Oktober 2009

30 Oktober 2009

Kisah Aku dan Syeikh al-Buti (Part 2)

Semasa sibuk menguruskan Seminar Fatwa peringkat ASEAN tahun 2005 dulu, UF dah dapat tawaran sambung belajar di Universiti Damascus, Syria. Jadi bila syeikh al-Buti datang ke seminar tu, UF ambil kesempatan bersembang dengan beliau tentang tajuk yang sesuai untuk penulisan Ph.D. UF kata UF cadang nak tulis tentang perubahan hukum (Taghayyur al-Ahkam) dan Syeikh al-Buti bagi satu tajuk cadangan “Ahkam al-Imamah Wa al-Tabligh” pada UF untuk dikaji.

Bila dengar tajuk tu UF jadi blur kejap sebab tak faham sangat apa yang nak dikaji dan UF tanya ada tak kitab yang boleh UF baca dan rujuk. Syeikh al-Buti mencadangkan agar UF baca kitab “al-Ihkam Fi Tamyiz al-Fatawa An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadi Wa al-Imam” karangan imam al-Qarafi. Lepas tu UF memang ada baca kitab tu tapi bila tak berapa nak faham maksud perbincangan perkara tersebut, UF ambil keputusan nak kaji tentang perubahan hukum dalam fiqh.

Rupanya setelah UF menulis dan mengkaji berkenaan perubahan hukum ni, apa yang Syeikh al-Buti cadangkan pada UF dulu tu ada kaitan sebenarnya. Walaupun UF tak mengkaji tentang tajuk cadangan Syeikh al-Buti tu, tapi UF sentuh sedikit mengenainya dalam tesis.

Secara ringkasnya tajuk “Ahkam al-Imamah Wa al-Tabligh” yang dimaksudkan ialah tentang tindakan dan perbuatan Rasulullah S.A.W dan para pemimpin selepas baginda. Adakah semua perbuatan Rasulullah S.A.W wajib kita ikut serta patuhi atau tidak? Imam al-Qarafi dalam kitabnya yang disebutkan tadi telah membahagikan tindakan dan perbuatan Rasulullah S.A.W kepada tiga:

1) Atas dasar al-Tabligh (Penyampaian hukum @ Fatwa): Iaitu pemberitahuan dan penyampaian baginda tentang hukum hakam Syarak yang bersandarkan kepada dalil. Maka menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk mengikut semua hukum hakam yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W, jika hukum itu wajib maka ia akan menjadi wajib selamanya hingga ke hari kiamat. Begitulah hukum hakam yang lain dan tidak boleh bagi mujtahid yang datang selepas itu untuk mengubah hukum hakam ini.

2) Atas dasar al-Qada’ (Penghakiman): Iaitu segala keputusan Rasulullah S.A.W yang bersandarkan kepada hujah dan keterangan atau dalam erti kata lain keputusan baginda dalam mahkamah. Sebarang keputusan hakim tidak boleh dibantah dan diubah kerana ia bersifat mengikat (mulzim).

3) Atas dasar al-Imamah (Kepimpinan @ Pentadbiran): Iaitu keputusan yang diserahkan kepada para pemimpin mengikut kebijaksanaan dan budi bicara mereka. Dasar al-Imamah ini bererti sebarang keputusan pentadbiran yang pernah diputuskan oleh Rasulullah S.A.W pada zaman baginda, dibolehkan kepada pemimpin selepas itu untuk tidak mengikut keputusan Rasulullah dan dibolehkan untuk memutuskan keputusan lain kerana ia hanyalah bidang yang melibatkan isu-isu pentadbiran dan bukannya hukum hakam. Ia dikenali sebagai Siasah Syariyyah yang diserahkan kepada pemimpin untuk menentukan apa yang terbaik kepada umat Islam.

Contohnya dalam isu unta terbiar, pada zaman Rasulullah dasar yang diambil oleh baginda ialah membiarkannya dan baginda melarang dari menangkapnya sehinggalah tuannya sendiri datang mengambilnya. Ini juga dasar yang diambil oleh Saidina Abu Bakar dan Umar R.A. Namun apabila zaman Saidina Usman, beliau mengarahkan agar unta-unta terbiar itu ditangkap dan dijual. Duit hasil jualan itu akan disimpan dan akan diserahkan kepada tuannya jika dia datang menuntut untanya selepas itu. Manakala pada zaman Saidina Ali pula, beliau menangkap unta terbiar itu dan menjaganya dengan tanggungan Baitul Mal. Jika tuan unta datang menuntutnya selepas itu, dia akan dicaj semua kos yang digunakan untuk menjaga untanya.

