan Ainon.

Antara yang ditegurnya ialah gaya bahasa para ustaz ketika menulis. Ramai di kalangan mereka yang menggunakan bahasa klasik dan terkadang berjela-jela. Bengkel ini berbentuk praktikal kerana kami diberikan latihan untuk membetulkan kesalahan sebuah buku. Menurut puan Ainon, penulisan yang baik ialah kurang indeks kabusnya, iaitu bila orang membacanya mereka akan mudah faham.

Memang UF dah berazam untuk banyak menulis selepas selesai pengajian Ph.D. Bengkel ini memang bermanfaat dan mudah-mudahan ia menambahkan lagi minat UF untuk menulis. Puan Ainon kata yang dia mahukan kami untuk sertai lagi siri bengkel yang akan dibuat selepas ini.

Memang puas hati dan tak rugi hari cuti tu UF berbengkel daripada pukul 10 pagi hingga 5 petang. Nak menulis... Nak menulis... Nak menulis... berapa banyak nak menulis daaa... tulis je laaa

12 Februari 2010

Bila Cinta Beralih Arah (Part 1)

Masa UF belajar di Ma'hadul Azhar (MA) bermula tahun 1988, UF sepatah pun tak reti dan tak tahu cakap arab. Pernah UF menangis sorang-sorang sebab tak faham bahasa arab. Berbanding dengan beberapa orang kawan seangkatan UF masa tu, mereka dah biasa belajar kalimah-kalimah arab.

Di MA kami belajar bahasa arab menggunakan kaedah yang dicipta oleh Allahyarham Us Ashari Ishak. Tidak ada buku khusus yang digunakan, hanya kaedah sahaja. Contohnya bila belajar bab mubtada' dan khabar, kaedahnya senang je. Setiap mubtada' dan khabar mesti marfu' (baris dhommah). Kami juga dilatihtubi dengan kaedah tapak tangan iaitu mahir dalam tasrif 14 serta tasrif 10.

Dengan kaedah Us. Ashari, UF mula menguasai asas-asas bahasa arab dan mula "menyintai"nya. Bila masuk kelas tafaqquh fi al-din untuk ambil 4 thanawi, kami mula mendalami lagi ilmu nahu dan saraf. Antara kitab nahu yang digunakan ialah al-Kawakib al-Durriyyah (khatam) dan Qatrun Nada Wa Ballus Sada. Manakala kitab saraf yang digunakan ialah Shazz al-Urf.

Masa mengaji pelbagai subjek untuk 4 thanawi, yang paling UF minat dan suka ialah nahu dan saraf. Sampaikan kami buat tasrif sendiri "makana yumakinu makanan", "manama yumanimu minuman" dan macam-macam lagi. Nak kata terer betui tu takla, tapi insya Allah asas-asas tu memang UF kuasai.

10 Februari 2010

DIMASHQU (19)

Seingat aku, petang itu kami sekeluarga hanya makan megi dan roti. Tak lama kemudian Rosli datang ke rumah aku bersama seorang lagi pelajar Malaysia yang belajar di Syria iaitu Zubairi yang berasal dari Kedah. Rosli tinggal serumah dengan Zubairi dan sembang punya sembang, rupanya Zubairi adalah adik kepada seorang kawan aku (Zahir Ghazali) semasa belajar di Mesir dahulu. Aku satu generasi dengan abangnya di Damanhur (salah satu cawangan universiti al-Azhar) tahun 1992-1996.

Petang itu kami bersembang sedikit sebanyak tentang Syria. Aku bertanyakan Rosli bagaimana aku hendak mengenali Dr. Taufiq al-Butiyy sebab aku perlu berjumpa dengan dia nanti. Kata Rosli cukup senang nak mengenalinya, kalau pergi ke universiti Damascus dan jumpa orang yang pakai songkok itulah Dr. Taufiq sebab dia selalu ke Indonesia. Aku mohon bantuan Rosli untuk membawa aku ke universiti Damascus keesokan hari untuk berjumpa dengannya.

Rosli sebenarnya adalah pelajar master di universiti al-Awza'iyy, Beirut, Lubnan tetapi beliau menulis tesis dan tinggal di Syria. Lagipun universiti al-Awza'iyy memang mempunyai cawangan di Syria. Beliau hanya sekali sekala pergi ke Beirut untuk bertemu dengan penyelia tesisnya. Beliau antara pelajar Malaysia yang lama tinggal dan belajar di Syria, lebih kurang 5-6 tahun. Dahulunya beliau adalah graduan UKM dalam bidang bahasa arab.

Bila waktu maghrib hampir masuk, Rosli dan Zubairi memohon diri untuk pulang dan Rosli berkata yang dia akan datang esok pagi untuk membawa aku ke universiti Damascus. Aku pun bersiap-siap untuk pergi ke masjid menunaikan solat Maghrib berjemaah. Selepas Maghrib aku sekeluarga tidak berbuat apa-apa selain mengemas barang-barang tapi kami masih tidak lagi memunggah semua barang keluar daripada beg.

Terdengar azan aku menuju ke masjid untuk solat Isyak pula. Selepas solat aku pulang ke rumah dan terasa badan amat letih kerana perjalanan yang panjang dan seharian aku tidak sempat berehat lagi. Aku juga berasa amat mengantuk sekali walaupun ketika itu jam baru pukul 7 malam (lebih kurang). Di negara-negara arab yang ada musim sejuk, waktu siangnya pendek dan waktu malam lebih panjang.

Aku, isteri dan anakku akhirnya tidur sebab kepenatan. Kami tidak tidur dalam bilik tidur utama kerana katilnya kecil, hanya muat seorang. Kami tidur dalam bilik sebelah yang dijadikan bilik tetamu sebab di situ ada tilam sofa atas lantai di sekeliling bilik. Berakhirlah sehari aku di Syria dan aku tidak sabar menunggu esok pagi.

Bersambung....