Jadi ada 3 keputusan dan dasar berbeza berkenaan unta terbiar ini. Pertama keputusan Rasulullah S.A.W berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Bukhari (Bab Dallat al-Ibil). Kedua dan ketiga ialah keputusan sahabat yang jelas berbeza dengan keputusan Rasulullah. Imam al-Qarafi dan Syeikh al-Buti (dalam kitabnya Dawabit al-Maslahah) menyatakan bahawa sebarang keputusan Rasulullah S.A.W yang berdasarkan kepada dasar al-Imamah, tidak bererti kita wajib mengikutinya. Terpulang kepada kebijaksanaan para pemimpin untuk memutuskan satu keputusan baru yang sesuai menurut zaman masing-masing.

Banyak contoh-contoh keputusan yang berdasarkan kepada konsep al-Imamah pada zaman Rasulullah S.A.W telah diputuskan semula oleh para sahabat untuk disesuaikan dengan keadaan dan zaman masing-masing. Namun harus diingat, bukan semua perkara boleh dirombak semula kerana dibimbangi bahawa orang ramai yang tidak mendalami ilmu agama akan berpendapat semua keputusan termasuk yang berdasarkan dasar al-Tabligh dan al-Qada’ juga boleh diubah dan disesuaikan dengan peredaran zaman.

Ini sekadar tulisan ringkas bagi menjelaskan isu yang ditimbulkan. Adalah dinasihatkan supaya anda merujuk dan membaca kitab-kita dibawah untuk penjelasan dan pendetailan lanjut:
1. “al-Ihkam Fi Tamyiz al-Fatawa An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadi Wa al-Imam” karangan imam al-Qarafi.
2. “al-Furuq” karangan imam al-Qarafi.
3. “Dawabit al-Maslahah” karangan Syeikh al-Buti.
4. Tesis UF (jika diterbitkan di pasaran).

Walaupun UF tidak menulis tajuk yang dicadangkan oleh Syeikh al-Buti, tapi akhirnya UF memahami apa yang dicadangkan oleh beliau kerana ia memang ada kaitan dengan tajuk perubahan hukum yang UF tulis. Anak Syeikh al-Buti, Dr. Taufiq al-Buti juga pernah membentangkan kertas kerja yang berkaitan dengan tajuk “Ahkam al-Imamah Wa al-Tabligh” dalam seminar anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM pada tahun 2007.

09 Oktober 2009

Kisah Aku dan Syeikh al-Buti

Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti (pengarang kitab Dawabit al-Maslahah dan Fiqh al-Sirah) merupakan tokoh ulama terkenal di Syria dan terkadang orang selalu salah sebut dan panggil dia Syeikh Ramadan al-Buti. Syeikh Ramadan al-Buti itu adalah ayah dia yang juga merupakan salah seorang ulama Syria. UF ada sedikit kenangan bersama Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti yang ingin dikongsikan bersama.

Pertama kali UF bertemu dengannya, semasa dia datang ke UKM (Tahun 1999 atau 2000) memberikan ceramah umum di masjid UKM. Kali ke dua semasa beliau dijemput oleh INFAD, USIM sebagai penceramah utama dalam seminar Fatwa peringkat ASEAN pada bulan Ogos tahun 2005. Masa tu UF jadi setiausaha seminar tersebut dan UF ambil kesempatan untuk jadi penyambut kedatangannya di KLIA. Maklumlah UF sendiri yang dok atur jadual bertugas para penyambut tetamu pembentang luar negara.

Ulama dari Syria yag dijemput asalnya ialah Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti dan juga Syeikh Mustafa Dib al-Bugha, namun disebabkan hal-hal yang tidak dielakkan, Syeikh Mustafa Dib al-Bugha tidak dapat datang dan beliau digantikan oleh anaknya Dr. Hasan al-Bugha.

Pada hari ketibaan Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti dan Dr. Hasan al-Bugha, kapal terbang mereka dijangka akan mendarat jam 8 pagi. Sekitar jam 7.45 pagi UF dan driver USIM bertolak dari USIM, tapi driver tu ajak UF minum pagi dulu sebab sementara Syeikh nak keluar dari airport dan ambil bagasi, ia akan ambil masa juga. Mungkin dalam 8.30 lebih barulah Syeikh dan Dr. Hasan akan keluar. Lagipun perjalanan ke KLIA dari Nilai lebih kurang 20 minit saja.

Jadi kami pun pi la minum dulu kat restoran mamak di Nilai, tiba-tiba UF dapat panggilan dari INFAD bagitau yang Syeikh dan Dr. Hasan dah pun keluar. Kelam kabut kami dibuatnya dan terus pergi ke KLIA dan bila sampai saja di KLIA, UF terus pergi cari Syeikh. Bila jumpa dia saja, Syeikh marah sangat dan dia kata nilah pertama kali dia dijemput ke seminar takde orang sambut dia. UF punyala malu dan berkali-kali minta maaf kat Syeikh dan Dr. Hasan.

Dr. Hasan nampak cool je dan dia dok senyum tengok Syeikh membebel. UF pun tahan telinga je la dengar bebelan tu sebab memang salah UF pun. Nasib baiklah Syeikh ada no. telefon INFAD, jadi dia call INFAD tanya mana penyambut dia. Lepas tu kami pun beredar dari KLIA dan menuju ke Hotel Nikko, tempat seminar dijalankan. Nasib baiklah sepanjang perjalanan tu Syeikh pun dah sejuk sikit dan dah tak marah-marah dah. UF layan mereka bersembang terutama Dr. Hasan yang baru pertama kali datang ke Malaysia.

Bila dok teringat kisah ni, terkadang nak tergelak pun ada walaupun ada 2-3 orang kawan UF pun dok perli UF. Moral of the storylan kali datang awal ke airport... heheh.... Syeikh! UF minta maaf nooooooo

07 Oktober 2009

Hari ni bermula pertandingan Mahkamah Mut Syariah peringkat Fakulti Syariah dan Undang-Undang untuk mencari wakil bagi mewakili USIM ke pertandingan Mahkamah Mut Syariah peringkat Kebangsaan pada bulan Disember nanti. Ni baru habis jadi hakim peringkat pusingan awal.

Kes yang dipertandingkan tadi berkisar kes harta sepencarian, jadi peguam plaintif memohon kepada mahkamah untukmeluluskan permohonan plaintif terhadap beberapa jenis harta seperti rumah, tanah, ASB, kereta dan lain-lain. Mereka ditentang hebat oleh peguam-peguam defendan yang menyatakan tidak semua harta tersebut layak dituntut plaintif kerana sebahagiannya adalah milik syarikat defendan dan defendan hanya pemegang amanah atau pengurusnya sahaja. Tambahan pula defendan mendakwa yang plaintif telah nusyuz.

Satu pengalaman baru jugala untuk UF, sebab first time tengok perjalanan pertandingan Mahkamah Mut Syariah. Walaupun UF ada tauliah peguam Syarie Negeri Sembilan tapi tak pernah pun bawa kes. UF tengok tadi peguam-peguam plaintif dan defendan walaupun masih banyak kelemahan dari segi penghujahan dan aplikasi undang-undang terhadap fakta, tapi kalau diasah bakat mereka, Insya Allah mereka boleh jadi peguam syarie yang baik.

Sedikit sebanyak dah nampak gambaran bagaimana satu-satu perbicaraan dalam mahkamah syariah berlangsung. Lepas ni bolehla UF try ambil kes. Ada sesiapa berminat nak ambil UF jadi peguam Syarie? hehehe

06 Oktober 2009

Temuduga Tauliah Mengajar

Hari ini UF pergi temuduga untuk dapatkan tauliah mengajar di JAIS pada jam 11 pagi. Dok mengajar di surau/masjid dah lama tapi tak ada tauliah pun. Jadi UF mohon tauliah rasmi untuk elak apa-apa masalah pada masa akan datang.

Bila sampai di JAIS, sebelum temuduga UF diberi satu borang yang perlu diisi. Borang tu mengandungi beberapa soalan, kira lebih kurang ujian ringkas untuk uji keilmuan seseorang pemohon tauliah. UF kata ujian ringkas sebab soalan-soalannya mudah, kira soalan basic je. Contohnya apa itu najis mughallazah, perlu atau tidak melafazkan "Usalli" ketika nak solat dan sebagainya.

Masa dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga ada 2 orang yang menemuduga. Hanya bersembang biasa bukan temuduga formal sangat. Di samping sembang-sembang tu,UF ditanya apa pandangan tentang isu Kartika (model yang kena sebat sebab minum arak). UF jawab, yang jadi keliru sebab orang ramai tak faham tentang enakmen jenayah syariah negeri-negeri. Kalau tahu dan faham, takkan timbul polemik pro dan kontra macam dalam surat khabar.

UF ditanya lagi, beliau (Kartika) dijatuhkan hukuman dengan 6 sebatan atau dirotan 6 kali. Mula-mula UF jawab tu hanya perbezaan istilah dan selalunya memang pesalah disebat dengan rotan. Namun penemuduga tanya, betul ka dengan rotan? Baru UF terfikir balik, ye tak ya juga, zaman Rasulullah pesalah bukannya disebat dengan rotan (mana ada pokok rotan di negara arab).

Yang tersebut dalam ayat Quran dan hadis, ialah suruhan untuk "sebat" pesalah (peminum arak contohnya) dan tidak diperincikan sebat itu dengan apa. Sebab itulah ada para sahabat yang sebat guna kasut, pelepah tamar dan sebagainya. Penemuduga tu kata, nak menunjukkan yang hukum Syariat tu begitu indah dah tidak menzalimi orang walaupun pesalah. UF juga diminta untuk menjelaskan isu ni kepada orang ramai dan UF angguk je.

Kebetulan dah sebut pasal sebat menyebat ni, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Sedunia (INFAD), USIM akan menganjurkan satu muzakarah ilmiah yang bertajuk: "Hikmah dan Hukuman Sebat: Perspektif Syariah dan Perubatan". Ia akan diadakan pada:

Tarikh: 9 Oktober 2009
Hari: Jumaat
Masa: 9 pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat Utama FSU, USIM

SENARAI PEMBENTANG :
1. PANEL 1: PROF. DATO' DR. MAHMOOD ZUHDI HJ. ABDUL MAJID (TIMBALAN DEKAN, ISTAC UIA)
2. PANEL 2: DR.ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI (KARYAWAN TAMU INFAD)
3. PANEL 3: DR. BURHANUDDIN BUSU (PENSYARAH FPSK)

Semua dijemput hadir!

04 Oktober 2009

Catatan 3 Oktober

Kelmarin (Sabtu), UF bersama keluarga pergi ke Melaka lebih kurang jam 3 petang. Kumpulan Instinct akan membuat persembahan di UTEM, Melaka sempena Konvokesyen UTEM ke 5 pada sebelah malamnya. UF ada seorang kawan masa mengaji di Mesir dulu yang jadi pensyarah di UTEM (Us. Ismail Ibrahim). Hari Jumaat UF dah call dan kata nak pergi ke rumah dia.

UF sampai lebih kurang jam 4 petang, dan terus ke rumah kawan UF di Taman Melaka Perdana. Kami bersembang lama juga sampai ke Maghrib, maklumlah jarang-jarang sangat kami berjumpa. Selepas solat Maghrib dan mandi, UF pun pergi ke tapak pesta konvo UTEM yang terletak lebih kurang 15 minit dari rumah kawan UF tu.

Walaupun malam dan gelap tapi UF dapati bangunan di UTEM nampak cantik juga berbanding sesetengah bangunan di USIM (terutama bangunan FSU, fakulti UF sendiri). Kawasan UTEM pun nampak luas juga. Cuma menurut kawan UF tu UTEM ada masalah dengan lalat sebab sekeliling UTEM adalah ladang ayam.

Lebih kurang jam 9 malam, kumpulan Instinct membuat persembahan. Majlis tu sebenarnya adalah majlis Forum perdana dan Instinct membuat persembahan pembukaan. Ini kali ke 2 Instinct dijemput untuk buat show di UTEM (maklumlah salah seorang ahli Instinct "Mahadir" tu adalah penolong pendaftar di UTEM). Malam tu Instinct menyanyi 4 lagu. Terima kasih kepada UTEM kerana menjemput Instinct.

UF bertolak pulang lebih kurang jam 11 malam dan sampai di rumah jam 11.49 malam.


(Instinct sedang membuat persembahan, dah lama tidak berenam sebab berjauhan)

(panelis Forum Perdana serta hadirin dan hadirat)